Tuesday, July 31, 2007

Peserta MyStarz LG tiada identiti?

TIADA identiti tersendiri dan masih terikut dengan penyanyi sedia ada! Itulah yang boleh dirumuskan daripada hasil keseluruhan konsert kelima program TV realiti terbaru terbitan TV3 dan ntv7, MyStarz LG yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, petang Ahad lalu.

Sebahagian daripada lima peserta cuba memikat hati juri dan penonton dengan lagu yang tidak kena dengan diri mereka. Ada yang terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal.

Misalnya peserta yang bernama Khairul Hizam Kaha, 32, atau Ijam, yang memilih lagu popular kumpulan Samsons, Naluri Lelaki. Pada dasarnya, lagu itu memang sesuai dengan jiwa Ijam. Dari segi kawalan vokal dan mutu suaranya, tidak menghampakan. Namun vokal Ijam ketika menyampaikan lagu tersebut ada sedikit persamaan dengan penyanyi utama Samsons, Bams.

Hal ini diakui oleh juri jemputan iaitu Azmeer. Malah Azmeer mahukan anak muda dari Kuala Lumpur itu berusaha mencipta dan mencari identiti sendiri jika mahu terus kekal lama dalam bidang seni.

Begitu juga dengan peserta wanita muda, Rachel Wesley, 14, atau Rachel yang berasal dari Sabah. Meskipun memukau dengan vokal yang hebat ketika menyampaikan lagu popular Jaclyn Victor, Di Bawah Pohon Asmara, namun Rachel juga dilihat seakan-akan cuba mengikut gaya nyanyian Jaclyn. Namun, Rachel juga wajar dipuji kerana berjaya mencari kelainan pada persembahannya.

Mawi dah bertemu dengan Saliha yang dicari selama ini

Selepas lebih setahun mencari, komposer M. Nasir hari ini memperkenalkan Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin sebagai heroin filem Aduh Saliha arahannya.

Puteri Sarah Liyana, 22, yang mesra dengan panggilan Sarah akan bergandingan dengan Mawi yang berlakon sebagai hero filem tersebut.

Menurut M. Nasir, Sarah menjadi pilihan kerana memiliki daya tarikan tersendiri yang tidak ada pada gadis-gadis yang dicari sebelum ini.

‘‘Apabila melihat wajahnya, saya dapat merasakan Sarah ada kualiti dan memenuhi kriteria untuk melakonkan watak Saliha, seorang gadis kampung yang ayu. Lagipun saya rasa dia serasi dengan Mawi,” katanya pada majlis memperkenalkan Saliha di sini hari ini.

M. Nasir menambah, Sarah sudah ada asas lakonan dan ini memudahkan beliau membentuk pelakon itu.

Filem Aduh Saliha yang diterbitkan oleh The Cameracrew Productions Sdn. Bhd. (TCPSB) merupakan filem kedua arahan M. Nasir selepas Merah.

Filem yang skripnya ditulis bersama oleh M. Nasir dan Loloq itu akan memulakan penggambaran pada akhir Ogos ini di Sabah.

Filem genre muzikal separa fantasi yang bakal menelan kos sebanyak RM1.5 juta itu merupakan filem pertama lakonan Sarah dan Mawi.

Sarah sebelum ini pernah muncul dalam drama Kawan, Dunia Anita dan Puteri serta beberapa iklan seperti Silky Girl, Digi, F & N dan Nivea.

Tuesday, July 24, 2007

Realiti Mawi daripada program TV realiti

SELASA lalu juara program TV realiti paling popular, Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi mengeluh apabila jualan album terbarunya berjudul Satu Dalam Seribu jatuh merudum.

Album terbitan Maestro Records itu kata Mawi, hanya dijual sebanyak 30,000 unit sahaja biarpun ia sudah berada di pasaran sejak April lalu.

Walhal dua tahun lalu, tidak sampai sebulan muncul juara AF3, album pertamanya, Best Of Mawi berjaya dijual sebanyak 165,000 unit.

Malah, album-album Mawi selepas itu juga mendapat sambutan hebat, misalnya album Mawi Tercinta dijual sebanyak 135,000 unit dan Doa, Berzanji Dan Qasidah Berlagu (120,000 unit).

Ternyata kemunculan anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam dunia hiburan tempatan.

Mana tidaknya, selepas berbelas-belas tahun, mana ada penyanyi yang baru merangkak mahu belajar menyanyi seperti Mawi mendapat kejayaan yang begitu hebat dalam dunia hiburan kita.

Album Ella berjudul Ella USA yang diedarkan pada Februari 1994 berjaya dijual 320,000 unit, itu pun selepas hampir 10 tahun Ratu Rock tempatan ini bergelumang dalam bidang nyanyian.

Sewaktu mula-mula menyertai AF3 lagi, Mawi sudahpun berjaya menarik perhatian ramai penonton dengan sikapnya yang selamba.

Pelbagai cerita peribadi mengenai penyanyi berusia 25 tahun ini yang telah dipaparkan menerusi program TV terbitan Astro tersebut sehingga para penonton terasa begitu dekat dengan karekternya itu.

Sambutan para penonton terhadap segala perkara yang telah dipaparkan mengenai Mawi itu menyebabkan para peminat begitu taksub memujanya.

Ceritalah apa juga perkara-perkara yang buruk tentang artis pujaan mereka itu, tetapi jika sikap fanatik sudah menguasai diri, ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Justeru, apa juga yang dilakukan oleh Mawi termasuklah jika dia menyanyi sumbang, terlupa lirik lagu ataupun gosip-gosip liar yang melandanya, para peminat seakan-akan sanggup tutup mata dan telinga.

Itu adalah antara penangan ‘kuasa’ atau aura yang dimiliki oleh anak didik kebanggaan M. Nasir ini sehingga popularitinya sukar digugat oleh penyanyi-penyanyi lain.

Terbukti usaha Astro mempromosikan program AF termasuklah Mawi berjaya menimbulkan kesan yang mendalam terhadap para peminat dan juga dunia hiburan tempatan.

Tetapi persoalannya, sampai bilakah sanjungan para peminat terhadap juara program TV realiti seperti Mawi yang diangkat menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) itu akan berterusan?

Ada kelainan dalam Ole-Ole Chef Wan


Setelah mencuba pelbagai program masakan, kini Chef Wan kembali lagi menerusi rancangan Ole-Ole Chef Wan.

Bersiaran setiap Sabtu pukul 1 petang selama sejam di TV9, Ole-Ole Chef Wan menampilkan sebuah program masakan yang berlainan daripada program masakan yang pernah dihasilkannya.

“Jika sebelum ini rancangan masakan saya lebih tertumpu kepada resipi memasak tapi untuk rancangan ini ada perbezaan sedikit. Menerusi program ini saya pergi melawat ke satu-satu tempat, mendalami kehidupan masyarakat di tempat itu serta memasak untuk mereka,” kata Chef Wan ketika ditemui pada majlis pelancaran Ole-Ole Chef Wan, di Bandar Utama, baru-baru ini.

Jelasnya para penonton yang menyaksikan rancangan itu bukan sahaja disajikan dengan ilmu masakan tetapi juga berkaitan dengan sesuatu isu yang ditampilkan.

“Sebagai contoh saya melawat Zoo Negara, jadi saya akan kupas isu-isu tentang binatang di sana. Saya juga ada melawat kolej kejururawatan, jadi saya tonjolkan aktiviti seharian mereka. Saya mahu masyarakat belajar sesuatu perkara apabila menyaksikan rancangan masakan saya. Bukan saja masakan tapi ada lagi benda lain yang boleh dipelajari,” ujarnya.

Antara tempat-tempat yang telah dipilih bagi menjayakan rakaman Ole-Ole Chef Wan ialah Rumah Aman (Rumah anak-anak yatim), Kolej jururawat, Zoo Negara, Rumah Amal Cheshire, rumah orang tua dan banyak lagi.

Monday, July 9, 2007

Manjalara: Watak Antagonis Sheila Rusli Menjadi

BIMBANG dengan tanggapan peminat menyebabkan kebanyakan pelakon terutama yang dikenali ramai ‘berat hati’ mahu menerima tawaran melakonkan watak antagonis.

Walaupun watak sedemikian sebenarnya lebih cepat meninggalkan kesan kepada penonton tetapi populariti diraih sebelum ini selalunya jatuh merudum kerana tidak lagi disayangi peminat.

Itulah yang dirasai pelakon dan pemenang anugerah Pelakon Komedi Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-17, Sheila Rusly atau Sheila, 36.

Tambahan pula wataknya dalam drama bersiri 75 episod, Manjalara sebagai Sahara, wanita yang berusaha merampas harta anak saudaranya kini sedang ditayangkan di slot Akasia, di TV3.

Ini bukan kali pertama Sheila membawakan watak antagonis. Sebelum ini, menerusi filem Pontianak Menjerit dia melakonkan watak wanita Siam yang mengatur pembunuhan pewaris harta seorang lelaki kaya yang pernah dikahwininya.

Lakonannya menerusi filem itu cukup meninggalkan kesan sehingga dia dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-18 namun tewas di tangan Ida Nerina.

Ditemui di sesi fotografi khas, kata Sheila, dia cukup takut dengan watak Sahara sehingga membuatkan dirinya sentiasa berada dalam keadaan tertekan.

“Bayangkan, kejahatan dalam diri Sahara amat kuat. Membaca skripnya saja membuatkan saya kecut perut. Bagi mengimbangi watak Sahara supaya tidak nampak keterlaluan saya terpaksa mengawalnya sendiri. Itu yang membuatkan saya berasa tertekan setiap kali berada di lokasi.

“Dalam waktu sama saya tidak mahu menonjolkan sepenuhnya sifat jahat yang ada dalam diri Sahara kerana bimbang di kemudian hari tiada apa lagi yang tinggal untuk penonton apabila tayangan Manjalara masuk ke episod lebih penting,” katanya yang masih sibuk di lokasi drama itu.

Tidak terhad kepada watak, kata Sheila, dialog untuk watak Sahara turut dikawal kerana tidak mahu nanti ia dikatakan keterlaluan dan memberikan nilai negatif kepada mereka yang menonton drama berkenaan.

“Sekiranya penonton membaca naskah asal skrip yang diberikan kepada saya mereka pasti bertanya wujud ke manusia yang sifatnya sejahat Sahara?

“Bagi mengelakkan perkara itu terjadi, saya sering berbincang dengan pengarah supaya skripnya diubah dan pemilihan ayat mahupun ungkapan yang mahu saya ucapkan saya lakukan sendiri mengikut kesesuaian,” katanya lagi.

Walaupun bimbang, namun kata Sheila, setakat ini penerimaan peminat mahupun penonton terhadap watak Sahara yang dilakonkannya cukup baik dan apa yang mengejutkan, ia tidak mempengaruhi penilaian mereka kepada dirinya.

“Saya rasa penonton kita sudah pandai menilai dan melihat lakonan saya sebagai Sahara hanyalah sekadar lakonan semata-mata.

“Sebelum ini saya ragu-ragu hendak keluar ke kawasan umum atau menemui orang ramai, bukan apa, bimbang insiden penonton meludah atau herdik pelakon watak jahat yang pernah berlaku sebelum ini turut terjadi kepada saya.

“Namun, apa yang berlaku sebaliknya apabila ada penonton memuji watak saya lakonkan. Cuma dalam memuji mereka tetap mengkritik watak Sahara yang dikatakan terlalu jahat sehingga menimbulkan rasa geram dalam diri mereka,” katanya.

Selain sibuk di lokasi penggambaran Manjalara, pada waktu sama Sheila Rusly sibuk mempromosikan buku masakan kedua yang dihasilkannya. Kali ini dia menghimpunkan 20 resipi masakan kerabu.

“Selain itu, saya baru selesai menjalani penggambaran rancangan masakan Citarasa Selebriti untuk musim ketiga. Seperti biasa ia dihasilkan sebanyak 21 episod dan akan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Ramadan nanti.

“Bagi musim baru ini ramai artis popular terbabit, antaranya Erra Fazira, Fasha Sanda, Nurul Huda, Adibah Noor, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal dan Diana Naim.

“Untuk mewujudkan kelainan, saya turut menjemput pasangan artis popular untuk masak bersama-sama saya seperti Lisdawati dan tunangnya, Fauzi Nawawi serta Siti Nordiana bersama suaminya juga pelakon, Faizal.

“Saya seronok sepanjang penggambaran siri Citarasa Selebriti ini dilakukan kerana pelbagai peristiwa lucu berlaku.

“Ada rakan artis yang sebelum ini kita tahu cukup cekap di dapur tetapi tidak tahu kenapa sewaktu rakaman hendak dilakukan masakannya tidak menjadi dan ada saja perkara tidak kena berlaku.

“Semua peristiwa menarik yang berlaku dalam rancangan ini turut saya gabungkan dalam satu episod dan ia boleh dilihat teman media apabila pelancaran rancangan ini dibuat. Seperti musim terdahulu, saya turut mengeluarkan buku resepi yang dihimpun menerusi rancangan ini dan pelancarannya akan dilakukan sekali gus,” katanya.

Adakah benar Erra mencurangi cinta Hans?

KIRIMAN e-mel daripada seseorang yang ditujukan kepada pihak media benar-benar menggemparkan. Ia menceritakan pertengkaran yang berlaku antara Hans Isaac dengan kekasihnya di Damansara selepas mendapat tahu kekasihnya itu ada teman lelaki lain.Difahamkan, kekasih Hans yang dimaksudkan itu ialah pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira, 33, manakala buah hatinya yang baru dikatakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32.Menurut satu sumber, Hans dikatakan pergi ke rumah Erra pada malam itu. Difahamkan, sepupu lelaki Erra membuka pintu selepas menyedari kehadiran Hans.Sebaik Hans masuk ke dalam rumah, berlakulah pertengkaran antara dia dengan Erra selepas beberapa minit berbincang.Pertengkaran berlarutan sehinggalah muncul lelaki yang dikatakan seorang VIP stesen penyiaran dari dalam rumah itu (Engku Emran).Difahamkan, apabila Hans melihat keadaan itu, dia tidak menunggu lama, maka berlakulah pergaduhan antara dia dengan Emran. Perhatikan dalam gambar (bulatan merah), tangan kanan Hans yang cedera, mungkin kesan daripada pergaduhan itu.Bintang Popular difahamkan, Hans sudah lebih setahun menjalin hubungan cinta dengan Erra namun mereka tidak pernah membuat sebarang pengakuan kepada pihak media gara-gara Erra keberatan mendedahkan perhubungan mereka kepada umum.Namun, Hans khabarnya terlalu menyintai Erra malah sudah pun belajar mendalami Islam kerana dia merancang melamar Erra sebagai isterinya yang sah pada tahun depan.Difahamkan, masing-masing sudah pun membeli kondominium di kawasan perumahan yang sama sebagai persediaan apabila mereka bergelar suami isteri kelak. Namun, Hans akhirnya kecewa gara-gara insiden pada malam itu apabila mendapati Erra menjalinkan hubungan dengan Emran.Tambah sumber yang sama, Erra sudah menjalin hubungan rapat dengan Emran kira-kira empat bulan yang lalu dan mereka dikatakan bakal berkahwin selepas perhubungan mereka mendapat restu daripada ibu Erra.Namun, Hans yang ditemui ketika menghadiri rakaman di TV9, di Sri Pentas, Bandar Utama, Selasa lalu, masih keberatan menyatakan sebarang nama yang terbabit dalam insiden kira-kira jam 12.30 tengah malam, pada 1 Julai lalu itu.Ikuti temubual eksklusif penulis bersama Hans berhubung kontroversi panas ini. Paparan mengenai pergolakan antara Hans dan kekasihnya boleh juga diikuti menerusi Melodi, hari ini jam 12.30 tengah hari di TV3 bersama wartawan terjah, Nas Ahmad. (ulangan petang Khamis 12 Julai, 2007)... sumber Bintang Popular.

Info & kronologi sejarah percintaan Erra

Sumber dari "Bintang Popular"

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dilahirkan pada 9 Februari 1974 dan berasal dari Sungai Choh, Rawang, Selangor.

Memulakan kerjayanya dalam bidang modelling sehinggalah dinobatkan sebagai Miss Malaysia/World 1992. Dia juga pemenang tempat ketiga Miss South East Asia 1992/1993. Erra seterusnya menceburkan diri ke dunia seni sebagai penyanyi dan pelakon, kini usahawan.

Antara album yang pernah dihasilkannya termasuklah Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003) dan Ya Atau Tidak (2006). Manakala lagu popularnya ialah Pasrah, Jendela Hati, Hadirnya, Pertemuan, Ucapkanlah (duet dengan Yusry) dan Nada Kasih (duet dengan Rio Febrian).

Erra pernah mendapat jolokan primadona filem Melayu alaf baru. Antara filem lakonannya ialah Sembilu, Maria Mariana, Gemilang, Tragedi Oktober, Pasrah, Gerak Khas The Movie (GKTM), Mr Cinderella, Gila- Gila Pengantin, Cinta Kolesterol, Hingga Hujung Nyawa, Pesona Non Grata dan Qabil Khusri Qabil Igam (QKQI). Tujuh kali dia dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABP-BH).

Ratu Filem Melayu itu pernah menjalin hubungan serius dengan Awie selama empat tahun. Mereka bertunang pada Oktober 1997, tetapi terputus di tengah jalan pada tahun berikutnya. Hanya pada 1999, Erra mula rapat dengan Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) apabila mereka digandingkan menerusi filem Mr Cinderella. Ternyata desas-desus hubungan cinta mereka benar apabila kedua-duanya bertunang pada 3 Mac 2003

Erra akhirnya diijabkabulkan dengan Yusry pada 15 Jun 2003 di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Majlis persandingan penuh gemilang atau dianggap Wedding of the Year itu diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 22 Jun 2003.

Namun, selepas mengecapi kebahagiaan alam berumah tangga kira-kira dua tahun, perkahwinan mereka tiba-tiba dilanda badai sehingga kedua-duanya tidak lagi tinggal sebumbung untuk beberapa ketika. Erra dan Yusry akhirnya bercerai secara rasmi pada 16 Jun 2006.

Hubungan intim Erra dengan Hans Isaac mula menjadi bualan ramai ketika mereka berlakon sama dalam filem Persona Non Grata pada 2005. Penggambaran filem itu dibuat di Thailand. Ketika itu rumah tangga Erra bersama Yusry sedang bergolak.

Bagaimanapun, Erra menafikan keretakan rumah tangganya berpunca daripada hubungan rapatnya dengan Hans kerana mereka hanya kawan baik. Pun begitu, selepas Erra bercerai dengan Yusry, sekali lagi hubungan istimewa Erra bersama Hans kembali diperkatakan apabila mereka sering kelihatan bersama.

Hubungan rapat mereka terus menjadi bualan hangat apabila Hans sanggup menghadiahkan jam tangan Rolex bernilai RM15,000 sempena hari jadi Erra ke-33 pada Februari lalu. Pun begitu, Erra tetap menafikan mereka bercinta, selain mendakwa tiada salahnya dia menerima hadiah mewah daripada rakan baik.

Hanya pada awal Julai ini Hans tiba-tiba mengesahkan hubungan cintanya dengan Erra sudah pun berakhir berikutan penyanyi dan pelakon terkenal itu dikatakan bakal berkahwin dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Luscious mengejar kerlipan bintang

Siapa Luscious?. Ya! Siapa yang kenal dengan nama itu seandainya tiga gadis manis ini tidak menyertai pertandingan TV realiti Gang Starz yang berakhir pada 17 Jun lalu.
Bukan sahaja kerana program anjuran TV3 itu menawarkan hadiah kemenangan wang tunai paling tinggi berjumlah AS$100,000 (RM350,000) tetapi lebih utama, mereka ialah satu-satunya kumpulan yang anggotanya semua wanita.
Selain bertanding dengan para peserta dari negara ini, mereka juga perlu berentap dengan kumpulan dari dua negara Asia lain termasuk Indonesia dan Singapura.
Biar nasib tidak menyebelahi mereka apabila tersingkir pada persembahan episod kelapan, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengejar kerjaya sebagai sebuah kumpulan penyanyi wanita.
Luscious kini giat mempersiapkan diri untuk menghasilkan album sulung.
Kata anggotanya; Eenaz, Nadia dan Ruzana, mereka mahu menghasilkan sendiri lagu, susunan muzik dan liriknya.
Mereka sendiri mampu bermain alat muzik khususnya piano dan mengakui setiap lagu yang terhasil untuk album itu nanti adalah hasil buah tangan mereka sendiri.
“Kami mahu pendengar menghayati muzik dan cita rasa kami. Itu intonasi kami. Dan kami berharap, album itu mampu menjadi sebuah inspirasi kepada pendengar,” kata mereka.

Thursday, July 5, 2007

Farah Asyikin tidak tiru Kelly Clarkson

Penantian hampir 10 tahun berakhir bagi Farah Asyikin Zulkifli, 28, apabila album sulungnya yang berjudul Farah Asyikin menjengah pasaran sejak Mei lalu.

Apa yang mengejutkan, penampilan yang ditonjolkannya sebelum ini sewaktu menyertai pertandingan TV realiti, Malaysian Idol 2 (MI2) dan One In A Million (OIAM), berbeza dengan apa yang dipersembahkan dalam album sulungnya.

Kalau dulu Farah sering mempersembahkan lagu-lagu berirama perlahan tetapi dalam albumnya, lebih banyak lagu-lagu rancak.

Dengan mempertaruhkan konsep pop agresif, Farah Asyikin berasa puas dengan album sulungnya itu sambil menyifatkan sudah menemui hala tujunya dalam industri muzik.

“Saya tahu ramai yang menyangkakan saya sesuai membawakan lagu-lagu yang bercorak balada dan sentimental berdasarkan penampilan saya dalam MI2 dan OIAM.

“Tetapi, dalam album sulung ini, saya mahu tonjolkan kelainan dan mahu membuktikan kepada peminat bahawa Farah Asyikin juga mampu melakukan sebaliknya. Ini adalah diri saya yang sebenar,” kata Farah pada majlis pradengar albumnya itu di syarikat rakaman, Free Nature Records, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zaiton Sameon terima pencen Karyawan

SEMUA orang tahu sejak mengalami kemalangan jalan raya 17 tahun lalu, kerjaya Zaiton Sameon semakin merundum. Hidupnya tidak lagi seceria ketika namanya berada di kemuncak.
Namun Zaiton yang kehilangan anak dalam kemalangan di Batang Kali, Selangor itu tetap meneruskan kehidupan biarpun tidak sesempurna dulu.
Biarpun begitu, semangat menyanyi Zaiton masih kental. Malah jika ada undangan, dia tidak pernah menolak. Namun undangan persembahan yang diterima boleh dikira dengan jari.
Justeru itulah Zaiton yang kini menetap bersama adiknya, Shahril di Sungai Long, Kajang, mohon jasa Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mencarikannya peluang mengadakan persembahan.
Siapa sangka niat Zaiton itu bertukar menjadi kegembiraan berganda apabila, Karyawan mengambil keputusan memberi pencen seumur hidup kepadanya sebanyak RM500 sebulan bermula bulan ini.
“Alhamdulillah masih ada yang ingatkan saya. Ingatkan saya sudah tersingkir dari dunia seni hiburan seperti mana lagu dendangan saya, Diriku Tersingkir,” kata Zaiton yang menganggap pemberian pencen itu sebagai hadiah terbesar sempena ulang tahunnya yang ke-51 pada Sabtu ini.

Monday, July 2, 2007

Suara Emas Bintang RTM 2007 lahirkan bintang baru

SEPANJANG lebih enam dekad, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya melahirkan nama-nama besar dalam dunia seni suara berlandaskan pertandingan Bintang RTM.

Bintang RTM bagaikan satu jenama yang sangat berpengaruh, disegani serta dijadikan tanda aras kemampuan seorang bintang baru seperti Sudirman, Dhalan Zainuddin, Jamal Abdillah, Rosemaria, Rohana Jalil dan ramai lagi.

Terkini Bintang RTM yang dikenali sebagai Suara Emas - Bintang RTM 2007 terus berwawasan untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baru yang berkualiti dalam segenap aspek berhubung bidang seni serta mempunyai ketajaman minda.

Justeru itu untuk pertandingan akhir kali ini, lapan finalis iaitu Shahir, Izzi, Zeti, Amin, Shah, Han, Rey dan Alyn bukan sahaja mempertaruhkan bakat nyanyian, malah mereka turut diuji minda tentang soalan berkaitan negara.

Untuk soalan uji minda, pensyarah dari Jabatan Bahasa, Universiti Putra Malaysia, Daniel Hasni Mustaffa dilantik sebagai juri.

Malam final Bintang RTM yang menggunakan tema Malam Seribu Bintang Suara Emas Bintang RTM 2007 itu turut mengundang beberapa artis yang pernah menyertai beberapa program terbitan RTM sebelum ini.

Antara yang terbabit ialah Rohana Jalil, Najib Hanif, Sammy Arif, Andre Goh, Rosemaria, Azharina, Misha Omar, Sarah Raisuddin dan Esther Khoo.

Rey nak bantu keluarga

Tidak terlintas langsung di fikiran Reynaldo Raymond Pagi atau Rey, 21, untuk muncul sebagai juara Suara Emas Bintang RTM 2007.

Bagi anak muda kelahiran Tuaran, Sabah itu, penyertaannya dalam pertandingan tersebut sekadar untuk mengisi masa lapang dan sekali gus mengasah bakat bagi melihat sejauh mana dia mampu mengorak langkah.

Namun seperti kata pepatah ‘tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu’. Itulah yang terjadi kepada Rey.

Anak sulung daripada empat beradik itu bukan sekadar diangkat sebagai juara malah turut menjadi pilihan orang ramai untuk muncul sebagai Bintang Paling Popular berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak 41.19 peratus berbanding rakan-rakan lain.

Kejayaan berganda yang diperoleh oleh Rey itu melayakkan dia menerima wang tunai berjumlah RM16,000 kerana RM3,000 daripadanya adalah hadiah bagi kategori Bintang Paling Popular.

Rey yang merupakan pelajar semester lima, pengkhususan vokal klasik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur itu pada mulanya menyangkakan Zeti atau Nurul Izzati Azhar dari Tanjung Kling, Melaka yang akan muncul sebagai juara.

“Bila dengar Zeti nyanyi, saya agak mungkin dia yang akan menang. Selain Zeti, Han, Shahir dan Amin juga adalah saingan saya. Tapi sudah ditentukan malam ini rezeki saya,” katanya sambil tersenyum.

Rey yang mendendangkan lagu Mata Hati Jiwa nyanyian Awie dan You Raise Me Up dendangan Josh Groban itu berpendapat antara faktor yang menyebabkan dia menjadi pilihan juri ialah kerana teknik nyanyian dan sebutan setiap seni kata yang jelas serta persembahannya yang tersendiri.

Kata Rey, apabila namanya diumum sebagai pemenang secara spontan merasakan dirinya seperti Jamal Abdillah atau Sudirman yang pernah muncul sebagai juara sebelum ini.

“Saya terkejut apabila nama diumum dan tidak sangka saya dapat berada di platform yang sama seperti juara-juara lalu. Saya merasa begitu bangga kerana ini adalah pencapaian terbesar,” katanya terus terang.

Bila ditanya apakah yang akan dilakukannya dengan wang kemenangan tersebut?

Sambil tersenyum bangga, Rey berkata perkara utama yang akan dilakukannya ialah membelanja adik-adiknya.

“Sebagai anak sulung, saya ingin melihat adik-adik saya gembira. Dulu masa kecil, saya tidak dapat memiliki barangan yang saya hendak.

“Sekarang saya akan cuba memenuhi kehendak adik-adik supaya mereka dapat merasai kegembiraan seperti orang lain,” katanya yang berkebolehan bermain dram, gitar bes dan keyboard itu.

Malah Rey juga amat terharu kerana sepanjang tempoh pertandingan tersebut, ibu bapanya sering memberi galakan. Justeru itulah kemenangan yang diraih adalah hadiah untuk mereka.

Sebagai juara, Rey yang meminati genre muzik rock berkata, setakat ini dia belum merencana masa depannya dalam kerjaya seni.

Bagaimanapun Rey yang mula mengasah bakat nyanyian bersama koir gereja berkata, jika mendapat tawaran untuk merakam album dalam waktu terdekat dia tidak akan menolak.

Shahir nak buat album adik beradik

Sementara Wan Muhd. Shahhir Wan Abd. Wahab atau Shahir, 23, yang menduduki tempat kedua seolah-olah mengulangi sejarah kejayaan dalam keluarganya.

Jelas Shahir, pada tahun 1976, bapanya, Wan Abd. Wahab Wan Ahmad Tajuddin juga menduduki tempat kedua dalam pertandingan Bintang Radio.

Anak kelima daripada enam beradik itu bukan kali pertama menyertai Bintang RTM. Sebelum ini dia juga pernah sampai ke peringkat akhir tapi nasib tidak menyebelahinya.

“Kejayaan ini mungkin rezeki untuk saya yang merupakan peserta pertama menyanyi. Menjadi peserta pertama memang kelam kabut tapi saya bersyukur kerana usaha saya tidak sia-sia,” katanya yang memperolehi undian 23.20 peratus untuk kategori Bintang Paling Popular.

Dia yang berasal dari Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang itu memilih lagu Bunga Melor dendangan Tan Sri P.Ramlee dan My Baby You, nyanyian asal oleh Marc Anthony.

Kata Shahir, meskipun menduduki tempat kedua dengan wang kemenangan berjumlah RM7,000, dia tetap gembira kerana itu adalah kejayaan tertinggi yang diraihnya.

Sebelum ini, Shahir pernah mencuba nasib dalam pertandingan Asia Bagus di Jakarta pada 1999 dan Bintang Asli Remaja Negeri Selangor pada tahun 1998, 2000 dan 2001.

Dia yang mula menyanyi sejak usia 12 tahun menerusi lagu-lagu ghazal itu berhasrat untuk menghasilkan album bagi memenuhi impian bapanya.

“Sejak dulu abah minta saya buat album. Bahan sudah ada dan abang saya, Wan Shalim turut terlibat. Begitu juga dengan kakak saya. Mungkin ini adalah album adik beradik.

“Bila akan diterbitkan bergantung kepada kewangan dan masa. Tapi kalau ada pihak yang mempelawa saya untuk membuat rakaman, saya akan terima,” katanya yang akan melaburkan wang kemenangan untuk proses pembikinan album bersama adik beradik itu.

Dia yang dilahirkan dalam keluarga seni itu kini sibuk menguruskan perniagaan butik S & H Wedding Planner & Arts Studio di Seksyen 11, Shah Alam.

Han tetap bersyukur

Ramai yang beranggapan Rehana Mohd. Yunus atau Han, 20, yang berasal dari Labuan, Sabah bakal muncul sebagai juara Bintang RTM 2007.

Namun peserta yang mempunyai wajah mirip Jaclyn Victor itu hanya mampu menduduki tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM4,000.

Bagi Han yang mendendangkan lagu Terlalu Istimewa yang dipopularkan oleh Adibah Nor dan Gemilang oleh Jaclyn Victor tetap gembira biar apa kedudukannya.

“Ini sudah rezeki saya. Apa pun saya tetap bersyukur biarpun tidak bergelar juara. Meskipun orang nampak saya berkeyakinan sewaktu di pentas sebenarnya saya tergelincir (nyanyian) kerana kurang sihat,” katanya terus terang.

Han juga menolak dakwaan yang mengatakan dia meniru gaya Jaclyn dan sebab itu gagal menarik perhatian juri yang diketuai oleh Pemuzik Kanan RTM, Mohd. Asnawi Muta’al, komposer Audi Mok, Manan Ngah, penyanyi Juliza Adlizan dan penulis lirik Habsah Hassan.

Kata Han, dia memilih lagu Gemilang bukan kerana ingin menjadi Jaclyn. Baginya lagu itu ada kekuatan tersendiri dan sesuai untuk pertandingan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk ikut cara Jaclyn kerana saya ada vokal dan gaya tersendiri,” katanya penuh yakin.

Dia yang sering menyanyi dengan kombo RTM Sabah itu berharap pertandingan ini dapat dijadikan batu loncatan untuk mengembangkan bakat seninya.
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR