Wednesday, October 31, 2007

Ina Naim bakal bergelar ibu

BUKAN main ceria lagi mendengar suara Ina Naim di hujung talian ketika dia menghubungi rakan SS semalam. Tujuan dia menelefon untuk mengajak rakan SS dan rakan wartawan lain ke majlis kenduri kahwinnya pada 18 November ini yang akan diadakan di rumah keluarganya di Sungai Kayu Ara, Kota Tinggi, Johor dan juga di rumah keluarga suaminya, Suhaimi, di Pahang.

Patutlah Ina gembira sekali kerana dia kini sah hamil anak sulung. Usia kandungannya dah nak masuk dua minggu. Oh! nampaknya mereka bukan bersanding berdua tetapi bertiga. Sebelum ini ada juga khabar angin mengatakan Ina mengandung kerana ketika dia menjayakan beberapa acara hiburan dan penggambaran untuk akhbar serta majalah dia kelihatan lesu tambahan pula ketika itu bulan puasa.

Bagaimanapun waktu itu Ina beritahu dia kepenatan kerana selain baru hendak menyesuaikan diri sebagai seorang isteri dia juga sibuk dengan show dan kebetulan pula bulan puasa. Jadi tentulah dia tidak mendapat rehat yang cukup. Pada masa sama dia juga tidak berani nak mengesahkan sama ada dia hamil ataupun tidak. Sekarang selepas doktor mengesahkan dia bakal menjadi ibu barulah Ina berani beritahu yang dia hamil. Apapun SS ucapkan tahniah kepada Ina.

Kalau dah tahu diri itu hamil, banyakkan berehat tambahan pada awal kehamilan ini. Nampaknya Ina sudah menemui kebahagiaan yang dicari. Semoga rumah tangga yang baru dibina berkekalan sehingga ke akhir hayat. Nak tahu jantina anak dalam perut pun, masih baru lagi. Dan SS yakin Ina dan suaminya pasti tidak kisah sama ada Allah kurniakan mereka anak lelaki ataupun perempuan asalkan ibu dan anak sihat. Tentu pasangan muda itu tidak sabar lagi untuk bergelar ayah dan ibu.

Sumber : Metro

Saya reda!


“Tiada istilah serik dalam kamus hidup saya. Namun, biarlah saya serahkan masa depan saya kepada Allah SWT. Kalau ada jodoh, kahwin. Kalau ditakdirkan saya terus bersendirian, saya juga reda. “Apa pun, saya gembira dengan apa yang ada sekarang. Kehidupan saya cukup stabil dengan kehadiran dua anak. Dengan adanya mereka dan sibuk bekerja, saya tidak kesunyian,” katanya.

Dalam meniti kehidupan sebagai ibu tunggal, Nanu lebih selesa ditemani dua cahaya matanya, Mohd Ikhwan Saffiq, 21, dan Nur Iman, 7. Mereka adalah penawar yang memberi kekuatan kepada Nanu.“Saya bersyukur kerana Ikhwan berjaya dalam pelajaran di mana dia akan berangkat ke Australia pada awal 2008 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Kulinari.

Ikhwan memang rajin menolong saya di dapur dan dari situlah minatnya dalam bidang masakan terus bercambah. “Jika sudah minat saya beri galakan sepenuhnya kerana industri pemakanan kini berkembang pesat. Ikhwan pandai masakan Melayu dan ketika di sana nanti dia bakal mendalami masakan Barat pula. “Saya mahu dia menuntut segala ilmu memasak termasuklah pengurusan perniagaan berkaitan industri makanan.

Dia akan berada di sana lebih kurang tiga tahun dan selepas dia menamatkan pengajian nanti, saya mahu dia bekerja di sana dulu untuk mencari pengalaman. “Ikhwan minat menceburi perniagaan makanan seperti membuka restoran dan untuk berjaya dia perlu ada ilmu mengenai bidang itu. Kita tidak boleh bergantung kepada orang lain,” katanya. Dalam nada ceria, jelas Nanu, selepas ini jika dia tidak sibuk di lokasi, Australia pasti menjadi destinasi percutiannya sambil melawat Ikhwan.

“Sebab itulah saya katakan saya tidak pernah sunyi kerana masa sentiasa terisi dengan menguruskan anak-anak. Kalau tidak berlakon, saya lebih suka duduk di rumah dan memasak untuk mereka.
“Sudah 15 tahun saya menjadi ibu tunggal. Terlintas juga di hati untuk berkahwin lagi. Tetapi membina rumah tangga bukan perkara mudah. Sekiranya saya berkahwin lagi biarlah jodoh itu berkekalan,” katanya.

Jikalau artis lain sibuk mencari peluang berniaga, tetapi Nanu belum terfikir berbuat demikian. Bahkan, katanya, dia sendiri tidak tahu hendak berniaga apa, sementelah lagi minatnya dalam dunia lakonan masih menebal di hati. “Saya masih seronok berlakon. Saya juga tidak memilih watak kerana setiap peranan yang diberikan, saya menyukainya. Selepas bermulanya tayangan filem 1957 Hati Malaya pada 25 Oktober lalu, sekali lagi debaran melanda menanti tayangan filem Congkak terbitan Metrowealth Movies Production.

“Jika dalam filem sejarah 1957 Hati Malaya saya pegang peranan sebagai Sharifah Rodziah, isteri kepada Tunku Abdul Rahman Putra, dalam Congkak saya berpasangan dengan Riezman Khuzaimi pula. “Berlakon dalam kedua-dua filem itu satu pengalaman yang menyeronokkan. Kesan berlakon dalam 1957 Hati Malaya menerbitkan suatu rasa yang sukar diluahkan dengan kata-kata betapa besarnya pengorbanan orang dulu untuk membebaskan rakyat dan negara ini daripada cengkaman penjajahan.

“Menyanyikan lagu Negaraku dalam filem itu menambahkan semangat dan kecintaan saya terhadap negara. Memang bertuah menjadi anak watan negara ini. Sejak berlakon dalam filem itu saya lebih menghayati lagu Negaraku setiap kali mendengar dan menyanyikannya,” katanya.Nanu bersedia bekerja dengan mana-mana pengarah dan produser, namun mengakui kebanyakan tawaran berlakon datang daripada Shumi yang juga Penerbit Persona Pictures Sdn Bhd. Antara filem lakonannya bersama Shumi ialah Waris Jari Hantu, Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2 serta terbaru drama Anak Pontianak.

“Saya tidak kisah bekerja dengan siapa pun, tetapi buat masa ini saya banyak bekerja dengan Shumi. Hanya baru-baru ini saya berpeluang bekerja dengan Ahmad Idham yang mengarahkan filem Congkak. “Lakonan adalah sumber pendapatan saya dan belum terfikir untuk beralih ke bidang lain. Selepas muncul dalam iklan Kayla Beverly Hills empat tahun lalu, ada juga syarikat pengeluar produk kecantikan lain ingin menghulurkan kerjasama tetapi tiada satu pun yang mencapai kata putus. “Pada saya, itu semua rezeki. Kalau ada saya terima,” katanya yang akan menyambut hari jadinya ke-38 tahun pada 19 November ini.

Sumber : Metro

Sehati Berdansa uji bakat selebriti menari


SELAMA ini, para peminat sudah biasa menonton lakonan pelakon dan penyanyi pujaan mereka di kaca televisyen (TV) ataupun persembahan nyanyian mereka di atas pentas.

Bagaimanapun, menerusi sebuah program TV realiti Sehati Berdansa pula, para peminat akan berpeluang menyaksikan ramai penyanyi dan pelakon menunjukkan bakat menari.
Malah, melalui program TV realiti terbaru terbitan Astro Ria itu, selebriti seperti bekas pemain bola sepak, hoki dan pembaca berita juga akan mempamerkan kebolehan mereka menari bersama pasangan masing-masing.

Menurut Ketua Program Melayu Astro TV, Mohd. Haris Ismail, Sehati Berdansa diterbitkan bagi menunjukkan bakat terpendam yang ada di kalangan selebriti daripada pelbagai bidang.
“Selain itu, tujuan kita mengadakan program ini supaya setiap pasangan terutamanya suami isteri dapat berseronok dengan menjadikan tarian sebagai tali penghubung ikatan perhubungan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Sehati Berdansa di Hotel Hilton, Kuala Lumpur petang kelmarin.

Lapan pasangan selebriti yang menyertai program TV realiti itu ialah pelakon Ngasriah Ngasri bersama pasangannya Abdul Wafi Hassan, Atilia (penyanyi)- Johan Abdul Jalil, Azman Adnan (bekas pemain bola sepak)- Asfarina Muhamad, Haiza (penyanyi)- Norhanafpe Omar, Radhi OAG (penyanyi)- Shazlin Sharif, Raianna A. Rahman (pembaca berita TV)- Zain Shah, Kartina Ayoob (pelakon)- Rizman Khuzaimi, Vanidah Imran (pelakon) dan Rashidi Ishak.

Setiap peserta akan dilatih oleh seorang koreografi bagi membimbing mereka menarikan pelbagai tarian termasuklah joget, latin, zapin dan samba.
Sementara itu, Pengurus Program Astro Ria, Khairul Mizan Shagul berkata, Sehati Berdansa yang ditentukan 50 peratus pemarkahannya melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan selebihnya pula melalui penilaian juri profesional merupakan sebuah program TV realiti berunsurkan kebajikan.

Dua juri profesional yang akan mengadili setiap gaya persembahan tarian para peserta pertandingan itu ialah Linda Jasmine dan Fathee Abdullah (EE).
Jelas Khairul Mizan, ini kerana setiap pasangan peserta akan meraih sebanyak mungkin markah di mana pihak Astro akan memberikan sejumlah wang tunai untuk disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang mereka wakili atas kemenangan mereka pada setiap episod.

“Setiap peserta akan mewakili sebuah badan atau persatuan kebajikan. Radhi OAG dan isterinya, Shazlin misalnya, akan mewakili Persatuan Disleksia Wilayah Persekutuan.
“Setakat ini, Astro menyediakan wang tunai berjumlah hampir RM40,000 bagi tujuan tersebut,” ujarnya.
Tambah Khairul Mizan, pemilihan peserta dilakukan selepas diadakan sesi uji bakat di mana mereka berjanji untuk memberi komitmen sepanjang 10 episod program itu diadakan.

“Syarat utama pertandingan ini ialah setiap peserta mestilah pasangan suami isteri.
“Mereka akan menjalani rakaman di balik tabir, berlatih menari dan sebagainya. Para penonton juga akan menyaksikan bagaimana setiap pasangan membahagi-bahagikan masa mereka bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Detik Sehati Berdansa akan mula disiarkan menerusi Astro Ria pada 5 November ini pukul 9 malam, manakala siaran langsung pertandingan itu akan disiarkan mulai 11 November ini pukul 9 malam.
Malam kemuncak Sehati Berdansa pula akan diadakan pada 29 Disember ini pukul 9 malam.
Sumber : Utusan

Luka di hati Fara bagaikan berganda

BERULANG luahan rasa kecewa terbit dari bibirnya. Serentak berkali juga perasaan kecewa itu cuba ditanam jauh terdasar di sudut hatinya, seakan mahu segera diusir agar tidak berterusan dicengkam lara. Hiba hatinya apabila syarikat rakamannya menutup operasi tanpa kata pamitan. Kesannya dia terbiar tanpa sebarang penjelasan, hanya perkhabaran duka yang terpapar di dada akhbar mengiringi langkah barunya yang masih belum pasti.

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Sebelum syarikat rakaman berhenti beroperasi, saya ada menghubungi mereka untuk meminta penjelasan. “Namun, tiada sebarang kata putus diberikan. Rupanya lain yang terjadi dan peristiwa itu cukup mengecewakan. Kecewa kerana kesungguhan saya merakamkan album kedua akhirnya terkubur saja. “Album yang masih mempunyai ruang untuk bernafas terbiar begitu saja. Hakikatnya saya dapat merasakan ia masih mampu menarik pendengar jika dipromosikan dengan sebaiknya. Tetapi semua itu hanya dalam angan saya.

“Dulu melihat nasib orang lain saya bersimpati, tetapi apabila terkena batang hidung sendiri saya jadi kecewa sangat,” kata Fara, belum mampu untuk mengikis luka peristiwa yang masih mengalir darahnya. Memuncak nama dengan ciptaan Tam Spider, Bertakhta Di Hati, Fara sempat merakamkan dua album bersama syarikat rakaman tempatan itu berkata, dia belum ingin meletakkan noktah kepada perjuangannya itu.

Biar seribu halangan yang menanti di depan mata, penyanyi kacukan Melayu-Inggeris ini masih tegar melangkah dan dia yakin, apabila tiba masa namanya akan kembali digilap. Cuma ketika ini, kata Fara, 23, dia masih menimbang beberapa tawaran baru yang diterima dan kata putus hanya akan diberikan selepas dia benar-benar yakin dengan perancangan yang disusun.

Sebagai permulaan, usai sambutan Aidilfitri, gadis kelahiran Sarzana, Itali ini akan terbang ke Indonesia untuk bertemu beberapa pihak di sana dan berbincang mengenai urusan penerbitan album terbarunya. “Saya perlu mencari arah baru, namun nyanyian masih menjadi minat utama,” katanya yang ketika ditemui sedang menyempurnakan sebuah penggambaran drama bersiri yang bakal mengisi slot Akasia di TV3.

Kebetulan tawaran berlakon datang, Fara tidak menolak dan hingga ini, sudah beberapa skrip dilunaskannya, antaranya Mencari Arah Qiblat, Bulan Bertemu Bintang dan terbaru, Spa-Q. Enggan mengehadkan aktiviti seninya kepada bidang tertentu saja, Fara juga mengalirkan bakatnya dalam dunia pengacaraan menerusi program Jaguh Futsal. “Selepas dua tahun dalam bidang seni, saya terfikir mengapa tidak mempelbagaikan cabang kerana kebetulan saya memang suka mencuba. Lagipun tawaran nyanyian hanya datang pada hujung minggu, daripada masa terbuang ada baiknya saya ke lokasi lain untuk berlakon.

“Jujurnya pertama kali di lokasi saya kepenatan. Disebabkan minat, semua perasaan itu bagaikan dibawa pergi dan hari ini, saya makin cinta dengan lakonan. Ia memberikan pengalaman baru buat saya,” katanya. Akur segala kesenangan tidak datang dengan mudah, Fara berharap pemergiannya ke Indonesia akan merubah hidupnya. Doanya, tiada lagi halangan yang akan merintangi perjalanan seninya.

“Mereka ialah antara pihak yang berusaha untuk memasarkan bakat saya di Indonesia dan Singapura. Pastinya saya juga akan bertemu dengan beberapa komposer di sana dan kerana itu, saya berdoa semoga perjalanan kali ini dipermudahkan Tuhan,” katanya. Kembali berbicara mengenai album keduanya, Yang Ku Puja yang baginya akan diterima umum jika dipromosikan dengan baik, Fara menyifatkan apa yang berlaku sebagai suratan dalam kehidupannya.

Kecewa namun tidak mungkin dia akan berputus asa hanya kerana dugaan itu. Baginya, warna kehidupan tidak akan menarik jika hanya ditemani dengan cerita kemanisan semata-mata. “Mungkin ini dugaan untuk saya, namun lihat walau apa pun yang terjadi saya masih mampu berdiri. Alhamdulillah,” katanya bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk terus mencurahkan keringat sebagai anak seni. Pada masa yang sama turut merencana pembikinan album terbarunya, Fara berharap keberaniannya untuk memulakan sesuatu yang baru akan membuahkan hasil lumayan. “Sementara saya masih muda, saya akan terus berusaha. Mengapa perlu saya pantas mengalah sedangkan saya tahu di luar sana, ruang untuk mencuba masih terbuka. “Tiada kejayaan yang datang dengan mudah dan buat masa ini saya tidak berani banyak bercakap. Biar semuanya menjadi kenyataan dulu dan saat itu, saya orang paling bahagia dalam hidup ini,” katanya.

Info: Farahdhiya Mohd Amin
Tarikh Lahir: 28 April 1984
Tempat Lahir: Sarzana, Itali
Umur: 23 tahun
Status: Bujang
Adik beradik: Bongsu daripada empat beradik (termasuk dua adik beradik tiri)
Album: Bertakhta Di Hati (2005) dan Yang Ku Puja Drama/Sitkom: Spanar Jaya, Senario Raya, Mencari Arah Kiblat
Program TV: Jaguh Futsal

Sumber : Berita Harian

'Tiada niat burukkan imej, reputasi sesiapa'

LINANGAN air mata di pipi dicampur nada suara yang sebak sudah cukup membuktikan betapa tertekannya penyanyi Siti Sarah atas apa yang berlaku pada dirinya sejak kebelakangan ini. Bukan niat untuk meraih simpati tetapi di saat diri terumbang ambing tanpa diurus sesiapa, tiada pula syarikat rakaman yang boleh ditumpang mengadu nasib, tiba-tiba musibah melanda.

Sewaktu penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kesetiaan ini meluahkan gelodak jiwa yang dialaminya kini, tiba-tiba manik-manik jernih berguguran dari mata bundarnya. Suasana menjadi bungkam seketika. Masing-masing mendiamkan diri, membiarkan Sarah meredakan kesedihan yang sedang bertakung di dada.

“Maaf, Sarah memang sedih dan tertekan sangat dengan apa yang berlaku. Sarah tidak menyangka perkara ini akan berpanjangan seperti ini. Ketika mula-mula Sarah mengeluarkan kenyataan di media sebelum Ramadan berakhir yang lalu, Sarah hanya mahu membersihkan nama Sarah itu saja dan Sarah tidak sedikitpun bermaksud untuk memburukkan reputasi Ezlynn Entertainment atau nak jatuhkan sesiapa,” ujar Sarah membuka bicara petang yang cukup dingin itu.

Sesekali Sarah mengesat air matanya dengan tisu yang disediakan pembantunya, Wan yang setia menemaninya di saat penyanyi itu sedang dilanda duka. Selepas selesai melayani emosi diri, Sarah kembali bersuara. “Selama ini Sarah diamkan saja sebab tidak mahu perkara ini berpanjangan namun apabila Ezlynn buat pertama kalinya mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar sisipan yang Sarah sifatkan sebagai cuba menabur pasir dalam periuk nasi Sarah, salahkah Sarah bersuara?

“Pada Sarah, apa yang dinyatakan Ezlynn itu tidak akan membantu karier Sarah ke depan. Kenyataan itu akan buat nama Sarah bertambah buruk. Jadi Sarah rasa Sarah perlu membela diri,” ujar anak kepada penyanyi Raisuddin Hamzah ini. Tambahnya, jikalau boleh inilah kali terakhir untuk dia memperkatakan perkara ini kerana dia sendiri tahu perkara ini tidak akan ada berkesudahan sekiranya masing-masing saling berbalas kenyataan. “Sarah harap pihak sebelah sana (Ezlynn Entertainment) kena faham.

Sarah bersuara sekadar ingin membersihkan nama Sarah. Sarah ada maruah dan harga diri. Sarah juga ada hak untuk mempertahankan diri Sarah. Dan ingin Sarah tegaskan di sini sekali lagi Sarah tidak ada niat untuk memburukkan atau menjatuhkan mana-mana pihak,” katanya berulang kali. Mengenai hubungannya dengan Ezlynn, Sarah menaruh harapan perkara itu tidak mengeruhkan hubungan mereka berdua.

“Bagi Sarah, Sarah dan Ezlynn tak ada apa-apa. Perkara ini tidak ada kena mengena dengannya. Ia hanya membabitkan saya dan Adam (Pengarah Ezlynn Entertainment merangkap Pengurus Ezlynn) kerana dia yang berurusan dengan saya,” kata Sarah lagi. Ditanya apakah dia bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang daripada pihak Ezlynn Entertainment, Sarah enggan mengulas lanjut perkara itu. “Setiap manusia di muka bumi ini bebas untuk berbuat apa saja. Sarah tak nak ulas. Hanya tunggu dan lihat,” ujar penyanyi genit ini pasrah.

Lebih suka menyelesaikan masalah ini tanpa membabitkan ahli keluarga lain, Sarah mengakui apa yang berlaku turut memberi tempias kepada karier seninya. “Memang menjadi cara Sarah untuk tidak membabitkan keluarga sekiranya ditimpa masalah. Sarah sudah 23 tahun, jadi biarlah Sarah selesaikannya sendiri. Dan Sarah juga akui, perkara ini sangat-sangat mengganggu perjalanan karier Sarah.

“Sarah rasa sedih sebab ia berlaku ketika Sarah hendak masuk pertandingan One In A Million (OIAM) dan ia membuatkan Sarah lagi tertekan. Terus terang, Sarah sudah tidak tahan lagi dengan apa yang berlaku. Sarah benar-benar tertekan,” luah penyanyi bersuara gemersik ini. Pinta Sarah, dia tidak mahu perkara ini terus berpanjangan kerana dia perlukan ketenangan sewaktu menyertai pertandingan OIAM nanti.

“Sarah berjaya mencapai tahan Top 40. Sarah akui memang persaingan sengit kerana kebanyakan yang tersenarai benar-benar berbakat dan boleh menyanyi dengan baik. Jadi Sarah harap perkara ini akan segera berakhir kerana Sarah tidak mahu ia mengganggu konsentrasi Sarah dalam peringkat saringan ini. “Bagi Sarah, ini bukan satu promosi yang bagus untuk kedua-dua belah pihak. Ia sangat negatif. Silap-silap dua-dua boleh jatuh apabila perkara ini berpanjangan,” ujarnya mengharapkan pengertian.

Terdahulu, Sarah meraikan 60 anak yatim dari Rumah Keluarga Kami dan Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail dalam satu jamuan hari raya anjuran bersama Hotel Coronade Kuala Lumpur dan syarikat pengurusan artis, Uniayu Creative Sdn Bhd. Turut serta dalam majlis itu, Boy dari kumpulan ESDCO.

Sumber : Berita Harian

Usah aniaya Hati Malaya


ORANG ramai, terutama pengkritik filem tempatan yang selama ini menuduh penerbit asyik mengutamakan pembikinan filem komersial dicabar supaya menonton filem 1957: Hati Malaya yang menggarap suka dan duka Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Abdul Rahman menghadapi pelbagai muslihat British sebelum berjaya memerdekakan negara ini.

Kalau selama ini, banyak filem dibuat untuk remaja, filem 1957: Hati Malaya sesuai untuk dihayati oleh semua generasi. Tetapi paling utama golongan dewasa sepatutnya mengajak atau menyuruh orang muda menonton filem itu.

"Saya boleh katakan orang muda tidak minat menonton filem ini kerana golongan dewasa sendiri pun tidak minat. Selama ini pembikin filem dituduh pentingkan komersial dan keuntungan saja dan tidak mengambil berat filem bertemakan membina minda atau bercorak kemerdekaan seperti 1957: Hati Malaya. "Nah! Sekarang saya membuat filem seperti yang mereka mahu. Jadi saya harap mereka tonton," kata penerbit dan pengarahnya, Shuhaimi Baba.

Pada masa sama, beliau mempelawa penaja korporat membeli dewan (hall) tayangan untuk penuntut atau pelajar sekolah, selain kakitangan mereka sendiri. Setakat ini, pihaknya sudah menerima tempahan hampir 60 dewan yang setiap satunya boleh memuatkan 250 hingga 300 penonton.

"Kami berharap pihak pawagam juga turut memainkan peranan dengan memberi keadilan kepada filem ini dan menyediakan tempahan dewan selepas 8 Oktober tanpa masalah. "Kami berharap ramai lagi penaja korporat akan tampil kerana kami mahu penuntut di seluruh negara dan bukan saja di Kuala Lumpur untuk menerima penajaan ini. Kita gunakan pendekatan ini kerana ramai penonton muda tidak mengetahui cerita kemerdekaan negara sendiri sehingga ada berkata, "Tak best tengok filem lelaki Melayu pakai songkok, rimas dan boring."

"Saya berharap penonton ini memberi peluang pada diri sendiri untuk menonton filem ini terlebih dulu," tegasnya. Filem 1957: Hati Malaya mendapat sokongan padu kerabat diraja ketika membuat Tayangan Gala Diraja di pawagam Tanjung Golden Village (TGV) di Suria KLCC, Isnin lalu.

Ini terbukti dengan kehadiran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Perak, Raja Nazri Shah bersama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim Davidson serta Pemangku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja'afar. Ketika bersalaman dengan Shuhaimi selepas menonton filem itu, kedengaran tetamu diraja mengucapkan syabas kepada beliau kerana menghasilkan filem 1957: Hati Malaya sambil menyifatkan ia sebuah filem yang bagus dan sepatutnya ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia.

Turut hadir pada tayangan gala ini ialah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Tan Sri Jins Shamsudin dan Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, barisan pelakon filem 1957: Hati Malaya, selebriti dan socialite negara, krew dan kakitangan Pesona Pictures yang terbabit dalam pembikinan filem ini. Antara pelakon yang hadir ialah Maya Karin, Rusdi Ramli, Sharifah Amani, Kamarulzaman Taib, Zaefrul Nordin, Nanu Baharuddin, Kavita Sidhu, Nasrizal Ngasri, Kee Thuan Chye dan Chew Kin Wah.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, seperti yang dijangkakan sambutan orang ramai terhadap tayangan filem 1957: Hati Malaya memang bergerak dengan perlahan kerana tarikh 25 Oktober yang diberikan oleh Wajib Tayang bukanlah permulaan hari yang dimintanya. "Kami menolak jadual tayangan pada 25 Oktober kerana tidak sesuai disebabkan semua ruang promosi iklan memberi keutamaan kepada produk Hari Raya. Kami telah memohon (tayangan) pada 1 November, tetapi akur dengan keputusan 25 Oktober.

"Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada rakan dalam Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Jawatankuasa Wajib Tayang yang memberi sokongan dan kerjasama mencari laluan sesuai untuk filem ini. "Mereka mengadakan persefahaman bersama gabungan pemamer supaya filem kemerdekaan ini patut diberikan sokongan sewajarnya" katanya. Shuhaimi berkata, pihaknya menyasarkan tarikh 1 November sebagai tayangan umum dan menggunakan pendekatan dan strategi pemasaran berlainan kerana semua pihak sudah sedia maklum filem bertema kemerdekaan seperti 1957: Hati Malaya sukar menarik perhatian penonton.

Kesal kerugian pada nilai kreatif tidak diganti "MEMANG kami agak sedih dan kecewa kerana tidak dapat menayangkan filem ini pada bulan merdeka atas sebab kecuaian badan kerajaan ketika penggambaran babak penting. Ia sebenarnya menyebabkan kami kerugian besar kerana banyak kerja menyudahkan filem ini terjejas. "Lebih mengejutkan lagi apabila mereka mengambil sikap berdiam diri. Disebabkan KeKKWA terbabit dalam ini, maka kami jadi serba salah apabila badan kerajaan di bawah kementerian lain menjadikan penggambaran babak merdeka menjadi huru-hara.

"Dan entah kenapa, badan itu seperti tidak mahu bertanggungjawab dengan terus mendiamkan diri. Hanya sekali kami dipanggil selepas empat bulan kami cuba hubungi mereka. Tempoh itu menyebabkan kami terpaksa melambatkan tarikh tayangan pada 5 September lalu dan kami menyedari pada tarikh itu sudah masuk bulan puasa pula," katanya.

Shuhaimi, beliau sangat kecewa kerana agensi di bawah kementerian terbabit memandang remeh kerugian yang ditanggung oleh Pesona Pictures sedangkan ia sebenarnya memberi kesan besar kepada keseluruhan pembikinan filem 1957: Hati Malaya. "Mungkin bagi mereka jumlah kerugian itu kecil, tetapi bagi kami ia memberi kesan sangat besar kepada bahagian produksi. Kami berasa kecewa kerana begitu sukar sekali kami mengumpul dana sehingga terpaksa mengeluarkan dana sendiri. Sememangnya pada awal lagi seboleh-bolehnya, kami tidak mahu menggunakan dana sendiri memandangkan filem ini adalah filem kemerdekaan," jelasnya lagi .

Filem 1957: Hati Malaya dibuat dengan semangat setia kawan karyawan dan pelakon dari pelbagai bangsa. Selain itu, Pesona turut mendapat bantuan dan sokongan juruteknik penerbitan dalam dan luar negara serta pelakon tambahan hampir 500 orang yang semuanya bersetuju menerima bayaran terhad kerana menjiwai filem ini. "Saya harap pemimpin negara dan pemimpin politik boleh meluangkan sedikit masa untuk turut menonton Hati Malaya kerana filem ini juga untuk mereka dan bukan saja untuk golongan muda tetapi pemimpin sekarang.

Sumber : Berita Harian

Tuesday, October 30, 2007

Fahrin, Linda masih membisu seribu bahasa

AWAL September lalu, angin bertiup membawa perkhabaran pasangan ‘teman tapi mesra’ ini bakal melangkah ke fasa baru dalam perhubungan mereka. Melangkah ke alam pertunangan barangkali berita itu paling dinanti oleh pihak media mahu pun peminat pasangan selebriti yang masih tegar berahsia soal hati, Linda Onn dan Fahrin Ahmad.

Sebetulnya berita pertunangan mereka bukan pertama kali diperkatakan. Sedikit masa lalu, pasangan ini pernah dikhabarkan menjalin ikatan pertunangan di Tanah Suci Makkah namun baik Linda mahu pun Fahrin mereka berkeras menafikannya. Apabila persoalan itu kembali diajukan kepada mereka berdua, pantas pasangan ini menepis dengan berkata, berita itu hanya sekadar khabar angin. Jujurnya, kata Linda mahu pun Fahrin, perjalanan ke alam itu (pertunangan) masih lagi jauh.

“Belum ada dalam fikiran lagi perancangan untuk mengikat tali pertunangan,” kata aktor bertubuh sasa yang baru saja membintangi slot Samarinda, Kasih Suci, perlahan tetapi serius. Sampuk Linda, sesekali memandang Fahrin bagaikan meminta persetujuan, hubungan mesra mereka berjalan lancar. Kekal sebagai teman akrab namun untuk bercerita lanjut ke mana mahu dibawa perhubungan itu, mereka belum mempunyai jawapannya. “Kami bahagia berteman,” kata Linda dalam senyuman manis yang tersirat makna yang mendalam.

Masih cuba berselindung, mereka tidak menolak keserasian antara mereka berdua sepanjang menjalin persahabatan. Fahrin sendiri mengakui Linda ialah antara teman wanita yang paling akrab dengan dirinya tetapi katanya tegas, untuk ke peringkat seterusnya mereka belum ada perancangan. Sekadar beralasan, Fahrin dan Linda tidak menolak ketentuan jodoh cuma kata mereka sepakat, masa belum sesuai untuk bercerita panjang mengenai soal hati. Atau mungkin Linda masih belum yakin Fahrin mampu mengemudi perhubungan mereka? Sengaja pertanyaan itu dijolok, sekadar ingin mendasari sedalam mana ikatan hati antara mereka berdua.

“Kami tidak mahu meletakkan tarikh tertentu. Seandainya terlalu memikirkan sangat cakap orang, sedangkan kami belum bersedia disebabkan komitmen kerja yang ketat, apabila hubungan ini tidak menjadi kami juga yang mendapat malu. “Justeru, lebih manis jika perkara ini tidak terlalu diperkatakan. Jujurnya, saya juga seperti Fahrin, belum terfikir lagi untuk membawa persahabatan kami melangkah setapak lebih jauh lagi,” kata Linda.

Seandainya hanya berteman, barangkali Linda tidak terasa hati apabila melihat foto mesra Fahrin dan pelakon wanita popular, Fasha Sandha dalam sebuah majalah. Kata Linda, Fahrin ada memberitahunya mengenai hal itu malah peminat sendiri, banyak yang melenting dan marah apabila foto itu tersiar. Seperti kata Linda, perasaan cemburu langsung tidak bertunas di hatinya kerana dia bukan wanita yang suka menyimpan prasangka.

“Lagipun Fahrin sudah memaklumkan itu gambar lama, diambil tahun lalu cuma baru-baru ini saja disiarkan. Saya sendiri tidak tahu untuk apa disiarkan? “Mahu mengundang rasa cemburu di hati saya? Tidak mungkin kerana saya bukan seorang yang kuat cemburu. Lagipun saya sudah masak dengan permainan dalam industri hiburan, jadi untuk apa saya melatah,” kata pemilik rangkaian restoran My Mom’s Chicken Rice itu.

INFO: Fahrin dan Linda

Pelakon berusia 28 tahun ini berkawan rapat dengan Linda Onn, 30, sejak empat tahun lalu. Cuma beberapa bulan kebelakangan ini, hubungan rapat mereka kerap diperkatakan media hingga timbul gosip mereka mengikat tali pertunangan, baru-baru ini.

Aktor yang hangat dengan drama Datin Diaries dan Kau Yang Ku Sayang juga dikatakan menjadi tempat Linda mengadu selepas dia dihambat dengan kontroversi kegagalannya untuk muncul mengacarakan permaidani merah Anugerah Academy Ke-79, akhir Februari lalu.

Ketika Linda menjejakkan kaki di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas insiden itu, Fahrin setia menyambutnya dengan menghadiahkan sejambak bunga. Ia sekali gus menguatkan kenyataan hubungan mereka tidak lagi sekadar kawan biasa, sebaliknya lebih daripada itu.

Namun hingga kini, baik Fahrin mahu pun Linda selesa mengakui hubungan mereka hanya sebagai teman biasa.

Sumber : Berita Harian

Nur Fatima semakin selesa tulis lirik lagu

LAGU Caramu (Nikki), Saling Terpesona (Diddy & Yanie), Malu Tapi Mahu (Dina), Satu Harapan (Jaclyn Victor) dan Hilang (Dayang Nurfaizah) sememangnya cukup popular di kalangan penggemar muzik Melayu masa kini. Mudah menangkap perhatian dengan irama dan liriknya, lagu berkenaan sering saja menjadi pilihan pendengar.

Seperti biasa, apabila sesebuah lagu menjadi popular, si penyanyi akan secara langsung mendapat nama. Ketika itu, tidak ramai yang memberikan perhatian kepada pencipta dan penulis liriknya. Istimewanya barisan lagu yang disebutkan tadi ialah apabila kesemuanya dicipta oleh komposer muda berbakat, Audi Mok dan liriknya pula hasil karya Nur Fatima. Walaupun pada asalnya dia sendiri bergelar penyanyi, namun tidak dapat disangkal, lirik tulisannya ketika ini sering menjadi pilihan terutama oleh Audi.

"Memang jika dilihat kepada perkembangan sejak akhir-akhir ini, banyak lirik yang saya hasilkan adalah untuk lagu ciptaan Audi. Mungkin, kepercayaan yang diberikan itu membuatkan saya senang bekerjasama dengan pencipta ini. Lagipun, tiada salahnya untuk saya aktif berkarya apabila dia memberikan saya peluang untuk berbuat demikian," ujar Nur Fatima.

Langkah panjangnya dalam bidang penulisan bukan bermakna wanita muda yang pernah bergelar penyampai berita di 8TV ini melupakan terus minat asalnya iaitu menyanyi. Bahkan, di samping sibuk mengumpul bahan untuk dimuatkan dalam album terbaru yang bakal dirakam di bawah label Satu Muzik, dia juga mengasah bakatnya dalam dunia penciptaan lagu. "Insya-Allah, lagu ciptaan sendiri akan dimasukkan sekali dalam album studio yang mungkin dirakam bermula hujung tahun ini," katanya ketika ditemui di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Ditanya mengenai album baru itu, Nur Fatima memberitahu, dia masih mengekalkan konsep pop untuk kepuasan diri sendiri dan peminat. Begitupun, dia bagai berjanji, jika dibandingkan dengan penghasilan terdahulu, tentunya album kali ini jauh lebih matang. "Ketika saya merakamkan album pertama, saya masih cukup muda. Waktu itu, usia saya baru 17 tahun. Kini, pada usia 25 tahun, rasanya banyak pengalaman yang sudah saya timba dan lebih banyak ilmu nyanyian yang saya terima. Tentunya faktor itu memberikan keyakinan buat saya menghasilkan sesuatu lebih baik dan bermakna," katanya.

Sudah tentu, jika berupaya, dia ingin menghasilkan sendiri album berkenaan. Namun, khidmat nasihat dan kepakaran mereka yang lebih berpengalaman tidak dinafikan, masih diperlukan oleh wanita ini untuk membikin album terbarunya. Justeru, Audi yang dianggapnya lebih berpengetahuan dalam penghasilan album, dilantik sebagai penasihat dan penerbit untuk projek ketiga. Nur Fatima dan Audi bukanlah baru setahun dua berkenalan. Hubungan seni sudah wujud antara mereka sejak kira-kira empat tahun lalu, ketika komposer itu turut menerbitkan beberapa lagu untuk Gadis, album keduanya.

Sayang sekali, album itu gagal melonjakkan namanya untuk sama-sama berdiri sama tinggi dengan penyanyi wanita lain. Meskipun begitu, siri Gol & Gincu sedikit sebanyak mengingatkan peminat kepadanya apabila lagu merdu ciptaan Azlan Abu Hassan, Tiada Ertinya, kerap kali diputarkan walaupun ia tidak diangkat sebagai single utama cerita berkenaan. Saat senggang yang tersedia selepas kelahiran album kedua, tidak dipersiakan Nur Fatimah begitu saja. Sebaliknya dia menggunakan kesempatan itu untuk mencuba bidang penulisan (lebih 40 lagu ditulisnya sejak tiga tahun lalu) dan penyampaian berita.

"Sewaktu bertugas bersama 8TV sebagai penyampai berita, saya akui ia membantu diri saya berkomunikasi dengan orang ramai secara lebih baik. Peluang keemasan itu nyata tidak sia-sia," kata bakat muda ini yang lebih gemarkan jalur muzik bercorak balada dengan sentuhan jazz apabila menghasilkan sesebuah irama. Kini, Nur Fatima kembali ke sebuah kolej swasta untuk mempertajamkan lagi ilmu muziknya, dengan mengambil kursus kejuruteraan audio. Katanya, sebagai pencinta muzik, dia sedar betapa pentingnya ilmu di dada.

Apatah lagi dengan pengetahuan yang ada, dia akan lebih mudah berkomunikasi bersama pekerja di studio rakaman. Baru saja bermula tahun ini, pengajian pada peringkat diploma itu akan berlanjutan selama enam semester. Tentunya Nur Fatima kini sibuk mentelaah apabila peperiksaan penggal difahamkan akan diadakan sebaik saja pelajar selesai berhari raya.

Info:

NUR FATIMA kini bernaung di bawah label Satu Muzik, untuk tempoh tiga tahun.

WALAUPUN artis baru muncul bagai cendawan tumbuh, artis ini tetap mendapat tempat di hati penganjur apabila tawaran untuknya mengadakan persembahan tetap hadir ke sisi.

SEBELUM ini, Nur Fatimah turut menerima segulung sijil daripada Icom dalam bidang muzik.

BAKAT penyanyi ini mula dikesan ketika muncul juara rancangan Bintang Gala 2 1999. Ketika itu, dia mengalahkan Dia Fadila yang muncul pemenang kedua.

SELAIN Tiada Ertinya, penyanyi ini juga pernah meletup bersama lagu Selembut Sutera dan Hanya Kau (Feeling You).

Sumber : Berita Harian

Menanti hasil selidik televisyen digital, siaran RTM

MUNGKIN ramai yang tidak sedar bahawa RTM sudah melaksanakan tempoh percubaan siaran televisyen digital selama enam bulan bermula September 2006. Projek yang dikenali sebagai Digital Terrestial Television Broadcasting (DTTP) itu membabitkan lebih 2,000 pengguna di Lembah Klang. Tempoh percubaan itu berakhir pada Mac 2007.

Ia membabitkan pemasangan pentafsir kod Set Top Boxes (STB) di rumah pengguna yang menyertai projek percubaan itu. Dalam tempoh itu, DTTP akan disiarkan setiap hari mulai jam 7 petang hingga tengah malam, memaparkan program yang disiarkan oleh RTM 1, RTM 2, dan saluran digital baru, RTMi. Saluran RTM1 pula menyiarkan empat genre program iaitu drama, muzik, maklumat dan sukan/aksi, selain memperkenalkan program interaktif seperti Music Active, News Active, Games Active dan Radio Active.

Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Chia Kwan Chye pernah dipetik sebagai berkata, sepanjang tempoh percubaan, satu kaji selidik akan dijalankan di kalangan mereka yang mengambil bahagian, bagi mengumpul maklum balas dan mengakses penerimaan penonton. Semua maklumat yang dikumpul memainkan peranan penting dalam menentukan cara-cara untuk melaksanakan DTTP dengan lebih berkesan pada masa hadapan. Semua maklumat itu dikumpulkan oleh Pasukan Petugas Digital Kementerian Penerangan dalam satu laporan, yang akan dihantar kepada Pasukan Petugas pendigitalan Negara.

Siaran percubaan pendigitalan belanja sehingga RM26 juta daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM73 juta dalam projek pendigitalan negara. Sehingga hari ini, selepas enam bulan, kita belum mendengar sebarang laporan terbaru berkaitan dengan saluran digital RTMi. Kita juga ingin tahu apakah percubaan itu berjaya atau gagal. Kalau gagal, apakah tindakan untuk mengatasinya atau operasi RTMi dibatalkan? Sekiranya berjaya, bila pula operasi RTMi hendak bermula?

Mungkin Kementerian Penerangan belum bersedia untuk menghebahkannya kepada umum berhubung perkembangan terkini RTMi yang sudah operasinya sudah beberapa kali ditangguhkan. Sementara itu, pada 23 Oktober lalu, Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Kementerian Penerangan akan memasang alat pemancar digital di stesen pemancar utamanya iaitu di Menara Kuala Lumpur dan Hulu Kali untuk memperbaiki siaran RTM di Lembah Klang.

Katanya, penggunaan alat pemancaran teknologi baru ini adalah sebahagian daripada usaha RTM untuk merintis projek pendigitalan bagi meningkatkan kualiti penyiaran stesen televisyen nasional. Beliau berkata projek itu membabitkan pusat penerbitan dan sistem penyiaran TV di Angkasapuri dengan tumpuan diberikan terhadap kelengkapan audio TV secara digital di Studio 1, 2, 4 dan 5. Kementeriannya juga turut memberi perhatian terhadap sistem digital satelit membabitkan penghantaran bahan penyiaran daripada Angkasapuri ke Kota Kinabalu dan Kuching, dan sebaliknya.

Kenyataan Zainuddin dan Chia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menaik taraf penyiaran RTM. Memang semua proses ini membabitkan satu kajian teliti. Tetapi rancangan untuk memasang alat pemancar digital perlu menjadi keutamaan. Tidak dinafikan, walaupun tinggal di Lembah Klang atau di sekitarnya seperti Kajang, Gombak, Bangi, Sungai Buloh, Petaling Jaya, Puchong, Hulu Klang atau Shah Alam, penerimaan RTM memang kadang-kadang kurang ‘cantik’ kecuali kalau melanggan Astro.

Ada yang merungut terpaksa mengalih atau menggoyangkan aerial TV semata-mata hendak mendapatkan siaran RTM yang baik. Selain siaran yang baik, cadangan penggunaan alat pemancar digital diharap boleh meningkatkan taraf dan kualiti persembahan serta penyiaran RTM. Persembahan yang bagus penting juga kerana ia membabitkan kualiti gambar dan bunyi atau visual dan audio. Kebelakangan ini RTM sangat komited menyiarkan program bermutu. Baik program daripada pembekal atau terbitan dalaman (in-house production). Bagaimanapun, sering kali yang menimbulkan rasa tidak puas hati penonton ialah mengenai kualiti audio atau bunyi yang kurang jelas.

Ini sangat ketara pada program yang disiarkan secara langsung oleh RTM, terutama dari Auditorium Perdana. Umpamanya, ketika pertandingan Akhir Juara Asyik 2007 pada Sabtu lalu, apabila kualiti audio yang kurang memuaskan di TV menjadikan bunyi yang mendatar. Adalah penting kejuruteraan RTM menilai dan memeriksa apakah punca audio dari auditorium kedengaran ‘biasa’ saja? Adakah ia mempunyai kaitan dengan teknologi pemancar? Program lain seperti drama, dokumentari dan sebagainya, gambar atau visual pula kurang jelas atau jernih walaupun kualiti kandungannya sangat baik.

Kurang jelas ini ialah gambar yang kabur dan kusam seolah-olah ia drama penerbitan tahun 80-an pula. Perkara itu barangkali kelihatan remeh tetapi ia penting bagi pendengar dan penonton. Persembahan audio dan visual yang bagus juga adalah sebahagian daripada kepuasan menonton televisyen.

Sumber : Berita Harian

Demi imej, maruah

TANPA disangka kenyataan bela diri yang dikeluarkan penyanyi Siti Sarah Raisuddin berhubung kes kegagalannya menjayakan konsert yang diatur awal oleh Ezlynn Entertainment ibarat memakan dirinya sendiri. Ternyata, sidang media tergempar yang dilakukan Sarah sebagai membalas kenyataan Ezlynn yang tersiar dalam sebuah akhbar sisipan tidak lama dulu menimbulkan perasaan kurang senang pihak Ezlynn Entertainment.

Bertemu penyanyi yang sedang popular dengan lagu Jikalau Aku ini bersama pengurusnya, Adam pada majlis rumah terbuka KRU minggu lalu membongkar satu rahsia yang selama ini disimpan rapi. Seperti mana Sarah yang ingin mempertahankan reputasinya sewaktu mengadakan sidang media itu, begitulah juga hasrat Ezlynn dan pengurusnya apabila mengambil keputusan untuk bersuara serta menceritakan perkara sebenar.

Bukan niat untuk mengeruhkan keadaan tetapi menurut Adam yang mewakili Ezlynn Entertainment, kenyataan Sarah yang mereka sifatkan berunsur fitnah itu perlu segera dijelaskan supaya tidak mengelirukan ramai pihak. Paling mengejutkan apabila Adam mendakwa kebanyakan kenyataan Sarah yang tersiar di media banyak yang tidak benar serta boleh menjejaskan reputasi syarikatnya di mata promoter persembahan. Jika sebelum ini mereka hanya menunggu peluang untuk Sarah tampil bersemuka dengan mereka sambil menjelaskan alasan dia enggan menjayakan persembahan kini semua peluang itu sudah tertutup rapat.

Bagi mereka, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Justeru, atas nasihat peguam, mereka kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas penyanyi yang pernah popular dengan lagu Kesetiaan ini. Satu keputusan yang berat untuk diambil tetapi demi maruah serta tidak mahu perkara sama berulang, tegas Adam biarlah undang-undang yang menentukan segala-galanya.

Hip: Apa sebenarnya yang anda tidak puas hati terhadap kenyataan Sarah tempoh hari?
Adam: Sebaik saja kami baca kenyataan Sarah yang tersiar di media, kami amat terkejut kerana apa yang dia ceritakan kebanyakannya tidak benar. Kami tak sangka Sarah boleh keluarkan kenyataan sedemikian rupa walhal dia sebenarnya tahu perkara sebenar yang berlaku. Tapi tak apa, pihak kami mempunyai bukti untuk menidakkan segala dakwaan Sarah yang bercanggah itu.

Hip: Apa maksud Adam apabila menyatakan Sarah tidak bercakap benar?
Adam: Berdasarkan apa yang dinyatakan Sarah, dia berkata, pihak kami memaklumkan sehari sebelum persembahan itu diadakan. Itu tidak benar kerana Sarah sebetulnya sudah sedia maklum bila persembahan itu diadakan dan berjanji akan pulang secepat mungkin untuk menghadiri persembahan itu. Malah, pembantunya yang bernama Wan juga tahu Sarah terbabit dengan komitmen itu. (Adam turut menunjukkan kiriman SMS daripada Wan mengenai perkara itu untuk dijadikan bukti). Dia juga mengesahkan bahawa Sarah tidak mempunyai sebarang komitmen pada hari yang dimaksudkan. Jadi apabila Sarah kata dia hanya mendapat tahu mengenai persembahan itu pada saat akhir dan tidak dapat menghadirkan diri kerana terbabit dengan komitmen lain di Singapura, itu yang saya kesalkan.

Hip: Apa yang berlaku selepas itu?
Adam: Sebelum ini ada pihak bertanyakan pada saya, adakah saya pasti Sarah akan pulang pada masa yang dijanjikan sebelum ini kerana menurut orang itu, Sarah terbabit dengan komitmen lain serentak dengan persembahan yang saya anjurkan. Perkara itu sedikit sebanyak membimbangkan saya. Memang benar kerana tiba pada hari yang sepatutnya Sarah pulang, bayangnya pun tak nampak. Lantas saya cuba menghubungi Sarah, malangnya dia gagal dihubungi. Begitu juga dengan pembantunya Wan. Puas saya hubungi tetapi kedua-duanya sukar dikesan. Saya juga cuba hubungi ibu Sarah dan jawapan yang diterima juga menghampakan. Kemudian kami turut menghubungi tunang Sarah dan menyatakan tujuan kami. Tunang Sarah, Fuad juga berjanji untuk mendapatkan Sarah tapi akhirnya sepi tanpa sebarang berita. Paling mengejutkan, kami mendapat tahu Sarah terbabit dengan komitmen lain di Singapura menerusi sepupu Sarah yang menghubungi kami mengenai perkara itu. Kami hairan mengapa Sarah menggunakan sepupunya untuk memaklumkan perkara itu? Kenapa tidak terus menerus kepada kami? Itu yang menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.

Hip: Mungkin ada salah faham di mana-mana. Silap komunikasi misalnya?
Adam: Saya tidak rasa itu yang berlaku. Sarah tahu sebenarnya dia ada show pada hari itu cuma dia saja yang tidak mahu hadir dengan alasan yang saya sendiri tidak tahu. Kalaulah dia kata dia tidak tahu menahu mengenai persembahan itu masakan dia boleh berikan senarai lagu yang akan dinyanyikan pada hari itu. Dengan tulisan tangan lagi. Jadi apabila dia memaklumkan bahawa dia mendapat tahu mengenai persembahan itu di saat akhir, memang tidak logik.
Hip: Tapi menurut Sarah, dia tidak menandatangani sebarang dokumen atau menerima deposit, jadi dia tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini.
Adam: Ini lagi satu hal. Sebelum ini Sarah sendiri pernah meminta Adam untuk menguruskannya memandangkan dia kini tidak mempunyai pengurus. Ini berlaku sejak April lalu. Walaupun tidak secara hitam putih namun dia bercakap secara lisan bahawa saya adalah pengurusnya dan apa-apa hal sila rujuk kepada saya. Malah dalam beberapa penerbitan sebelum ini dia sendiri mengaku bahawa Adam yang menguruskannya. Secara tidak langsung, menurut peguam kami kenyataan secara lisan itu sendiri sudah membuktikan bahawa dia secara automatik melantik Adam sebagai pengurusnya. Begitu juga dengan soal deposit. Sebelum ini, Adam pernah juga memberikan beberapa show untuk Sarah dan menurut Sarah, dia lebih senang menerima duit selepas persembahan berakhir. Bukan sekali dua, malah setiap kali dia mengadakan persembahan yang saya uruskan, itulah juga kehendaknya. Dan untuk persembahan yang dia tidak hadir itu, saya masih bertanyakan sama ada dia mahu wang pendahuluan dan jawapannya tetap serupa. Jadi tidak timbul soal dia tidak mengambil deposit atau menandatangani apa-apa perjanjian menyebabkan dia bebas untuk bertindak sewenang-wenangnya. Kenyataan ini jelas bercanggah.

Hip: Selain itu, pihak pengurusan Ezlynn Entertainment juga didakwa sering tidak mengesahkan show yang ditawarkan pada Sarah?
Adam: Kami ingin membetulkan kenyataan Sarah itu. Dia salah faham sebenarnya. Lazimnya sebelum saya menawarkan sebarang show, saya akan bertanyakan kepada seseorang itu sama ada dia free atau tidak pada hari yang dimaksudkan. Maksud saya itu hanyalah pertanyaan biasa yang memang dibuat mana-mana pengurus kepada artis. Saya juga bertanyakan pada Ezlynn perkara yang sama. Bukan bermakna pertanyaan itu bererti satu tawaran. Itu prosedur biasa antara pengurus/promoter persembahan dan penyanyi. Dalam hal ini, memang silap dia dan saya tidak pernah berjanji apa-apa padanya.

Hip: Selepas berlakunya peristiwa itu ada tak pihak Ezlynn Entertainment cuba bersemuka dengannya?
Adam: Itu sudah pasti dan apa yang membuatkan kami rasa nak tergelak apabila Sarah mengatakan dia sukar untuk menghubungi kami selepas kejadian itu walhal apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sarah, sebaik saja insiden itu terjadi terus menukar telefonnya. Kalau benar dia berada di pihak yang benar mengapa dia perlu menggunakan sepupunya sebagai orang tengah untuk memaklumkan dia tidak dapat hadir kerana terbabit dengan hal lain. Mengapa dia tidak menghubungi kami sendiri. Nampak sangat di sini siapa yang takut berjumpa siapa. Ada satu lagi insiden yang berlaku iaitu kami ada bertemu sewaktu masing-masing menjayakan persembahan di Finas. Pada masa itu saya cuba bersemuka dengan Sarah dan bertanyakan mengapa dia tidak hadir persembahan kami. Apa yang berlaku, reaksi Sarah seolah-olah tidak tahu menahu apa yang terjadi. Perbuatan Sarah itu benar-benar membuatkan kami bengang. Malas melihat ‘lakonan’ Sarah itu kami pun meninggalkannya.

Hip: Mengapa perlu mencari jalan penyelesaian di mahkamah. Sempena hari baik bulan baik ini, mungkin ada ruang kemaafan diberikan pada Sarah?
Adam: Sebenarnya, kami sendiri tidak mahu jalan penyelesaian secara sebegini. Namun selepas Sarah membuka mulut di media dan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap kami, kami perlu bertindak kembali membersihkan nama kami. Adalah lebih baik jika Sarah datang berjumpa dengan kami dan berbincang mengenainya, tentu kami akan menggunakan budi bicara kami untuk mencari jalan penyelesaiannya. Namun, dia sendiri lebih rela memilih media sebagai jalan akhir. Jadi, selepas peguam kami menilai kembali apa yang dikatakannya dan didapati boleh dipertikaikan kesahihannya maka pihak kami sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atasnya. Ini sudah bukan kes peribadi yang hanya boleh selesai dengan lafaz maaf. Sebaliknya, ia membabitkan reputasi syarikat, jadi kami perlu bertegas supaya peristiwa seperti itu tidak akan berulang di kemudian hari. Apapun tunggu saja keputusan rasmi daripada kami.

Hip: Serik tak hendak menguruskan artis lain?
Adam: Dengan artis lain mungkin tidak tetapi ya bagi Sarah. Terus terang, kami memang menyesal sangat-sangat tolong Sarah. Peristiwa ini menjadi pengajaran buat kami supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Sumber : Berita Harian

Artis baru dihanyut fesyen terkini

SEJAK kembali bertugas minggu lalu, ramai pembaca Harian Metro menghubungi rakan SS untuk berkongsi cerita mengenai artis masa kini yang berpakaian tidak kena gaya.

Terbaru, seorang pemanggil bernama Azli menghubungi rakan SS meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap cara berpakaian artis sekarang.Katanya, kebanyakan artis generasi baru kini seakan 'hanyut' dengan perkembangan fesyen. Hinggakan mereka 'gagal' menggayakan pakaian sesuai mengikut majlis dihadiri.Ceritanya, baru-baru ini, ada artis berpakaian sendat mendat ketika menghadiri satu majlis rumah terbuka. Sekarang ini masih dalam 'mood' raya, apa salahnya artis itu bergaya dengan baju kurung atau kebaya.Bukankah lebih manis.

Dalam soal ini, Azli mengakui artis lama lebih bijak memilih. Malah, ada antara bintang lama ini tidak lekang berbaju kebaya biarpun berusia.SS tidak menafikan ada benarnya juga kata Azli itu. Tetapi, tidak semua artis baru bersikap begitu. Masih ramai lagi yang SS lihat tahu memilih pakaian sesuai ke majlis.

Mungkin segelintir saja. Bagaimanapun, SS puji penampilan Datin Normala Samsudin. Bukan apa, beliau yang dulunya personaliti TV popular, kini bijak membawa diri sebagai isteri menteri.Setiap kali menghadiri majlis bersama suaminya, Datuk Seri Azmi Khalid yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, pasangan bahagia itu sering berpakaian sedondon.

Justeru, tidak hairanlah mengapa lensa kamera sering memberi tumpuan pada mereka. Apapun, SS harap artis baru dapat menerima teguran ini. Ia sekadar luahan perasaan peminat saja.

Sumber : Metro

Aura Mawi tiada tandingan

SEHEBAT mana 'magis' dilakukan Mawi, begitu jugalah besar 'auranya' pada peminat. Bahkan, sebut saja nama Asmawi Ani, siapa tidak mengenali penyanyi pujaan ramai ini.

Malah, anjurkan apa saja aktiviti membabitkannya pasti menjadi tumpuan dan mendapat sambutan. Buktinya, majlis Riang Ria Aidilfitri Bersama Mawi, kelmarin.Majlis selama empat jam di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang itu nyata 'lebih' mendekatkan Mawi 'di hati' peminat setianya.Seawal jam 2 petang peminat dari Kelab Peminat Mawi (Mawi FC) sudah berada di dewan itu.

Biarpun Mawi hanya muncul pada jam 3,30 petang namun peminat masih setia menunggu.Sebaik tiba, Mawi terus menghiburkan peminat dengan dua lagu, Angan Dan Sedar serta lagu raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Hj Arshad.Mendengar saja lontaran suara Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dua kali berturut-turut itu, peminat bersorak dan memberi tumpuan penuh.

Tidak ketinggalan, ada peminat naik ke pentas membawa bunga, termasuk peminat bernama Fatimah dari Kluang, Johor. Wanita berusia 50-an itu nyata teruja bertemu Mawi.Fatimah memberitahu, pernah bersua Mawi yang berkunjung menikmati hidangan nasi campur di kedai makannya pada 17 Ogos tahun lalu. Sayangnya, Mawi tidak ingat dan memohon maaf.Kata Mawi, setiap hari dia bertemu dengan ramai orang. Jadi, sukar mengingati mereka. Apapun, Mawi berterima kasih pada 'makcik' Fatimah atas sokongan diberi.Selepas menyanyi, kemesraan terjalin antara Mawi bersama peminatnya diteruskan lagi dengan mengadili permainan menganyam ketupat daripada riben, pertandingan memakai sampin dan menyanyikan Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Sekali lagi, makcik Fatimah yang dijemput ke pentas 'kecewa' kerana tidak dapat menunjukkan teknik menganyam ketupat yang betul. Katanya, dia mahir menganyam dengan daun kelapa.
“Kenapa minta makcik menganyam dengan riben. Mana ada orang buat ketupat dengan riben. Lain kali, kalau suruh makcik anyam ketupat, beritahu awal. Biar makcik bawa daun kelapa dari rumah.“Susah sangat menganyam. Licin. Belum pernah makcik anyam ketupat macam ini. Tapi, makcik cubalah,” katanya yang tetap dapat menyiap anyaman walaupun kurang menjadi.

Selain itu, peminat turut dihiburkan dengan nyanyian duet Mawi dan Heliza (AF5) menerusi Doa Dalam Lagu. Diikuti, Heliza mendendangkan lagu Suasana Hari Raya daripada Datuk Sharifah Aini. Mawi sekali lagi menghiburkan peminat dengan lagu ciptaannya, Ayah dan Cinta Zulaikha. Malah, turut diadakan cabutan nombor bertuah untuk peminat mendapat hadiah sumbangan Silky dan Carrefour.Majlis anjuran Mawi World Sdn Bhd (MWSB) itu dihadiri kira-kira 400 peminat.

Presiden Mawi FC, Rozita Shahadan, berkata ini tahun ketiga majlis ramah mesra seperti itu diadakan.“Memandangkan peminat Mawi terdiri daripada kanak-kanak dan golongan berusia, kami berpendapat majlis sebegini wajar. Takkan hendak bawa mereka saksikan konsert pula,” katanya.Rozita berkata, Mawi seorang artis yang baik, kelakar dan mudah mesra. Malah, dia menyifatkan sikap itulah membuatkan pemuda berusia 26 tahun ini begitu diminati ramai.

“Terus-terang saya katakan, Mawi memang ada aura tersendiri. Dia juga merendah diri orangnya dan tiada bersikap eksklusif. Maksudnya, sesiapa saja senang mendekatinya,” kata Rozita.Sementara itu, Mawi yang kini kelihatan kurus berkata, sambutan hari rayanya bersama keluarga tetap diraikan meriah walaupun dia sibuk di lokasi penggambaran filem Aduh Saliha.“Ketika Aidilfitri lalu, saya bercuti selama lapan hari. Tempoh itu, masa dihabiskan dengan keluarga dan kami sempat beraya di rumah saya di A Famosa, Melaka.

“Kini, saya sedang menunggu panggilan menjayakan penggambaran Aduh Saliha semula. Buat masa ini, 20 peratus sudah siap. Ternyata berlakon bukan perkara yang mudah.“Lebih-lebih lagi, berlakon di bawah pengarah yang 'tidak terjangkau imaginasinya' seperti M Nasir. Pada saya, M Nasir begitu teliti dan sangat mementingkan kualiti,” katanya.Ditanya sama ada dia sempat beraya di rumah 'kekasihnya', Mawi selamba mengakui dia tidak berpeluang. Katanya, cuti terhad menyebabkan dia hanya menghabiskan masa bersama keluarga saja.
Pada majlis Riang Ria Aidilfitri itu, Mawi turut menghulur sumbangan RM1,000 kepada Rumah Anak Yatim Baitul Ummah, Hulu Klang. Termasuk cenderahati kepada 60 anak yatim yang hadir.

Sumber : Metro

2 beradik satu haluan

Itulah 'tuah' menyebelahi dua beradik, Asiahtunakmar dan Sofiah Abdullah. Pilihan mereka nyata tepat apabila kerjaya mereka mendapat perhatian peminat masing-masing.Bukan itu saja, mereka juga berjaya mengubah nasib keluarga. Kalau dulu menetap di kawasan flet, tetapi Aidilfitri tahun ini mereka meraikannya di kediaman baru di Jalan Klang Lama.

Kata Asiatunakmar atau mesra dengan sapaan Akma, hanya itu dapat dilakukan untuk membalas jasa ibu bapa dan keluarga. Katanya, ini juga masa sesuai berikutan dikurniakan rezeki lebih.Bekas bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) dan pertandingan Gadis Metro 2004 anjuran akhbar Harian Metro itu mengakui rezekinya murah dalam nyanyian. Sekalipun masih tiada album, dia tetap menjayakan persembahan pentas.

“Setakat ini saya bersyukur dengan rezeki diperoleh. Malah, selain menyanyi saya turut meraih peluang berlakon. Saya baru habis menjayakan dua episod penggambaran drama Otai, arahan Mat London.“Bukan itu saja, saya juga akan berlakon dalam telefilem komedi Daun Kesum Daun Kari. Apa yang saya lakukan ini kerana minat dan tidak salah jika cabang seni ini dikembangkan.

“Saya sekadar mencuba peluang yang diberi. Apapun, tumpuan pada nyanyian tetap utama. Buat masa ini, saya sudah merakamkan dua lagu 'single' berjudul Tetap Menanti dan Pergilah,” katanya.Gadis tinggi lampai berusia 23 tahun ini berkata, dua lagu itu hasil ciptaan kakaknya, Sofiah. Kata Akma, dia berminat menjadikan lagu itu 'single' terbaru kerana melodinya sedap.

“Lagu ini akan diterbitkan di bawah label syarikat saya, Akma Konichiwa Music Sdn Bhd. Syarikat ini ditubuhkan selepas saya keluar daripada Maestro Talent & Management (Maestro).
“Kini, semua aktiviti saya diuruskan syarikat ini yang dikendalikan keluarga. Alhamdulillah, jadual seni saya juga teratur. Sekurang-kurangnya, kerjasama dengan keluarga lebih mudah,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan raya, Akma berkata ia tetap dirai sederhana walaupun beraya di rumah baru. Katanya, macam biasa tumpuan lebih diberikan pada keperluan rumah, dapur dan keluarga.“Bagi diri sendiri, tiap-tiap tahun saya bersyukur pakaian raya biasanya dihadiahkan peminat. Justeru, saya mengucapkan terima kasih pada mereka (peminat) yang bermurah hati.“Kuih raya pula, saya memang tidak ketinggalan membuatnya bersama Sofiah. Setiap tahun, itu memang kerja kami dan biasanya biskut Cornflakes jadi pilihan,” kata anak keempat dalam keluarga itu.

Sementara itu, Sofiah yang bertugas di stesen radio Klasik Nasional berkata, persiapan rayanya cukup sederhana. Kalau adiknya, Akma mendapat baju raya hadiah peminat, dia pula terpaksa beli sendiri.“Saya tiada peminat ramai macam Akma. Kemunculan saya sebagai juruhebah radio kerana minat. Jadi, saya tidak kisah berkhidmat di stesen radio di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Terus-terang, saya tidak kejar glamor. Saya menyertai kerjaya ini kerana minat dalam industri ini (seni). Saya mahu memartabatkan seni dan budaya negara kita yang pelbagai ini,” katanya.Menyentuh soal penciptaan lagu, Sofiah yang mahir bermain gitar berkata, ia perkara tidak dijangka. Katanya, bila inspirasi datang maka dapatlah dia menghasilkan lagu.Katanya, buat masa ini biarlah lagu dicipta itu dinyanyikan sendiri adiknya. Bukan tidak mahu beri pada artis lain, tapi mahukah mereka memandangkan dirinya masih baru.

Gadis berusia 26 tahun dan sudah bertunang ini mengakui kalau diikutkan dia sebenarnya mahu menyumbang lagu pada Datuk Siti Nurhaliza. Katanya, percuma pun tidak apa.“Asalkan Siti sudi, saya sangat bersyukur. Saya begitu menyukai vokal Siti yang lunak. Berikan apa saja lagu padanya, ia dinyanyikan dengan baik dan sedap. Tapi, siapalah saya.“Saya bukan pencipta lagu popular, masakan Siti akan terima. Namun, itulah impian saya. Bagaimanapun, buat masa ini biarlah saya bantu adik sendiri kerana Akma pun punya bakat menyanyi,” katanya.

Profil Akma (AF3)

NAMA: Asiahtunakmar Abdullah
PANGGILAN: Akma
UMUR: 23 tahun
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
KELUARGA: Keempat daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Diploma Seni Muzik di UiTM, Shah Alam
PENCAPAIAN: Juara Ogos pertandingan Gadis Metro 2004, Who Will Win The Malaysian Topstar (WWWTMT) dan Akademi Fantasia 3 (AF3).

Profil Sofia

NAMA: Sofiah binti Abdullah
PANGGILAN: Sofia
UMUR: 26 Tahun
KERJAYA: Juruhebah radio Klasik Nasional
STATUS: Bertunang
HOBI: Memetik Gitar & Membaca
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), UiTM Shah Alam
PENCAPAIAN: Naib juara pertandingan Gadis Metro September 2004
PENGALAMAN: Juruhebah sambilan di Putra FM, UPM (Oktober 2004-Februari 2005), berkhidmat di RTM sebagai juruhebah Nasional fm pada Jun 2005.

Sumber : Metro

Monday, October 29, 2007

Dia kecewa album kurang promosi

SULIT untuk dia mempercayai apa yang berlaku terhadapnya. Apatah lagi, selepas dia memberikan sepenuh kudrat dan jiwa untuk pembikinan album keduanya itu. Namun, sejak dipasarkan akhir April lalu, langsung tiada promosi yang dibuat. Hanya sesekali single pertamanya, Na Na Na Kataku diputarkan dan selepas itu, kata Dia Fadila, tiada perancangan lain dibuat untuk memperkenalkan album itu.

Bingung dengan apa yang berlaku, gadis berusia 23 tahun itu berusaha melakukan sendiri promosi kerana Dia percaya produk keduanya bersama Warner Music itu mempunyai kekuatan tersendiri. “Syarikat rakaman seperti tidak mempunyai keyakinan terhadap produk itu. Mungkin kerana ia produk yang diilhamkan daripada pengurusan lalu menyebabkan mereka kurang yakin untuk mempromosikan album itu. “Mungkin mereka lupa Dia sudah meletakkan sepenuh tenaga dan hati ketika pembikinan album itu dulu. Sayang jika terbiar begitu saja. Jadi, apabila ada kesempatan, Dia usahakan lakukan promosi sendiri,” katanya.

Jauh di sudut hati, gadis yang pernah melonjak dengan lagu Andai dan Tangisan Marhaenis, duet bersama Hattan itu melihat dirinya seperti mangsa keadaan. Peristiwa yang sama pernah menimpanya ketika album sulung hendak dipasarkan. Tanpa dia menduga, kejadian itu berulang semula saat Na Na Na Kataku disiapkan.

“Dia rasa seperti patah sayap apabila keadaan ini berlaku. Mahu atau tidak Dia harus memikirkan inisiatif sendiri untuk memperkenalkan album itu. Mereka sudah menjalankan tanggungjawab dengan menerbitkan album ini. “Dia pun tidak tahu siapa yang harus disalahkan. Banyak sebenarnya yang memerlukan penjelasan cuma Dia keliru apa yang patut dibuat. Namun, Dia sangat berharap perkara ini akan diatasi apabila album ketiga lahir nanti,” katanya.

Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini percaya, rezekinya dalam bidang nyanyian masih ada. Justeru, kata Dia, dia tidak bimbang jika perjalanan awal karier seninya dilihat kurang menyerlah. Baginya, biarlah mendaki ke puncak secara perlahan-lahan daripada naik mendadak tetapi akhirnya hilang begitu saja.

“Mungkin graf perjalanan karier Dia tidak sentiasa di atas namun Dia tidak pernah merasakan kedudukan Dia goyah. Alhamdulillah, walaupun jarang muncul di media, peminat tidak pernah melupakan Dia. “Mereka tetap ingat, begitu juga dengan tawaran mengadakan persembahan masih ada. Sokongan mereka memberi semangat untuk Dia meneruskan karier meskipun perjalanannya tidak semudah dulu,” katanya.

JAUH di lubuk hatinya, Dia mengakui sesekali dia terusik dengan dugaan yang datang namun apa daya kerana tidak mampu untuk menghalangnya. Bagaimanapun, Dia tidak mahu mengalah kepada keadaan. Jika dia masih menyimpan perasaan negatif, Dia yakin langkahnya tidak akan ke mana. Justeru, dia membuang semua tanggapan buruk dan memandang ke depan kerana Dia percaya ada cahaya menanti di penghujung perjalanannya.

“Dia tidak mahu terlalu memikirkan soal kedudukan atau populariti kerana ia hanya mengganggu tumpuan Dia terhadap perkara lain. Cuma Dia tetap menyediakan perancangan sendiri jika apa yang dirancang tidak membuahkan hasil yang diinginkan,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Melodi Raya 2007, baru-baru ini. Perancangan Warner Music, Mac depan Dia akan melahirkan album ketiga.

Namun, kata Dia, dia tidak mahu terlalu mengharap kerana apa saja kemungkinan bisa terjadi. Dia menyerahkan semuanya kepada takdir dan jika rezeki menyebelahinya, album itu bakal menjadi hadiah berharga ketika dia mengharapkan sinar baru dalam kariernya. Ditanya mengenai Ramadan, Dia berkata, bulan suci ini dia diburu kesibukan dengan menghadiri kuliah di samping menjayakan undangan majlis berbuka puasa serta rakaman program televisyen.

Sumber : Berita Harian

Kemuliaan hati Umie Aida

PENGHUJUNG Ramadan lalu, ramai juga teman CK yang hadir pada majlis amal anjuran Umie Aida dan rakan-rakan. Pada majlis berbuka puasa itu, Umie sempat mengadakan pungutan derma membantu membina semula Pusat Pengajian Islam Pondok Bandar Hilir, Teloi Tua, Sik, Kedah yang kerugian besar setelah dijilat api, 22 September lalu.

Pada majlis kecil-kecilan itu saja, Umie dan rakan berjaya memungut lebih RM21,000 untuk disumbangkan kepada pusat pengajian pondok itu. Beberapa hari lalu, Umie memberitahu seorang rakan, kutipan derma membina semula sekolah pondok itu sudah pun mencecah RM100,000. Dia nyata bersyukur kerana atas bantuan rakan media yang menghebahkan usaha murni berkenaan, lebih banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan.

Sekolah pondok itu dikatakan memerlukan kira-kira RM200,000 untuk membina semula kemudahan tempat pengajian dan membeli peralatan pembelajaran setelah kira-kira 40 pondok hangus dalam kejadian itu.

Sumber : Berita Harian

Artis marah teman lelaki

RAMAI yang berkata, seorang artis wanita sudah mula berubah perangainya sejak dia bertemu kekasih hati. Bukan saja hubungannya dengan keluarga semakin jauh, malah sikapnya juga dikatakan mula tidak menentu.

Tetapi, baru-baru ini seorang rakan bercerita, si artis ini tiba-tiba naik hantu pada teman lelakinya di depan ramai lagi artis lain. Kejadian itu berlaku ketika artis ini sedang menunggu giliran untuk menyanyi pada satu majlis. Kononnya, si artis ini marah-marah pada kekasihnya kerana dia hendak meluahkan rasa tidak puas hati.

Sebelum itu, artis ini dikatakan 'berselisih faham' dengan seorang lagi artis. Jadi, kerana tidak dapat melepaskan geramnya pada sesiapa, maka maki hamun dan carut marut semuanya keluar daripada mulut artis ini ketika dia menghubungi kekasihnya di telefon.

Artis lain yang ada di situ, turut tergamam melihat kelakuan artis muda ini. Mereka langsung tidak berani hendak berkata apa-apa, mungkin kerana bimbang tempias amarah artis ini terkena pada mereka pula. CK pun kecut perut mendengar cerita ini.

Tidak sangka pula si artis yang comel ini mampu 'melaser' sampai begitu sekali di telefon. Lain kali, kenalah hati-hati kalau berjumpa dengan artis terbabit. Siapa tahu, mungkin selepas ini api pun boleh keluar dari mulutnya nanti.

Sumber : Berita Harian

Yusry KRU damai di banglo idaman

MESKIPUN Erra Fazira sudah menamatkan zaman jandanya dengan Engku Emran Engku Zainal pada 25 Oktober lalu, bekas suaminya, Yusry Abd. Halim masih memilih untuk menyendiri.
Yusry yang turut mendapat undangan tetapi tidak dapat hadir pada hari bersejarah Erra dan Emran kerana berada di Pulau Pinang untuk penggambaran filem Cicak-Man 2, berharap pasangan itu akan berbahagia hingga ke anak cucu.

“Saya tidak rasa apa. Biarlah dia kahwin kerana jodohnya sudah sampai. Saya memang ada niat untuk berkahwin tapi bukan dalam waktu terdekat.
“Lagipun saya belum temui teman istimewa. Sekarang ini saya tidak ada masa untuk memikirkan hal lain kerana sibuk dengan kerja,” kata Yusry yang lebih dikenali Yusry KRU ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya baru-baru ini.

Jika Yusry sudah temui calon wanita idaman pasti dia akan membawa bakal isteri menetap bersamanya di banglo mewah tujuh bilik yang tersergam indah di Jalan Semarak itu.
Yusry yang berada di Pulau Pinang bersama 50 krew untuk penggambaran Cicak-Man 2 sejak 26 Oktober lalu berkata, rumah tersebut dibeli hasil daripada wang pendapatan yang dikumpul sejak awal pembabitan dalam bidang seni.

Yusry yang enggan memberitahu kos pengubahsuaian rumah tersebut hanya memberitahu bahawa itu semua adalah duit titik peluhnya selama ini.
“Rumah ini ada tujuh bilik di mana saya jadikan bilik bacaan, bilik TV, bilik tetamu dan di bahagian atas adalah bilik tidur utama. Dalam bilik tidur utama itulah saya tempatkan ruang untuk saya bekerja,” katanya.
Oleh kerana hidup seorang diri, apabila terasa lapar, Yusry akan singgah rumah ibu bapanya di Keramat dan kembali ke ‘istananya’ untuk bekerja atau tidur.

Cicak-Man 2 lebih menarik

Kejayaan Cicak-Man yang merupakan filem pertama arahannya secara tidak langsung menjadi pendorong kepada Yusry untuk membuat sekuel.
Katanya, untuk filem Cicak-Man 2, dia lebih yakin dan mengaku tidak berkira tentang bajet untuk filem tersebut.

“Untuk filem pertama, saya terikat dengan bajet. Tapi untuk Cicak-Man 2, kami akan guna kos yang lebih dan setakat ini saya tidak tahu berapa yang akan dibelanjakan kerana semuanya bergantung kepada keadaan.
“Lagipun filem ini perlu dibuat lebih baik daripada yang pertama. Malah untuk filem ini pun lebih banyak kesan imej janaan komputer (CGI) yang digunakan. Setiap adegan yang bakal dirakam bergantung kepada storyboard yang saya hasilkan,” katanya tentang perjalanan filem Cicak-Man 2.

Filem Cicak-Man 2 yang turut menampilkan pelakon Tamara Bleszynski dari Indonesia sebagai Rrama, kemungkinan menemui penonton pada hujung 2008.
“Selain daripada menampilkan beberapa wajah baru, kami juga membuat perubahan pada pakaian Cicak-Man,” katanya.

Sumber : Utusan

KRU teruskan tradisi rumah terbuka

SEJAK tahun 1993 hingga kini kumpulan KRU, yang dianggotai oleh Norman, Yusry dan Edry tidak lupa menganjurkan rumah terbuka untuk peminat-peminat.
Cuma pada tahun lepas sahaja majlis tersebut tidak diadakan kerana datuk mereka meninggal dunia.
Menurut Norman, sekarang ini biarpun tanpa kehadiran Yusry dan Edry yang sibuk menjalani penggambaran filem Cicak-Man 2 di Pulau Pinang, majlis rumah terbuka KRU tetap berjalan lancar.

Ini kerana majlis yang dianjur bertujuan memberi peluang kepada peminat-peminat untuk mengenali artis naungan KRU Production secara dekat.
“Sekarang ini kami ada atau tidak, majlis tetap berjalan kerana KRU sudah menjadi satu jenama. Lagipun inilah masa untuk peminat datang ke pejabat kami dan mengenali artis secara dekat.

“Semua artis yang bernaung di bawah KRU Production diundang tapi ada yang tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen lain. Kami tidak boleh paksa artis untuk datang atau membuat persembahan di majlis ini,” kata Norman yang mewakili adik-adiknya.

Majlis yang berlangsung sejak pukul 2 petang hingga 5 petang itu diserikan dengan persembahan daripada Dafi dan Flavor.

Norman terkilan

Dalam pada itu kata Norman, khabar angin yang mengatakan KRU Music Group (KMG) akan menamatkan kontrak Adam kerana tidak tahan dengan masalah yang ditimbulkan oleh penyanyi tersebut, adalah tidak benar.
Menurut Norman, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kumpulan KRU, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Saya benar-benar terkejut dan terkilan dengan kenyataan itu. Saya telah bertanya kakitangan KRU dan mereka mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Adam.
“Itu semua mungkin spekulasi pihak media sahaja. Saya juga pernah tegur Adam, kalau tidak boleh jangan berjanji. Bukan apa, Adam ini masih baru mungkin dia tidak bijak mengurus jadual kerjanya. Setakat ini pihak kami tidak ada masalah dengannya,” jelas Norman.

Adam yang popular dengan single Antara Dua, Joget Lambak dan Hai itu menurut Norman akan meneruskan kontraknya dengan KMG sebaik sahaja tamat kontrak dengan Maestro Records.
Norman juga menafikan yang Adam adalah anak emas KMG. Namun, dia tidak menafikan bahawa tahun ini adalah tahun bertuah bagi Adam.

Tegasnya, semua artis yang bernaung di bawah KMG mendapat layanan sama rata termasuklah Adam.
“Kami tidak mengamalkan konsep pilih kasih. Kalau ada artis yang tidak puas hati dengan pengurusan kami, mereka bebas untuk menarik diri.

“Selalunya, para artis akan meneruskan kontrak dengan KMG. Setakat ini yang keluar dari KMG ialah kumpulan Rabbani dan Pretty Ugly. Itupun kerana mereka ingin membuka syarikat sendiri. Malah kami turut berkongsi pengalaman dengan mereka tentang cara-cara menguruskan syarikat,” katanya terus terang.

Sumber : Utusan

Zarina An-Julie puntianak jelmaan baru


BAGI penonton yang menyaksikan drama bersiri baru berjudul Anak Pontianak yang disiarkan di TV3 setiap Khamis pukul 9.30 malam mulai minggu lepas, pastinya ramai ingin mengetahui pembawa watak Mia.

Gadis tinggi lampai yang diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama sebagai puntianak ini sebenarnya baru pertama kali diberi peluang untuk membawakan watak utama.

Tetapi pemilik nama sebenar Zarina An-Julie ini, optimis untuk membawakan watak tersebut biarpun mengetahui ramai akan membandingkannya dengan Maya Karin.
“Saya tahu ramai yang akan membandingkan antara lakonan saya dan Maya. Tapi saya harap mereka faham yang saya sebenarnya masih baru dan masih memerlukan tunjuk ajar daripada yang berpengalaman. Janganlah ada yang mahu membandingkan antara saya dan Maya," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Anak Pontianak baru-baru ini.

Kata gadis yang berusia 21 tahun ini, mungkin bagi sesetengah pendatang baru tidak mahu menerima watak sebegitu. Namun kata Zarina, beliau menerima tawaran tersebut sebagai satu cabaran dan peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
Mengakui amat sukar pertama kali membawakan watak tersebut namun berkat nasihat dan tunjuk ajar pelakon yang berpengalaman sedikit sebanyak membantunya di lokasi.

“Jika kita mahu berjaya sebagai pelakon, kita tidak terima watak yang baik-baik sahaja. Kita tak boleh cerewet, apa yang penting kita perlu berusaha menjayakan apa juga watak yang diberikan. Bagi saya biarpun membawakan watak pontianak, yang merupakan waris Meriam, apa yang pasti, berlakon di bawah produksi Pesona Pictures merupakan langkah terbaik untuk saya mempelajari ilmu lakonan dengan tenaga produksi itu,” katanya.

Menceritakan pengalamannya membawakan watak seram tersebut kata Zarina; “Memang menakutkan semasa kami membuat penggambaran di Aswara. Pelbagai perkara pelik berlaku pada waktu malam. Mula-mula saya tak perasan tapi selang dua tiga hari baru saya menyedari perkara menakutkan itu.”

Selain itu, kata Zarina pernah sekali matanya tidak dapat melihat untuk beberapa ketika. Kejadian itu berlaku kerana cecair yang diletakkan di dalam matanya agar kelihatan seperti mata pontianak hampir memudaratkan matanya.
“Saya cukup takut sebab saya ingatkan mata saya dah buta. Bayangkan masa itu saya tak dapat melihat dan mata saya cukup pedih. Tapi alhamdulillah semuanya kembali seperti sedia kala,” katanya.
Drama bersiri Anak Pontianak merupakan kesinambungan kepada filem sekuel Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM).

Penerbitnya Shuhami Baba menjelaskan; “Cerita Anak Pontianak merupakan sambungan kepada PHSM. Penceritaannya lebih kepada proses bagaimana waris Meriam dipilih dan menjadi dewasa. Jika PHSM menyaksikan Meriam mahu membalas dendam atas kematiannya. Tapi dalam Anak Pontianak pula penonton dapat melihat warisnya menggunakan kuasanya untuk kearah kebaikan.”

Tambahnya demi memastikan khalayak yang menonton dapat merasai perjalanan ceritanya buat pertama kalinya Maya Karin tampil berlakon dalam drama bersiri.
“Maya memang ada dalam Anak Pontianak ini sebagai pelakon undangan khas. Dia muncul sebagai Meriam demi untuk mewujudkan jalan ceritanya yang ada kesinambungan. Selain Maya pelakon PHSM yang turut berlakon dalam drama ini ialah Ida Nerina, Nanu Baharudin dan Kavita Sidhu.”
Sumber : Utusan

Lepak kedai mamak


Jangan terkejut jika anda terserempak dengan Anuar Zain di kedai makan mamak. Biarpun menjadi ‘lelaki idaman Malaya’, Anuar Zain tidak segan melepak di kedai mamak. Bagi penyanyi kacak yang sedang popular dengan lagu Lelaki Ini, kedai mamak menjadi tempat pertemuannya dengan rakan-rakan lama.

Kata Anuar, dalam seminggu, tiga atau empat kali dia melepak dengan rakan-rakannya.
“Lepak di mana-mana pun saya tak kisah. Tetapi kedai mamak menjadi pilihan saya kerana terasa lebih relaks walaupun sehingga tiga, empat jam. Memang ini aktiviti yang saya gemar lakukan ketika bersantai bersama teman-teman. Dapat lepak dengan kawan-kawan, hilang rasa penat bekerja. Kami berbual dan berbincang sesuatu yang baru,” jelasnya.

Biarpun kadang kala ada juga peminat yang datang menyapa dan mahu bergambar dengannya, kata Anuar, situasi tersebut tidak mengganggunya.
Kata pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain ini, menu pilihan di kedai mamak pastinya teh tarik, capati dan nasi beriani.

“Selalunya saya akan keluar pada waktu petang atau malam untuk berjumpa rakan-rakan. Tetapi kadang-kala pukul 3 pagi pun saya keluar,” katanya yang ditemui di Devi’s Corner, Hartamas, Kuala Lumpur, bersama teman-temannya yang dikenali lebih enam tahun.

Tolak lagu sendiri

Anuar tetap tenang walau ada pihak yang kecoh terhadap album barunya yang diberi judul Anuar Zain kerana terlalu banyak menggunakan khidmat komposer seberang.
Tidak kuasa untuk melenting atau melatah kata Anuar; “Saya tak faham mengapa perlu dijadikan isu perkara tersebut. Sebenarnya saya tak menetapkan album itu untuk karya komposer Indonesia sahaja. Saya hanya mendengar kesemua lagu-lagu yang telah diterima oleh dua pengurus saya iaitu Rohila dan Faizah.

“Ketika lagu-lagu itu saya dengar, saya tak tahu pun penciptanya. Kebetulan kebanyakan lagu-lagu yang saya pilih tu ciptaan komposer seberang. Semuanya secara kebetulan. Saya tidak mengetahui pun penciptanya semasa lagu-lagu itu saya dengar untuk buat pilihan.”
Kata jejaka Aquarius ini, bukan sahaja lagu beberapa komposer tempatan ditolak. Malah lagu ciptaannya sendiri pun ditolaknya. Setelah dibandingkan dengan lagu-lagu lain, lagu-lagunya sendiri pun dirasakan tidak menepati konsep album.

“Saya mencipta empat lagu untuk album itu. Tetapi lagu-lagu itu pun saya tolak kerana tidak menepati tahap piawaian kerana ada lagu-lagu komposer lain yang lebih bagus,” katanya.
Bagaimanapun, kata Anuar, dia bersyukur kerana albumnya itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Menurutnya, tiga minggu pertama di pasaran, album itu telah pun memasuki cetakan kedua dan kini telah terjual sebanyak 16,000 unit.

Bukan ucapan saya

Biarpun kini peminat Anuar Zain boleh mendapatkan album terbarunya di pasaran, namun jangan terkeliru dengan sebuah lagi album terbarunya yang juga berada di pasaran diberi judul Anuar Zain Platinum Edition. Ia merupakan album tahun 2002 yang dikeluarkan semula oleh syarikat rakamannya terdahulu, Synchrosound Music.

Kata Anuar, 37, album itu diterbitkan tanpa pengetahuannya. “Tapi itu tak mengapa kerana mereka memang ada hak untuk mengeluarkannya. Cuma saya kesal kerana pada lipatan dalam cover album itu dicatatkan ucapan yang kononnya daripada saya. Padahal ucapan itu sebenarnya bukan daripada saya. Ada pihak yang mencipta ucapan itu. Mereka menipu peminat saya. Pihak tersebut patut malu kerana menipu peminat saya.”
Bagaimanapun Eksekutif Artis & Repoitre (A&R) Synchrosound Music, Nurhisyam Mohd. Noor ketika dihubungi berkata; “Album itu sebenarnya kami dah buat empat tahun lepas tetapi disimpan. Kata-kata ucapan itu saya ambil daripada fail bekas A&R lama. Saya tak tahulah kalau ucapan itu bukan daripada Anuar.”

Selesa bergambar sendirian

Baru-baru ini timbul desas desus yang mengatakan Anuar sudah tidak mahu mengambil gambar bergandingan dengan artis wanita.
Mengakui perkara tersebut kata Anuar, keputusannya itu tidak perlu dipertikaikan.

“Saya lebih selesa bergambar sendiri. Setiap manusia ada pilihan jadi itu pilihan saya. Tak salahkan kerana itu hak saya. Dah berpuluh-puluh tahun asyik bergambar dengan orang sahaja. Jadi keputusan saya ini tak perlu dipertikaikan. Kadang kala saya tak kenal rapat dengan artis-artis yang nak digandingkan, jadi saya tak selesa. Saya tak suka kerja asal boleh sahaja. Bila kita tak rapat, nak cari keserasian masa bergambar itu susah. Lagipun saya tak ramai kawan dalam industri ini.”
Sumber : Utusan

Sunday, October 28, 2007

Program raya takuk lama

KESEMPATAN bercuti panjang pada hari raya lalu SS gunakan sebaik mungkin untuk bertemu mata dan beramah mesra dengan sanak saudara serta rakan taulan yang sudah lama tidak berjumpa.
Jadi dalam asyik berbual, macam-macamlah yang ditanya dan diluahkan mereka pada SS.

Nak dijadikan cerita, ada mengadu pada SS mengenai beberapa rancangan disiarkan di televisyen sempena raya baru-baru ini 'kurang menjadi'.Katanya, banyak drama atau filem yang disiarkan di kaca televisyen sudahpun diulang siar beberapa kali sebelum ini.Tambah mengecewakannya lagi, ada cerita yang disiarkan itu disunting sehingga merencatkan jalan cerita.Bagi yang pernah menontonnya sebelum ini mungkin tidak kisah tetapi bagi orang yang pertama kali menonton pasti tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku.

Apa yang SS perhatikan lagi, banyak rancangan hiburan yang disiarkan masih lagi ditakuk lama dan stereotaip.Paling mudah, cuba tengok program muzikal yang disiarkan macam hilang kreativiti apabila asyik-asyik ulang siar nyanyian di studio dengan ada aksi makan-makan, bersalaman dan buat persiapan dapur.Apa salahnya, kreatif sikit dan sekali-sekala adakan penggambaran di luar supaya suasananya lebih hidup dan santai. Bagi SS, selain studio banyak lagi tempat sesuai untuk mengadakan rakaman seperti rumah anak yatim, rumah kampung, kawasan rekreasi dan tempat di mana orang bekerja pada hari raya seperti hospital, kem askar dan tol.

SS bukannya apa, sekadar memberi pendapat dan menyampaikan pandangan orang saja.
Memang diakui SS tiada kuasa untuk memberi arahan, tetapi setidaknya terlepas sudah tanggungjawab SS menegur apa yang tak kena. Sekarang terpulanglah pada empunya diri untuk bertindak.

Sumber : Metro

Suami artis tak serik buat perangai 'romeo'

BUKAN sekali dua SS dengar cerita mengenai perangai 'romeo' pelakon lelaki yang kian meningkat naik ini.
Sebelum mendirikan rumah tangga bersama seorang artis, pelakon ini pernah dikaitkan mempunyai hubungan intim dengan beberapa pelakon jelita.Tidaklah pula SS usul periksa hubungan dengan beberapa pelakon yang dimaksudkan itu masih diteruskan memandangkan pelakon terbabit mendirikan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta.
Bila sebut soal rumah tangga yang dibina atas dasar cinta sudah tentu hubungan mereka mempunyai persefahaman yang agak baik. Bagaimanapun, selepas lebih setahun berkahwin SS dimaklumkan pelakon terbabit masih aktif dengan perangai 'romeo' itu.

Terbaru, teman SS yang kebetulan membeli-belah di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota terserempak dengan pelakon terbabit bersama seorang teman wanita. Tambah teman SS tadi, pelakon berkenaan kelihatan cukup mesra dengan teman wanitanya dan kelihatan sudah begitu lama mengenali antara satu sama lain.SS tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan isterinya jika mengetahui perangai negatif suaminya itu. Masih belum terlambat untuk pelakon berkenaan mengubah perangainya demi menyelamatkan istana yang dibina atas dasar cinta.

Sumber : Metro

Bali destinasi bulan madu

DI kala kebanyakan pasangan pengantin memilih Paris, Perancis dan Venice, Itali sebagai destinasi 'mengabadikan' bulan madu mereka. Namun, tidak berlaku pada pelakon, Lis Dawati dan Fauzi Nawawi. Merpati dua sejoli yang baru sebulan bergelar suami isteri ini bercadang memilih Bali, Indonesia untuk berbulan madu. Apakah ada 'nostalgia' manis mereka di pulau indah itu?Lis Dawati berkata dia dan suami merancang memilih Bali kerana hingga kini mereka belum pernah ke pulau itu. Namun, katanya, cerita mengenai Bali memang biasa didengar.

"Jadi kalau ke Bali nanti, akan menjadi kunjungan pertama kami. Justeru, saya harap perancangan ini menjadi walaupun tarikh sebenar belum lagi ditetapkan."Kami berdua sama-sama sibuk dengan aktiviti lakonan masing-masing. Saya sendiri, selepas persandingan ini (malam Jumaat lalu) akan terbabit dengan penggambaran drama untuk slot Samarinda."Abang Fauzi (panggilan suami) pula dengan jadualnya. Oleh itu, kami masih tidak berkesempatan menetapkan tarikh yang sesuai.

Insya-Allah, kami akan pergi bulan madu juga," katanya.Ditanya mengenai anak, Lis Dawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin mengakui mereka tidak pernah merancang. Katanya, kalau boleh mereka memang mahu anak secepat mungkin."Mana tahu, tahun depan kami dianugerahkan anak oleh Tuhan. Sama ada saya dan abang Fauzi, kami tetap terima. Pada kami, anak akan mengeratkan lagi ikatan kasih kami," katanya.Fauzi, 34, berkata dia hanya bercuti dua hari selepas majlis persandingan itu. Katanya, dia akan ke lokasi penggambaran drama Meniti Cahaya Kasih untuk tayangan Aidiladha.

"Saya diberi tanggungjawab mengarahkan drama itu. Malah, saya turut terbabit dengan promosi filem baru, Orang Minyak bermula 15 November ini. Kemudian, ke lokasi penggambaran semula.
"Memang sibuk hingga tidak tahu bila kami akan berbulan madu. Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjayakan majlis persandingan ini."Saya bersyukur majlis (persandingan) ini berjalan lancar. Biarpun, sederhana tetapi Alhamdulillah banyak pihak sudi memberikan tajaan mereka pada saya dan isteri," katanya.Pada majlis persandingan pasangan ini di Dewan Komuniti, Taman Ibu Kota, Setapak, tiga hari lalu, Fauzi dan Lis Dawati umpama 'pinang dibelah dua' menggayakan busana songket kuning kundang rekaan Calvin Thoo.

Selain itu, Fauzi turut menggayakan tuksedo yang dihadiahkan Lord's Tailor Sdn Bhd kepadanya manakala Lis Dawati anggun dengan gaun petang warna merah rekaan Michael Shu.Tidak lengkap rasanya penampilan Lis Dawati malam itu tanpa aksesori mutiara putih bernilai RM1.5 juta tajaan Rafflesia The Pearl Centre. Boleh dikatakan dari 'hujung rambut ke kaki' mereka ditaja.Lebih 500 tetamu hadir di majlis persandingan yang bermula dari jam 8 malam hingga 11 malam itu. Selain sanak saudara kedua mempelai, ia dihadiri rakan artis seperti Rosnah Johari, Nasreen (Darling) Ngasri, Shaharudin Thamby, Ezlynn, Effa Raziah, Salina Saibi dan Azwan Ali selaku pengacara majlis.

Pasangan ini mengakui selesa bersederhana. Malah, kata Fauzi, dia membuat apa yang termampu kerana tidak mahu menanggung hutang selepas itu."Buat apa mengadakan persandingan besar dan hebat, kalau kemudian hari kami perlu melunaskan hutang yang dibuat. Justeru, kami sangat bersyukur dengan apa yang ada ini."Saya juga tidak sangka, pelamin tajaan AZM dari Johor Bahru ini cukup cantik dan nilainya melebihi RM50,000. Oleh itu, kami hanya mampu mengucapkan jutaan terima kasih," katanya.Terdahulu, Fauzi dan Lis Dawati 'disatukan' dalam ikatan pernikahan pada 9 September lalu. Pada majlis itu, Lis Dawati menerima wang hantaran RM21,111 serta mas kahwin RM999.

Sumber : Metro

Daya pemikat Ayu


MANJALARA meninggalkan kenangan indah buat gadis bermata galak ini. Menerusi siri ini, dia lebih dikenali di kalangan penggiat seni dan juga penonton drama Melayu.
Penampilannya sebagai Farah yang manis bertudung membuatkan ramai jatuh hati dengannya. Daya tarikan imej itu cukup kuat hinggakan dia diundang membintangi drama Hidayah 2 yang turut menampilkan gaya sama. Bagaimanapun, apa yang disaksikan itu hanya di layar kaca.Tidak hairan mengapa ada yang memandangnya penuh kehairanan bila berselisih di tempat awam.
Ada juga memberanikan diri bertanya, mengapa gadis berusia 23 tahun ini tidak bertudung. Tidak kurang juga bunyi suara sumbang mengkritik secara terang-terangan.Jika diamati, ramai juga pelakon wanita memakai tudung untuk memenuhi kehendak watak, namun peminat seakan-akan boleh menerima tanpa banyak soal.
Bagaimanapun, lain pula yang berlaku kepada Ayu Raudhah.Mungkin kerana ramai menyangka model dan pelakon ini sebenarnya bertudung kerana namanya menonjol sejak membawa watak Farah."Mulanya, terkejut juga bila dengar orang merungut saya tidak bertudung. Saya tidak salahkan mereka kerana dalam Manjalara, hanya beberapa babak saya menampakkan rambut. Selebihnya semua bertudung, walaupun di bilik tidur."Apa yang dapat saya lakukan hanya mendiamkan diri.
Saya tahu ramai suka saya bertudung. Malah, ada juga beberapa tawaran yang mahu tampil bertudung dalam produksi itu. Insya-Allah, satu hari nanti saya akan pakai juga," kata Ayu bersemangat.Selepas Manjalara, gadis kelahiran Alor Star ini tidak menang tangan menerima tawaran menjayakan drama dan filem. Pun begitu, tidak semua rezeki di depan mata itu diterima lantaran jadual penggambarannya terlalu padat.
Pertengahan Ogos lalu, Ayu sibuk di lokasi penggambaran drama 30 episod, Hidayah 2 yang dijangka berakhir hujung tahun ini.

"Kalau ikutkan, memang ada banyak tawaran, termasuk sebuah filem. Malah, Grand Brilliance pernah menyuarakan hasrat menyunting saya untuk drama dalam Internet."Ini projek pertama seumpamanya. Saya memang berminat, tapi tidak berdaya kerana sudah ada komitmen yang harus diselesaikan. "Jika terima akan berlaku pertindihan jadual dan pasti menyusahkan banyak pihak. Jadi ada baiknya saya selesaikan satu persatu. Insya-Allah selesai Hidayah 2, saya akan menjalani penggambaran drama 13 episod yang mengupas kehidupan remaja," kata anak keenam daripada tujuh beradik ini.
Mengimbas pembabitan awalnya dalam industri, Ayu didedahkan dengan dunia peragaan oleh kakaknya yang juga pelakon popular, Rozita Che Wan pada 2003.Memiliki seraut wajah cantik, tidak sukar untuknya menyerlah dalam bidang ini. Banyak juga sesi fotografi dijayakannya, malah terpilih sebagai model beberapa komersial, termasuk syampu Pantene dan Rejoice.Pengalaman yang diperoleh di lokasi penggambaran komersial membuka minatnya menghadiri uji bakat drama Dilema Wanita, arahan Erma Fatima pada penghujung 2005.
"Sekadar cuba-cuba, tak sangka pula saya terpilih untuk berlakon dalam episod Terima Kasih Ana. Itu drama pertama saya. Sejak itu saya jatuh cinta dengan bidang ini dan berusaha mencari peluang pergi lebih jauh."Saya berazam mahu ada peningkatan dalam kerja. Daripada drama, saya mahu berlakon dalam filem pula dan jika sebelum ini pegang watak kecil, selepas ini saya mahu watak lebih besar."Kalau ikutkan, kecil dulu saya mahu jadi penyanyi, tapi sudah tertulis rezeki saya dalam bidang lakonan," katanya ketawa.Selain Ayu dan Rozita, kakaknya, Rohaiza atau lebih mesra dengan panggilan Jaja turut bergiat aktif dalam dunia peragaan. Selain itu, abangnya, Azwan mula menunjukkan kecenderungan dalam dunia lakonan.
Akui Ayu, seronok apabila ramai keluarganya berkecimpung dalam bidang seni. Dapatlah mereka bertukar-tukar pendapat, pengalaman dan menjaga satu sama lain."Saya jadikan Kak Ita (Rozita) sebagai sumber rujukan. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya, baik sebagai model mahupun pelakon."Lebih seronok bila semua adik beradik saya menetap di Kuala Lumpur, malah rumah kami terletak di blok apartmen sama. Ayu tinggal serumah dengan abang dan adik. Kak Ita menetap dengan anak dan dua lagi rumah didiami kakak saya yang lain."Secara peribadi Ayu rasa lebih selamat, selesa dan mudah bila tinggal dengan keluarga. Bagi Ayu, keluarga adalah segala-galanya, malah merekalah kawan terbaik Ayu," katanya.
Tambahnya, demi anak, ibunya sanggup berulang alik dari Alor Star dan Kuala Lumpur. Dengan adanya ibu di sisi, hari yang dilaluinya rasa lebih bermakna."Boleh dikatakan Mama lebih banyak menetap di Kuala Lumpur berbanding Alor Star. Dia bergilir-gilir menetap di rumah Ayu dan kakak lain. Kalau Mama masak, kami makan beramai-ramai."Daddy meninggal dunia ketika Ayu berusia lima tahun. Sejak itu Mama yang membesarkan kami. Dialah ibu dan juga bapa. Tidak hairan mengapa anak manja dengan Mama, malah hingga hari ini Mama masih menyuapkan kami nasi," katanya.
Sama seperti Rozita, Ayu sering diganggu lelaki yang berminat mendampinginya. Ada yang sanggup menabur hadiah, wang ringgit dan kedudukan lebih stabil demi memiliki hatinya.Namun gadis berjiwa periang ini tidak semudah itu 'akur' dengan kata-kata manis insan bernama lelaki, sebaliknya lebih senang berusaha sendiri andai mahukan sesuatu."Ayu akan lebih menghargai jika sesuatu itu Ayu peroleh atas usaha sendiri. Biar hidup serba sederhana, asalkan hati gembira. Bukan wang ringgit yang Ayu kejar, tapi kebahagiaan dan kejujuran. Fokus Ayu sekarang adalah kerjaya, ada baiknya soal hati dan perasaan Ayu ketepikan dulu. Lagipun Ayu masih muda," katanya.
Sumber : Metro

Rozita diburu kerabat


SUDAHLAH cantik, makin popular pulak tu. Anak jati Kedah ini tidak menang tangan menerima tawaran menjayakan drama dan komersial. Malah, bekas pramugari ini laris sebagai penghias muka depan majalah dan akhbar.
Mungkin sudah tertulis tuah Rozita Che Wan di layar kaca.
Melihat perkembangan positif ini, tidak hairan mengapa palakon Susuk 2 dan Diari Ramadan Rafique ini mula menjadi perhatian orang kenamaan, termasuk ke r a b a t .

Kerabat mana tu biarlah jadi rahsia, tidak manis andai CAK dedahkan di sini. Yang boleh CAK jelaskan di sini, kerabat itu menghubungi Rozita untuk menyatakan rasa kagumnya dengan wajah anggun pelakon ini yang menjadi penghias muka depan sisipan Selebriti Metro Ahad tiga minggu lalu.
CAK difahamkan, panggilan itu tidak sama sekali ‘menundukkan’ Rozita. Malah, dek kerana sikap acuh tak acuhnya, dia dicop sebagai sombong oleh kerabat b e r ke n a a n .

Bagi CAK, tindakan Rozita tiada salahnya.
Setidak-tidaknya, aktres jelita ini ada pendirian dan tahu apa yang terbaik untuk dirinya.
Paling penting, tindakannya membuktikan tidak semua artis cantik dan popular memburu golongan berada dan berpangkat kerana yang lebih diutamakan adalah keikhlasan dan cinta sejati.
Sumber : Metro

Kasih seorang isteri

“Hati saja di sini. Tapi badan dan fikiran berada di seberang sana. Kak Wan nak balik. Ingin berada di sisinya pada saat dia sedang sakit begini.” Begitu kata Wan Chik Othman yang dulunya lebih dikenali sebagai Wan Chik Daud apabila Kak Tim tanyakan tentang khabar suaminya, pelakon M.Rajoli yang telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam otak pada 11 November lalu.

Khabar sedih itu baru Kak Tim ketahui malam Rabu lalu. Justeru segera Kak Tim hubungi Kak Wan yang ketika itu berada di rumah anaknya di Amerika.
“Kak Wan memang tak mahu hebohkan perkara ini pada kawan-kawan media. Takut nanti ada yang salah sangka, ingat kami minta simpati.

“Tapi alhamdulillah. Abang (suaminya) semakin sembuh. Madu Kak Wan, Hassemah Md. Din dan anak-anaknya menjaga di hospital.”
Seketika kata-kata itu terhenti dan Kak Tim mendengar esakan di hujung talian.

“Kak Wan perlu menjaga hati semua pihak termasuk hati anak Kak Wan di AS ni. Dah berbulan-bulan dia aturkan Kak Wan beraya di rumahnya. Tiba-tiba pada hari Kak Wan nak berangkat, suami Kak Wan kena bedah. Masa tu, 11 November. Pagi Kak Wan berangkat, malamnya suami Kak Wan di bedah.
“Memanglah anak Kak Wan kata, tak apa kalau Kak Wan nak batalkan rancangan ke rumahnya. Tapi kasihan pula. Dah banyak buang masa dia menguruskan kedatangan Kak Wan.

“Kak Wan anggap semua ni qadak dan qadar yang kita kena terima. Tuhan sayangkan kita sebab itu dia duga kita untuk menguji sejauhmana kesabaran kita melalui semua ini.
“Tapi sebelum pergi, Kak Wan dah minta izin dengan suami Kak Wan. Kak Wan dah minta maaf dengan dia dan dia pun kata, tak apa kalau tak dapat jumpa dia. “Kita jumpa di syurga,” dia kata. Memang dia selalu cakap macam tu,” cerita Wan Chik dalam sendu sedannya.

Dua hari sebelum ke Amerika, kata Kak Wan, dia sudah terperasan perubahan pada suaminya. Sangka Kak Wan, M.Rajoli mengalami masalah jantung. Justeru pelakon itu di bawanya ke Institut Jantung Negara. Tapi kemudian suaminya dirujuk ke bahagian neurologi yang mengesahkan ada ketumbuhan dalam otaknya.
“Selama di AS ni pun, Kak Wan tak dapat tidur. Tak henti-henti Kak Wan solat sunat tahajud dan hajat, meminta supaya semuanya selamat. Hati Kak Wan tidak tenteram walaupun Kak Wan tahu, abang dijaga dengan baik oleh madu Kak Wan. Hari-hari Kak Wan telefon madu Kak Wan, bertanyakan khabar suami kami.

“Kalaulah boleh selepas ini, Kak Wan tak mahu bagi abang berlakon. Kak Wan pernah katakan hal ini pada dia. Duit persaraan Kak Wan cukup untuk hidup kami. Tapi abang berlakon pun kerana keperluan hidup untuk menjalankan tanggungjawab kepada anaknya yang ambil diploma tahfiz di Kuala Kubu dan akan melanjutkan ijazah ke Mekah atau Madinah. Sebenarnya kalau abang tak kerja pun tak apa sebab anak-anak madu Kak Wan pun semua lulusan universiti dan dah bekerja. Mereka boleh tanggung seorang adik yang tengah belajar tu. Tapi abang besar hati untuk lakukan tanggungjawabnya sebagai ayah.

“Memang dia selalu kata dah letih bekerja. Maklum, umur pun dah 62 tahun. Tapi itulah M. Rajoli. Bukan harta yang dia cari. Rumah pun dia tak mahu. Selalu dia cakap dengan Kak Wan, dia cuma ingin menjadi ayah yang baik dan bertanggungjawab. Pada sisa-sisa usianya, dia kata, dia hanya mahukan sebuah suraunya sendiri untuk mengajar muqaddam dan al-Quran. Selalu dia kata pada Kak Wan, dia ingin kembali menjalankan tugas sebagai bilal yang pernah dilakukannya sebelum dia jadi pelakon.”

Begitu cerita Wan Chik pada sembangnya dengan Kak Tim minggu lalu. Esakan tangisannya masih kedengaran hingga penghujung bicara.

Sumber : Utusan
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR