Sunday, September 30, 2007

Sosilawati dakwa Nash sendiri ‘menjaja cerita’ yang dia sudah jatuhkan talak

“Saya nekad memfailkan cerai kerana sebelum ini Nash sendiri ‘menjaja cerita’ yang dia sudah menjatuhkan talak ke atas saya.”Sosilawati Lawiya yang juga pengasas produk Nouvelles Visages (NV) mendakwa Nash atau nama sebenarnya, Nasharuddin Elias turut memberitahu yang dia sudah menjatuhi talak ke atasnya menerusi telefon dan mengulangi pengakuan sama kepada adiknya, Harris Lawiya.

Sehubungan itu, katanya, adalah tidak benar dakwaan Nash yang juga vokalis utama Lefthanded yang dia masih suaminya kerana tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap Sosilawati.“Saya tidak nafi ada meminta Nash ‘melepaskan’ saya berikutan dia gagal menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga kerana sejak awal perkahwinan hingga kini, dia tinggal bersama anaknya di Shah Alam, sedangkan saya bersama anak di Gombak.

“Bagaimanapun, kuasa talak di tangan suami. Kalau berpuluh kali saya melafazkan perkataan cerai sekalipun dan kalau dia (Nash) tidak mahu menceraikan saya, penceraian tidak akan berlaku.
“Namun kalau dia sendiri menjaja kepada teman baik bahawa dia ‘sudah tiada hati’ dan ‘sudah ada niat untuk bercerai’, saya tak mampu berbuat apa-apa.“Sebab itu saya memfailkan cerai untuk mendapatkan pengesahan mahkamah sama ada talak itu sah atau sebaliknya,” katanya.

Sosilawati, 43, memfailkan permohonan cerai melalui peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 18 September lalu dan kini menunggu tarikh sebutan kes.Beliau yang ditemui pada majlis meraikan anak yatim di Dewan Perdana Felda kelmarin, berkata dia tidak didorong oleh sesiapa dalam membuat keputusan untuk bercerai atau wujudnya pihak ketiga dalam hubungannya dengan Nash.Mengenai klimaks hubungan mereka sehingga dia meminta cerai, Sosilawati berkata, berikutan sudah lama Nash tidak pulang ke rumah, sebagai isteri dia merayu supaya Nash pulang sehari menjelang Ramadan.“Kalau boleh, saya ingin melupakan sengketa antara kami sebelum ini.

Tidak dinafikan rumah tangga mana tidak diuji dan kalau bergaduh sikit-sikit, adatlah. Lagipun kami baru saja mendirikan rumah tangga dan masih dalam proses saling mengenali.“Saya menaruh harapan bulan puasa ini dia (Nash) mungkin berubah atau boleh berlembut dan ini mendorong saya untuk berbincang dengannya. Saya meminta maaf kepadanya dengan harapan dia melupakan kemelut yang berlaku.“Namun, sangkaan saya meleset apabila Nash memberitahu dia sudah ‘menjatuhkan talak’ kepada saya, tidak ada hati dan tidak mungkin kembali kepada saya lagi. Dia turut memaklumkan kepada adik saya (Harris) perkara sama,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Sosilawati berkata, dia sudah menyiapkan empat pasang baju untuk setiap anaknya dan anak Nash kerana berharap ada sinar kebahagiaan apabila mendirikan rumah tangga selepas 10 tahun bergelar janda.“Saya berharap dapat berhari raya dengan suami setelah mendirikan rumah tangga November tahun lalu. Namun harapan kini musnah,” katanya.Nash menerusi perkahwinan terdahulu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Fareena Nasha, 18; Najeeha Nasha, 16; Mohd Shameer Nasha, 11; dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 9. Sosilawati pula dikurniakan enam anak, iaitu Erni Dekritawati Yuliana, 21; Erwan Suwari Ridzuan, 20; Md Erwan Nasri, 19; Erni Erinawati Sofia, 17; Erni Reenilawati, 16; dan Siti Nur Fatimah, 9 tahun.

Sumber : Metro

Ning, Omar naik pelamin Jun

SELEPAS bergelar tunang kepada Omar Sharif Christopher Layton Dalton, pada 19 Julai, penyanyi Ning Baizura terbang ke England, sekitar Ogos kerana mengikuti bakal suaminya itu untuk bertemu keluarga si jejaka. Tidak disangka, ada kejutan lain yang menantinya setiba di sana. Pada 15 Ogos, dia dibawa Omar memandu selama 20 minit mendaki sebuah kawasan berbukit dengan latar pemandangan indah kota Birmingham.

Tanpa diduga, Omar sekali lagi bertanya kepada penyanyi wanita bersuara soprano ini, apakah dia sudi untuk bergelar isterinya? Ning, tanpa ragu, mengatakan dia sememangnya sudi untuk menjadi permaisuri hati jejaka berusia 33 tahun berkenaan. Setelah mengenali hati budi masing-masing selama 10 bulan lamanya, dia sedar, percintaan itu pasti lebih bererti dengan ikatan pertunangan pula.

Lalu, apabila kedua-dua ditemui pada acara bersahur anjuran Artists United Records (AUR) baru-baru ini, soalan seterusnya yang diajukan kepada mereka ialah, bila lagi ikatan pertunangan itu akan berakhir di jinjang pelamin. "Jika tidak ada halangan, kami berharap majlis pernikahan dapat diadakan sekitar Jun tahun depan. Jadi, mulai sekarang hingga tibanya tarikh itu, terpaksalah kami memikirkan bagaimana majlis itu diadakan kerana ia turut membabitkan keluarga Omar yang berada di England. Jika boleh, keluarganya juga mahu menyaksikan detik bersejarah ini," ujar Ning. Kata Omar pula, berikutan tidak semua anggota keluarga dapat terbang ke mari kerana faktor usia, justeru mereka mungkin mengadakan majlis serupa di sana bagi membolehkan semua sanak saudara meraikan sama pernikahannya.

"Saya sudah membuat sedikit kajian mengenai perkara ini. Ada enam masjid di kawasan tempat tinggal Omar. Jadi, mungkin kami akan mengadakan majlis itu di sebuah daripada masjid terbabit," kata Ning yang kelihatan cukup bahagia di samping tunang tercinta. Tidak diduganya, perkenalan di Bali hampir setahun lalu membawa mereka ke alam pertunangan dan sedikit waktu lagi, alam rumah tangga pula. Malah Omar sendiri tidak pernah menyangka dia akan menjadi suami kepada seorang artis terkenal. "Ia umpama sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. Iyalah, ramai daripada kalangan kita yang sentiasa mengimpikan untuk menjadi suami atau isteri kepada bintang terkemuka. Jadi, saya adalah antara mereka yang bertuah. Begitupun, bagi saya semua ini masih bagai mimpi," kata jejaka peramah ini.

Ditanya mengenai adat Melayu yang ‘terpaksa’ dilaluinya sebelum berjaya bergelar tunang Ning, Omar yang bekerja di sebuah syarikat berkaitan dengan petroleum ini memberitahu, dia sedikit pun tidak kisah dengan segala perincian yang harus ditempuh. Bahkan, dia sendiri yang meminta semua itu diadakan serta turut memohon keizinan untuk hadir sama pada majlis pertunangan. "Acara ini sesuatu yang tidak pernah saya alami sebelum ini. Justeru, saya teringin sekali hadir pada majlis terbabit. Saya ingin menyaksikan sendiri kekayaan budaya bakal isteri saya," kata Omar yang pernah menghadiri majlis persandingan Melayu di Negeri Sembilan, tidak lama dulu. Mengenai pengalaman pertamanya berpuasa sepanjang Ramadan, pemuda yang menjadi majikan kepada 14 kakitangan tempatan ini berkata, pada awal bulan puasa yang lalu, agak sukar untuknya menjalani ibadat berkenaan.

Begitupun, dia menyahut cabaran berpuasa dengan sebaiknya. "Perkara paling sukar dilakukan adalah untuk bangun sahur. Kadang-kadang, saya tertidur sebelum ke pejabat kerana terlalu mengantuk setelah bersahur," katanya yang mengaku agak payah untuk menahan dahaga tatkala berpuasa. Ning pula amat berbangga dengan Omar yang jarang sekali mengadu walaupun pertama kali berpuasa setelah bergelar seorang Muslim, 8 Julai lalu. Kata Ning, Omar banyak bertanya dan dia pula sedaya mungkin cuba memberikan penerangan terbaik kepada bakal suaminya itu yang mula belajar mengenai Islam sejak Disember tahun lalu. Ramadan ini juga, Ning dan Omar tidak pernah berbuka secara berasingan. Jika ada undangan berbuka di mana-mana sekalipun, Ning seboleh-bolehnya mahu Omar berbuka bersamanya. Beberapa hari lalu, dia turut berbuka bersama kakitangan Omar.

Sumber : Berita Harian

Rabbani terkejut dilamar Dewa

BERKONGSI pentas dalam sebuah konsert dengan kumpulan terkenal dari Indonesia dianggap sebagai satu pengiktirafan yang tertinggi buat kerjaya seni kumpulan nasyid Rabbani. Sedekad mereka menelusuri ranjau panjang dalam dunia seni, tidak pernah sekali mereka terfikir akan diundang untuk sama-sama menghiburkan peminat dengan sebuah kumpulan popular dan hebat seperti Dewa.

Vokalis Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu. Rabbani tidak mempunyai masalah seandainya benar mereka diundang beraksi di samping Dewa. Undangan itu dianggap sebagai satu penghargaan besar kepada kerjaya seni mereka selama ini. “Siapalah kami hendak dibandingkan dengan mereka. Setakat ini kami masih belum lagi berbincang lanjut mengenai kolaborasi itu. Insya-Allah, Rabbani tidak ada sebarang masalah cuma apa yang dibimbangi saya tidak mampu membawakan lagu mereka. “Saya tidak pandai menyanyi lagu Dewa, tetapi nasib baik juga lagu Dewa ada yang berunsurkan dakwah. Saya rasa tidak ada sebarang masalah untuk menyanyikan lagu mereka tetapi kami perlu melihat lagunya dulu,” katanya.

Undangan untuk bersama Dewa itu menjadikan Rabbani kumpulan nasyid pertama negara yang mendapat pengiktirafan sedemikian. Mungkin ia memberi peluang kepada lagu nasyid ke pasaran yang lebih luas. Selain kolaborasi mereka bersama kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Rabbani membawakan satu lagi kelainan kepada kerjaya seni mereka apabila bakal berduet dengan penyanyi rock terkenal, Amy Search. Idea itu timbul daripada Rabbani sendiri yang cukup terharu dengan perubahan penyanyi itu dan isterinya selepas pulang menunaikan umrah. Melihat ketulusan pasangan suami isteri itu, Rabbani berasa terpanggil untuk mengundang Amy untuk berduet bersama mereka.

Mereka bakal merakamkan semula lagu milik Amy Search, Mentari Di Ufuk Timur yang akan diberikan nafas baru sesuai dengan konsep Rabbani. “Idea ini datang apabila kami melihat perubahan Amy Search. Kami sudah pun berbincang dengan Amy dan lagu itu kami pilih kerana ada sesuatu yang berlaku antara Amy dan lagu itu ketika dia menunaikan umrah tidak lama dulu,” kata Asri mewakili teman Rabbani. Setelah lima tahun bernaung di bawah KRU Music Group, Rabbani memilih untuk membawa haluan sendiri. Namun akui mereka, tiada perselisihan faham di antara Rabbani dan KRU. Tetapi, dalam usia mereka sudah tiba masanya Rabbani menguruskan karier mereka sendiri. Mereka akui kerana KRU lagu mereka diminati, justeru Rabbani akan tetap mendapatkan khidmat trio adik-beradik itu untuk album mereka.

Baru-baru ini, Rabbani meluncurkan album ke-15 berjudul Maulana Rabbani yang diterbitkan sendiri syarikat milik mereka Rabbani Productions (M) Sdn Bhd. Rezeki Rabbani juga terus murah apabila saban tahun pelbagai syarikat korporat memberi sokongan kepada kerjaya mereka antaranya Pembinaan Zaitun Industri Sdn Bhd (Zaitun), Kart’s Food Industries Sdn Bhd (Kart’s), Galeri Ilmu Sdn Bhd, PRM Global Vision Sdn Bhd dan I Medikel Pharmaceutical Sdn Bhd (Kel’s). Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai lagu nasyid yang kurang mendapat tempat di radio dan hanya pada musim tertentu saja, Rabbani yang dianggotai Mohamad Asri Ibrahim, Mohd Asri Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Mohd Loqman Abdul Aziz, Ahmad Shafie, Zulkiflee Azman, Rithaudeen Yaakob, Nazrul Azhar Tamrin dan Afendi Sahabuddin menerimanya sebagai satu suratan.

“Sesetengah radio ada konsep tersendiri, lagu nasyid biasanya diletakkan pada waktu yang sesuai contohnya selepas azan. Bagaimanapun kami tidak berharap, di negara kita mempunyai banyak stesen radio malah ada radio khas yang memainkan lagu nasyid. “Kami kena terima surat ini tetapi sebagai penggiat seni kami kena teruskan juga dan berharap media cetak dan elektronik akan terus memberikan sokongan mereka kepada kumpulan nasyid seperti kami,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Nur Zaitun dan Hotel Singgahsana baru-baru ini.

Sumber : Berita Harian

Farid kena faham tugas wartawan

BEBERAPA minggu sebelum ini Zubir dah buat pendedahan mengenai aktor kacak, Farid Kamil yang akhirnya mengaku kepada Zubir, dia sebenarnya ada menonton filem Transformers, berdua saja dengan artis jelita, Fasha Sandha di Tanjung Golden Village (TGV), KLCC sedikit masa lalu.Dalam pendedahan itu juga, Farid turut mengaku, antara dirinya dan pelakon cantik, Irma Hasmie sudah tidak ada apa-apa hubungan istimewa lagi atau lebih tepat, tiada lagi cinta antara mereka.

Bagi Zubir, kisah Farid tengok wayang dengan Fasha, kisah dia putus cinta dengan Irma, sudah tutup buku, rupa-rupanya masih ada sambungan, macam filem sekuel pula!.Minggu lalu, Zubir ada terbaca kenyataan Farid mengenai hal sama menerusi temu bual bersama akhbar tabloid mingguan (bukan terbitan kumpulan NSTP). Berikut adalah sebahagian petikan wawancara Farid bersama tabloid berkenaan.

"Lepas tonton Transformers, kami jadi serba salah. Macam ada buat silap besar je. Saya rasa tak patut cerita tu keluar. Salah ke nak tengok wayang? Ini tidak adil. Saya dan Fasha dah lama kenal. Kami tonton wayang dan dalam masa dua jam, saya tak sangka cerita itu jadi isu," kata Farid seolah-olah menuntut keadilan.Sebenarnya Zubir malas nak panjangkan cerita ini, bukannya Farid tak boleh hubungi Zubir secara terus dan bertanyakan hal itu jika dia masih berasa apa Zubir tulis itu tidak menyenangkan hatinya.

Lagipun antara Zubir dan Farid sebelum ini, hubungan kami memang rapat dan Farid pula sering menjayakan aktiviti hiburan dianjurkan Berita Harian (BH). Tapi, Zubir tertarik untuk menerangkan sesuatu kepada Farid di ruangan ini apabila membaca kenyataannya"... saya rasa tak patut cerita tu keluar. Ini tidak adil. Saya tak sangka cerita itu jadi isu."Beginilah Farid, sebenarnya wartawan hiburan seperti Zubir berhak tulis cerita yang keluar daripada mulut Farid sendiri dan pada masa sama, Fasha juga turut berada di sisi Farid ketika wawancara itu.

Zubir sekadar laporkan apa yang berlaku, Farid tonton Transformers bersama Fasha, itu kenyataan. Apa yang tak patut keluar? Farid dan Fasha adalah dua nama besar dalam industri lakonan, jadi setiap apa yang mereka lakukan, pasti menjadi perhatian, termasuklah jika mereka tengok wayang bersama. Memanglah menonton wayang tidak salah, Zubir pun tak kata salah. Apabila cerita itu sudah keluar di akhbar, memanglah jadi isu, media lain akan follow up, itu perkara biasa.

Zubir juga ingin bertanya, apa sebenarnya yang Farid kata tidak adil? Sedangkan Fasha juga turut ditemubual dan kenyataan yang dikeluarkan, sama sekali tidak menyebelahi sesiapa. Zubir harap, tolonglah hormati dan fahami tugas wartawan. Zubir minta maaf jika penjelasan Zubir ini buat Farid kecil hati. Nanti kita `calling-calling' ya Farid, selamat berpuasa!

Sumber : Bintang Popular

Bukan salah kami – Deejay Suria FM

Kumpulan Spider lari meninggalkan konti stesen radio Suria FM menjadi isu dan perdebatan. Puncanya deejay yang mengendalikan program Suria Drive In Blog Petang iaitu Tuah dan Zaff dikatakan tidak membuat persediaan sebelum menemu bual kumpulan itu.

Spider mendakwa kedua-dua deejay tersebut juga tidak mengenali mereka termasuklah Tam sebagai penyanyi utama. Peristiwa itu membuatkan kumpulan itu naik bengang. Tam dan Tony keluar dari studio sebagai tanda protes.
Sebaliknya yang tinggal hanya Napi mewakili kumpulan tersebut. Malam Rabu lalu, Tuah dan Zaff datang bertemu saya di pejabat Mingguan Malaysia.

Kata mereka, apa yang diceritakan oleh Tam itu tidak semuanya benar.

“Mustahil kami tidak membuat persediaan tetapi kami akui ada juga kesilapan pihak kami tetapi ia bukan perkara besar. Tetapi perlu diingat, Spider juga tidak membuat persediaan ketika melangkahkan kaki ke studio Suria FM yang mereka sangkakan Sinar FM,” kata Tuah. Ikuti penjelasan Tuah dan Zaff

Berapa lama anda menjadi deejay?

Tuah: Saya sudah masuk tiga tahun. Sebelum menyertai Suria FM, saya bekerja dengan Muzik FM di RTM.
Zaff: Saya sudah masuk dua tahun dengan Suria FM.

Saya boleh katakan usia itu masih muda. Masih belum matang secukupnya. Anda setuju?

Tuah: Memang kami masih baru lagipun Suria FM sendiri masih lagi stesen radio baru. Tetapi dalam tempoh itu kami telah membuat persediaan yang cukup sebagai seorang deejay walaupun tidak sehebat deejay stesen radio lain.

Spider mendakwa anda berdua tak profesional. Tak buat persediaan sebelum menemubual mereka. Apa sebenarnya berlaku?

Tuah: Kejadian ini berlaku sebelum bulan Ramadan lalu. Penerbit kami Julia telah mengundang Spider untuk menyertai sebuah rancangan yang berkisar tentang sesuatu topik untuk dibincangkan. Mereka setuju menjadi tetamu dan datang ke studio kami.
Zaff: Rancangan ke udara pada pukul 5 petang tetapi yang datang awal ialah Napi. Tam dan Tony datang apabila rancangan sudah mula ke udara. Kami akui tak sempat jumpa mereka di luar konti kerana sibuk mengendalikan rancangan. Tetapi kami berterima kasih kerana mereka sanggup memenuhi undangan kami.

Betulkah anda tak kenal Spider?

Tuah: Mustahil. Siapa tak kenal dengan Tam. Setiap hari boleh dikatakan kami mainkan lagu mereka. Spider menang Juara Lagu. Kami kenal Spider tetapi cuma berlaku kekeliruan pada Tony dan Napi saja.
Zaff: Masa di dalam konti, Tuah hanya bertanya yang mana satu Tony dan yang mana mana satu Napi sebab keliru. Itu saja. Lagipun apa salahnya kalau mereka perkenalkan diri semasa masuk ke studio. Justeru lebih baik kami tanya daripada kami membuat andaian sendiri. Lagipun ketika itu ‘off air’.

Katanya anda tak tahu tentang album mereka. Siapa yang tanya Spider sudah ada berapa album?

Tuah: Saya mengaku kesalahan itu. Sebelum mereka datang kami sudah layari internet tapi tak semua maklumat itu ada. Lagi pun mana kita boleh ingat nama-nama dan jumlah album mereka. Pada saya ia bukan satu kesalahan kerana pertanyaan kami untuk mengesahkan fakta agar tidak berlaku kesilapan.
Zaff: Kami bertanya ketika `off air’ kerana hendak umumkan di dalam radio untuk pengetahuan pendengar tetapi malangnya mereka mula tarik muka. Kami jadi terkejut dengan perbuatan mereka itu. Cuma Napi saja yang menunjukkan budi pekerti tinggi dan seolah-olah malu dengan sikap dua kawannya itu. Malah Napi pun sempat berkata dia dah lama memendam perasan dengan sikap Tam dan Tony.

Gara-gara perkara itu saja mereka keluar dari konti?

Tuah: Tony dan Tam terus keluar. Kami ingat mereka ke bilik air. Kami teruskan perbualan dengan Napi yang masih di konti. Malangnya lama menunggu barulah kami tahu mereka sudah tinggalkan studio.
Zaff: Pada pandangan kita sebagai orang Melayu, maniskan berperangai macam itu? Kita datang ke rumah orang cara baik, dan biarlah pulang dengan cara yang sama. Pendengar mereka sedang menunggu. Mereka juga yang malu.

Ada apa-apa berlaku ketika di dalam konti sebelum mereka keluar?

Tuah: Kami suruh Tam membaca beberapa mesej kiriman peminat tetapi dia baca sambil lewa. Saya dah pandang Zaff dan Zaff pandang saya ketika itu. Kami dah tak tahu nak buat apa-apa kerana ketika itu rancangan ke udara secara langsung.

Spider kenal atau tidak anda berdua?

Tuah: Mereka tak kenal kami sebab kami bukannya deejay popular macam stesen lain. Kalau mereka mahu kami professional, mereka sepatutnya profesional juga. Ini tidak, ada di antara mereka juga boleh tanya “yang mana satu Tuah?” Pada hal ketika itu hanya saya seorang saja deejay lelaki di dalam studio tetapi saya tak kecil hati pun.
Zaff: Malah kami juga dapat tahu semasa melangkah kaki ke konti, mereka juga keliru dan tertanya-tanya ini Suria FM ke Sinar FM? Adakah mereka profesional dalam hal tersebut dan membuat persediaan sebelum datang ke tempat orang?

Apa kata pihak pengurusan selepas kejadian itu?

Tuah: Selepas membuat `post-mortem’ pihak pengurusan atasan menyebelahi kami. Dan mengambil keputusan untuk tidak menyiarkan lagu mereka kerana insiden itu. Ia bukan salah kami tetapi Spider sendiri cari masalah

Pihak syarikat rakaman mereka tak kata apa-apa?

Zaff: Universal Music ada hantar surat memohon maaf atas kejadian itu. Dia minta tidak dipanjangkan tetapi kami tak boleh buat apa-apa. Kami hanya deejay yang menjalankan tugas tetapi pihak atasan yang sudah membuat keputusan untuk tidak menyiarkan lagu mereka.

Sebelum Spider anda pernah interviu artis lain?

Tuah: Bukan saja mereka sebaliknya kami pernah menemubual Datuk Siti Nurhaliza, Kris Dayanti, Anita Sarawak dan beberapa artis popular lain. Kalau kami tak profesional, sudah tentu artis-artis itu sudah memberi komen negatif tentang kami tetapi tidak. Mereka menjayakan program kami dengan baik.

Kata Spider mereka tak kisah Suria FM nak gam mereka. Anda tak rasa tercabar?

Tuah: Sedikit pun tidak tercabar kerana kami ada maruah juga. Sebelum ini kami memutarkan lagu mereka tetapi mereka tak pernah pun berterima kasih. Kalau kami tak siarkan pun mereka tentunya tak rasa apa-apa.
Mungkin juga Suria FM stesen radio kecil. Mereka tak gerun. Setuju?
Zaff: Kami akui Suria FM baru setahun jagung. Tak apalah kerana kami juga boleh popular sedikit masa lagi tetapi kami percaya, kalau perkara yang sama terjadi pada stesen radio yang tengah popular pada masa ini, saya pasti mereka tak berani nak lari dari konti.

Apa pengajaran yang anda dapat daripada peristiwa ini?

Tuah: Kita jangan ingat semua orang boleh kenal kita walaupun kita popular. Macam saya jadi deejay, jumpa wartawan sepuluh kali pun saya kenalkan diri saya Tuah dan bersalam dengan mereka. Tak percaya tanyalah mana-mana wartawan hiburan.
Zaff: Artis, deejay dan wartawan sentiasa memerlukan. Kalau ada perkara kecil kita hendaklah bertolak ansur kerana setiap manusia tak lepas buat kesilapan. Cuma kita kena ingat, kita ini orang Melayu yang tinggal di Malaysia. Orang Melayu ada budi bahasa.

Sumber : Utusan

Thursday, September 27, 2007

Era hanya siarkan tiga lagu Indonesia sejam

STESEN radio Era tetap memastikan penyusunan siaran lagu dari Indonesia tidak dibuat secara berturut-turut dan menetapkan tidak lebih daripada tiga lagu disiarkan dalam sesuatu segmen yang ke udara untuk tempoh masa sejam. Stesen radio berbahasa Melayu nombor satu negara itu juga menggunakan syarat dan penilaian yang lebih ketat serta tegas terhadap lagu nyanyian penyanyi dari seberang berbanding pendekatan lebih bertolak ansur untuk lagu ciptaan dan nyanyian penyanyi tempatan.

Ini kerana tidak semua album kumpulan atau penyanyi dari Indonesia boleh dianggap bagus, dan hanya lagu nyanyian penyanyi dari sana yang dirasakan mempunyai 'bunyi' dan persembahan luar biasa atau memang sangat istimewa barulah ia disiarkan oleh stesen radio Era. Pengurus Rancangan Radio Era, Rostam Said berkata, stesen radio itu pernah menolak penyiaran lagu penyanyi atau kumpulan muzik dari Indonesia kerana kualiti lagu mereka yang biasa saja dan tidak mempunyai sebarang keistimewaan atau kelebihan untuk disiarkan. "Bukan semua lagu daripada penyanyi Indonesia disiarkan di radio Era. Ada juga lagu mereka tidak mendapat tempat di hati pendengar kita. Syarat dan peraturan yang kita buat ke atas lagu dari Indonesia memang ketat.

"Kita tidak menyiarkan lagu daripada kumpulan Garasi dan Karma kerana tidak ada yang istimewa pada muzik mereka. Kumpulan Coklat kita siarkan juga, tetapi tidak lama kerana persembahan mereka tidaklah sehebat mana," katanya kepada Hip. Rostam berkata demikian sebagai menjelaskan kedudukan sebenar stesen radio Era berikutan dakwaan daripada pelbagai pihak yang mengatakan radio ini memberi kelebihan kepada penyanyi dari Indonesia berbanding tempatan. Berikutan itu, karyawan muzik yang terdiri daripada penyanyi, komposer, persatuan yang mewakili kepentingan penyanyi dan pemuzik mendesak stesen radio ini supaya mengurangkan penyiaran lagu dari luar, terutama Indonesia. "Di radio Era, kita memang tidak menetapkan kuota lagu secara rasmi, tetapi saya akan pastikan tidak ada lagu dari Indonesia disiarkan back-to-back iaitu dua hingga tiga lagu disiarkan secara berturut-turut. "Malah, dalam tempoh satu jam, hanya tiga lagu mereka disiarkan, tetapi kadang-kadang memang ada terlepas pandang sampai empat lagu.

Bagaimanapun, jumlah lagu yang radio Era siarkan memang dikawal," jelas Rostam lagi. Katanya lagi, setiap lagu baru, sama ada dari penyanyi tempatan atau luar negara akan dinilai oleh satu Jawatankuasa Penilai untuk mendengar dan meneliti sebelum membuat keputusan untuk menyiarkannya di radio Era. "Ia adalah peraturan biasa bagi mana-mana stesen radio. Bagi setiap lagu baru, kita akan dengar dulu sama ada sesuai disiarkan atau tidak. Boleh diterima pendengar atau sebaliknya. Ada barisan Jawatankuasa Penilai yang menilai lagu baru ini. “Apabila ahli Jawatankuasa Penilai ini membuat keputusan 50-50 atau kurang selepas mendengar lagu Indonesia, keputusan muktamad Era ialah kita tidak menyiarkan lagu itu. "Tapi kalau untuk lagu tempatan, kita masih memberikan pertimbangan, kita memberikan peluang untuk disiarkan di radio Era, walaupun Jawatankuasa Penilai Lagu membuat keputusan 50-50. Itulah keistimewaan yang kita berikan kepada lagu baru ciptaan dan nyanyian tempatan," katanya.

Kebiasaannya, lagu baru akan disiarkan menerusi segmen Ekspresi Di Era yang boleh dilayari dalam laman web radio Era. Segmen ini menjadi tempat kaji selidik atau ujian sesebuah lagu baru, iaitu sejauh mana ia dapat diterima dan digemari oleh pendengar. "Dari situ barulah lagu itu boleh disiarkan oleh radio Era seperti biasa. Ini bukan rekaan semata-mata kerana ia membabitkan integriti stesen radio," jelas Rostam. Katanya, sebagai stesen radio, sesebuah lagu yang sedap dan menarik didengar adalah penting demi untuk memastikan pendengar tidak bertukar kepada stesen radio lain. "Tidak ada istilah syok sendiri. Ada lagu yang saya tak suka, tetapi pendengar suka, lagu itu disiarkan juga. Ada lagu yang saya suka, tapi pendengar pula tak suka. Jadi kita kena seimbangkan dua perkara ini dan keutamaan tentu kepada pendengar. "Penyusunan dan pemilihan sesuatu lagu memang kita lakukan dengan sangat berhati-hati, tetapi pada masa kita juga tidak mahu pendengar bertukar ke stesen radio lain," katanya.

Mengulas lanjut isu penyiaran lagu dari luar, terutama penyanyi Indonesia, Rostam menjelaskan, ada banyak faktor mengapa perkara ini berlaku dan ia tidak sepatutnya dibebankan kepada stesen radio semata-mata. "Kita sekarang tidak ada penyanyi yang baik. Selain Datuk Siti Nurhaliza, siapa lagi penyanyi solo yang betul-betul bagus. Mungkin Jaclyn Victor, Misha Omar, atau kita ada Mawi, M Nasir, Anuar Zain tetapi takkan asyik itu saja. "Begitu juga dengan kumpulan. Setakat ini ada kumpulan Jinbara dan Spider. Kumpulan lain pula lagu cover version seperti kumpulan Kristal, mereka tidak ada lagu sendiri," katanya.

Penyiaran banyak drama dari Indonesia oleh stesen televisyen juga turut menyumbangkan kepada kecenderungan dan Stesen TV juga turut memainkan peranan penyiaran lagu luar kerana ketika ini banyak drama dari Indonesia disiarkan. "Stesen TV juga menyiarkan klip video penyanyi luar. Itu sebenarnya lebih kuat mempengaruhi orang ramai kerana menggabungkan persembahan visual dan audio. "Drama dari Indonesia juga mempunyai lagu tema yang selalunya daripada penyanyi terkenal mereka. Lagu tema ini kebiasaannya cepat popular kerana selalu disiarkan di TV," katanya.

Sumber : Berita Harian

Langkah bendul


JIKA ada yang terserempak kelibat penyanyi berambut kerinting ini sedang membeli-belah barangan perkahwinan sambil ditemani ibu tercinta, harap jangan lekas membuat andaian sendiri dengan mengatakan Ezlynn bakal mendirikan rumah tangga. Sebaliknya, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Jikalau Aku ini sekadar membantu ibunya untuk menyediakan kelengkapan majlis perkahwinan adik lelakinya dan majlis pertunangan adik perempuannya yang hanya akan berlangsung selepas Aidilfitri ini.

"Sekarang ini keluarga Lin bukan sibuk dengan persiapan raya tetapi sibuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan adik lelaki Lin yang akan berlangsung seminggu selepas Hari Raya. "Manakala adik perempuan Lin pula akan bertunang dua minggu selepas raya. Jadi Lin dengan emaklah yang sibuk ke sana ke mari menguruskan persiapan untuk kedua-dua majlis ini sampai terlupa hendak membuat persiapan raya," cerita Ezlynn yang begitu ceria menerima kehadiran anggota baru dalam keluarganya.
Kalau mengikut adat, sebagai kakak yang belum berkahwin, Ezlynn wajar menerima hadiah sebagai adat melangkah bendul.
"Itulah memang sudah berangan-angan pun kononnya nak minta serba satu tetapi emak kata cuma dapat cincin saja, jangan hendak minta lebih-lebih," ujarnya berseloroh. Diusik pertanyaan apakah selepas ini gilirannya pula akan menjejakkan kaki ke pelamin, Ezlynn berkata mana mungkin hasrat itu akan tercapai sedangkan dirinya masih lagi solo. "Macam mana hendak kahwin kalau boyfriend pun tak ada. Sebenarnya buat masa ini, Lin lebih fikirkan pasal macam mana hendak mengembangkan kerjaya Lin lagi pada masa akan datang. Tapi itu tidak bermakna Lin menolak jodoh, kalau ia datang awal, Lin terima. Tapi sekarang ini, Lin masih single," ujarnya ketika ditemui pada majlis rakaman Melodi Raya 2007 di Berjaya Times Square, baru-baru ini.
Terlanjur membicarakan soal jodoh, anak jati ibu kota ini turut ditanyakan mengenai hubungannya dengan VIP seperti yang sedang hangat diperkatakan sebelum ini. Reaksinya mengenai isu ini cukup mengejutkan. "Lin rasa seronok apabila ramai orang mengaitkan Lin mempunyai hubungan dengan VIP. Iyalah, sekurang-kurangnya tinggi juga standard Lin apabila dikatakan mempunyai hubungan dengan golongan sebegitu. "Sebenarnya, masa sebelum menjadi artis dulu iaitu ketika masih menjadi penyanyi di hotel, Lin memang sentiasa dikejar lelaki golongan ini. Tapi itu dulu. Sekarang tidak. Bagi Lin, bukan kedudukan yang Lin pandang. Asalkan dia mempunyai kerjaya tetap, penyayang dan mampu membahagiakan Lin, itu sudah cukup untuk menjadi teman hidup Lin," ujarnya mengharap pengertian.
Popularkan single sebagai satu strategi
BARANGKALI tidak ramai yang tahu bahawa lagu Jikalau Aku yang semakin hangat diputarkan di corong radio itu sebenarnya adalah single kedua penyanyi ini. Menurut Ezlynn, single pertamanya berjudul Menunggumu yang dimuatkan dalam album runut bunyi Cicak-Man. "Bagaimanapun, lagu itu tidak berapa diputarkan di radio berbanding Jikalau Aku. Apapun saya bersyukur kerana dengan lagu Jikalau Aku itulah saya banyak menerima undangan show sana-sini," jelasnya. Ditanya bilakah album terbarunya bakal muncul di pasaran, Ezlynn berkata buat masa ini syarikat rakamannya KRU Music lebih senang memasarkan single terlebih dulu sebagai strategi pemasaran. "Memang lama menunggu tetapi saya lihat strategi ini berhasil kerana dengan single, populariti seseorang artis itu boleh bertahan lama.
Macam saya sendiri, saya amat berterima kasih kepada KRU kerana menghasilkan lagu yang baik dan sering diputarkan di radio," ujarnya sambil memberitahu besar kemungkinan albumnya itu akan dipasarkan tahun depan. Dalam perkembangan lain, dia kini juga sedang menunggu lampu hijau dari KRU Indonesia untuk sebuah projek khas. "Menurut apa yang dimaklumkan kepada saya, mereka mahu saya menyanyikan kembali lagu popular saya yang dialih ke dalam bahasa Indonesia untuk pasaran di sana. Saya akan ambil peluang ini untuk mengembangkan bakat saya di sana, Insya-Allah," kata Ezlynn teruja.
INFO: Ezlynn
NAMA asalnya ialah Azline Ariffin. Norman daripada KRU Music Group melihat bakatnya yang terserlah ketika penyanyi ini mengadakan persembahan di Crossroad Lounge, Hotel Concorde, pada 2001.
SEBELUM bergelar artis rakaman, Ezlynn terlebih dulu mencuba nasib dalam bidang peragaan, lakonan dan pengacaraan. Lakonannya dapat dilihat dalam beberapa drama tempatan serta klip video kumpulan Lestari dan penyanyi Norhaida pada awal 90-an.

ALBUM pertama Ezlynn berjudul Ehmm... dipasarkan pada 18 Februari 2003 di bawah label Big Bang dan antara lagu yang terkandung di dalamnya ialah Hi Hi Bye Bye, Cinta Pura-Pura, Sengsara, Entah Bila?, Selagi, Mimpi, Jangan Gangguku Lagi, Mencari Erti, Bersamamu & Tak Ingin.
LAGU Hi Hi Bye Bye berada pada kedudukan teratas Carta Era selama lapan minggu, memberikannya peluang menggenggam trofi Anugerah Emas Carta Era pada Anugerah Era 2003.
EZLYNN memenangi kategori Artis Baru Terbaik Anugerah pada Industri Muzik 2004 dan lagu Hi Hi Bye Bye pula memenangi kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu 18.

ALBUM keduanya yang diberi judul Psst... dikeluarkan pada 28 September 2004. Antara lagu popular menerusinya ialah duet bersama Datuk M Daud Kilau, Pening.
DIA juga aktif sebagai pengacara, termasuk mengendalikan program Mentor (bersama JFK), Gaya Hidup Seimbang dan Pilihanku. Penyanyi ini turut muncul di layar perak menerusi filem Diva Popular, Zombi Kampung Pisang dan Bilut pada 2006.
Sumber :Berita Harian

Lisdawati sibuk urus persiapan sanding


JIKA umat Islam lain sibuk membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, pelakon Lisdawati Nazaruddin, 28, pula sibuk membuat persiapan majlis persandingannya.
Lisdawati yang telah dinikahi oleh Fauzi Nawawi, 34, pada 9 September lalu akan mengadakan majlis persandingan pada 26 Oktober ini di Dewan Komuniti Taman Ibu Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

“Lis nak majlis itu nanti berjalan lancar. Lagipun ia hari bersejarah bagi kami jadi mesti nak yang terbaik,” kata Lis yang senang menguruskan sendiri segala persediaan persandingannya.
Dia yang pertama kali menyambut Ramadan bersama suami berkata, Fauzi seorang yang tidak cerewet tentang makanan sewaktu berbuka atau bersahur.
“Kalau tidak ada penggambaran, memang Lis akan masak. Sebelum masak Lis tanya dulu, abang nak makan apa. Setakat ini Lis boleh ikut seleranya. Lagipun abang tidak cerewet, dia suka makan nasi dengan ikan kembung tidak kiralah masak apa pun,” cerita Lis.

“Kuih pula mesti agar-agar dan laksa adalah kegemarannya. Untungnya, abang suka berbuka puasa di rumah,” cerita Lis tentang perangai suami tercinta.
Lis yang hanya akan bercuti berlakon empat hari sebelum raya berkata, kemungkinan pada Hari Raya kedua atau ketiga, dia dan suami akan ke Perak untuk beraya dengan anak-anak Fauzi.
Lis kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Pasrah terbitan Skop Productions.
Katanya: “Lis tidak pernah berlakon di bawah arahan Datuk Yusuf Haslam. Kebetulan sewaktu ditawarkan berlakon Pasrah, Lis bebas dari sebarang jadual kerja dan sebab itulah Lis terima.
“Lagipun sepanjang berlakon Pasrah 26 episod itu, Lis diberi kelonggaran berlakon drama terbitan syarikat lain,” katanya.
Sumber : Utusan

Wednesday, September 26, 2007

Angkasawan negara di Astro

Pemilihan Dr Sheikh Muszaphar Shukor, 34, dan Dr Faiz Khaled, 26, sebagai angkasawan pertama Malaysia berjaya mencipta sejarah tersendiri buat negara yang baru menyambut kemerdekaan ke-50.

Lantas setiap langkah mereka ke angkasa lepas nanti akan dirakamkan buat tatapan rakyat negara ini. Justeru, untuk berkongsi kebanggaan itu, Astro dilantik sebagai pusat transmisi di Malaysia akan menyediakan saluran khas Angkasa1. Saluran itu diwujudkan selama dua minggu saja, dari 8 hingga 21 Oktober menerusi saluran 588 Astro. Selepas dua hari saluran itu beroperasi, pada 10 Oktober ini pelanggan TV satelit itu akan dapat menyaksikan pengembaraan angkasawan Malaysia yang pertama ke angkasa lepas apabila Astro menyiarkan peristiwa itu secara langsung di saluran berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Rohana Rozhan, Astro memikul tanggungjawab ini untuk menyokong agenda nasional dalam mempromosikan kepentingan sains dan teknologi angkasa melalui peranannya sebagai penyiar dan pembekal kandungan bagi saluran Angkasa1. "Sebagai pusat transmisi di Malaysia, Astro akan mengumpulkan siaran secara langsung daripada Baikonour, Moscow, Astana dan Houston untuk disiarkan semula kepada semua stesen penyiaran negara supaya rakyat dapat berkongsi peristiwa bersejarah ini. "Sebagai tambahan, Astro juga akan menyiarkan semula kandungan yang dipakej semula disertai kandungan tambahan kepada Astana di Kazakhstan dan Kuala Lumpur sewaktu tontonan siaran langsung pelancaran itu di kedua-dua lokasi," katanya.

Selain itu katanya, Astro terus menyediakan tambahan bernilai melalui saluran khusus itu. Lebih menarik, saluran baru itu akan disampaikan dalam Bahasa Malaysia. Julung kali angkasawan Islam berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas. "Untuk memberi lebih maklumat kepada penonton, saluran itu juga akan memaparkan program menarik merangkumi fakta mengenai pengembaraan ke angkasa lepas, pesawat angkasa, program angkasa negara dan program latihan angkasa, sejarah NASA serta maklumat mendalam pesawat angkasa.

"Disisipkan juga temu bual bersama pemimpin negara, angkasawan dan ahli keluarga mereka," katanya di mana pelanggan Astro akan menikmati program itu melalui pakej Famili tanpa sebarang langganan tambahan.
Isi kandungan lain dalam Angkasa1 merangkumi siaran langsung roket berlabuh, pendaratan angkasawan Malaysia, sesi perhubungan secara langsung dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), temu bual bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan temu bual dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. "Orang ramai juga boleh membuat panggilan ke studio untuk memberi pesanan galakan atau mengajukan soalan berkenaan penerokaan angkasa lepas," katanya. Majlis pelancaran saluran Angkasa1 itu dilancarkan Dr Jamaluddin, turut hadir, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah.

Sumber : Metro

100 program Aidilfitri

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan sekurang-kurangnya 100 rancangan khas yang akan disiarkan menerusi RTM1, RTM2 dan stesen radio RTM sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Menggunakan 'tagline' Meriah Aidilfitri saluran inforia RTM1 menyediakan lapan buah filem iaitu lima filem Melayu dan tiga filem dari Indonesia. Selain empat telemovie, empat drama termasuk dua drama panggung, 13 rancangan hiburan dan muzikal tujuh rancangan majalah dan dokumentari, sembilan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), lima rancangan kanak-kanak termasuk satu untuk remaja dan selebihnya rancangan bicarawara, sukan dan satu rancangan penerbitan khas.

Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, berkata semua program itu yang terbaik selaras garis panduan yang ditetapkan RTM. "Untuk memastikan RTM terus menjadi stesen televisyen dan radio terbaik di negara ini, kami sentiasa memantau kualiti produk dari masa ke semasa. Pelbagai rancangan menarik dan bersesuaian dengan peredaran zaman diberi penekanan begitu juga dengan musim perayaan."RTM menyediakan pelbagai rancangan yang terbaik, menarik dan bermutu sebagai sajian istimewa untuk tontonan umum sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi. "Sepertimana tahun sebelumnya RTM tidak hanya menekankan rancangan hiburan semata-mata, malah tetap menonjolkan rancangan yang mempunyai mesej tersirat dan tersurat dengan tidak mengabaikan nilai-nilai murni dan keagamaan, adat serta budaya masyarakat terutama dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri.

"Program raya di RTM akan bermula pada malam menjelang Aidilfitri melalui semua saluran radio dan TV akan menyiarkan perutusan khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jam 8.30 malam," katanya dalam majlis Berbuka Puasa dan Sidang Media Rancangan Rancangan Aidilfitri di RTM 2007.Menyentuh isi kandungan program, RTM menyemarakkan suasana hari raya dengan penayangan Gema Takbir Hari Raya di sepanjang malam menerusi radio dan TV.Apa yang menarik program ini akan disertai anggota pasukan beruniform, orang kenamaan, pelajar institusi pengajian tinggi termasuk orang awam. Siarannya bermula 9 malam pada malam raya dan berterusan hingga ke awal pagi.

Kemudian siaran langsung Solat Sunat Aidilfitri dari Masjid Negara Kuala Lumpur akan menyusul selama 90 minit dari 8 hingga 9.30 pagi.

Sementara pelbagai filem akan memenuhi ruang istirahat penonton, antaranya Cicak Man (Ahad, 14 Oktober) jam 8.30 malam, Tentang Bulan (Isnin, 15 Oktober) 2 petang, Baik Punya Cilok (Selasa, 16 Oktober) 8.45 malam, Tipah Tertipu (Rabu, 17 Oktober) 2 petang, Pesona Non Grata (Sabtu, 28 Oktober) 3.05 petang.Tiga filem Indonesia turut disenaraikan dalam slot Aura 1, Apa Ertinya Cinta (Ahad, 14 Oktober) 3.05 petang, Dealova (Sabtu, 21 Oktober) 3.05 petang dan My Heart (Jumaat, 19 Oktober) 8.30 malam."Boleh dikatakan filem yang ditayangkan baik di RTM1 dan RTM2 filem box office.

"Ini bermakna penonton yang belum berkesempatan menyaksikannya berpeluang menyaksikan kehebatan filem berkenaan menerusi saluran kami," katanya. Selain itu lima lagi rancangan Ziarah Lebaran (Isnin dan Selasa, 15 dan 16 Oktober, 4.05 petang), Forum Perdana Khas (Khamis 18 Oktober, 10 malam), Selebriti Sukan (Jumaat, 19 Oktober, 4.05 petang) sementara Fitrah Kasih (Sabtu, 20 Oktober 8.30 malam) serta KMJ Khas (Khamis, 18 Oktober 8.45 malam).RTM1 juga menyiarkan empat telemovie antaranya penerbitan bersama Radio Televisyen Brunei (RTB) yang berjudul Menggapai Awan Di Langit (Isnin,15 Oktober, 11.30 malam). Manakala slot Panggung RTM memilih Mencari Sinar Lailatul Qadar untuk disiarkan Selasa (16 Oktober) jam 2 petang.Dua lagi telemovie khas yang bakal menghiasi slot Panggung Seri, Ibu Mak Mama Mummy (Khamis 18 Oktober, 2 petang) dan Ada Jalan Kembali (Jumaat, 19 Oktober, 2 petang). Menambahkan keceriaan lebaran, RTM1 menyiarkan drama komedi Tak Pulang Nak Pulang (Sabtu, 13 Oktober 2 petang), Cik Timah Lenggang (Sabtu, 20 Oktober, jam 2 petang), Sesal (Ahad, 14 Oktober) dan Rintihan Keampunan (Sabtu, 20 Oktober).

Sumber : Metro

Eizlan gembira isteri bertudung

BANYAK perubahan yang berlaku dalam hidup pelakon kacak Eizlan Yusof sejak dua bulan melayari kehidupan berumah tangga. Selepas 36 tahun membujang, Eizlan bersyukur dipertemukan jodoh dengan wanita yang baik dan menyenangkan hatinya, Vie Shantie Haroon Khan, 22, 7 Julai lalu

Tambah membanggakan Eizlan apabila isterinya meminta izin untuk memakai tudung pada hari ulang tahunnya yang ke-22 pada 26 Julai lalu.Katanya, sebagai suami sudah tentu dia merestui niat murni isterinya kerana ia sesuatu yang dituntut agama."Alhamdulillah, kurang dosa saya kerana Vie tahu tanggungjawabnya. Dalam hal ini, saya memang tidak suka memaksa atau menyuruhnya buat sesuatu. Biar dia buat keputusan sendiri. Apabila dia mahu bertudung, sudah tentu saya izinkan.

"Kalau Vie berminat menceburi bidang lakonan, saya juga tidak akan membantah ataupun menyuruhnya. Segalanya terpulang kepada Vie," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.Mengenai alam rumah tangga yang dibina pada 7 Julai lalu, Eizlan mengakui masih rasa pelik dan belum dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana baru itu sepenuhnya. Malah, adakala Eizlan seperti tidak percaya dirinya kini sudah berteman dan ada seseorang yang menanti kepulangannya di rumah."Dulu saya duduk seorang tapi kini berdua. Sudah tentu banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya. Tapi apa yang seronoknya, apabila balik rumah dalam keadaan letih dan stres, ada isteri yang boleh diajak berbual dan berkongsi cerita.

"Vie pula seorang yang nakal dan suka menyakat dan mengusik saya. Jadi kehidupan saya kini memang ceria dan bermakna. Saya juga terharu kerana Vie memilih untuk membataskan kerjanya supaya dapat memberi lebih banyak tumpuan kepada rumah tangga. "Bulan puasa tahun ini memang berbeza sangat kerana ada isteri. Sekarang saya ada teman berbuka puasa ataupun bersahur. Memandangkan kami berdua saja, saya lebih suka keluar makan dengan Vie sama ada berbuka atau bersahur. "Kalau saya ada penggambaran, saya berbuka di lokasi dan Vie berbuka di luar ditemani sepupunya. walaupun dia asal Sabah, tapi sebahagian keluarganya ada di sini.

"Ada juga Vie mahu temankan saya berbuka di lokasi dengan membawa makanan, tetapi saya tidak mahu menyusahkannya," katanya.
Eizlan kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Lily Marlin arahan Harun Salim Bachik di sekitar Lembah Klang manakala isterinya menjadi perunding syarikat pembinaan. Katanya, tawaran berlakon drama itu diterimanya selepas sembilan hari berkahwin dan ia turut dijayakan Julia Hana dan Zamarul Hisham.Mengenai sambutan Aidilfitri pula, Eizlan mengakui tidak ada masalah bergilir raya, tetapi isterinya ada meluahkan kepadanya hasrat mahu balik ke Sabah menyambut hari raya bersama keluarganya."Insya-Allah saya akan menyambut hari raya bersama keluarga Vie. Tapi saya tidak pasti apakah dapat balik sebelum raya atau pada hari raya pertama. Segalanya bergantung kepada komitmen kerja. "Maklumlah, Sabah bukan dekat, kalau Semenanjung boleh juga memandu kereta bila-bila masa tapi kalau Sabah kena tempah tiket kapal terbang. Kalau ikut jadual, drama ini dijangka selesai sehari dua sebelum raya.

"Apa yang pasti, Aidilfitri tahun ini berbeza kerana saya kini sudah berdua. Tahun ini nampaknya saya kena beli pakaian untuk isteri dan juga buah tangan untuk keluarga di Sabah," katanya.Selepas berkahwin, Eizlan juga berpindah ke syarikat produksi baru apabila dilantik sebagai Penerbit Eksekutif di Excellent Pictures Sdn Bhd. Projek terbaru mereka ialah menghasilkan drama bersiri Impak Maksima untuk TV3 yang dihasilkan berdasarkan konsep filem Impak Maksima.

Sumber : Metro

Nash ambil RM400,000

Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, 43, membuat laporan polis mendakwa suaminya, vokalis Lefthanded, Jamaludin Elias atau Nash, 47, mengeluarkan wang tunai miliknya berjumlah RM400,000 tanpa persetujuannya.Ahli perniagaan terbabit yang mempunyai beberapa syarikat, termasuk pengedar kereta mewah import mendakwa dia terpaksa membuat laporan polis berikutan Nash dikatakan enggan memulangkan wang berkenaan selepas perbincangan dilakukan.

Laporan polis itu sebahagian rentetan krisis rumah tangga pasangan itu yang melangsungkan perkahwinan mereka dengan penuh gemilang kira-kira 10 bulan lalu.Terbaru, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam membenarkan permohonan Sosilawati mendapatkan perintah interim secara ex-parte (sebelah pihak) untuk membekukan dan atau menghalang sebarang urusan pemindahan berkaitan hartanya yang bernilai hampir RM1 juta.
Sosilawati turut memfailkan permohonan cerai melalui peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur pada 18 September lalu.

Menurut sumber polis, Sosilawati membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi di sini, jam 11.45 pagi Isnin lalu, sejurus menyedari wang berkenaan sudah dikeluarkan.Katanya, wanita terbabit sebelum itu menerima panggilan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak, di sini, pada jam 10 pagi yang memaklumkan wang simpanannya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) berjumlah RM400,000 dikeluarkan artis terbabit.Sosilawati mendakwa dia membuat laporan polis selepas menemui bukti pengeluaran wang terbabit dilakukan Nash.

Di SHAH ALAM, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Saarani Ismail mengeluarkan perintah interim itu selepas meneliti semua alasan dalam afidavit permohonan yang difailkan Sosilawati pada 21 September lalu.Beliau juga menetapkan perintah berkenaan berkuat kuasa semalam.Sosilawati yang hadir jam 9 pagi ditemani anaknya, Erni Erinawati Sofia, 18, membuat permohonan itu melalui peguamnya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zin.Prosiding itu bagaimanapun dibuat secara tertutup di dalam kamar hakim dengan dihadiri peguam dan Sosilawati.Dalam afidavitnya, Sosilawati sebagai pemohon mendakwa dia mengeluarkan cek peribadi daripada akaun sendiri berjumlah RM400,000 untuk dilaburkan dalam dua skim amanah saham atas nama Nash antara Januari hingga Mac lalu.

Menurutnya, cek peribadi berkenaan dikeluarkan untuk tujuan pelaburan iaitu cagaran kepada bank untuk mendapatkan pinjaman bagi membuka syarikat usaha sama antara dia dan suaminya (responden).“Bagaimanapun, kedua-dua akaun itu tidak dicagarkan kepada bank seperti dirancangkan dan kedua-dua sijil masih dalam pegangan suami.“Sebaliknya, bagi memudahkan saya dan responden menubuhkan syarikat, pinjaman modal hanya dilakukan ke atas syarikat saya, Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd,” katanya.Sosilawati memohon perintah interim terhadap suami, wakil dan ejennya daripada melakukan apa-apa urusan, penunaian, pemindahan, pertukaran gadaian atau apa-apa transaksi ke atas hartanya.Ia termasuk sebarang penjualan, pemberian, pajakan, gadai atau atau melupuskan apa-apa kandungan atau bahagian daripada tiga harta iaitu sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernombor AQ 2198 dengan nombor akaun 09339050 bernilai RM200,000; sijil Amanah Saham Wawasan (ASW) bernombor DA2207 dengan nombor akaun 004583008 bernilai RM200,000 dan hartanah beralamat No 28, Jalan Turmalin Empat 7/12D, Seksyen 7, 40000, Shah Alam (bernilai RM480,000), ketiga-tiga atas nama Nash.

Pemohon juga meminta mahkamah memerintahkan CIMB Bank cawangan menara PNB, Kuala Lumpur, membekukan atau menghalang apa-apa urusan, termasuk penunaian atau sebarang transaksi ke atas apa-apa nilai atau jumlah bagi semua cek termasuk cek bank dan bank draf berkenaan, iaitu saham ASB dan ASW atas nama Nash sehingga perintah lain dikeluarkan mahkamah.Permodalan Nasional Berhad (PNB) juga diminta memastikan perintah berkaitan sijil ASB dan ASW itu dipatuhi manakala Pejabat Tanah Daerah diminta melindungi hartanah di Seksyen 7, Shah Alam.

Dia mendakwa permohonan itu dibuat kerana mendakwa rumah tangganya dengan Nash menghadapi syiqaq berterusan dan responden meninggalkannya sejak sebulan lalu. Menurutnya, dia amat bimbang harta itu dikeluarkan atau dipindah milik Nash tanpa pengetahuannya kerana semua harta itu didaftarkan atas nama suaminya.Kata Sosilawati, dia bimbang Nash akan melakukan transaksi dan menyebabkannya mengalami kerugian.Malah, katanya, dia sudah memfailkan permohonan cerai pada 18 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur dan masih dalam proses sebutan.

Sumber : Metro

Technorati Profile

Technorati Profile

Tunang Sarah seronok laksana ibadat puasa

RAMADAN 1428 yang memberi kenangan paling manis buat penyanyi kecil molek, Siti Sarah Raissuddin sejak menjalin ikatan pertunangan jejaka kelahiran New Zealand, Muhammad Harith Fuad Robinson. Pengalaman yang agak menguji apatah lagi Ramadan ini adalah kali pertama Fuad menjalani Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa sejak memeluk agama suci ini, akhir tahun lalu.

Ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya 2007 di Berjaya Times Square lapan hari selepas umat Islam berpuasa, Sarah yang hadir ditemani tunangannya meluahkan perasaan terharunya melihat kesungguhan Fuad menjalani ibadah wajib itu. "Dia langsung tidak mengeluh, sebaliknya banyak bersabar untuk menyempurnakan puasanya. Selepas lapan hari berpuasa, saya bersyukur kerana belum sehari pun dia meninggalkan tanggungjawab itu. "Ini pengalaman pertama Fuad berpuasa, seronok dia kerana selain dapat berdiet ibadah ini juga merehatkan perut selepas 11 bulan bekerja. Sempat dia memberitahu, dia memperoleh kelegaan sepanjang lebih seminggu berpuasa," kata artis periang itu.

Didorong keinginan Fuad yang mahu mendalami agama suci ini dengan ikhlas turut menggerakkan hati anak kepada artis popular era 80-an, Raissuddin Hamzah itu sama-sama mempelajari Islam. Seperti kata Fuad, dia berpuasa bukan kerana Sarah memaksanya melakukan ibadah itu. "Sebaliknya, saya melakukannya kerana ia menjadi ibadah wajib kepada umat Islam. Saya gembira kerana dapat menunaikan puasa tanpa sebarang masalah besar," katanya. Meskipun belum menetapkan bila mereka akan bersatu di jinjang pelamin, pasangan ini turut teruja menanti ketibaan fajar Syawal.

Bukan hanya kerana mahu meraikan Aidilfitri bersama, sebaliknya hari raya ini juga menjadi lebih bermakna apabila keluarga Fuad dari New Zealand akan mengunjungi Kuala Lumpur pada 15 Oktober ini. Apakah kunjungan itu bermakna tarikh perkahwinan mereka semakin dekat? Diusik pertanyaan itu, gadis keletah berusia 23 tahun ini berkata, buat masa ini dia masih belum bersedia untuk melangkah ke fasa baru dalam kehidupannya. Bagi Sarah, dia mahu menyempurnakan dulu cita-cita serta tanggungjawabnya dan apabila segala-galanya berakhir, baru dia bersedia untuk memikirkan soal rumah tangga.

"Saya meletakkan sekurang-kurangnya setahun lagi sebelum memberi kata persetujuan untuk berumahtangga. Namun, manusia hanya mampu merancang dan saya berserah jika takdir menetapkan jodoh kami tiba lebih awal," katanya.
Sesekali bersenda dan mengusik Sarah yang menurut Fuad, kuat berceloteh serta suka menyakat menyerlahkan kebahagiaan yang menghuni sudut hati mereka.

Sertai One In A Million

PERNAH melahirkan tiga album ketika menaungi syarikat rakaman NAR Records, Sarah berharap kehadiran Ramadan membawa keberkatan dalam hidupnya lantas menyerlahkan semula karier seninya. Lantaran itu juga, Sarah memberanikan diri untuk menyertai program realiti, One In A Million (OIAM). Musim pertama program itu menyaksikan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak Dayang Nurfaizah mencuba nasibnya untuk merebut hadiah lumayan yang ditawarkan RM1 juta. Malangnya, impian besar Dayang itu musnah selangkah sebelum ke pertandingan akhir. Kegagalan Dayang menempatkan diri pada final OIAM musim pertama tidak menakutkan Sarah untuk mencuba nasibnya pada musim kedua program itu.

Berjaya tersenarai dalam Top 80, Sarah mencabar dirinya untuk membuktikan bakat besarnya membawa penyanyi ini melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Mengakui menyertai pertandingan realiti mengundang kebaikan dan keburukan, Sarah berkata, dia akan cuba memberikan yang terbaik untuk memenangi undian peminat. "Saya tahu ia bukan usaha yang mudah namun saya sudah memikirkan semasak-masaknya apabila bersetuju menyertai pertandingan ini. Alhamdulillah, saya mendapat kekuatan daripada dorongan tunang juga keluarga tercinta. "Jika saya terlalu memikirkan sesuatu yang negatif, saya tidak akan melangkah ke mana-mana. Saya hanya mahu memandang ke depan.

Andai saya terlalu mengikut telunjuk orang, sampai bila pun saya tidak akan berjaya. "Justeru, saya hanya berserah dan berusaha untuk membuktikan saya juga mampu melakukan sesuatu untuk menaikkan lagi semangat dalam karier yang semakin mencabar," katanya. Seperti kata Dayang, persediaan mental dan fizikal adalah perlu kerana pertandingan itu sangat mencabar, Sarah berharap Tuhan memberikannya kekuatan untuk menempuh segala halangan yang bakal menanti.

PROFIL: Siti Sarah Raissuddin
Tarikh Lahir: 15 September 1984
Pencapaian: Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).
Sarah juga mendapat dua lagi pengiktirafan pada acara Anugerah Planet Muzik 2003 (APM2003) iaitu Artis Wanita Popular dan Artis Wanita Terbaik Album:
Sarah (2002)
Mimpi Pun Sama (2003)
Tiada Dikau Tiada Makna (2005)

Sumber : Berita Harian

'Saya tidak marah, cuma rasa terhina'

"SAYA rasa terhina, dihukum tanpa memberi peluang kepada saya untuk memberi penjelasan,” demikian pengakuan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini berkaitan dengan laporan yang mendakwa beliau 'digam' oleh semua stesen radio di bawah RTM selain tidak dibenarkan muncul dalam program terbitan stesen penyiaran itu. Walaupun memang tiada surat pekeliling dikeluarkan oleh RTM, tetapi berdasarkan maklumat yang diterima daripada kakitangan stesen penyiaran sendiri, memang ada arahan yang dikeluarkan secara lisan dibuat oleh pegawai atasan yang mengarahkan supaya jangan menyiarkan lagu nyanyiannya.

"Bukan saja tidak boleh siarkan, sebut nama saya juga tidak boleh," katanya lagi. Sehubungan itu, beliau meminta RTM mengeluarkan surat secara rasmi yang mengesahkan bahawa lagu nyanyiannya tidak disiarkan oleh semua rangkaian radio di bawah RTM. Menerusi surat yang sama juga, RTM juga perlu menyatakan bahawa namanya tidak boleh disebut atau ditulis dan beliau sendiri tidak boleh muncul dalam mana-mana program terbitan stesen penyiaran itu.

Katanya, hatinya berasa lega jika RTM dapat mengeluarkan surat rasmi itu berbanding sekarang yang beliau berasakan arahan daripada pegawai atasan di stesen penyiaran ini hanya dikeluarkan secara lisan saja. Beliau menambah, permintaan itu bukanlah bermakna mencabar atau provokasi kepada RTM kerana tindakan seperti itu akan dianggap sebagai perbuatan ‘kurang ajar’ terutama kepada Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin. "Saya tidak akan merintih atau membuat sebarang rayuan apabila surat rasmi ini yang menyatakan saya tidak boleh muncul di RTM dan lagu nyanyian saya tidak boleh disiarkan di stesen radio mereka," katanya dalam sidang media yang diadakan di sebuah restoran di Bangsar.

"Saya tidak marah, cuma rasa terhina. Bagi saya, mereka kenalah berani mengeluarkan arahan secara hitam putih, bukannya berbentuk lisan saja. Arahan secara lisan ini menyebabkan saya dalam kegelapan. "Kalau boleh perkara ini (penggantungan lagu) tidak datang dari pihak kedua atau ketiga, tetapi terus dari pegawai yang berkaitan," sambungnya lagi. Sidang media itu diadakan susulan daripada laporan kolum Kak Pora yang disiarkan dalam Bintang Popular iaitu sisipan Berita Minggu keluaran 23 September lalu yang mengatakan RTM 'gam' lagu Sharifah Aini.

RTM dikatakan bertindak demikian kerana kegagalan penyanyi itu muncul dalam Konsert Orkestra Simfoni Putrajaya 2007 di perkarangan kediaman Perdana Menteri di Putrajaya, kira-kira dua bulan lalu. Walaupun tidak ada arahan secara rasmi atau bertulis, difahamkan semua stesen radio RTM, termasuk Klasik Nasional tidak menyiarkan lagu nyanyian Sharifah Aini. Beliau yang mesra dengan panggilan Kak Pah di kalangan media, berkata, RTM memang ada menjemputnya untuk menjayakan konsert itu dan undangan itu diterima kerana waktu tidak terikat dengan komitmen mengadakan persembahan di majlis makan malam. "Saya saling berhubung menerusi e-mel dengan penolong penerbit konsert itu yang dikenali sebagai 'Peace'.

Memang saya sanggup menerimanya kerana memang saya tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk mengadakan persembahan. "Sepanjang bertukar-tukar e-mel dengan 'Peace', banyak perkara yang belum disahkan. Ada saja perubahan dibuat, malah ada 13 kali perubahan dari segi repertoire saja. Lagu apa yang hendak dinyanyikan, tempat untuk buat latihan juga tidak ditetapkan lagi," katanya sambil menjelaskan beliau bersedia mengemukakan semua salinan e-mel itu sebagai bukti jika diminta oleh pegawai atasan RTM.

Kebetulan seminggu sebelum konsert berlangsung, beliau terpaksa bergegas ke Singapura untuk menziarahi ibunya yang sakit jantung dan radang paru-paru. Katanya, perkara ini sudah dimaklumkan kepada penolong penerbit menerusi e-mel dan tujuh hari adalah satu tempoh yang sangat memadai untuk RTM mencari pengganti bagi mengisi tempatnya. "Tapi saya tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak RTM. Saya andaikan penolong penerbit atau mereka yang terbabit dalam konsert ini sudah dimaklumkan mengenai penarikan diri saya. "Emak saya berumur 72 tahun. Menjadi tanggungjawab saya sebagai anak untuk berada di sisinya ketika dia sedang mengalami sakit macam itu," jelasnya.

Ditanya, bagaimana sekiranya RTM memang 'gam' lagu nyanyiannya, Sharifah berkata beliau menerima secara terbuka dan meminta peminatnya mendengar di stesen radio lain. “Saya sudah menyanyi 40 tahun. Saya sudah menjadi sebahagian daripada sejarah industri muzik tanah air. Saya tidak minta apa-apa pembalasan. Pada tahun 2001, saya sanggup menjayakan program untuk RTM di Shah Alam, walaupun ketika itu doktor nasihatkan saya berehat. "Saya tidak mencari makan dengan RTM.

Selama saya terbabit dalam program terbitan RTM, saya tidak pernah tanya berapa banyak bayaran untuk saya. Dalam kes Konsert Simfoni Putrajaya, saya tidak menarik diri pada saat akhir. "Saya menarik diri sebab emak saya uzur. Emak yang sakit, kalau saya sakit, saya masih boleh kuatkan diri untuk menjayakan konsert itu," katanya.

Sumber : Berita Harian

Nostalgia Ramadan bintang AF


APABILA memilih haluan hidup sebagai artis, lima bintang baru ini sudah sedia maklum dengan perjalanan hidup mereka yang tidak akan sama lagi seperti dulu. Masa bersama keluarga cukup terhad, begitu juga peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan juga terbatas. Lebih-lebih lagi apabila tibanya Ramadan, kerinduan dan keinginan untuk bersama keluarga serta sahabat handai semakin menebal.

Apa lagi tahun ini adalah tahun pertama bintang Akademi Fantasia 5, Mila, Ebi, Aizat, Nonny dan Heliza bergelar selebriti. Sudah lebih seminggu umat Islam berpuasa, belum sekali pun mereka berpeluang untuk merasai waktu bersahur dan berbuka bersama keluarga. Bagi Mila, Ebi, Nonny dan Heliza, hanya telefon saja menjadi penghubung tatkala rindu pada keluarga menggamit perasaan. Mungkin Ebi masih mampu menahan perasaannya tetapi tidak bagi tiga gadis ini. Ketika bertemu mereka di majlis berbuka puasa anjuran Astro, ketiga-tiga mereka mengakui sedih dan ada ketikanya tidak mampu menahan linangan air mata apabila teringatkan keluarga terutama pada hari pertama puasa, teringat saat-saat berbuka, sama-sama menunaikan solat sunat tarawih serta keseronokan membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.

Tahun ini semua itu tidak dapat dirasai, dari bersahur hingga berbuka. Tidak ada tangan ibu yang menyediakan dan semuanya harus dilakukan sendiri. Untung mereka bergelar selebriti, setiap hari pasti ada saja undangan majlis berbuka puasa. "Hari pertama puasa, Mila telefon emak. Kami sama-sama menangis kerana inilah kali pertama Mila dan keluarga berjauhan. Teringin juga balik menyambut puasa dengan keluarga tetapi jadual kerja tidak mengizinkan Mila untuk buat semua itu. "Apabila bersahur sendirian terkenang meriahnya kami bersahur. Pagi-pagi emak sudah bangun memanaskan masakan untuk kami makan. Mila pun sama-sama bantu emak menghidang makanan untuk keluarga," katanya yang baru saja pulang dari Sydney, Australia meninjau lokasi untuk klip videonya. Mila sudah pun merancang untuk pulang ke kampung bersama-sama Aswad dan seorang lagi teman. Pada hari raya kedua pula, si genit yang berasal dari Pulau Mutiara ini akan mengadakan kenduri kesyukuran di atas kemenangannya.
Heliza, gadis bermata galak berasal dari Terengganu ini juga menjadikan telefon sebagai penghubung dengan keluarga. Setiap hari jam 3.30 pagi, Heliza akan menghubungi keluarganya di Tawau, Sabah. Kerinduan sedikit terubat walaupun sekadar mendengar suara. Namun, dia masih beruntung kerana tinggal bersama ibu saudara di Ampang. Walaupun tinggal bersama ibu saudara, kata Heliza jarang sekali dia dapat berbuka bersama mereka. Hanya pada hari kelima puasa dia dapat berbuka di rumah, sekurang-kurangnya terubat sedikit rindu pada keluarga. "Puasa tahun ini memang lebih meriah. Liza berpeluang bertemu dengan ramai orang, mereka yang Liza tidak sangka macam Kak Nita. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama berjauhan dengan keluarga, Liza sudah biasa berjauhan dengan keluarga sejak menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) lagi.
"Bezanya dulu Liza dapat cuti seminggu sebelum raya. Liza memang rapat dengan emak, jadi setiap kali pulang ke rumah Liza akan ikut emak pergi sembahyang tarawih. Tapi nampaknya tahun ini Liza langsung tidak berpeluang untuk menunaikan solat tarawih," katanya yang sukakan kuih tradisional Terengganu seperti kuih sekaya, puteri nanas, onde-onde dan banyak lagi. Nonny yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah pula terkenangkan murtabak jawa dan laksa. Juadah itu adalah makanan wajibnya setiap kali dia berkunjung ke bazar Ramadan Tanjung Aru. Tetapi tahun ini, dia tidak dapat menikmati makanan kegemarannya itu. Kenangan berbuka puasa dengan keluarga membuatkan air matanya mengalir. Dengan kecanggihan telefon bimbit, Nonny menggunakan telefon 3G untuk menatap wajah keluarganya. Setiap hari dia bersahur sendirian kerana tinggal menyewa seorang diri.
Nonny akan bersahur awal pagi dalam jam 1 hingga 2 pagi biasanya selepas pulang dari kerja. Ia lebih mudah kerana bimbang tidak mampu untuk bangun jika dia tidur terlebih dulu. Kalau Nonny dan Heliza terkenangkan makanan kegemaran dan berbuka bersama keluarga, Ebi pula terkenang membantu ibunya menggentel popia kecil yang menjadi sumber pendapatan keluarganya setiap kali raya. "Paling saya rindu setiap kali Ramadan menjelang, saya dengan emak akan buat bisnes kuih raya popia kecil. Saya akan tolong emak gentel popia. Kalau nak suruh saya gulung sekarang pun tidak ada masalah cuma intinya saya tidak pandai buat. "Selain itu saya juga rindukan kawan-kawan.
Mereka selalu telefon tanya khabar dan bertanya bila saya mahu pulang. Mungkin raya ini saya dapat cuti dalam seminggu. Kalau ikutkan cuti tidak mencukupi kerana banyak saudara yang ingin diziarahi tapi tidak mengapalah. "Saya sudah belikan emak dengan bapa baju. Saya belikan mereka baju warna ungu dan saya juga sudah telefon emak supaya tidak perlu beli baju kerana saya sudah belikan untuk mereka. Inilah kali pertama saya belikan persiapan raya untuk mereka," katanya yang akan melakukan sendiri solat tarawih jika tidak berkesempatan menunaikannya di masjid. Berbeza pula dengan Aizat, keluarganya berada di Kuala Lumpur justeru dia tidak merasa apa yang dirasai rakan-rakannya.
Aizat juga berpeluang berbuka puasa beberapa kali dengan keluarganya. Ditanya tidakkah dia teringin menjemput rakan-rakannya berbuka bersama keluarganya, jejaka ini berkata, setakat ini dia belum ada sebarang rancangan lagi. Cuma baru-baru ini dia mengadakan majlis berbuka puasa bersama-sama peminat.
Sumber : Berita Harian

Isteri Nash dapat injunksi halang pindah harta RM880,000

Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Sosilawati Lawiya, 44, isteri Nash untuk mendapat injunksi ex parte (sebelah) bagi menghalang penyanyi itu membuat transaksi atau pindah milik melibatkan amanah saham dan hartanah bernilai RM880,000.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Shaarani Ismail setelah mendengar secara tertutup afidavit permohonan interim (sementara) di kamar beliau hari ini.

Sosilawati yang juga pengasas produk kecantikan Nouvelle Visage mengemukakan permohonan tersebut apabila mendakwa perkahwinannya dengan Nash atau nama penuhnya, Jamaludin Elias, 48, selama 10 bulan itu berada dalam syiqaq (pertikaian) sehingga tiada jalan penyelesaian kecuali melalui penceraian.
Berdasarkan permohonannya, dia mendakwa Nash (responden) tidak pulang ke rumahnya di No. Lot 9933, Jalan Harmoni, Taman Harmoni, Gombak sejak 13 Ogos lalu.

Responden juga dikatakan berkali-kali meluahkan hasrat untuk menceraikannya selepas Aidilfitri ini.
Sehubungan itu, Sosilawati telah memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur pada 18 September lalu.
Sosilawati memohon injunksi untuk menghalang Nash, wakil atau keluarganya daripada membuat transaksi atau pindah milik Sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan (ASW) yang masing-masing bernilai RM200,000 yang diletakkan atas nama responden.

Beliau juga menuntut supaya Nash membayar semula wang sebanyak RM480,000 yang dipinjamkan olehnya untuk bayaran hartanah di alamat No. 28, Jalan Turmalin 4, 7/12D, Seksyen 7, di sini yang telah dilelong oleh bank akibat kegagalannya melangsaikan baki pinjaman tersebut.
Sosilawati turut mengemukakan beberapa alasan lain di dalam permohonan tersebut yang memaksanya mengemukakan injunksi dan memfail tuntutan cerai.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd. Zin yang hadir mewakili Sosilawati, memberitahu wartawan bahawa tarikh sebutan bagi mendengar afidavit permohonan belum ditetapkan.

Sumber : Utusan

Isteri Nash mohon cerai

Perkahwinan vokalis Lefthanded, Nasharuddin Elias atau Nash, 47, dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya, 43, baru berusia 10 bulan tetapi dikatakan sudah bergolak.Sosilawati yang mendirikan rumah tangga dengan Nash awal Disember lalu, memfailkan permohonan cerai melalui peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, minggu lalu.Ketika dihubungi Harian Metro semalam berhubung keretakan rumah tangga mereka yang dikatakan bermasalah, usahawan wanita terkenal itu mengesahkan dia sudah memfailkan permohanan cerai dan hanya menunggu sebutan kes terbabit.

Katanya, perkahwinan dengan Nash yang berusia 10 bulan tidak mampu dipertahankan biarpun pada Ramadan yang mulia ini berikutan tiada lagi keserasian.
"Saya sudah berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya rumah tangga yang kami bina kekal hingga akhir hayat.
"Saya tidak boleh mendedahkan semuanya selagi pihak mahkamah masih belum memutuskannya. Cuma apa yang boleh saya katakan, semua ini banyak menguji ketabahan diri saya. Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.Sepanjang perkahwinan itu, menurut Sosilawati, dia berusaha mengambil hati semua pihak supaya tidak mahu gagal dalam perkahwinan kali keduanya."Namun, jika takdir sudah menentukan saya kembali hidup sendiri, ia ketentuan Tuhan," katanya dengan nada sedih.

Dia menjelaskan, bagi sesetengah orang tindakan itu mungkin sesuatu yang tidak kena pada masanya."Lagipun usia perkahwinan kami terlalu baru dan ada yang menyifatkan ia keterlaluan," katanya.Sebagai isteri, katanya, dia sudah lakukan yang terbaik demi menyelamatkan keadaan dan menjaga nama baik semua pihak.Nash dan Sosilawati diijabkabul di kediaman pengantin perempuan di Batu Pahat, Johor pada 17 November tahun lalu, disusuli empat majlis resepsi.Dalam satu daripada majlis resepsi di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, untuk sanak-saudara, rakan niaga, teman artis, pihak media serta peminat, Nash menyanyikan lagu Ku Di Halaman Rindu dan Kenangan Bersamamu bagi menjadi saksi betapa romantisnya penyanyi itu terhadap isteri yang baru dinikahinya.

Sambil merenung wajah Sosilawati yang kelihatan malu-malu di atas pelamin, Nash dengan yakin mengalunkan bait demi bait lirik lagu itu dengan penuh penghayatan sambil mencium tangan isterinya yang cukup anggun berkebaya moden rona putih berserta layah daripada warna yang sama."Sayang, saya tujukan lagu ini untuk awak," itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Nash membuatkan hadirin yang hadir bertepuk tangan sebagai tanda sokongan.Nyanyian penuh syahdu itu diiringi anggota asal kumpulan Lefthanded seperti Man Kidal dan Yan.Nash menerusi perkahwinan terdahulu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Fareena Nasha, 18, Najeeha Nasha, 16, Mohd Shameer Nasha, 11, dan seorang anak angkat, Jasmin Hanis Nasha, 9.Sosilawati pula dikurniakan enam anak iaitu Erni Dekritawati Yuliana, 21, Erwan Suwari Ridzuan, 20, Md Erwan Nasri, 19, Erni Erinawati Sofia, 17, Erni Reenilawati, 16, dan Siti Nur Fatimah, 9.

Sumber : Metro

Artis & selebriti edar bubur lambuk percuma

Orang ramai yang tinggal di sekitar Bukit Antarabangsa berpeluang menikmati bubur lambuk yang dimasak sendiri oleh beberapa artis dan selebriti tempatan pada Majlis Jom Makan Untuk Kemanusiaan (JMUK) hari ini.
Antara selebriti dan artis yang terlibat ialah penyanyi dan pelakon Salwa Abdul Rahman, Norlia Ghani, Zaibo, Yusni Jaafar dan komposer Abas Hassan.
Kira-kira 500 mangkuk bubur lambuk disediakan dan ia merupakan resipi istimewa dari Chef Yang Jamil. Bubur tersebut akan mula diedarkan kepada orang ramai pukul 6 petang bertempat di Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Sekretariat Penganjur Kelab Ukay, Noorizah Onn berkata, selain mengedarkan bubur lambuk secara percuma, JMUK juga turut mengadakan majlis berbuka puasa.
Kata Noorizah: “Kami menjemput pemimpin masyarakat, ahli perniagaan, syarikat korporat dan swasta, pertubuhan dan persatuan, selebriti tanah air, individu dan penduduk Bukit Antarabangsa khasnya untuk sama-sama menjayakan majlis berbuka puasa itu.
“Pembelian kad jemputan dianjurkan kepada tetamu-tetamu majlis berbuka puasa itu dan kutipan jualan kad itu akan disalurkan ke Tabung Gempa Nusantara anjuran Utusan Malaysia dan Maybank,” katanya.
Majlis yang dikelolakan oleh pelakon Didi Alias itu turut dimeriahkan oleh Akma (AF3), Hazama (AF4) dan Ifa Raziah.

Sumber : Utusan

Misha sambut raya di KL


RAYA kali ini penyanyi Misha Omar cuba buat kelainan. Selalunya kalau raya, awal-awal lagi Misha dan kakaknya, Mimi berangkat pulang ke kampung halaman mereka di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan.
Kali ini mereka berdua nak beraya di ibu kota, kononnya nak merasai suasana baru.
Kata Misha, dia tidak akan berasa sedih menyambut raya di ibu kota kerana seluruh ahli keluarganya dari Kelantan akan turun ke Kuala Lumpur untuk bersamanya.
“Selama jadi artis, memang Misha tidak pernah sambut raya di Kuala Lumpur. Tahun ini nak cuba sesuatu yang baru.
“Lagipun ma (mak) dan adik-beradik yang lain nak cuba merasai suasana raya di kota. Bagi Misha, raya di mana-mana pun tidak kisah asalkan bersama keluarga,” katanya sambil tersenyum.
Menurut Misha, mungkin selepas bersembahyang raya mereka sekeluarga akan pergi ke Negeri Sembilan untuk beraya dengan bapa saudaranya di sana.
Oleh kerana tahun ini, tidak perlu tergesa-gesa pulang ke Kelantan, Misha berhajat untuk menjayakan persembahan pada malam raya.
“Sebenarnya teringin juga muncul di kaca TV pada malam raya. Kali ini harap adalah peluang,” katanya penuh harap.
Misha yang hangat dengan lagu Sembunyi duet bersama Andy Flop Poppy itu berkata, dia juga telah membeli baju raya untuk anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang kini berusia setahun lebih.
Katanya, oleh kerana Adam sudah boleh berjalan, jadi banyaklah baju yang telah dibeli sewaktu jualan murah sebelum ini.
“Raya lepas, pakaikan baju pun dia terlentang saja. Sekarang ini sudah boleh berjalan, baju pun lebihlah. Entahlah sekarang ini, pantang nampak baju budak mesti nak singgah membeli,” kata Misha yang bakal muncul dengan single ketiga tidak lama lagi selepas ‘meletup’ dengan dua single sebelum ini iaitu Nafas Cahaya dan Sembunyi.
Empat tahun tanpa album
Menjelang tahun depan, genaplah empat tahun Misha tidak ada album baru. Justeru itulah kehadiran ketiga-tiga single dendangannya itu diharap dapat mengingatkan peminat tentang kewujudannya dalam bidang seni suara.
“Sekarang ini tinggal dua lagu lagi untuk rakaman iaitu lagu ciptaan Tam Spider dan Damian V.E.
Nak cakap tarikh album keluar, Misha tak pasti kerana semua itu urusan syarikat rakaman. Apa pun Misha memang sudah tidak sabar untuk keluarkan album baru,” katanya.
Sumber : Utusan

Tuesday, September 25, 2007

Di Sebalik Tabir: Kerenah artis, personaliti cabaran siapkan program Suara Lebaran

KEINGINAN untuk menghasilkan klip video yang sarat dengan mesej agar tidak tampil sama dengan klip video raya lain tidak tercapai apabila semua rancangan berubah pada saat akhir. Namun bagi Mohd Khair Salehin yang dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan klip video raya personaliti TV3, cabaran sedemikian sudah dijangka. Di saat akhir, anak-anak yatim tidak dapat turut serta kerana bersekolah dan warga tua daripada rumah orang tua juga tidak berjaya didapatkan. Itu baru cabaran pertama, sebaik tiba di lokasi yang terletak di Kampung Endah, Banting bagi menyiapkan klip video pertama untuk lagu Suara Lebaran, Mohd Khair Salehin atau lebih dikenali sebagai Nang berdepan satu lagi masalah apabila selebriti utama tidak dapat hadir iaitu kumpulan Mendua, The Lima serta Faizal Tahir.

Mereka ini penting kerana suara mereka banyak digunakan di dalam lagu Suara Lebaran. Dengan personaliti yang ada seperti Zakiah Anas, Aidid Marcello, Ally Iskandar, Yasir Mansor dan Azwaliza Azman maka terpaksalah Nang mendapatkan bantuan mereka. "Kami cuba sedaya upaya untuk menghasilkan yang terbaik untuk klip video ini. Oleh kerana tiga kunci utama tidak ada, personaliti yang hadir terpaksa tolong 'cover' suara selebriti yang tidak hadir. Suara keluar tetapi tidak ada orang yang menyanyi, jadi hendak tak hendak mereka kena tolong juga. "Mesej yang cuba saya sampaikan di dalam klip video ini tidak kesampaian kerana tidak ada pembabitan anak yatim dan orang tua. Banyak yang lopong, akhirnya klip video ini jadi seperti klip video raya yang lain sekadar kunjung mengunjung.

"Saya sudah jangka semua ini akan berlaku. Setiap kali buat sesuatu, saya selaku fikir mampu atau tidak untuk saya melakukannya. Agak kecewa juga kerana klip video ini yang sepatutnya berbeza dan menyentuh hati hanya menjadi sebuah klip video biasa," katanya yang menjalankan penggambaran sehari sebelum umat Islam menjalani ibadat puasa. Penggambaran berlangsung selama sehari dan dimulakan sejak awal pagi kerana kata Nang untuk mendapatkan cahaya semula jadi daripada matahari. Pada keesokannya pula, satu lagi rakaman klip video untuk lagu kedua Raikan Bersama diadakan tetapi di dalam studio kerana berkonsepkan grafik. Rakaman berkenaan tidak dapat dilakukan sekali gus kerana jadual personaliti yang tidak menentu.

Rakaman dilakukan berperingkat-peringkat mengikut jadual kekosongan artis. Biarpun tidak dilakukan serentak, Nang tidak menghadapi masalah untuk menggabungkan ke semua personaliti yang terbabit kerana proses itu akan dilakukan ketika pos produksi. Namun yang memberikan sedikit masalah adalah pada bajet kerana grafik memerlukan bajet yang tinggi. Kos untuk menyewa studio hijau atau green studio saja menelan belanja yang tinggi tetapi dengan bajet yang diberikan, Nang tetap berusaha untuk memberikan hasil kerja yang memuaskan. "Walaupun ia dihasilkan berpandukan pada harga tetapi kualitinya berpatutan. Malah kami meletakkan 150 peratus usaha untuk menghasilkan klip video ini," katanya yang memerlukan tujuh hari untuk menyiapkan story board kedua-dua klip video ini.

Bagi klip video yang menggunakan teknik grafik, Nang perlu mengarahkan personaliti apa yang perlu mereka lakukan contohnya mengacau dodol, bersalaman dan sebagainya kerana mereka melakukan tanpa objek di depan mata. Objek berkenaan hanya akan dimasukkan pada proses pos produksi. Bahagian itu adalah paling sulit kata Nang kerana ia adalah kepala kepada keseluruhan kerja mereka yang memakan masa lama. Ketika proses pos produksi inilah mereka melakukan suntingan, memasukkan pergerakan, kesan khas dan grafik. Untuk bahagian ini saja, kata Nang lagi ia memakan masa hampir 10 hari untuk disiapkan kerana mereka juga terbabit dengan kerja lain.

Selain itu tenaga kerja yang terbabit juga tidak ramai antara tiga ke empat orang. Nang juga menggunakan kamera jenis Panasonic P2 iaitu kamera yang digunakan untuk menghasilkan komersial raya TV3, dia juga menggunakan lensa yang beresolusi filem. Suara Lebaran akan berdurasi selama tiga minit lebih sementara Raikan Bersama pula dua minit lebih. Kedua-dua lagu ini adalah ciptaan Azmeer dan dijangka akan mula disiarkan di kaca televisyen dua minggu sebelum Aidilfitri.

Sumber : Berita Harian

Melodi Raya 2007 Syawal kedua

SETAHUN bersiaran, rancangan hiburan Melodi dilihat sebagai program yang banyak menyelongkar kisah hanyir industri seni. Sebut saja Melodi, ramai yang tahu bahawa program sejam yang disiarkan menerusi rangkaian TV3 itu penuh dengan adegan sensasi membabitkan artis tanah air. Namun, Melodi bukan sekadar menelanjangkan kepincangan dunia hiburan tetapi turut memaparkan kisah sedih yang boleh dijadikan iktibar ataupun meringankan bebanan mereka yang memerlukan. Sepanjang tahun ini Melodi begitu prihatin dengan menjejaki insan seni yang tidak bernasib baik.

Justeru, mengambil keberkatan bulan yang mulia ini, rancangan khas Melodi Raya 2007 turut menghulurkan sumbangan melalui Tabung TV3 Bersamamu kepada Norasmah Jamaluddin (isteri pelakon lagak ngeri Jangan Pandang Belakang yang kisahnya pernah dipaparkan dalam rancangan itu, Yazid Sobrani), Sudiro Sukiman dan Karim Sulaiman. Sumbangan ini disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Farid Ridzuan dalam satu majlis yang penuh ceria dan meriah di Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel & Convention Centre, baru-baru ini. Mengulas perkara itu, penerbitnya, Jamil Hassan berkata adalah menjadi tanggungjawab Melodi untuk memberikan hiburan bermesej kepada penontonnya selain menunaikan tanggungjawab sosialnya.

"Pihak Melodi sentiasa cuba memaparkan informasi hiburan yang menepati cita rasa khalayak dan bukan sekadar mensasarkan hiburan kosong semata-mata. Paparan penderitaan insan seni membuka mata banyak pihak dan kami berbesar hati dapat menghulurkan sumbangan kepada mereka pada majlis hari ini. "Mudah-mudahan Melodi bukan saja dilihat sebagai rancangan hiburan, sebaliknya turut dikenali kerana keprihatinan kami terhadap hubungan sesama artis," katanya. Selain itu, Melodi Raya 2007 turut menampilkan rakaman istimewa berkonsepkan Journey To Raya di mana rakaman ini dijalankan di kampung halaman selebriti tanah air yang memfokuskan kepada persediaan mereka di bulan Ramadan Al-Mubarak sehinggalah ke saat menjelangnya Aidilfitri.

Penonton dapat berkongsi pengalaman ini bersama Maya Karin yang sudi berkongsi cerita sambutan malam tujuh likur, Dina dan Fazli Zainal berkongsi kisah berbuka puasa dan penyanyi Nurul membuat persediaan pada malam raya. Kemeriahan Melodi Raya terus dihangatkan dengan persembahan nyanyian dari gabungan artis baru dan lama serta sketsa daripada Azlee, Lan Pet Pet, Syanie, A Chong dan Din Beramboi. Artis lain yang turut menggamatkan dewan dengan persembahan nyanyian mereka ialah Amy Mastura (Setahun Sekali), Faizal dan Nita (Seloka Hari Raya), Andy Flop Poppy (Minal Aidil Wal Faizin), Jalil Hamid (Raya), Pija (Selamat Hari Raya), Raihan (Lembaran Ini), Rosma (Aidilfitri), Datuk Yusni Hamid (Bila Takbir Bergema) dan Ziana Zain (Indahnya Berhari Raya) dan semua artis menerusi lagu Sesuci Lebaran.

Walaupun ada yang tidak mengingati lirik, mereka selamba meneruskan rakaman dan sudahnya dewan itu gamat dengan gelak ketawa. Melodi Raya 2007 adalah antara sajian menarik TV3 sepanjang perayaan Aidilfitri nanti. Rakaman rancangan yang akan disiarkan selama sejam pada 14 Oktober dan 21 Oktober 2007 pada jam 12 tengah hari ini masih mengekalkan Fara Fauzana dan Wahid Senario sebagai hos. Antara wajah popular yang turut kelihatan pada rakaman itu adalah Ezlynn, Nora, Fasha Sandha, Liza Hanim, Adibah Noor, Misha Omar, Spider, Farawahida, Sofaz, Dayang Nurfaizah, Hattan, David Teo, Siti Sarah, Azwan Ali dan Zehra Zambri.

Sumber : Berita Harian

Spider tak takut digam gara-gara tinggalkan konti

BUKAN lagi rahsia. Sebaliknya satu Malaya sudah tahu bahawa gosip yang menyatakan sebuah kumpulan muzik meninggalkan konti radio gara-gara tidak puas hati dengan deejay bertugas sebenarnya merujuk kepada kumpulan Spider. Bagaimana boleh jadi begitu? Apakah yang dilakukan si deejay sehingga sang labah-labah ini naik angin? Biarpun tidak ada sebarang kenyataan rasmi dari kedua-dua belah pihak namun difahamkan insiden itu berlaku apabila penyampai stesen radio swasta ini tidak profesional ketika bekerja. Kononnya, sepanjang temu bual berlangsung nampak sangat dia tidak membuat sebarang persediaan apabila bertanya perkara remeh temeh mengenai kumpulan ini.

Tapi apa yang menerbitkan perasaan kurang senang di dalam hati Tam, Napi dan Tony apabila gosip mengenai insiden itu tersiar, semua kesalahan terletak di pundak mereka. Kononnya, tiga jejaka ini sudah mula berlagak sombong, terlalu sensitif dan besar kepala. Justeru, tanpa dibicarakan di mana-mana mahkamah serta menyelidik apa sebenarnya yang terjadi, Spider sudah dijatuhi hukuman terlebih dulu. Tercalar sudah maruah apabila ramai menuding jari ke arah mereka. Namun, Spider tidak cepat melatah kerana mereka tahu mereka berada di pihak yang benar. Jelas mereka, mendiamkan diri lebih baik kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan serta memperbesarkan perkara yang sudah berlaku. Bagi mereka lambat-laun kebenaran akan terbukti juga satu hari nanti.

Dan itulah juga pendirian Spider ketika ditemui Hip pada majlis Melodi Raya 2007 di Berjaya Times Square baru-baru ini. Sambil mempertahankan tindakan mereka itu, Spider berharap, apa yang berlaku itu menjadi satu iktibar dan pengajaran bahawa jangan sesekali cuba memperkotak katikkan artis tempatan.

Hip: Dengar cerita baru-baru ini Spider buat perangai. Tinggalkan konti radio ketika temu bual sedang berlangsung, apa masalahnya?

Spider: (Tertawa) Sudah heboh ya? Sebenarnya bagi kami perkara ini tak adalah kronik sangat. Cuma apabila sudah heboh maka jadilah ia besar. Ceritanya begini, kami diundang stesen radio ini untuk membicarakan mengenai album baru kami Bintang 12. Mula-mula semuanya nampak okey tetapi apabila deejaynya mula bertanyakan soalan yang saya sifatkan remeh seperti siapa nama kami, ini album ke berapa, apa single terbaru, itu semua saya rasakan sudah melampau. Takkan perkara asas seperti itu pun tidak tahu. Nampak sangat dia tak buat homework. Pada saya apabila mereka undang artis menjadi tetamu, mereka seharusnya tahu serba sedikit latar belakang artis yang diundang. Ini tidak. Masa temu bual itulah baru nak tanya siapa nama. Bengang punya pasal, kami tinggalkan studio itu.

Hip: Mungkin deejay itu masih baru dan tidak kenal siapa itu Spider?

Spider: Kami kenal deejay itu. Dia orang lama. Kalau baru sekalipun, sepatutnya adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membuat sedikit kaji selidik mengenai kami. Lagi pun kami bukan artis baru yang dia tak kenal. Kami sudah ada empat album studio. Paling dahsyat, nama vokalis Spider pun tak tahu. Lainlah kalau kami ini artis Indonesia. Ini kami artis Malaysia, sepatutnya mereka lebih arif mengenai kami. Kami juga ingin memberi contoh di sini, pernah ada seorang deejay di utara tanah air menemubual kami. Saya boleh katakan dia amat profesional kerana saya lihat dia membuat persediaan rapi sebelum menemubual kami. Di hadapannya tersedia kertas dan kesungguhannya itu membuatkan kami menghormati dia.

Hip: Apa tindakan deejay itu apabila kamu semua tinggalkan konti macam itu saja?

Spider: Terkejut rasanya. Kami pun tak ada tanya apa-apa selepas itu. Cuma syarikat rakaman Universal saja ada hantar surat permohonan maaf secara rasmi kepada mereka. Kami tidak tahu apa reaksi deejay itu selepas ini kerana sehingga kini kami tidak pernah bertemu dengannya. Tapi dengar khabar, deejay itu memang marah betul dengan kami. Hendak buat macam mana, pada kami itu memang salah dia. Harap apa yang berlaku dapat dijadikan iktibar.

Hip: Spider tidak takut kena gam dengan stesen radio terbabit?

Spider: Saya pernah kena gam sebelum ini dan saya tidak takut andai itu berlaku sekali lagi. Kami hanya lakukan apa yang kami rasakan benar. Setakat ini tidak pula kami dengar yang stesen radio itu hendak menggam kami. Stesen radio lain, alhamdulillah, semuanya memutarkan lagu kami terutama single kami berjudul Mabuk.

Hip: Mungkin Spider ingin membuat pertemuan dari hati ke hati dengan deejay terbabit?

Spider: Sebenarnya, kami sudah pun melupakan perkara itu. Dan kami sebenarnya tidak pernah bercakap apa-apapun pasal isu itu sehinggalah anda bertanyakan hal itu hari ini. Ini kali pertama kami mengulas perkara itu. Setakat ini kami belum ada perancangan untuk mengadakan perjumpaan dengan deejay terbabit kerana kami anggap cerita itu habis di situ saja. Namun, apabila cerita itu tersiar di beberapa buah akhbar dan kebanyakan mereka menuduh kami, kami mula rasa tak sedap hati. Tapi apabila memikirkan tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan, jadi kami diamkan saja. Nanti kalau bersuara, panjang pula ceritanya.

Hip: Jadi apa yang kamu ingin luahkan terhadap kenyataan yang banyak menghentam Spider itu?

Spider: Ini bukanlah masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak. Cuma kami mahu mereka lebih berlaku adil dan siasat dulu apa sebenarnya berlaku sebelum membuat sebarang rumusan. Kami tidak akan berbuat begitu tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Hip: Bersedia dengan pelbagai tanggapan negatif, seperti mula besar kepala?

Spider: Cakaplah apa yang orang hendak cakap. Pada kami Spider masih lagi seperti dulu. Ini bukan soal lupa daratan atau besar kepala, tetapi soal prinsip dan profesionalisme. Sebagai penggiat industri hiburan tempatan, kita seharusnya menghormati artis kita sendiri. Ini tidak, selalu ambil mudah banyak perkara. Apabila itu berlaku, kami rasa tidak dihargai sangat. Ini juga bukan kes memberontak atau terlalu sensitif, cuma kami harap tindakan ini mampu membuka mata banyak pihak dan kita sendiri harus menyokong antara satu sama lain.

Hip: Bagaimana perkembangan album terbaru Spider, Bintang 12? Setakat ini sambutan macam mana?

Spider: Setakat ini alhamdulillah, album ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat Spider. Ketika ini kami sedang dalam rangka promosi album terbabit. Apa yang menarik mengenai album ini adalah, muziknya berbeza dengan album kami yang terdahulu. Kami juga bakal mengadakan konsert tidak lama lagi. Buat masa ini pihak syarikat rakaman kami sedang sibuk membuat perancangan ke arah itu.

Hip: Apa yang dimaksudkan dengan Bintang 12?

Spider: Bintang 12 bermaksud horoskop. Ia menerangkan konsep keseluruhan album ini iaitu mengandungi lagu yang menggambarkan pelbagai ragam manusia, bersesuaian dengan horoskop itu sendiri. Kalau nak tahu, dengar dan hayatinya sendiri.

Sumber : Berita Harian

Makin matang

JIKA tiada aral melintang, selepas Aidilfitri ini peminat Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali dengan nama Elyana akan dapat menikmati album solo keempatnya yang sudah pun siap dirakam. "Buat kali kedua selepas Bicara Mata Ini, saya dapat bekerjasama sepenuhnya dengan penerbit yang juga pencipta lagu popular, Aidit Alfian. Boleh dikatakan, dialah orang pertama yang amat memahami kehendak saya dan syarikat rakaman. Kami saling mengerti jalur muzik terbaik untuk saya," katanya yang cukup meledak bersama lagu ciptaan komposer itu, Tak Tercapai Akalmu.

Kata Elyana, Aidit seorang komposer yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan album terbarunya memberikan kepuasan kepada peminat. Pada masa yang sama, penyanyi ini tidak melupakan semua pemuzik yang memberikan persembahan terbaik mereka ketika proses rakaman dijalankan. Sebanyak 10 lagu dimuatkan dalam album terbaru itu dan selain Aidit, antara komposer yang turut sama menyumbangkan khidmat ialah Tam Spider dan Marlin (The Fish). "Istimewanya album ini, apabila saya merakam kembali lagu Niat. Kali ini, gaya nyanyian saya lebih bersahaja, manakala muziknya juga lebih bersifat sederhana. Ketika saya merakamkan lagu itu buat pertama kali, umur saya baru 14 tahun. Kini, saya sudah mencecah 20 tahun, jadi peminat dapat menilai sendiri perubahannya nanti.

"Secara umumnya saya boleh katakan, album ini lebih banyak menonjolkan kematangan saya dari segi penyampaian dan vokal. Muzik dan liriknya juga jauh lebih dewasa," kata Elyana. Langkah gadis ini dalam bidang seni pula bukan terhad kepada nyanyian semata-mata. Sejak kemunculannya dalam VCD Seriau beberapa tahun lalu, Elyana kini turut sibuk di lokasi filem dan drama. Dia sudah pun membintangi filem Gong, Dukun dan Dunia Baru The Movie.

Sedikit masa nanti, dia akan kembali ke lokasi musim ketiga siri Dunia Baru pula. Menyentuh topik Dunia Baru, Elyana mengaku, siri televisyen siaran TV3 itu agak kuat pengaruhnya. Masakan tidak, dia sendiri ketika ini lebih dikenali sebagai Opie, watak yang dipegang olehnya dalam siri berkenaan. "Baru-baru ini, ketika hendak berbuka puasa, saya terdengar seorang kanak-kanak yang berusia tiga tahun memanggil nama Opie berulang kali. Pada mulanya saya tidak mengendahkan, kerana saya tidak yakin kanak-kanak itu memanggil saya. Lama kelamaan baru saya perasan, dia memang memanggil saya, tetapi dengan nama watak berkenaan. "Jika sedikit masa lalu ada peminat yang memanggil saya dengan nama Tapak Sulaiman, kini Opie pula yang jadi panggilan," cerita gadis yang menjadikan bidang seni sebagai kariernya sepenuh masa. Buang kasut bukan soal imej IMEJ berkaki ayam di pentas bagai sudah cukup serasi dengan Elyana.

Dihitung kembali, sudah lebih dua tahun dia menanggalkan kasut di pentas dan gaya itu bagai tidak lagi menjadi masalah untuk peminat menerimanya. Hakikatnya, dia tidak memakai kasut bukan semata-mata kerana gaya atau cuba memberikan kelainan. Sebaliknya, penyanyi yang kini dikenali dengan lagu Kau Atau Aku ini mengaku tidak selesa apabila mengenakan sepatu. "Sebenarnya, sejak zaman bersekolah lagi saya sudah biasa tidak memakai kasut. Dulu, saya asyik kena tanggal kasut di sekolah apabila datang lewat. Kemudian saya mula perasan, kaki saya akan berasa lenguh jika mengenakan kasut, terutama yang bertumit. "Justeru, pada Anugerah Industri Muzik 2005, buat pertama kali saya tidak mengenakan sepatu. Sepatutnya saya memakai kasut tinggi, tetapi kerana tidak selesa, saya lupakan saya.

Berkaki ayam jauh lebih menyenangkan buat saya," katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya di Berjaya Times Square, baru-baru ini. Pada acara itu sendiri, dia mengenakan kasut untuk sesi fotografi. Tidak lama kemudian, gadis ini dilihat beramah-mesra bersama tetamu lain hanya berkaki ayam. Menurut si manis yang bernaung di bawah label FMC ini, bukan hanya di pentas peminat akan melihatnya berkaki ayam, bahkan dia turut berbuat demikian apabila keluar membeli-belah atau berjalan-jalan. "Jika tidak berkaki ayam, saya hanya akan memakai selipar saja. Kaki saya akan berasa sakit jika saya memakai apa-apa yang bertumit. Lagipun, saya berasa seronok apabila tidak memakai kasut. Tetapi, bukannya saya tidak berkasut 24 jam sehari atau di mana-mana saja. Tengok jugalah keadaan dan tempatnya," ujar penyanyi ini. Kata Elyana lagi, kini, apabila mengadakan persembahan, ada kalangan peminat yang menjerit meminta dia membuka saja kasut yang dipakai. Betapa, imej berkaki ayam di pentas itu sudah menjadi begitu sinonim dengan penyanyi ini.
Elyana Nama penuh: Erneelya Elyana Emrizal
Nama komersial: Elyana
Tarikh lahir: 5 Julai 1987
Zodiak: Cancer
Tempat lahir: Klang, Selangor
Kerjaya: Penyanyi, pelakon
Hobi: Membaca, berenang, menyanyi
Ketinggian: 168 sentimeter
Bilangan adik-beradik: Empat orang (anak kedua)
Pendidikan: SPM
Minuman kegemaran: Teh ais
Makanan kegemaran: Nasi ayam

Sumber : Berita Harian

Cabaran Fara Fauzana berjoget lambak




JIKA diberi tugas untuk mengacarakan sesuatu majlis, rancangan radio ataupun televisyen, Fara Fauzana memang tidak ada masalah.
Ini kerana, pengalamannya sebagai penyampai radio Era dan Hot fm banyak membantunya menjalankan tugas-tugas tersebut.
Tetapi apabila disuruh menari joget lambak menerusi rancangan Joget Lambak Bersama Fara yang diacarakannya, anak kelahiran Shah Alam ini berasa agak kekok sedikit.
Menurut Fara, rancangan terbitan TV3 itu memerlukannya mempelajari dan berlatih joget lambak sebelum rakamannya diadakan.


“Lagu-lagu joget dan zapin merupakan konsep rancangan ini di mana selain mengacara, rancangan ini juga memerlukan saya menari joget lambak bersama para penari dan artis jemputan yang lain.
“Saya mengambil masa empat jam untuk berlatih menari joget lambak dengan seorang penari bernama Lan dari studio Pak Ngah Productions baru-baru ini,” katanya ketika ditemui ketika rakaman Joget Lambak Bersama Fara di Shah Alam, Selangor, Ahad lalu.
Joget Lambak Bersama Fara merupakan rancangan muzikal yang akan ditayangkan menerusi TV3 pada Hari Raya Aidilfitri ini pukul 5 petang hingga 6.30 petang.
Artis-artis yang terbabit menjayakan rancangan ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M. Daud Kilau, Adibah Noor, Jay Jay, Senario, Def Gab C, Fabulous Cats dan Fahmi (Mentor).


Tambah Fara, bagi membantunya mengacarakan rancangan itu, Danny X-Factor dan Yani (Mentor) turut dijemput bagi menjayakannya.
“Kami menjemput Danny dan Yani bagi melakonkan sketsa-skesta dalam rancangan ini. Kebetulan Danny dan Yani berlakon bersama saya dalam sitkom Fara.
“Dalam Joget Lambak Bersama Fara, Danny dan Yani akan melakonkan watak mereka seperti dalam sitkom Fara. Danny melakonkan watak Din Jejaka Jambu, manakala Yani pula sebagai Wanda,” ujarnya.
Sementara itu, menurut penerbit rancangan itu, Ahmad Shaifullizam Arshad atau lebih dikenali sebagai G-Bam, konsep irama joget dan zapin dipilih bagi memberi kepelbagaian kepada program-program terbitan TV3 pada Hari Raya Aidilfitri ini.


“Sebelum ini TV3 telah menerbitkan pelbagai rancangan yang menampilkan lagu-lagu berkonsepkan Hari Raya pada musim perayaan Aidilfitri seperti Ole-Ole Raya dan sebagainya.


Global


“Kami harap konsep yang diperkenalkan ini akan memberi kelainan. Walaupun hanya ada sebuah lagu raya berjudul Sesuci Lebaran yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza tetapi lagu-lagu joget dan zapin juga mampu untuk menceriakan Hari Raya kali ini,” katanya.
Malah, G-Bam turut menafikan Joget Lambak Bersama Fara tidak akan mencemarkan lagu-lagu joget dan zapin biarpun ia disertaikan oleh kumpulan rock dan rap.
“Bagi saya, muzik bersifat global. Apa yang penting kita tahu apa yang hendak diketengahkan dan konsep muziknya tidak lari daripada format asal.


“Dengan ini secara tidak langsung diharap dapat menarik perhatian dan minat golongan muda terhadap lagu-lagu joget dan zapin,” katanya.
Menerusi rancangan itu, kumpulan rock Def Gab C misalnya akan menyanyikan lagu popular mereka yang berjudul Cinta Sakti dalam versi joget berjudul Joget Cinta Sakti.
Sementara itu, Fabulous Cats yang terkenal dengan lagu hip hop berjudul Papa Jahat akan menukar versi lagu itu kepada irama joget dengan judul baru, Joget Pujuk Sayang.
Siti Nurhaliza antaranya akan menyanyikan lagu berjudul Nirmala, Jay Jay (Joget Mak Enon, Joget Angan Tak Sudah), Senario (Dia Datang) dan M. Daud Kilau (Laksamana Raja Di Laut).


Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR