Wednesday, November 28, 2007

Amar perjuang konsep pop nasyid

Oleh Elya Khalilah Ismail

Hikayat Cinta sudah berada di pasaran, lancar buku 55 Silap Mata Mudah

NAMA Arif Muazzim Abdul Rahman mungkin tidak sinonim dengan peminat nasyid tanah air. Menjadikan nama penuhnya kepada akronim A.M.A.R, nyata, ramai peminat yang mengenali dirinya. Di awal kemunculan Amar yang dinobatkan sebagai penyanyi nasyid solo pertama Malaysia, lagu Nurul Iman berjaya melonjakkan namanya di persada nyanyian lagu nasyid.

Dua album yang dihasilkan ketika di bawah naungan Telaga Biru Sdn Bhd iaitu Kiasan Naluri dan Diari Rindu menampilkan konsep pop nasyid. Kini, setelah beralih kepada Hijjaz Records, dia tampil dengan konsep album yang sama.

Album terbarunya, Hikayat Cinta yang sudah pun berada di pasaran adalah album ketiga Amar dan yang pertama dihasilkan di bawah seliaan Hijjaz Records. Judul album ini diambil bersempena dengan salah satu lagu yang menggunakan judul yang sama.

“Hikayat Cinta berbeza dari album yang sebelum ini. Dua album saya yang terdahulu, adalah 100 peratus ciptaan saya. Untuk album yang ketiga ini, saya mengambil khidmat komposer profesional untuk mendapatkan sentuhan terbaik mereka di dalam album ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album baru-baru ini.

Album ini memuatkan lapan lagu hasil susunan muzik dari pemuzik profesional seperti Eddie Marzuki, Firdaus dan Along Exists. Amar turut menyumbangkan tiga lagu hasil ciptaannya iaitu Remaja Kita, Amani dan Kenangan Bersama. Antara lagu lain yang dimuatkan dalam album ini ialah Hikayat Cinta, Pemergian, Harap Kasihnya, dan Bayangan Semalam.

Penerbit yang bekerjasama dalam menghasilkan album ini ialah Isman Nadim Hijjaz, Munif Ahmad Hijjaz, Faizal Osman, Saiful Mestica, Along Exist, Achik dan Amar sendiri.

Album yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan termasuk proses pengumpulan bahan, Amar turut menyanyikan semula lagu yang dahulunya dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman, Apa Khabar Orang Kampung. Ditanya mengapa menampilkan lagu lama yang dirasakan tidak mempunyai ciri-ciri lagu nasyid, Amar berkata albumnya kali ini ada pelbagai irama dan ia dicadangkan oleh syarikat rakamannya sendiri.

“Hijjaz Records yang mencadangkan agar saya memasukkan lagu ini yang sudah diubah susunan muziknya. Saya terima saja lagu yang dipilih kerana sesi pemilihan lagu dilakukan oleh Hijjaz Records. Lagipun, kami mengutamakan lirik yang baik dan ingin mencari satu lagu irama Malaysia. Jadi, pemilihan lagu ini bersesuaian dengan album saya yang mengetengahkan kepelbagaian irama,” katanya yang sudah pun menamatkan pengajiannya dalam jurusan Undang-undang di UIAM.

Sambutan peminat yang diterima untuk album pertama dan keduanya yang terjual sebanyak 20 ribu dan 15 ribu unit, Amar mengharapkan album ketiganya ini bakal mendapat tempat di hati peminat.

Kebanyakan artis di Malaysia lebih gemar untuk menyenaraikan diri mereka ke dalam bidang perniagaan. Namun, perubahan masa merubah banyak perkara termasuk persembahan seseorang artis itu. Selain melancarkan album terbarunya, Amar turut melancarkan buku hasil tulisannya mengenai silap mata yang berjudul 55 Silap Mata Mudah.

Sementara itu Pengarah Urusan Hijjaz Group Sdn Bhd, Mohd Sharudin Dawam berkata bakat yang ada pada Amar tidak akan disia-siakan mereka.

“Kami mementingkan artis rakaman yang bukan saja boleh menguasai pelbagai bidang, malah kami mementingkan akademik dan contoh terdekat adalah Amar. Dia bukan saja memiliki bakat dalam nyanyian, malah dia seorang yang berbakat dalam bidang silap mata, penulisan buku dan lirik selain bertugas sebagai penyelaras muzik di Hijjaz Records,” katanya yang melancarkan album dan buku terbaru Amar.

Pelancaran buku silap mata yang menjadi kebanggaan Amar ini adalah buku silap pertama yang diterbitkan di Malaysia terbitan PTS Millennia Sdn Bhd. Menariknya mengenai buku ini, Amar berkongsi dengan peminat silap mata dengan teknik bergambar silap mata mudah, bukan lagi bukan yang dipenuhi dengan tulisan. Buku ini sesuai kepada semua peringkat umur yang meminati seni silap mata ini.

“Teknik yang ada dalam buku ini mudah untuk dipelajari kerana selain dipenuhi gambar, terdapat juga penerangan untuk setiap teknik silap mata. Buku ini tidak tertumpu kepada kanak-kanak saja tapi kepada semua golongan dan peringkat umur kerana dari sinilah mereka mahu mempelajari teknik mudah sebelum ke peringkat lebih tinggi,” kata Amar yang mula terbabit secara serius dalam persembahan silap mata sejak lima tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

'Shamsul macam abang sendiri' kata Danny

Sumber: Berita Harian

Oleh Farihad Shalla Mahmud


KASIH IBU: Norsiah menyuapkan kek ke mulut Danny sambil diperhatikan Fatimah.

Diana Danielle tolak ketepi soal cinta kerana mahu tumpu pelajaran

SERAUT wajah jelita miliknya kini semakin dikenali sejak drama lakonannya iaitu Janji Diana dan Air Mata Maria 'meletup' di layar kaca. Malah, populariti gadis berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini bertambah menyerlah apatah lagi kisah 'cinta' yang mengaitkan dirinya dengan anak bujang Datuk Yusuf Haslam, Shamsul turut digembar-gemburkan media.

Namun, bagi si empunya diri, perjalanannya dalam bidang ini masih jauh andai hendak dibandingkan dengan pelakon popular lain. Dan paling penting, keutamaan sebenar model dan pelakon yang semakin meningkat naik, Diana Danielle adalah dalam bidang pelajaran kerana dia menyimpan hasrat untuk bergelar saintis satu hari nanti.


Justeru, pada majlis sambutan ulang tahun ke-16 yang diadakan di Borneo Rainforest Cafe, di Bandar Sunway, baru-baru ini, sebelum lilin yang menghias kek hari jadinya itu dihembus, ada sesuatu yang diharapkan si manis yang lebih mesra disapa Danny di kalangan teman rapatnya ini.

"Harapan saya sempena ulang tahun ke-16 ini adalah semoga rezeki saya dalam bidang seni sentiasa murah, ingin memantapkan lagi mutu lakonan serta berjaya mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan," kata Danny dalam nada yang ceria.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan acara itu ialah ibu kepada Shamsul, Datin Fatimah Ismail, pelakon Iqram Dinzly serta kenalan dan saudara terdekat.

Diana Danielle.

Melihat kepada fizikal anak gadis Norsiah Ramli ini, mungkin ramai yang tidak percaya bahawa usianya baru saja mencecah angka 16 tanggal 22 November lalu. Masih muda remaja.

Dan itulah juga yang ditekankan Danielle setiap kali pertanyaan mengenai cinta diajukan padanya. Barangkali sebuah jawapan selamat untuknya kerana tidak mahu bersoal jawab serta berdepan dengan tuduhan masih muda tetapi sudah berani bermain cinta.

Diajak berbicara soal cinta serta hubungannya dengan pengarah muda itu, Danielle nyata kurang selesa apabila perkara itu di bangkitkan.

"Siapa kata kami berdua bercinta. Saya tidak ada boyfreind. Saya juga tidak pernah memberitahu sesiapa yang saya adalah kekasih Shamsul. Tapi, saya tak nafikan, kami berdua memang rapat dan setiap kali saya ada masalah, selain mama, saya luahkan pada Shamsul. Memandangkan saya anak tunggal dan tidak ada abang, saya anggap dia macam abang saya sendiri," ujar Danny

MESRA: Iqram turut hadir memeriahkan hari jadi Danny.

Seperti yang ditegaskan sebelum ini, tumpuannya ketika ini lebih difokuskan terhadap pelajaran dan juga kerjaya manakala hal berkaitan peribadi, baginya biarlah ia datang di kemudian hari.

Perbualan kami terhenti seketika apabila Danny menerima panggilan telefon daripada Shamsul yang ketika itu berada di Bangkok atas urusan kerja.

Selepas beberapa minit melayan panggilan itu, Danny kembali meneruskan sesi temu bual itu. Ditanya apakah yang diperbualkan bersama buah hatinya itu, jujur dia menjawab, "Shamsul suruh saya jaga diri dan membesar baik-baik sikit," balas Danny.

Sedang rancak berbual, sekali lagi sesi temu bual kami dihentikan apabila ibu Shamsul pula ingin beredar dari majlis. Dari perbualan yang didengar, kononnya mereka akan berangkat ke Bangkok untuk bertemu Shamsul. Dan paling melucukan, sebaik saja terpandang pihak media, Fatimah selamba bersuara mengatakan pemergian mereka ke sana kerana anak bujangnya itu begitu merindui Danny.

Sudah terang lagi bersuluh dan nampaknya hubungan itu mendapat restu kedua-dua belah pihak. Dan komen gadis kelahiran Houston, Texas ini sebaik saja perkara itu dipersoalkan cukup ringkas iaitu, "Kami teman tapi mesra."

Tolak tawaran demi pelajaran

BIARPUN sibuk memenuhi tawaran berlakon dan penggambaran iklan, namun menurut Danny pelajaran tetap menjadi keutamaannya. Katanya lagi, dia juga tidak akan mengetepikan pelajaran semata-mata mengejar dunia glamor dan populariti. Justeru tidak hairanlah andai dia perlu menguruskan jadual hariannya supaya tidak bercanggah dan dia juga beruntung kerana ibunya turut membantu dari segi pengurusan masa.

"Apabila hari sekolah saya hanya menerima tawaran berlakon satu drama saja dan ia dilakukan pada hujung minggu atau sebelah petang.

"Saya juga tidak boleh terima tawaran jika penggambaran mengambil masa panjang kerana takut tumpuan pada pelajaran terganggu," kata pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara ini.

Danny berkata dia memberikan tempoh sehingga pertengahan tahun depan untuk dia bergiat aktif dalam bidang ini kerana selepas itu dia akan fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang.

Bercerita pengalamannya sebagai pelakon, model dan dalam waktu yang sama berdepan dengan buku pelajaran, Danny berkata kalau tidak kerana pengurusan masa yang betul, memang sukar untuk meneruskan hidup dalam bidang ini.

"Bayangkan, pagi hingga ke petang saya berada di sekolah, belumpun berehat dan tidak sempat menyiapkan kerja sekolah, saya terkejar-kejar ke lokasi penggambaran hingga awal pagi. Jadi, saya hanya tidur beberapa jam sehari, bagaimana saya mahu menumpukan perhatian pada pelajaran? Keluarga saya pula cukup mementingkan pelajaran," ujar Danny yang bakal muncul dalam drama bersiri Janji Diana untuk musim keempat.

Mengenai filem baru, Danny berkata dia baru saja mendapat tawaran memegang watak utama dalam sebuah filem seram. Bagaimanapun, dia tidak dapat menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut atas sebab-sebab tertentu.

Ditanya antara lakonan dan iklan, yang mana menjadi pilihannya, Danny memilih iklan kerana pendapatan yang diterima lebih lumayan.

"Namun, lakonan tetap dalam jiwa saya kerana itu adalah minat saya sejak dulu lagi," kata Danny yang terpilih menjadi wajah pewangi terbaru Avon, keluaran syarikat kosmetik gergasi itu.

INFO:

  • Nama Penuh: Diana Danielle
  • Panggilan: Danny
  • Tarikh Lahir: 22 November 1991
  • Tempat Lahir: Houstan Texas, Amerika Syarikat.
  • Umur: 16 Tahun
  • Tinggi: 5 kaki 7 inci
  • Berat: 52 kg
  • Drama: Sembilu, Janji Diana dan Air Mata Maria
  • Filem: Malaikat Maut, Idola dan Evolusi KL Drift

Wajah Terbaru Sharifah Amani

Syarifah Amani

Wajah terbaru aktres Syarifah Amani yang dah pun berambut semula ketika menjayakan majlis pelancaran filem 1957 Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba

Gambare Jehan dan Jue



Jehan Miskin bersama Jue di Malam anugerah Metrowealth yang berlangsung di One World Hotel. Kemesraan pelakon Jehan Miskin dan pelakon baru, Jue memang tidak mampu disembunyikan lagi. Bila agaknya nak makan nasik minyak mereka ni?

Sumber: Mangga

Haryati Hamzah atau Yatt



Yatt di Malam anugerah Metrowealth yang berlangsung di One World Hotel. Bermula sebagai model komersial TV, Yatt mencuba nasib sebagai pengacara, apabila percaturannya menerusi Joran Ria tidak mensia-siakan bakat yang dimilikinya kerana selain mengacara, dia juga bertindak sebagai penulis skrip. Yatt juga pernah berlakon dalam filem Impak Maksima bersama Awal Ashaari.

Filem Seram: Orang Minyak

Poster Filem Orang Minyak

Penerbit : Infohibur Production Sdn. Bhd
Pengarah : C.K. Karan, Jamal Maarif
Pelakon : Sharifah Sofea, Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Loloq, Sidek Hussin, Jobot Maheran, Bob Kuman, Haji Tawil, Zila Bakarin
Genre : Seram

Sinopsis
\

Salah satu adegan dalam filem Orang Minyak

Filem ini mengisahkan satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah pusat pengajian tinggi bernama DIAN yang membuat penyiasatan serta kajian mengenai Orang Minyak di Kampung Silang. PAK JUNID menempatkan Dian dirumahnya dan Kampung Silang menyaksikan majlis pertunangan gadis bernama INA dengan majlis bersukaria tetapi dicemarkan oleh amukan Orang Minyak. Orang Minyak yang telah mengganas di kampung itu telah di tawan Pak Junid dan MUNIR seorang pemuda tampan yang penuh dengan ilmu persilatan. Mereka telah mengurung Orang Minyak didalam sebiji botol dan dicampakkan ke dalam tasik.

Salah satu adegan filem Orang Minyak

\
Malangnya botol ini yang tersangkut di antara sampah di dasar tasik telah di naikkan ke atas oleh dua orang kaki pancing dan botol itu dibawa ketepi bangsal lalu dibuka penutupnya. Orang Minyak lepas keluar. Orang Minyak mengganas semula dan Syaitan menghasut MALEK KUMBO salah seorang penuntut seni silat untuk membunuh Tok Guru nya. Malek Kumbo dijanjikan syaitan ilmu yang lebih hebat dari Tok Guru dengan memperkosa 21 orang gadis.

Apakah yang akan terjadi seterusnya ke atas Malek Kumbo dan bagaimanakah Orang Minyak dapat ditewaskan? Saksikan filem Orang Minyak di pawagam mulai 15 November ini.



Sumber: http://www.manggaonline.com.my/jom-tengok/orang-minyak/312/

Jaclyn Victor masih pertimbang berlakon filem Estet


JACLYN Victor akan mewakili negara ke pertandingan Asian Idol di Jakarta, Indonesia bulan depan.

JACLYN Victor (Jac) membuktikan dia mempunyai mutu vokal dan persembahan yang hebat selepas muncul juara pertandingan nyanyian Malaysian Idol (MI) musim pertama dua tahun lalu.

Kini bakat lakonan Jac pula diintai oleh pengarah Mamat Khalid apabila gadis berusia 29 tahun ini ditawarkan berlakon filem berjudul Estet.

Bagaimanapun menurut Jac, dia belum memutuskan untuk menerima tawaran berlakon bersama David Arumugam (Alleycats) dalam filem terbitan Naga VXS Sdn. Bhd. itu.

“Segalanya terpulanglah kepada pihak The 8 Unit yang menguruskan saya untuk membuat keputusan itu. Ini kerana, saya terikat kontrak dengan mereka.

“Setakat ini belum ada persetujuan lagi. Apatah lagi, jadual saya sepanjang November ini amat padat,” kata Jac ketika ditemui pada sidang akhbar Asian Idol di Bangsar, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sidang akhbar itu mengumumkan Jac akan mewakili negara pada pertandingan Asian Idol di Jakarta, Indonesia, pada 15 Disember ini bagi bersaing dengan peserta dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan India.

Jac tidak menafikan bahawa Mamat Khalid memang ada bertemu dan menawarkannya watak sebagai isteri kepada penyanyi terkenal, David Arumugam menerusi filem komedi tersebut.

Bagaimanapun, tambah Jac, dia perlu mengkaji terlebih dahulu skrip dan kontrak yang ditawarkan oleh syarikat produksi itu sebelum mengambil keputusan berlakon dalam Estet.

“Difahamkan watak yang akan saya lakonkan dalam filem itu hanya mempunyai empat adegan sahaja. Tetapi saya harus meneliti terlebih dahulu watak saya dalam filem ini.

“Ia bagi memastikan supaya filem ini tidak mempersenda-sendakan saya sebagai seorang wanita India. Saya pun kurang setuju dengan Estet sebagai judul filem ini.

“Asalnya filem itu mahu menjalani penggambaran pada bulan ini tetapi kebetulan jadual saya ketat sekali. Sekarang ini pun setiap malam saya tidur pukul 3 pagi,” ujarnya yang lebih mengutamakan bidang nyanyian sebagai karier utamanya.

Sebelum ini, anak kelahiran Kepong, Kuala Lumpur ini pernah berlakon dalam satu adegan menerusi filem Susuk yang masih belum ditayangkan kepada umum.

Sementara itu, Jac tidak dapat menyembunyikan rasa berdebar-debarnya apabila mewakili negara pada pertandingan Asian Idol yang pertama kalinya diadakan.

“Saya rasa teruja kerana terpilih mewakili Malaysia pada pertandingan itu. Saya memang sukakan pertandingan. Walaupun pernah kalah pada pertandingan Ikon Asean baru-baru ini tetapi itu tidak melemahkan semangat saya.

“Pada Asian Idol nanti saya akan menyanyikan sebuah lagu Inggeris dan sebuah lagu Melayu. Tetapi pihak penerbitnya, 8TV belum memutuskan lagu mana yang akan saya nyanyikan nanti,” katanya.

Pada Asian Idol itu nanti, Abhijeet Sawant akan mewakili India, Phu’o’ng Vy (Vietnam), Mau Marcelo (Filipina) dan Ken Lim (Singapura).

Indonesia pula akan mempertaruhkan sama ada Delon Thamrin, Mike Mohede, Muhammad Ihsan Tarore ataupun Rini Wulandar pada pertandingan yang ditentukan pemenangnya oleh khidmat pesanan ringkas (SMS) itu.

Keputusan Asian Idol akan diumumkan pada 16 Disember ini menerusi siaran langsung yang akan disiarkan 8TV pada pukul 10 malam.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar.

Sunday, November 18, 2007

Spa Q mencari cinta sejati

Cinta merupakan suatu yang indah. Ia mampu membuat seseorang itu bahagia malah boleh juga membuat seseorang menderita. Begitulah paparan yang dibentangkan dalam drama bersiri menerusi slot Akasia TV3 iaitu Spa Q setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang.

Drama ini mengisahkan pelbagai rintangan yang dihadapi oleh enam wanita untuk mencari cinta sejati.

Biarpun mengakui isu yang diketengahkan agak klise namun menurut pengarahnya Zulkiflee R. Shad, drama itu mempunyai kekuatan sendiri.

“Memang pada mana-mana drama pun isu wanita atau cinta sering diketengahkan. Tapi menerusi Spa Q, persembahannya berbeza. Penonton tidak akan dapat menjangkakan apa yang akan berlaku seterusnya. Gabungan para pelakonnya juga mantap,” katanya ketika ditemui pada majlis beramah mesra bersama para pelakon Spa Q di Subang Jaya, baru-baru ini.

Drama bersiri 60 episod itu dihasilkan oleh Global Station Sdn. Bhd., dan membariskan para pelakon antaranya Datin Norish Karman membawa watak Qistina, Farah Dhiya (Fatin), Intan Azura (Aleya), Betty Benafe (Nora), Elly Mazlein (Farah), Nisha Dirr (Tania), Ridzuan Hashim dan Azizan Nin.

Drama yang skripnya dihasilkan oleh Rina Khan ini menyaksikan:

* QISTINA berdepan dengan kemelut masalah suami yang ada skandal dengan wanita lain dan anak-anak yang terlalu manja dan suka memberontak.

* FATIN, gadis yang berasal dari keluarga yang susah, cuba mencari kemewahan hidup dengan mengambil jalan mudah bercinta dengan suami orang.

* ALEYA mementingkan kerjaya melebihi cintanya. Sanggup kehilangan cinta daripada mempunyai zuriat kerana takut akan hilang kecantikannya.

* FARAH rambang mata. Selalu terkeliru sama ada mahu setia pada kekasihnya atau memilih cinta yang lain.

* NORA mahu mempunyai keluarga yang bahagia. Tetapi tunangnya pula tidak mahu mempunyai anak apabila mereka mendirikan rumah tangga nanti. Perkara itu membuat Nora berkecil hati.

* TANIA pelajar kolej yang sanggup melakukan pelbagai perkara untuk memenangi cintanya.

As ke?

SANA sini Kak Tim pergi, asyik dengar orang bercerita tentang Sehati Berdansa. Seronok benar mereka tonton program baru TV realiti siaran Astro Ria itu. Dan Kak Tim sudah mula merasakan rancangan itu akan membangkitkan fenomena baru kepada penonton tempatan.

Biasalah bila sesebuah program mula menjadi perhatian, maka peserta-pesertanya pun mulalah diperkatakan.

Paling hangat menjadi bahan perbualan ialah As, bekas anggota kumpulan Feminin yang pernah popular tahun 90-an.

Anehnya mereka tidak bercerita tentang kemampuan As berdansa. Tapi asyik memperkatakan tentang perubahan bentuk badannya.

Lebih lucu lagi, ramai yang selamba bertanya Kak Tim soalan yang tak mampu Kak Tim jawab: “Kenapa As jadi macam tu?”

Kak Tim sendiri sebenarnya pertama kali menyaksikan kemunculan As pada program itu, terdetik hati tertanya, “As ke itu?”

Sudah hampir 10 tahun sebenarnya As menyepi diri dari dunia hiburan. Dan kemunculannya dalam Sehati Berdansa, ternyata telah mengembalikan ingatan ramai kepada Feminin.

Malangnya, kita asyik membayangkan As yang dahulu tanpa mempedulikan bahawa As hari ini bukan lagi penyanyi dan penari kumpulan Feminin. Tapi As kini sudah jadi isteri dan ibu kepada dua orang anak.

Justeru Kak Tim lebih respek sikapnya yang terbuka menjayakan Sehati Berdansa, rancangan televisyen yang Kak Tim kategorikan sebagai program amal selebriti. Wang yang dimenangi akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan.

Malah rasa respek itu lebih bertambah, bila mengetahui As dan suami sanggup bersusah payah membawa anak-anak mereka yang masih kecil ketika mengikuti kelas-kelas tarian setiap minggu.

“Budak-budak tu (anak-anak As) asyik menangis. Bosan agaknya dalam kelas tu. Terpaksalah waktu belajar tu, As dan suami bergilir-gilir menjaga mereka. Waktu As belajar, suami dia jaga anak-anak dalam kereta. Bila suaminya belajar, As pula ke kereta. Kasihan As. Dia sepatutnya kena banyak tumpukan perhatian belajar menari bersama-sama pasangannya untuk dapatkan keserasian,” cerita seorang teman.

Bayangkan pengorbanan bekas anggota Feminin ini! Tentu As sendiri menyedari popularitinya tidak lagi sehebat peserta saingannya dalam program itu, yang masih lagi aktif dalam dunia hiburan. Tapi As tidak berasa rendah diri. Malah baginya kalah atau menang bukan persoalan. Itulah As! Dan kegigihannya bersusah payah untuk tampil berbakti, seharusnya dihargai.

KAK TIM: Penerbit filem Raja Azmi kini hamil hampir tiga bulan. “Anak bongsu dah 13 tahun. Tak sangka pula dapat rezeki baru ni,” bisiknya pada Kak Tim. Tahniahlah! Patutlah berseri-seri wajah Raja Azmi waktu di Malam Penghargaan Metrowealth 2007 Khamis lalu.

Link: Utusan Malaysia

Persandingan Ina Naim, Suhaimi meriah

KOTA TINGGI 18 Nov. – Majlis persandingan Nordiana Md. Naim, 23, atau Ina Naim dan suaminya, bekas penyanyi kumpulan In-Team, Mohd. Suhaimi Saad, 27, disempurnakan penuh meriah di Dewan Felcra Sungai Ara di sini hari ini.

Majlis persandingan pasangan yang diijabkabulkan pada pertengahan Ogos lalu itu diuruskan oleh Nasyeed.Com dan Persatuan Penggiat Industri Nasyid Malaysia (PIN) dengan kerjasama penduduk Felcra Sungai Ara.

Pengurus majlis itu, Mahadi Mohd. berkata, walaupun dianjurkan secara sederhana, namun ia tetap meriah dengan kehadiran 5,000 tetamu dan jemputan termasuk peminat-peminat artis berkenaan dan rakan-rakan artis daripada kumpulan Hijaz serta Mestica.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah menguruskan majlis persandingan tersebut kerana mendapat bantuan sepenuhnya daripada penduduk kampung.

‘‘Kami telah mengaturkan persiapan majlis ini bersama penduduk kampung secara bergotong-royong,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis persandingan pasangan artis itu.

Perkarangan Dewan Felcra Sungai Ara mula dibanjiri tetamu seawal pukul 12 tengah hari dan menjadi sesak sejurus pasangan pengantin tiba di dewan berkenaan kira-kira pukul 2 petang.

Mahadi berkata, walaupun hujan lebat, atur cara majlis yang dirancang seperti persembahan silat, zapin, perarakan kompang, bacaan doa, ucapan kedua-dua belah pihak dan upacara memotong kek dijalankan mengikut jadual.

Majlis menyambut menantu bagi pihak Suhaimi pula akan diadakan pada 24 November ini di Felda Tementi, Triang, Pahang.

Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Ina mengaku yang beliau kini hamil tiga bulan.

Mengenai kerjaya sebagai artis, beliau memberitahu, ada menerima tawaran berlakon baru-baru ini tetapi masih dalam peringkat pertimbangan manakala Suhaimi pula akan melancarkan album barunya tahun hadapan.

Yang mana satu kisah dilema jodoh wanita

Wanita yang berjawatan tinggi seringkali tidak memberi keutamaan kepada soal mendirikan rumah tangga. Mereka takut dikongkong apabila berkeluarga yang dianggapkan boleh membantutkan karier. Ada pula yang merasakan beban kerja lebih ringan daripada bebanan rumah tangga.

Namun, tidak kurang pula yang risau apabila mendapati usia semakin mengejar sedangkan diri belum lagi mempunyai teman lelaki. Kerisauan dan gundah gulana ini dialami oleh tiga wanita, Myra (Rozita Che Wan), Ziela (Dilla Ahmad) dan Aniza (Amyza Adnan). Kisah tiga sahabat baik ini dipaparkan dalam drama bersiri terbaru, Yang Mana Satu, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 12.30 tengah hari menerusi slot Galeria Famili di RTM2.

Kemelut tiga wanita berjawatan tinggi ini semakin memuncak apabila mereka perlu hadir ke majlis re-union sekolah lama mereka. Aniza berasa takut jika status perkahwinan akan ditanya. Dia sebenarnya ingin berkahwin namun sampai sekarang belum bertemu jodoh. Ziela pula antiperkahwinan sementara Myra masih belum menemui lelaki yang memenuhi impiannya sehingga Myra menyenaraikan ciri-ciri lelaki idamannya itu di dalam sebuah ‘buku hitam’.

Sementara itu, Roshdi (Faizal Hussin), seorang jurugambar komersial sering gagal dalam bercinta. Ibu bapanya dan ibu Myra bersahabat baik dan berhasrat menjodohkan mereka berdua. Namun, Roshdi dan Myra tidak menunjukkan minat.

Haris (Heryanto), rakan Roshdi yang telah melakukan sesuatu perkara buruk ke atas majikannya, Ahmad (Datuk Rahim Razali) meminta Roshdi menyamar sebagai budak pejabat bagi mengambil surat layang yang mengutuk majikannya itu serta termos yang dimasukkan air kencing. Maka, bermulalah tugas baru Roshdi sebagai budak pejabat demi membantu Haris mendapatkan kembali kerjanya tanpa mengetahui yang dia akan berhadapan dengan Kak Tim (A. Aida), setiausaha Ahmad yang amat garang.

Dalam kesibukan membuat persediaan untuk ke majlis re-union, tiba-tiba Aniza mengambil tindakan drastik meninggalkan Malaysia menemui rakan Internetnya. Tinggallah Myra dan Ziela yang harus pergi ke majlis tersebut. Myra dan Ziela mendapati hampir kesemua rakan mereka telah berumahtangga dan hidup bahagia.

Panduan

Ziela akhirnya nekad untuk menerima jodoh yang diatur oleh ibu bapanya. Hanya Myra yang masih menggunakan ‘buku hitam’nya sebagai panduan dan mula keluar dengan beberapa orang lelaki. Ternyata semua lelaki yang keluar dengannya tidak menepati apa yang dihajati.

Cuma Roshdi yang di pejabat sahaja dirasakan memahaminya dan Myra juga selesa berkawan dengan Roshdi. Kepada Roshdi diceritakan segala rancangannya untuk membuka sebuah restoran hebat di Kuala Lumpur. Roshdi kagum dengan impian Myra dan menggalakkannya untuk meneruskan impiannya. Roshdi juga menceritakan impiannya untuk menjadi seorang jurugambar terkenal suatu hari nanti.

Sementara itu, kedua-dua ibu Myra dan Roshdi menghantar e-mel mengandungi puisi cinta kepada Myra atas nama Shidee.

Roshdi mencari Myra di pejabat untuk memberitahunya perkara sebenar namun Myra sudah pulang. Roshdi lantas pulang ke rumah dan mendapati Myra dan keluarganya berada di rumahnya. Myra terkejut dan bergaduh dengan Roshdi kerana menipunya. Roshdi meminta maaf dan cuba menjelaskan bahawa bukan dia yang merancang semua ini tetapi Myra terus berlalu pergi.

Bolehkah Roshdi memenangi hati Myra yang merasakan dirinya tertipu dan selalu dipermainkan oleh lelaki? Pastikan anda menonton Yang Mana Satu, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 12.30 tengah hari menerusi slot Galeria Famili di RTM2 untuk mengetahui kesudahan cerita.

Thursday, November 8, 2007

Mawi lega raya bebas kontroversi

TERGAMBAR keletihan pada raut wajah anak muda ini sebaik saja acara selesai. Maklumlah jadual kerjaya yang ketat ditambah melayan keletah peminat yang pelbagai ragam bukannya mudah. Namun itu tidak sedikitpun menjarakkan hubungan Mawi dengan peminatnya.

Seletih manapun diri, digagahi juga menghiburkan peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya. Sabtu lalu, Mawi World Sdn Bhd bersama-sama Mawi FC menganjurkan acara tahunan mereka iaitu majlis hari raya bertemakan Riang Ria Aidilfitri bersama Mawi. Selama tiga tahun dianjurkan, kelihatan wajah yang sama menghiasi Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang itu di samping muka-muka baru.

Itulah hebatnya ‘aura’ yang dimiliki jejaka dari Felda Taib Andak ini kerana popularitinya tidak pernah ampuh biarpun juara Akademi Fantasia datang bersilih ganti. Walaupun ketibaannya agak lewat namun kehadirannya tetap dinantikan. Malah, mereka sudah bersedia seawal jam 2 petang lagi untuk menyambut ketibaan hero kesayangan mereka beraksi di atas pentas.

Sebaik tiba, Mawi yang kelihatan kacak mengenakan baju Melayu potongan cekak musang berona biru dan berkaca mata terus menghiburkan peminat dengan dua lagu, Angan Dan Sedar yang dipetik dari album terbarunya Satu Dalam Seribu serta lagu raya yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Hj Arshad, Dari Jauh Ku Pohon Maaf. Bagaikan diserang histeria, peminat bersorak sakan dan mula mengerumuni pentas untuk melihat lebih dekat penyanyi pujaan mereka itu.

Seperti biasa, kerlipan cahaya dari lensa kamera tidak putus-putus menyimbah wajah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ini kerana masing-masing tidak mahu melepaskan peluang bergambar kenangan dengan penyanyi sensasi ini.

Dalam berhibur, sempat juga Mawi memberitahu peminatnya yang badannya semakin kurus gara-gara ‘tersiksa’ berada di lokasi Bukan sekadar melantunkan suara, malah Mawi turut serta ‘mengenakan’ peminatnya apabila mereka diuji dengan permainan seperti menganyam ketupat menggunakan riben serta pertandingan memakai kain sampin serta menyanyikan Lagu Cinta Lagu Jiwa. Sesi ini berjaya mengundang gelak ketawa apabila mereka yang dipanggil ke atas pentas masing-masing dengan ragam tersendiri.

Untuk sesi menganyam ketupat, hanya ada seorang peserta saja yang mampu menukar riben itu menjadi ketupat iaitu makcik Fatimah dari Kluang, Johor biarpun tidak sempurna. Sempat juga makcik peramah itu memberi alasan dengan menyatakan dia sebenarnya mampu menganyam ketupat tetapi dengan daun kelapa, bukannya riben.

“Kenapa suruh makcik menganyam dengan riben. Mana ada orang buat ketupat dengan riben. Lain kali, kalau suruh makcik anyam ketupat, beritahu awal. Biar makcik bawa daun kelapa dari rumah. Susah sangat menganyam. Licin,”bebel makcik Fatimah sekali gus disambut hilai tawa tetamu yang hadir. Untuk majlis itu, Mawi turut mengundang pasangannya, Heliza yang juga Ikon saluran Astro Oasis untuk berduet menerusi lagu Doa Dalam Lagu sebelum memberi laluan kepada Heliza menyanyi secara solo. Masa rehat yang singkat itu digunakan Mawi untuk menukar pakaiannya yang sudah pun dibasahi peluh ke baju Melayu teluk belanga rona hijau pucuk pisang.

Bagi persembahan sesi kedua ini, Mawi memilih untuk mengalunkan lagu ciptaannya, Ayah serta Cinta Zulaikha selain meneruskan acara cabutan bertuah serta acara wajibnya sejak kebelakangan ini iaitu pertunjukan magis. Lebih tiga jam menghabiskan masa bersama peminat, Mawi mengakhiri acara itu dengan pemberian sumbangan berupa RM1,000 kepada Rumah Anak Yatim Baitul Ummah, Hulu Klang termasuk cenderahati kepada 60 anak yatim yang diundang serta bergambar kenangan. Ditemui selepas acara itu berakhir, Mawi nyata berpuas hati kerana majlis hari raya itu berlangsung dalam keadaan sempurna dan diharap peminatnya terhibur dengan apa yang disajikannya.

Diminta mengulas betulkah dirinya tersiksa sejak membintangi filem Aduh!Saliha seperti yang dikatakannya di pentas, Mawi berkata dia tidak bermaksud sedemikian cuma ia tidak lebih dari sekadar gurauan bersama peminat. “Maklumlah, shooting filem ini berlangsung dalam bulan puasa. Jadi tak boleh nak makan dan minum. Tapi saya akui, berlakon bukanlah perkara yang mudah apatah lagi berlakon di bawah pengarah yang 'tidak terjangkau imaginasinya' seperti M Nasir. Tapi tak mengapa sebab saya tahu dia adalah seorang pengarah yang mementingkan kualiti,” jelas Mawi yang kini sedang bersiap sedia untuk menyambung penggambaran semula selepas bercuti sempena Aidilfitri.

Ditanya apakah dia ingin berlakon lagi selepas ini, Mawi membalas soalan itu dengan pandangan yang kosong. Sukar untuk ditelah maksud pandangan itu. Entahkan serik atau ingin menumpukan sepenuhnya pada karier nyanyiannya, hanya Mawi saja yang tahu.

Tidak seperti tahun lalu, Mawi meraikan 1 Syawal bersama keluarganya dalam keadaan bebas kontroversi. Jika tahun lalu dia disentak dengan cerita mengikat tali pertunangan dengan siswi UiTM yang juga anak kenalan arwah bapanya namun tahun ini, lebaran Mawi diraikan dengan penuh ketenangan. “Pada hari raya pertama, saya meraikan di rumah manakala hari kedua saya membawa semua ahli keluarga bercuti di rumah yang saya menangi sebagai Juara AF3 di A Famosa, Melaka,” jelas Mawi yang bakal mengacarakan program bercorak pengembaraan Islam untuk saluran Astro Oasis.

Sumber : Berita Harian

Adam aset penting KRU

KONTRAK Adam dengan KRU masih berjalan dan tetap diteruskan kerana Adam adalah aset penting syarikat milik trio adik beradik Norman, Yusry dan Edry. Jadi spekulasi mengenai kontraknya bersama KRU tidak diteruskan adalah tidak benar, kata Pengarah Urusan KRU Music Group, Norman Abdul Halim.

Norman ketika ditemui di majlis rumah terbuka KRU baru-baru ini berkata, dia sendiri terkejut apabila membaca laporan sebuah akhbar (bukan terbitan Berita Harian) mengenai kontrak Adam yang akan dibatalkan. Malah, Norman mendakwa dia sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan.

“Itu hanyalah satu salah faham. Saya sendiri terkejut dengan artikel itu dan terkilan dengan kakitangan KRU kerana timbulnya salah faham ini. “Spekulasi ini timbul gara-gara Adam yang tidak muncul ketika persembahan. Saya pernah berpesan kepadanya jangan berjanji kalau tidak mampu untuk penuhi undangan orang. Kalau tidak boleh buat, cakap saja tidak boleh. Malah saya juga sudah berkali-kali berpesan kepada artis, jika ada sebarang masalah bawalah berbincang.

“Ini semua salah faham dan mungkin spekulasi media saja. Cuma saya hendak perbetulkan bahawa kontrak Adam masih diteruskan. Projek terbaru Adam adalah yang paling berjaya bermula daripada lagu duetnya bersama Farah, Tak Tahu Antara Dua dan juga Joget Lambak dan terbaru Hai.

“Kita ada prosedur, kalau artis itu berjaya maka kontraknya secara automatik akan bersambung. Kalau mereka tidak puas hati dengan apa yang kita lakukan mereka boleh beredar jika itu jalan yang terbaik buat mereka. Saya tidak mahu mengongkong artis kami dan saya sentiasa amalkan prinsip terbuka,” kata Norman. Setiap artis yang bernaung di bawah KMG mempunyai kontrak selama lima tahun. Kontrak berkenaan ditanda tangani setiap tahun termasuk artis dari Indonesia seperti The Lima, Pianka dan Syuga.

KMG juga memberi kebebasan kepada artisnya untuk memberikan cadangan malah menggalakkan artisnya berdiri sendiri sekiranya mereka merasakan itu jalan terbaik seperti kumpulan Pretty Ugly dan Rabbani yang memilih haluan sendiri. KMG juga akan memberikan panduan dan pertolongan kepada artis yang sudah menarik diri daripada syarikatnya, malah sedia memberikan kerjasama kepada mereka.

Norman menafikan dia bersikap pilih kasih dalam melayan artisnya, sebaliknya mereka diberi layanan yang sama rata. Kata Norman, setiap artis di dalam syarikatnya mempunyai sumbangan tersendiri. Bagaimanapun, Norman tidak menafikan pernah kecewa dengan sikap Adam kerana dia menghilangkan diri ketika KRU sedang rancak membuat pelbagai promosi untuknya.

Namun kekecewaan itu tidak berpanjangan dan berjaya diselesaikan dengan cara baik. Tetapi Norman mengakui kesilapan Adam yang tidak pandai mengawal keadaan menjadi punca yang akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Sumber : Berita Harian

'Tak dinafikan ada kala saya rasa sunyi'

KETIKA bekas isterinya, Erra Fazira menemui jodoh baru 25 Oktober lalu, Yusry tidak berada di Kuala Lumpur. Duda kacak ini khabarnya membawa diri nun jauh ke utara tanah air pada hari yang sama Erra dan pasangannya Engku Emran Engku Zainal Abidin diijabkabulkan.

Jangan lekas membuat andaian kerana sebenarnya pemergian Yusry ke Pulau Pinang bukanlah merajuk atau membawa hati yang lara tetapi kerana tuntutan tugas untuk mengarahkan filem terbarunya, Cicak-Man 2. Malah perkara itu sudah dirancang awal dan menurut Yusry, Erra sendiri sudah sedia maklum akan perkara ini.

“Saya ada menerima undangan ke majlis perkahwinan itu. Erra yang memberikan kad undangannya tetapi saya tidak dapat hadir kerana penggambaran Cicak-Man 2 sudah bermula. Erra pun tahu saya sibuk dengan filem ini. “Bukan saya sengaja mengelak diri, namun memang saya terikat dengan tanggungjawab mengarahkan Cicak-Man 2. Segala-galanya sudah dirancang rapi.

Malah sebelum dia (Erra) memilih tarikh kahwin itu pun, semua orang tahu saya sibuk membuat perancangan untuk penggambaran Cicak-Man 2. “Apapun, saya mengucapkan selamat pengantin baru dan semoga selamat hingga ke anak cucu," kata Yusry tenang ketika ditemui pada majlis rumah terbuka KRU di kediaman mewahnya, baru-baru ini.

Diusik pertanyaan tidakkah dia merasa sunyi tinggal di banglo mewah tujuh bilik itu berseorangan tanpa ditemani orang tersayang, Yusry mengakui ada kalanya kesepian melanda diri. “Saya tidak nafikan ada masa saya rasa sunyi. Memang saya ada niat untuk berkahwin tapi bukan dalam waktu terdekat. Lagipun saya belum temui teman istimewa. Sekarang ini saya tidak ada masa untuk memikirkan hal lain kerana sibuk dengan kerja. Kalau ada jodoh, adalah,” ujar Yusry yang cukup terbuka berbicara hal peribadi pada malam itu.

Bercerita mengenai banglonya itu, Yusry berkata dia sudah menetap di kediamannya itu sejak enam bulan lalu. “Sejak tinggal di sini, baru hari ini rumah ini menerima kunjungan tetamu. Apabila KRU bercadang untuk mengadakan rumah terbuka untuk teman rapat, pelanggan dan juga media, saya pun terfikir untuk mengadakannya di sini. Kata orang selain kenduri rumah baru, terus adakan rumah terbuka sekali,” ujar Yusry yang enggan mendedahkan nilai sebenar banglo terbabit. Sebaliknya mengatakan banglo itu adalah hasil titik peluh yang dikumpulnya sepanjang bergelar anak seni.

Antara kelibat tetamu yang kelihatan malam itu Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Ahmad Puad Onah, Profesor Madya A Razak Mohaideen (pengarah filem), Julie Dahlan (penerbit JD Production) dan anaknya Hani, Ezlynn, Fouziah Ghous, Dafi, Fahrin Ahmad dan Linda Onn. Kata Yusry antara faktor dia memilih banglo di kawasan itu adalah kerana ia terletak berhampiran dengan pejabatnya.

“Lagipun saya suka kawasan ini. Selain dekat dengan bandaraya dan tempat kerja, kawasan ini cukup tenang sebab kebanyakan yang tinggal di sini mereka yang sudah bersara,” cerita Yusry. Diajak berbicara mengenai filem Cicak-Man 2, Yusry berkata untuk filem ini dia tidak begitu berkira soal bajet asalkan dia dapat apa yang dikehendakinya. “Jika dalam filem pertama dulu kami terikat dengan bajet tapi untuk filem ini kami tidak kisah untuk berbelanja lebih kerana saya mahu apa yang saya rancangkan dalam storyboard yang saya hasilkan itu menjadi kenyataan.

“Kalau boleh saya mahu 90 peratus yang saya gambarkan dalam storyboard itu digunakan dalam filem ini. Apabila ini berlaku, saya yakin filem ini mampu meletup seperti filem Cicak-Man,” ujar Yusry sambil memberitahu filem sekuel ini juga akan menggunakan banyak kesan imej janaan komputer (CGI). Filem yang menelan belanja sebanyak RM2.5 juta sebelum masuk kos promosi ini juga turut menampilkan watak baru iaitu RRrama lakonan pelakon jelita dari seberang Tamara Bleszynski selain mengekalkan watak asal yang diubah suai.

“Kami tidak mahu penonton keliru, jadi kami mengekalkan watak asal dalam filem ini. Cuma watak Ginger Boys yang sudah mati dalam Cicak-Man kita ubah menjadi Ginger Ghost. Mereka tampil membalas dendam dalam filem itu nanti,” dedah Yusry sambil memaklumkan pakaian Cicak-Man 2 juga akan mengalami perubahan dalam filem ini. “Filem ini juga tidak akan menggunakan kepakaran dari luar.

Semuanya akan dihasilkan anak tempatan. Saya akan berusaha keras untuk filem ini memandangkan komik adalah kegemaran saya. Buat filem kena syok sendiri. Kalau kita tak suka, macam mana orang lain hendak tengok. Dan saya sudah pun merancang untuk buat Cical-Man 3. Tengoklah nanti macam mana,” ujar Yusry separuh berahsia.

Sumber : Berita Harian

Kudsia bangkit bela Nana, Reza

TIBA-TIBA saja nama Nana, penyampai radio stesen nombor satu negara, yang sudah popular menjadi semakin popular apabila dia dilaporkan tersilap menyebut nama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis sebagai angkasawan Malaysia kedua ketika bersiaran di konti. Bagaimanapun, Pengurus Besar Kumpulan (Rangkaian), Airtime Management & Programming (AMP), Kudsia Kahar bangkit membela penyampai radio yang dilahirkan daripada program realiti Akademi Fantasia itu dengan berkata, Nana sudah pun membuat pembetulan dengan serta-merta sebaik saja menyedari kesilapannya itu.

Nana juga pada waktu itu bertugas dengan Jimmy Shanley dan bukannya dengan Reza seperti yang dilaporkan dalam ruangan Fragmen bertajuk ‘Kejahilan juruhebah radio yang memalukan’ bertarikh 17 Oktober lalu.
Kudsia juga menjelaskan Jimmy tidak gagal dalam tugasnya sebagai rakan setugas Nana apabila membetulkan kesilapan rakannya itu dengan menyebut nama menteri dan angkasawan dengan betul dan jelas. Kudsia berkata, pihaknya kesal kerana kesilapan pada kenyataan yang mengatakan Nana dan Reza tersalah sebut nama menteri dan angkasawan menyebabkan kredibiliti radio Era dan penyampainya dipersoalkan.

“Ingin kami nyatakan kekesalan di atas penulisan itu. Akibat daripada kekeliruan dalam artikel itu, kredibiliti dan integriti Era dan penyampainya dipersoalkan. Apatah lagi kredibiliti Reza, yang tidak semena-mena terjejas apabila namanya dikaitkan dengan ‘insiden’ itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirimkan menerusi e-mel untuk memberi penjelasan sebenar terhadap artikel dalam kolum itu.

“Dinyatakan dalam ruangan itu bahawa Nana dan Reza bertugas semasa laporan mengenai pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara itu dibuat. Reza tidak bertugas pada waktu insiden dalam artikel itu dilaporkan berlaku, sebaliknya Nana bertugas bersama rakan penyampai Jimmy Shanley. “Nana membaca laporan yang dipetik daripada akhbar itu dengan laju, lalu tersilap menyebut nama yang tertera dalam laporan itu. Namun begitu, Nana dengan serta-merta menyedari dan meminta maaf atas kesilapannya.

Kesilapan itu dengan serta-merta juga dibetulkan oleh Jimmy Shanley yang menyebut nama (menteri dan angkasawan) yang betul dengan jelas. “Jimmy tidak gagal dalam tugasnya sebagai rakan setugas Nana dengan membetulkan kesilapan Nana dan memberi maklumat yang tepat dengan segera. Malahan, Jimmy menyebut nama angkasawan negara kedua iaitu Dr Faiz dengan jelas dan tanpa teragak-agak.

Nana kemudiannya mengulangi dengan menyebut nama Kapten Dr Faiz Khaleed sepenuhnya. Nyata kedua-dua penyampai telah pantas mengatasi kesilapan itu,” jelas Kudsia lagi. Katanya lagi, Reza pula sebenarnya tidak bertugas semasa laporan mengenai pelancaran roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan negara itu dibuat.

“Reza tidak bertugas pada waktu insiden dalam artikel itu dilaporkan berlaku, sebaliknya Nana bertugas bersama rakan penyampai Jimmy Shanley,” katanya lagi. Begitupun, Kudsia tetap menghargai keprihatinan dan perhatian media terhadap radio Era dengan setiap pandangan atau teguran akan sentiasa dijadikan rujukan untuk menjadikan kandungan program terbaik buat khalayak pendengar radio nombor satu negara ini.

Sumber : Berita Harian

Tuesday, November 6, 2007

Jalan mudah berlakon drama

ADA orang sanggup menggadaikan maruah diri demi memenuhi kehendak hati. Cerita begini bukanlah asing dalam dunia hiburan.
ADA orang sanggup menggadaikan maruah diri demi memenuhi kehendak hati. Cerita begini bukanlah asing dalam dunia hiburan.

Sejak zaman piring hitam dan layar skrin hitam putih lagi, SS sudah mendengar cerita ada segelintir artis sanggup meniduri pengarah mahupun komposer semata-mata mahu mendapatkan watak dalam filem dan peluang merakamkan album.Sangkaan SS, apabila semakin maju sesebuah negara dan industri hiburannya, gejala semacam ini tidak lagi berlaku. Namun nampaknya sehingga kini ia menjadi fenomena tradisi.Begitulah SS ibaratkan perihal pelakon baru yang cukup menawan ini.

Walaupun bakatnya belum benar-benar teruji, dia sering diberi kepercayaan membawa watak penting dalam filem.Bagi SS perkara ini tidak pelik sekiranya dia betul-betul berbakat. Tapi yang tidak sedapnya, SS dengar dia memperoleh peluang itu kerana menjalin hubungan dengan adik pengarah terkenal yang turut terbabit dalam pembikinan filem dan drama.

Mulanya, SS tidak percaya kerana SS lihat pelakon baru ini lurus dan baik orangnya. Namun, selepas orang dalam produksi sendiri mengesahkan hubungan mereka, SS pun tiada alasan untuk tidak mempercayainya.Tidak kisahlah kalau suka sama suka, maklumlah SS akui semua manusia di dunia ini berhak bercinta tapi yang menjadi hal, adik pengarah itu sudah berumah tangga. Sebagai gadis, tidak eloklah menjalinkan hubungan dengan lelaki yang sudah berkahwin apatah lagi menjadi orang ketiga yang bisa meruntuhkan rumah tangga orang lain.

SS bukannya hendak menyibuk tapi SS yakin dengan wajah yang cantik dan usaha mengasah bakat, pelakon jelita tadi mampu membina nama tanpa perlu menggadai maruah. Mudah-mudahan dia tidaklah pergi terlalu jauh sehingga merosakkan masa depannya.

Sumber : Metro

Dr. SMS bakal kahwin sebelum 2009



Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha hari ini mengumumkan untuk menamatkan zaman bujangnya sebelum 2009.
Bagaimanapun, doktor bedah ortopedik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) itu tidak memberitahu siapakah gadis pilihannya.


‘‘Saya kini sudah berumur 35 tahun. Saya sudah bersedia untuk berkahwin. Saya berharap untuk berkahwin sebelum 2009,”
Ditanya mengenai calon pilihannya, Sheikh Muszaphar berkata: ‘‘Ia adalah kehidupan peribadi saya.’’


Mengenai tanggapan negatif sesetengah pihak mengenai status angkasawannya, Sheikh Muszaphar berkata, beliau tidak mengambil serius sindiran segelintir pihak terhadap kebolehannya.
‘‘Biarkan mereka kata apa sahaja... tetapi saya diiktiraf sebagai angkasawan oleh kerajaan Rusia dan juga Malaysia malah rakyat negara ini juga mengiktiraf saya sebagai angkasawan pertama negara. Dengan doa semua orang, saya berjaya menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” ujarnya.


Sumber : Manggaonline

Kak Ros tolak undangan siaran langsung

TRAGEDI hitam yang menimpa Rosnah Mat Aris awal tahun lalu memang menggemparkan industri hiburan tanah air. Apa tidaknya, hukuman 'digantung' daripada muncul dalam semua program yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) gara-gara keterlanjuran lidahnya boleh disifatkan sebagai membunuh karier seninya. Walaupun Rosnah cuba merayu diringankan hukuman itu namun semuanya sia-sia. Bak kata bidalan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa. Tanpa sebarang kompromi, hukuman tetap diteruskan.
Sejak itu, mendung hitam mula meliputi hidup pelakon yang banyak melakonkan watak antagonis ini. Ramai penerbit merungut apabila drama yang dilakonkan Rosnah tidak dapat disiarkan di RTM. Itu semua menambahkan tekanan dalam hidup Rosnah atau lebih mesra disapa Kak Ros. Biarpun pada permulaan agak berat untuk menerima keputusan itu, namun menyedari diri ibarat mentimun yang berdepan dengan durian, dia pasrah menerima ketentuan tuhan. Rosnah tetap tabah melalui ranjau hidup sebagai anak seni. Percaya bahawa pasti akan ada sinar di hujung terowong, kini selepas tujuh bulan tragedi pahit itu berlaku, ternyata pintu rezeki masih terbuka untuknya.

Hip: Apa perkembangan terbaru Kak Ros? Masih terbabit dengan mana-mana produksi?
Rosnah: Alhamdulilah, Kak Ros masih lagi dipanggil untuk berlakon dalam drama dan filem. Tapi semua produk itu disiarkan di TV3, Astro dan TV9. Di RTM, kak Ros masih 'digantung' sehingga bulan Mac tahun depan. Setakat ini ada banyak juga drama yang Kak Ros bintangi. Antaranya Sinar Qayyum yang akan disiarkan di TV9 dan filem Duyung. Drama Sinar Qayyum mengisahkan orang tua yang dihantar di rumah kebajikan

Hip: Terlanjur bercerita fasal digantung ini, apakah Kak Ros rasa hukuman itu membunuh karier Kak Ros? Rosnah: Terus terang, kak Ros tak rasa bahawa hukuman itu mampu membunuh karier kak Ros kerana setakat ini tawaran berlakon masih ada. Lagipun, selain berlakon, Kak Ros juga ada perniagaan sendiri iaitu menjual pakaian di Damansara Uptown. Cuma perniagaan ini anak-anak Kak Ros yang jaga. Jadi kata orang, apabila kena hukuman seperti itu, tak adalah seperti kak Ros kehilangan punca rezeki sehingga tak makan. Itu mustahil. Nampaknya, tuhan masih beri rezekiNya kepada Kak Ros.

Hip: Bagaimana status drama lakonan Kak Ros yang sepatutnya disiarkan di RTM?
Rosnah: Mengenai perkara itu, Kak Ros ada buat rayuan kepada RTM supaya meringankan beban penerbit berkenaan dengan membayar produk mereka. Kak Ros tak kisah jika RTM tidak siarkan produk terbabit tetapi biarlah bayaran untuk drama itu dijelaskan. Kalau boleh Kak Ros tidak mahu penerbit drama itu rugi kerana Kak Ros. Alhamdulillah, bayaran itu sudah pun mereka jelaskan. Jadi bolehlah mereka buat modal untuk menerbitkan produk seterusnya.

Hip: Apabila Kak Ros dihukum, bagaimana penerimaan rakan-rakan lain? Menjauhkan diri atau masih bersama Kak Ros?
Rosnah: Alhamduliilah, mereka setia bersama Kak Ros. Mereka juga memberikan kekuatan dalam diri Kak Ros supaya tabah menghadapi ujian yang mendatang. Begitu juga dengan peminat Kak Ros yang ditemui di merata tempat sehinggalah ke Sabah, Sarawak dan Singapura, mereka banyak meniupkan semangat Kak Ros supaya bersabar. Malah mereka juga sentiasa ternanti-nantikan filem atau drama lakonan Kak Ros. Bagi mereka, apa yang berlaku bukanlah satu perkara yang disengajakan. Dan itulah juga yang Kak Ros rasakan sehingga kini.

Hip: Maksud Kak Ros?
Rosnah: Iyalah seperti yang Kak Ros tegaskan sebelum ini, Kak Ros kesal dengan apa yang berlaku. Apa yang keluar daripada mulut saya bukan disengajakan. Saya pula sudah tua, kadang-kadang otak fikir lain, mulut keluar lain. Lagipun, ramai yang sedia maklum bahawa saya ini jenis orang yang kuat melatah. Jadi, ini semua ada kaitan dengan apa yang berlaku. Apapun, kalau boleh saya tidak mahu lagi mengingati peristiwa itu. Yang berlalu, biarkan berlalu. Selepas ini Kak Ros akan lebih berwaspada.

Hip :Apakah ini bermakna Kak Ros serik untuk muncul dalam program bual bicara yang kontroversi?
Rosnah: Saya tidak pernah serik atau kesal dengan apa yang berlaku. Perkara hendak terjadi, bukan boleh ditarik balik cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati menerima tawaran muncul dalam program bual bicara terutama yang membicarakan hal sensitif. Kak Ros juga akan tengok dulu apa keperluan Kak Ros untuk muncul dalam rancangan itu. Yang pasti, jika ia disiarkan secara langsung, Kak Ros awal-awal lagi akan menolak. Iyalah, takut pisang berbuah dua kali.

Hip: Sekiranya tempoh hukuman tamat, apakah Kak Ros masih ingin membintangi drama yang akan disiarkan di RTM?
Rosnah: Mengapa tidak? Kak Ros tidak suka bermusuh atau berdendam dengan sesiapa. Kalau ada tawaran, pasti Kak Ros akan terima. Lakonan adalah punca rezeki Kak Ros, jadi tidak wajar untuk Kak Ros menolaknya. Cuma sekarang ini kalau ada tawaran daripada mana-mana penerbit, Kak Ros akan tanya dulu drama ini akan disiarkan di saluran mana? Bukannya apa, Kak Ros tidak mahu mereka mengambil risiko

Hip: Sampai bila rasanya Kak Ros mahu bersendiri?
Rosnah: (Sambil tertawa) Kak Ros tidak terdesak untuk mencari jodoh. Bagi Kak Ros kalau ada, adalah. Walaupun ada ketika Kak Ros rasa sunyi, tapi kesibukan Kak Ros dengan kerjaya lakonan membuatkan Kak Ros terlupa seketika soal itu.

Hip: Masih lagi dikaitkan dengan lelaki muda?
Rosnah: Kak Ros jenis orang yang terbuka. Dengan lelaki berusia Kak Ros berkawan, dengan lelaki muda pun Kak Ros selesa. Alasan Kak Ros berkawan dengan lelaki muda ialah mereka ini lebih terbuka. Kadang-kadang mereka ini minat berlakon dan sebagai pelakon senior, saya banyak memberi tunjuk ajar kepada mereka. Lagipun Kak Ros tak risau kerana ke manapun Kak Ros pergi, sentiasa ditemani anak lelaki Kak Ros. Anak lelaki Kak Ros dah besar-besar, jadi kurang sikit gosip.

Hip: Kalau diberi pilihan, mana yang Kak Ros rasa lebih sesuai dijadikan pasangan hidup. Lelaki berusia atau muda?
Rosnah: Kak Ros tak kisah. Mana-mana pun boleh asalkan dia memahami kerjaya Kak Ros sebagai pelakon dan menerima diri ini seadanya.

Sumber : Berita Harian

David, Jaclyn bertemu jodoh dalam Estet

PENYANYI utama kumpulan Alleycats, David Arumugam bakal menjadi suami kepada Jaclyn Victor apabila mereka digandingkan dalam filem terbaru arahan Mamat Khalid berjudul Estet. Sebagai suami isteri, mereka menjadi tempat mengadu kepada pemuda estet di ladang getah yang mempunyai masalah.

Jaclyn akan tampil dengan sari, manakala David pula muncul dengan berpakaian doti, iaitu pakaian tradisional masyarakat India. "Walaupun filem berlatar belakang masyarakat India di estet, tetapi kita menggunakan cakap Melayu sepenuhnya. Tetapi ada juga diselitkan dialog bahasa Tamil," kata Mamat Khalid.

Mamat berkata, dia tidak menganggap filem Estet sebagai menghina masyarakat India sebaliknya ia adalah satu usaha mengangkat kaum itu dalam media filem arus perdana. "Idea untuk menghasilkan filem ini timbul ketika membuat penggambaran filem Man Laksa. Sebahagian lokasi penggambarannya dibuat di estet. Dari situ, saya berasakan adalah sangat menarik kalau dibuat sebuah filem mengenai kehidupan masyarakat di estet," jelasnya. Filem Estet akan memulakan penggambaran bulan depan dengan lokasi utamanya di sekitar estet getah sepanjang Chemor hingga ke Pandang Rengas di Perak.

Mamat yang baru selesai menyiapkan filem Kala Malam Bulan Mengambang, berkata sebelum menyiapkan skrip Estet, dia sudah bertemu dan berbincang dengan David Arumugam dan Jaclyn untuk membintangi filem itu. Katanya, mereka sangat tertarik dengan idea mengenai filem Estet dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan imej Jaclyn atau David sebagai penyanyi yang diminati ramai.

"Sebenarnya mereka teruja dengan filem itu. Jaclyn sangat suka untuk berlakon dalam filem ini, lebih-lebih lagi dalam filem itu dia dikehendaki memakai sari. David pula gembira sangat sebab kena pakai doti. "Saya dapatkan David dan Jaclyn kerana kedua-dua adalah penyanyi berketurunan India yang boleh diterima baik oleh peminat Melayu. Bagi saya itulah kelebihan mereka. Tetapi secara keseluruhannya separuh pelakon filem ini memang orang Melayu, separuh lagi orang India," jelas Mamat yang yakin gandingan kedua-dua penyanyi terkenal itu bakal memberi kesan besar kepada filem Estet.


Filem Estet mengisahkan perlawanan bola sepak antara dua estet. Dalam persiapan perlawanan itu, berlaku konflik dan sabotaj. Ia bermula dengan Farid (lakonan Farid Kamil) menaruh hati dengan gadis India di estet itu bernama Yasmin. Pada masa sama, Yasmin juga dicintai oleh Sasee iaitu kawan Farid. Bagaimanapun, mereka tetap berkawan baik apabila kedua-duanya menyelamatkan bapa Yasmin daripada angkara jahat.

"Filem Estet menggunakan pendekatan atau gaya filem Tamil dari India Selatan. Kalau kita pernah tonton filem Tamil dari bahagian sana, begitulah caranya filem ini dibuat. "Ini kerana saya menggunakan persekitaran tempatan yang menarik, berlatar belakang estet yang jarang dipaparkan dalam filem kita selain elemen beberapa lagu yang tidak kurang juga hebatnya," katanya.

Bagaimanapun, Mamat berkata, kisah kehidupan di estet yang membabitkan kaum India dan Melayu sebenarnya amat menarik untuk difilemkan tetapi jarang atau tidak pernah dibuat oleh penerbit. "Selalunya filem mengenai masyarakat India dibuat oleh pengarah dan penerbitan independent atau penerbit kecil-kecilan. Jadi, kali ini saya membuatnya dalam bentuk arus perdana, secara komersial yang boleh dikongsi oleh semua orang. "Sebab itulah menampilkan barisan pelakon yang boleh diterima penonton Melayu dan India. Dengan olahan secara komedi, saya yakin filem Estet boleh 'meletup'," kata Mamat lagi.

Sumber : Berita Harian

One In A Million - perlukah penyertaan penyanyi popular?

BIASANYA para peserta yang menyertai sesuatu pertandingan nyanyian kerana ingin menguji bakat mereka dalam bidang seni suara. Selain alasan itu, menyertai pertandingan nyanyian juga boleh dijadikan sebagai landasan untuk mencipta nama sebagai penyanyi terkemuka pada masa depan.
Namun, bagaimana pula dengan pertandingan nyanyian yang disertai oleh para penyanyi yang sudah ada nama? Apakah alasan-alasan penyanyi-penyanyi yang terbabit?

Program televisyen (TV) realiti, One In A Million (OIAM) misalnya, turut disertai oleh penyanyi popular yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian.
Tahun lalu, OIAM yang menyediakan hadiah wang tunai RM1 juta untuk habuan pemenangnya telah disertai oleh ramai penyanyi popular tanah air.

OIAM musim kedua yang akan bermula pada Disember ini sekali lagi menjadi tumpuan ramai penyanyi popular pada sesi uji bakat yang telah diadakan baru-baru ini.
Difahamkan, antara penyanyi terkenal yang telah menjalani uji bakat untuk musim kedua OIAM terdiri daripada Siti Sarah Raisudin, Intan Sarafina, Haida, Alya dan Dewi (Mentor).
Penyertaan penyanyi-penyanyi popular menerusi pertandingan nyanyian anjuran 8TV itu secara tidak langsung telah mengundang pelbagai persoalan di kalangan banyak pihak.

Kurang adil

Antaranya, para peminat tentunya akan mempersoalkan penyertaan para penyanyi popular dalam pertandingan itu yang dilihat kurang adil kepada para peserta junior yang lain.
Ini kerana, penyanyi popular yang menyertai OIAM mempunyai kelebihan terutamanya dari segi populariti bagi meraih sokongan para peminat masing-masing.

Apatah lagi, pemilihan pemenang untuk pertandingan nyanyian itu diadili 100 peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton di rumah.
Tetapi, bagaimana pula halnya dengan para peserta lain yang masih terkial-kial mahu menyanyi dan belum pun mempunyai peminat?
Penyertaan penyanyi yang sudah ada nama dan album sendiri dalam OIAM juga seakan-akan menggambarkan mereka belum menjadi penyanyi yang benar-benar berkredibiliti.

Justeru, program TV realiti tersebut dijadikan sebagai platform untuk mereka mengasah semula bakat dan seterusnya mendapatkan sekali lagi pengiktirafan sebagai penyanyi yang berbakat daripada para juri.
Malah, ketika uji bakat pertandingan itu diadakan, ramai peserta yang tidak berpengalaman telah tersingkir. Sebahagian daripada mereka bukannya tidak berbakat tetapi tewas kerana bersaing dengan penyanyi popular yang lebih berpengalaman di atas pentas persembahan. Penyanyi yang senior ini ternyata bernasib baik kerana mereka lebih bersedia daripada segi vokal dan berpengalaman pula mengadakan persembahan di merata-rata tempat.

Tanggapan

Apabila semakin ramai penyanyi popular mahu mencuba nasib menyertai OIAM pada setiap tahun, pelbagai tanggapan negatif akan timbul.
Antaranya, ada yang mempersoalkan apakah pembabitan golongan ini untuk mempertingkatkan lagi kualiti bakat menyanyi ataupun mahu mengejar RM1 juta semata-mata?

Sedangkan pada masa yang sama, penyanyi popular yang menyertai OIAM terpaksa berdepan dengan risiko reputasi daripada para peminat seandainya mereka tewas pada pertandingan itu.
Dalam hal ini, 8TV haruslah berlaku adil kepada para peserta lain dan tidak memberi laluan mudah kepada penyanyi yang sudah popular untuk menyertai pertandingan tersebut.

Ini kerana, kita tidak mahu OIAM menggunakan penyanyi-penyanyi yang sudah popular sebagai pesertanya semata-mata kerana mahu menarik perhatian para penonton.
Sebaliknya, jadikanlah program TV realiti itu untuk melahirkan barisan penyanyi baru yang benar-benar berkredibiliti.

Sumber : Utusan

Siti Nurhaliza mengimbau nostalgia menjadi anak polis

BENARLAH kata orang, zaman kanak-kanak sudah pastinya merupakan zaman yang cukup berharga. Mungkin ada antara kita yang menikmati zaman kanak-kanak yang begitu indah dan manis sekali.


Sebaliknya, ada pula yang terpaksa mengharungi zaman kanak-kanak dengan penuh detik hitam yang memaksa mereka tabah menghadapi dugaan hidup.


Bagi penyanyi nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza Tarudin, zaman kanak-kanaknya merupakan zaman yang paling indah dan berharga dalam hidupnya apatah lagi menjadi anak kepada seorang pegawai polis. Kenangan manis yang dilaluinya tidak mampu untuk dijual beli.


“Apabila saya mengenang kembali apa yang telah saya lalui, tidak ada apa yang dapat saya katakan melainkan hanya tersenyum, teringatkan memori silam yang penuh warna warni.
“Malam ini telah mengimbau memori silam saya yang berwarna warni itu, apabila melihat kanak-kanak dan warga polis berkumpul meraikan majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya teringatkan masa saya berumur lima tahun.


“Ketika itu, saya sama seperti kanak-kanak yang ada pada malam ini, berkumpul dan beratur untuk mendapatkan duit raya dari tetamu kehormat yang hadir.
“Memang meriah dan terasa kami semua bagaikan satu keluarga yang besar,” kata Siti ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya anjuran Maktab PDRM di Kuala Kubu Bharu, Selangor lewat malam Ahad lalu.
Dalam majlis itu juga, warga PDRM turut meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan pertama Siti Nurhaliza bersama suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.


“Saya amat terharu dan berbesar hati dengan apa yang telah mereka aturkan untuk kami malam ini. Kehadiran saya dan suami malam ini adalah juga untuk membalas jasa baik warga PDRM ter utama Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal yang banyak membantu dari segi kelancaran perjalanan acara dan keselamatan sewaktu majlis perkahwinan saya Ogos tahun lalu,” kata Siti lagi sambil diperhatikan oleh suaminya.
Bukan Siti dan suaminya sahaja yang hadir pada majlis berkenaan tetapi ibu Siti iaitu Siti Salmah Bachik serta dua anak tiri Siti; Mohd. Adib dan Mohd. Ashraff juga hadir sama.


Gelaran bukan penghalang


Sebaik sahaja selamat menjadi isteri kepada Datuk K pada Ogos tahun lalu, gelaran Datin terus menjadi milik Siti.
Sudah menjadi rezekinya, dua bulan selepas berkahwin, dia dianugerahkan pula dengan pingat yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Selain Siti, Sultan Pahang turut menganugerahkan pingat membawa gelaran Datuk Seri kepada suaminya, Datuk K baru-baru ini.


Bagi diri Siti sendiri, tidak pernah terlintas di fikirannya akan mendapat gelaran setinggi itu sebaik sahaja melangkah kaki ke dunia seni.
“Namun bagi saya, gelaran bukan penghalang untuk saya terus aktif dalam dunia seni. Saya masih seperti dulu dan sapalah saya sebagaimana anda biasa menyapa saya sebelum ini. Kecuali jika majlis tertentu yang memerlukan disebut gelaran, itu tidak mampu saya elak.
“Selagi suami saya mengizinkan saya untuk terus bekerja, selagi itu saya akan terus menghiburkan peminat saya,” katanya yang turut menyumbangkan vokal lunaknya itu buat hadirin menerusi lagu raya berhantunya, Sesuci Lebaran.


Lagu tema Spa Q


Bagi peminat setia slot Akasia yang kini sedang hangat dengan drama bersiri Spa Q (siaran TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang), pasti tertarik dengan lagu tema drama tersebut, Ku Mahu yang merupakan ciptaan Audi Mok manakala liriknya pula oleh Rina Khan.
“Ini merupakan kali pertama saya menyumbangkan suara untuk lagu tema drama bersiri. Semuanya bermula apabila penerbit drama berkenaan yang juga kakak ipar saya, Zaiton Muhammad Jiwa mahukan saya menyanyi untuk lagu tema dramanya.


“Semuanya berlaku dengan pantas. Saya menerima melodi dan lirik lagu Ku Mahu dalam masa yang singkat dan setelah mendengar dan menghayati liriknya, kami rakamkan lagu berkenaan dalam tempoh setengah jam sahaja.
“Saya amat sukakan Ku Mahu dan ia berbeza dengan lagu rancak yang pernah saya bawakan sebelum ini. Malah, ini juga kali pertama saya rakamkan lagu Audi Mok dan sudah pasti saya mahu bekerjasama dengannya lagi,” katanya yang masih lagi mempertimbangkan untuk memasukkan lagu berkenaan dalam album terbarunya kelak.

Sumber : Utusan

Sunday, November 4, 2007

Penonton pertikai dialog drama Takbir Suci 2, Liang Lahad

SYAWAL lalu, banyak drama menarik yang disiarkan. Selain untuk hiburan, cerita yang dipaparkan boleh juga diteladani, antaranya drama Takbir Suci 2 dan Liang Lahad.
Oleh kerana keberkesanan lakonan Raja Azura dalam Takbir Suci 2, membuatkan penonton membencinya. Bagaimanapun, SS terima komen daripada seorang penggemar drama Melayu yang tidak puas hati mengenai dialog yang diucapkan Raja Azura dalam drama itu iaitu apabila Raja Azura berkata 'esok hari raya' tetapi pada malam yang dikatakan malam raya itu dipaparkan umat Islam masih bersolat Tarawih. Sepatutnya menurut hamba Allah itu, kalau malam raya sepatutnya orang bertakbir raya dan bukannya bersolat Tarawih. Begitu juga, katanya, dengan drama Liang Lahad yang menggambarkan M Rajoli insan yang dianugerahkan kelebihan berkomunikasi dengan roh. Bukanlah dia hendak mempertikaikan mengenai perkara itu kerana kuasa Allah tiada siapa dapat menyangkal. Cuma yang tidak 'kenanya' situasi yang digambarkan dalam drama itu ketika Ramadan, tetapi roh masih dapat bertemu M Rajoli kerana dia minta dikurangkan kesakitan akibat diseksa. Sedangkan, katanya kepada SS, apa yang dia tahu Ramadan bulan mulia dan diharamkan sebarang seksaan ke atas penghuni kubur. Jadi di manakah logiknya drama itu dan dia bimbang ia boleh menjejaskan kepercayaan umat Islam. Kalau benarlah seperti kata hamba Allah itu, SS harap pada masa akan datang penulis skrip, pengarah, pelakon dan sesiapa saja yang terbabit dalam mana-mana pembikinan drama lebih berhati-hati menerbitkan sebarang karya. Pun begitu, kedua-dua drama itu banyak memberi pengajaran dan lakonan mereka memang berkesan.

Sumber : Metro

Haziq asah bakat lakonan



BINTANG yang dilahirkan menerusi Akademi Fantasia (AF4), Hazwan Haziq Rosebi, 19, menganggap pentas teater 'sekolah' terbaiknya untuk mengasah bakatnya dalam lakonan.

Jejaka yang mesra disapa Haziq, pernah terbabit dalam teater Lorong Blues arahan Fauziah Nawi yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, September lalu.Memegang watak Kudin, selain Haziq teater itu turut dilakonkan Shamsul Hirdi Muhid (Didi AF4), Mimi Rahzia, Asry Azizan, Iqbal Mazlan, Shirene Azim, Nadia Nasir, Jihan Musa selain Fauziah sendiri.Selepas melihat bakat dan kesungguhannya dalam teater itu, sekali lagi dia akan bekerja dengan Fauziah Nawi.
Katanya, pembabitan dalam teater itu sebenarnya secara kebetulan dan tawaran pula datang daripada orang yang sudah dikenali sejak terbabit dalam industri hiburan."Ini adalah pembabitan kedua saya dalam teater. Bagaimanapun, teater Kembang Layar Ku arahan Fauziah itu masih dalam proses latihan dan pengagihan watak."Skrip sudah diberi kepada kami untuk memahami kandungan jalan cerita itu. Jika tiada aral, pementasannya akan bermula awal tahun depan," katanya.
Tambah Haziq, bekerja dengan Fauziah buat kali kedua memang tidak berdepan masalah malah dia sangat bersyukur kerana diberi peluang muncul dalam teater itu."Saya mengenali Fauziah ketika beliau menjadi tenaga pengajar AF. Jadi tiada masalah bekerja dengannya. "Malah tawaran yang diberikan Fauziah memang saya hargai. Bagi saya inilah peluang untuk saya mengembangkan bakat dalam bidang seni," kata Haziq yang popular dengan lagu Joget Cinta Sakti berduet dengan Rosma.

Menurut Haziq, minat berlakon memang ada memandangkan ia sebahagian daripada cabang seni. Dia tidak menolak jika ada tawaran berlakon drama atau filem, jika ia sesuai dan tidak bertembung dengan jadual nyanyian.
Mengulas proses rakaman album pertama, dia berkata sehingga kini semuanya berjalan lancar dengan lapan lagu sudah disiapkan dan hanya tinggal dua lagu saja lagi dalam proses akhir rakaman."Proses rakaman album berjalan lancar. Jika tiada aral, album itu dijangka siap awal tahun depan. Namun segalanya bergantung kepada keadaan, mungkin ia dapat disiapkan lebih awal. "Mengenai pemilihan lagu single, saya perlu menunggu album siap baru dapat menentukan lagu single selain sasaran mempertaruhkan lagu itu pada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Muzik-Muzik," katanya. Album berkonsep pop etnik kreatif itu menampilkan karya komposer terkenal seperti Pak Ngah, S Atan, Arab dan Sham Kamikaze.
Sumber : Metro

Zek syukur masih bertahan



KEBANYAKAN rakan sekerja Zakiah Anas, 41 (Zek) sudah lama meninggalkan bidang pengacaraan. Ada yang menumpukan perhatian sepenuhnya pada keluarga. Tidak kurang ada senang bertugas di balik tabir.

Berbeza dengan Zek yang hampir 20 tahun menjadi pengacara di TV3. Dia masih terus bertahan walaupun saban tahun ramai wajah baru dan bergaya ditampilkan stesen swasta pertama negara itu.Ketika ditemui baru-baru ini jelas Zek, dia bersyukur dan berasa bertuah apabila mampu bertahan dalam bidang dipelopori. Apatah lagi rancangan dikendalikan, 999 mempunyai rating 3 juta penonton.Bukan itu saja, dia turut disunting beberapa pengeluar produk tempatan untuk menjadi model dan jurucakap mereka.
Antara jenama yang menggunakan wajah Zek termasuklah susu sejat F&N, pengeluar tas tangan dan kasut, Santini; kempen keselamatan jalan raya oleh Plus dan terbaru barangan elektrik, Pensonic."Saya bersyukur dengan perkembangan ini dan menganggapnya rezeki anak-anak. Apa yang saya peroleh sekarang berkat kerja keras selama ini di samping sokongan suami yang tidak pernah berbelah bahagi."Selain itu saya percaya kurangnya kontroversi dikaitkan dengan diri saya sepanjang hampir 20 tahun bergelar pengacara membuatkan pihak pengeluar barangan terbabit percaya dengan kemampuan saya untuk menarik perhatian pelanggan mereka," katanya.
Selain itu jelas Zek, rating tinggi diperoleh rancangan 999 dikendalikan turut menjadi faktor penyumbang bagi membantu dia dipilih menjadi jurucakap jenama dan model barangan tempatan terbabit. Waktu sama jelas Zek sebagai pengacara dan dianggap selebriti sedikit sebanyak sudah tentu dia harus menjaga penampilan diri dan imej."Saya tidak punya rutin tertentu untuk penjagaan kulit dan wajah selain menjaganya secara asas. Namun saya memang mementingkan penjagaan imej terutama tingkah laku. "Sebagai pengacara mewakili TV3 bagi saya ia penting. Apatah lagi saya berstatus isteri dan ibu kepada tiga orang anak, masyarakat sering memandang dan menilai apa juga yang saya lakukan," katanya lagi.

Bercerita mengenai keluarga dan anak-anak, kini rumah tangga Zek kini bertambah berseri selepas kehadiran anak angkat perempuannya Ashfeeya Myzarra, 8 bulan. Kedua-dua anak Zek sebelum ini lelaki iaitu Aiman Muzamnil, 13 dan Amir Muzhaffar, 11 tahun.
Sumber : Metro

Iqram menangis depan Kaabah

Justeru, rezekinya dalam dunia lakonan tidak pernah berkurang malah ada saja tawaran mendatang.Walaupun baru dua tahun menjadi pelakon tetapi wajah kacaknya sentiasa melekat di hati penonton.Apatah lagi dia banyak berlakon drama berepisod yang pastinya setiap minggu wajahnya muncul di televisyen, antaranya Dunia Baru musim satu, dua dan musim ketiga yang masih dalam penggambaran.Iqram juga muncul dalam drama Cinta Medik musim pertama dan kedua. Terbaru, dia menjadi AJ dalam drama Graduan yang kini ditayangkan di Astro Ria pada jam 9 malam setiap Isnin hingga Khamis. Iqram juga tampil menerusi drama bersiri Janji Diana di TV2, pada jam 9 malam setiap Ahad. Sebelum itu, jejaka kelahiran Ipoh, Perak ini pernah berlakon drama, Dua Hati dan Mentari Jingga. “Peluang membintangi drama berepisod satu bonus kepada kerjaya lakonan saya. Mereka yang setia menonton drama itu setiap minggu pasti mengingati wajah saya. “Saya sendiri tidak menduga rezeki saya dalam bidang seni. Setakat ini saya senang dengan apa yang dilakukan walaupun ada kalanya terfikir menceburi bidang perniagaan sebagai sokongan masa depan. “Apa yang saya dikecapi kini kerana niat saya ikhlas untuk mengembangkan bakat dan minat, apatah lagi mendapat restu ibu bapa. Mereka faham saya suka berlakon, jadi tiada halangan daripada mereka.
“Justeru, saya berjanji kepada diri sendiri untuk serius mencari rezeki dalam bidang ini supaya saya dapat memberikan kesenangan dan membahagiakan keluarga menerusi titik peluh sendiri,” katanya.
Iqram baru kembali mengerjakan umrah pada hari kedua Syawal lalu. Dia mengakui mendapat banyak hidayah. Ini adalah pemergian kali kedua Iqram ke Tanah Suci selepas melakukannya pada 1997.“Pemergian saya kali ini amat bererti kerana menggunakan wang sendiri dan sebagai hadiah hari jadi saya yang ke-26 tahun pada 29 September lalu. “Selepas dua kali mengerjakan umrah, saya nekad untuk melakukan 'penghijrahan' dengan menjadi insan yang lebih baik dan selalu bersyukur dengan nikmat Allah. Kalau boleh saya mahu mengurangkan sikap 'nakal' dan menjadi anak yang baik. “Saya sedar Allah memberi petunjuk kepada saya untuk mengikuti jalan yang benar dan diredaiNya. Ketika Tanah Suci saya banyak berfikir dan cuba memahami erti hidup. Kebetulan pakej umrah yang saya sertai itu ramai orang tua yang setiap tahun pergi ke sana. “Walaupun sudah berusia apabila tibanya waktu solat, mereka pasti bersolat di masjid. Kelihatan mereka begitu cergas dan bertenaga. “Saya lihat pula diri saya, walaupun masih muda tetapi ada saja halangan untuk beribadat. Terasa terlalu banyak kekurangan diri. “Tetapi pada malam 25 Ramadan lalu, ketika saya hendak memulakan tawaf dan sehingga habis rukun umrah itu saya menangis di depan Kaabah kerana menginsafi diri,” katanya. Ketika itu, jelas Iqram, dia teringat dosa-dosanya. Hidayah datang lagi kepadanya apabila sedang khusyuk mengerjakan solat Tarawih, tiba-tiba dia berasa teringin untuk berkahwin. “Saya tidak tahu macam mana keinginan berkahwin itu boleh timbul sedangkan teman wanita pun tidak ada. Barangkali Allah memberikan petunjuk supaya saya segera menamatkan zaman bujang untuk mengelakkan kemaksiatan dan sebagainya. “Saya perlukan masa sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk bergelar suami kerana saya perlu tumpukan pada kerja dan mengumpul pendapatan. Saya berhasrat mengumpul wang untuk mengusahakan tanah bapa di kampung. “Dek kerana saya mencintai keindahan dan kehijauan alam sekitar, saya bercadang mengusahakan kolam ikan, menternak lembu dan kambing. Saya akan sediakan kewangan dan abang saya mengusahakannya. “Tidak selamanya saya akan berlakon. Saya perlu merancang sesuatu dari sekarang,” katanya. Iqram juga gembira kerana sekembalinya dari Makkah, dia mendapat tawaran berlakon drama yang bakal mengisi slot Samarinda, TV3. Menjadi impiannya untuk muncul dalam slot itu kerana ia antara slot paling digemari ramai. “Tawaran itu datang daripada Line Clear Production. Walaupun tajuknya belum tahu lagi tetapi saya difahamkan penggambaran drama itu akan dibuat di luar negara. “Pihak produksi minta saya mengosongkan jadual mulai 20 November ini kerana penggambaran drama itu akan mengambil masa sebulan,” katanya. Dalam kerancakannya menerima tawaran berlakon, Iqram dikatakan intim dengan pasangan pelakonnya dalam Cinta Medik, Fauziah Gous. “Kami hanya berkawan tetapi saya akui kami serasi. Ketika mula berlakon dalam Cinta Medik 1 dulu memang kami tidak sehaluan, asyik saling mengutuk. “Tetapi selepas mengenali keluarganya, kami semakin rapat tetapi hendak kata bercinta, belum lagi. Apa pun saya senang berkawan dengan Fauziah,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem lakonannya, 1957 Hati Malaya. Ketika ditemui, Iqram yang segak berbaju Melayu rona kuning yang masih dalam 'mood' raya akan hadir ke Balai Berita NSTP petang esok (Selasa) untuk menghadiri jamuan raya Harian Metro.

Sumber : Metro

Anak Pontianak catat rating 3.2 juta penonton


SERING kali kita mendengar mengenai persaingan di antara stesen televisyen melalui program yang ditayang. Masing-masing ingin menonjolkan kelainan dengan program genre kemanusiaan, seram, hiburan, dokumentari, bual bicara dan sebagainya.
Jelas, persaingan ini sihat, mendatangkan kepuasan menyeluruh bagi stesen televisyen dan juga kepada penonton. Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) tidak lari dari kenyataan untuk terus menjadi pilihan umum rakyat Malaysia. Pelbagai program diatur dan direncanakan dalam memastikan programnya menepati piawaian dan kehendak pihak stesen amnya dan penonton khususnya.
Terbaru program melalui slot seram siri Anak Pontianak yang baru bersiaran pada 25 Oktober 2007. Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan AGB Nielsen Media Research, siaran episod pertama Anak Pontianak ini menerima kadar penonton sebanyak 3.265 juta (17.6 TVR) atau 47.4 peratus dari peratusan penonton yang menonton pada waktu itu.

Penerimaan siri Anak Pontianak ini sungguh memberangsangkan melebihi jangkauan pihak produksi, Pesona Pictures dan TV3. Persoalannya, mengapa siri Anak Pontianak ini diterima ramai? Apa yang hebatnya? Rata-rata pelakonnya adalah pendatang baru, Zarina An-Julie sebagai pelakon utama. Ada yang mengatakan jumlah penonton yang tinggi pada episod pertamanya adalah kerana siri Anak Pontianak ini lahir dari idea filem Pontianak Harum Sundal Malam? Lebih-lebih lagi, di bawah pengarah tersohor, Shuhaimi Baba.
Pernah satu ketika, siri seram sebegini dikecam kerana plotnya memesongkan akidah dan mendatangkan ketidakselesaan bagi penonton. Namun, penonton kini semakin matang dalam memilih program yang menghiburkan selain membina minda.

Pengurus Besar Pengurusan Jenama TV3, Farisha Pawanteh berkata, sambutan adalah di luar jangkaan dan pihaknya tidak menjangkakan penerimaannya begitu hebat. Walaupun, ia ditayangkan di slot perdana, TV3 tidak pernah menjangkakan program ini akan mencatatkan rating yang tinggi.
"Alhamdulillah, segala perancangan kami membuahkan hasil dan kami gembira penonton turut terhibur dengan sajian melalui siri SERAM, Anak Pontianak ini. "Kami sentiasa berikhtiar sebaik mungkin untuk penonton dan segala perancangan yang kami lakukan adalah menjadi harapan untuk memenuhi kehendak penonton setia TV3 dan Siri Seram," katanya. Drama bersiri terbaru Anak Pontianak mempunyai sebanyak 13 episod dan diarahkan pengarah tersohor Shuhaimi Baba. Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama bersiri ini pada setiap Khamis, jam 9.30 malam.
Sumber : Berita Harian

Tak perlu fikir apa di sebalik tersirat


APA yang boleh anda harapkan daripada sentuhan seorang pengarah baru dan muda seperti Pierre Andre? Menonton filem pertama arahannya, 9 September, boleh diibaratkan sebagai sebuah filem yang masih kurang perasa. Filem yang membariskan Pierre sendiri sebagai pelakon di samping Fasha Sandha masih wujud kekurangan di sana sini, namun yang wajar diberikan pujian ialah keberanian anak muda ini mengarah di dalam usia yang muda 21 tahun. Bukan semua anak muda boleh melakukan apa yang dilakukan Pierre.

Pujian juga harus diberikan kepada penerbit filem ini iaitu David Teo yang memberikan peluang kepada Pierre untuk mencuba bakatnya dalam bidang pengarahan. Biarpun, filem ini masih belum dapat menyerlahkan bakat sebenar Pierre sebagai pengarah Pierre namun tidak mustahil pada masa akan datang Pierre dapat menghasilkan karya yang lebih baik jika terus diberikan peluang seperti ini.
Dengan adanya pengarah muda seperti Pierre juga, industri perfileman akan tambah berwarna-warni. Kita tidak lagi terikat pada jalan cerita yang sama apabila hanya pengarah yang serupa mengarah. Filem 9 September adalah sebuah karya ringan yang tidak memerlukan penonton memenatkan otak untuk memikirkan apa yang tersurat di sebalik yang tersirat. Pierre cuba menyuntikkan elemen Korea di dalam filemnya, sayangnya idea Pierre tidak begitu kesampaian.

Sebaliknya ia membuatkan 9 September nampak seperti dibuat-buat dan menyebabkan filem ini tidak semula jadi. Sukar mencari di mana kekuatan filem ini sama ada dari sudut jalan ceritanya mahupun mutu lakonan Pierre dan Fasha. Pierre yang memegang watak Kogi dilihat masih stereotaip. Di dalam filem 9 September, Kogi sering kali menjadi bahan buli Nia, wanita yang berperwatakan kasar dan ganas kerana ditinggalkan kekasihnya Andrian.
Sejak itu, Nia menyimpan dendam terhadap lelaki. Watak Nia juga kurang berkesan dibawakan Fasha, malah watak itu terlalu banyak menjerit menjadikan ia membingitkan. Bagaimanapun kali ini Fasha tidak stereotaip dengan watak perempuan baik dan sopan seperti dalam drama atau filem lakonannya sebelum ini. Sementara itu sesetengah babak di dalam filem ini tidak perlu kerana ia tidak memberi apa-apa impak.
Di antaranya
babak Cat Farish memakan pizza yang cuba membangkitkan unsur jenaka tetapi ternyata ia gagal. Babak Pierre dan Fasha yang berbaring di tepi pantai setelah hampir setahun tidak bertemu mungkin boleh dikembangkan lagi untuk menjadikan babak berkenaan lebih sedih. Perasaan sedih yang cuba diwujudkan tidak kesampaian.
Mungkin sedih menyentuh perasaan ketika Nia berlari ke rumah Kogi, sebaik memasuki rumah Kogi dia terlihat di atas dinding tertulis sebuah puisi cinta. Lebih menampakkan filem ini seperti sebuah drama Korea apabila Nia berlari dengan gaun pengantin ke rumah Kogi. Tetapi, apa tujuannya Pierre mengetengahkan babak itu pula kurang pasti kerana Nia sudah mengetahui yang Kogi tidak ada di situ.
Sinopsis

FILEM 9 September adalah sebuah komedi romantik yang mengisahkan Nia dan Kogi yang berjumpa secara kebetulan apabila Nia tersalah masuk ke rumah Kogi. Sejak itu, banyak kebetulan yang menemukan mereka berdua. Walaupun sering dibuli, Kogi sentiasa menunjukkan sikapnya sebagai seorang lelaki yang baik dan jujur. Kogi juga dilihat seperti malaikat yang menjaga Nia dalam apa juga keadaan sekalipun.
Lama kelamaan mereka hampir jatuh cinta sehinggalah pada satu hari Andrian (Fahrin Ahmad) kekasih lama Nia kembali ke pangkuannya. Nia sebenarnya masih mencintai Andrian tetapi sayangnya tidak lagi setebal dulu kerana dia turut memikirkan Kogi pada masa yang sama. Sehinggalah pada satu hari Nia terbang ke Tokyo mengikut kekasihnya selama setahun. Setelah pulang ke Malaysia, Nia terus mencari Kogi namun gagal.
Apabila menemuinya, sesuatu yang sangat mengejutkan berlaku dan sangat sukar diterima Nia. Kogi terus membawa dirinya ke satu pulau terpencil di mana dia dan Nia pernah terperangkap. Nia terus mencari jawapan walaupun berita yang diterimanya itu sangat sukar ditelan. Ketika bertemu dengan Kogi di pulau satu peristiwa yang mengejutkan berlaku. Peristiwa itu mengubah sepenuhnya kehidupan Nia.
Apakah kesudahannya dan bersatukah Nia dengan Kogi. Semuanya terjawab dalam 9 September.
Sumber : Berita Harian

Pelakon dibayar jadi teman Datuk?

Nampaknya minggu lalu banyak sangat cerita yang tidak sedap sampai pada pendengaran Kak Tim. Paling sedih bila ada yang bercerita pada Kak Tim betapa seorang pelakon wanita muda merelakan dirinya menjadi teman kepada seorang Datuk untuk membeli belah di Singapura.

“Pengantara yang menghubungkan pelakon itu dengan Datuk berkenaan ialah seorang pembikin drama televisyen,” begitu kata sumber.
Khabarnya konon, si penghubung itu dibayar oleh Datuk dengan jumlah wang yang banyak sebagai imbuhan tugasnya. Malah si artis itu pun dibayar sama.

Bagi Kak Tim memang tidak salah menemani seseorang. Tapi tentu ada yang tidak kena di mana-mana kalau sampai menggunakan wang ringgit sebagai imbuhan.
Kak Tim pernah mendengar cerita seperti ini sepuluh tahun yang lalu. Kisah pelakon veteran menjadi ‘ibu ayam’ kepada pelakon muda, pernah hangat diperkatakan ketika itu.

Tetapi itu cerita lama. Pelakon hari ini Kak Tim kira lebih berpendidikan dan bermoral. Sebab itu sudah lama cerita-cerita buruk seperti ini tidak Kak Tim dengar. Tapi artis yang seorang ini nampaknya berani betul mengulangi sejarah silam yang gelap dan Kak Tim harap kisah yang satu ini oleh pelakon yang mewarisi bakat lakonan dari ibunya itu, tidak berpanjangan

Sumber : Utusan

Bantai anak macam nak membunuh

Kak Tim macam tak percaya mendengar cerita yang disampaikan sumber baru-baru ini. Maklum cerita tu tentang seorang selebriti yang Kak Tim memang kenal cukup peramah.
Tak sangka pula di sebalik keramahannya itu tersembunyi sifat seorang ibu yang ganas.

Kata sumber, “Memang dia tu ramah. Cuma dengan kawan-kawan ajalah. Tapi dengan anak dia sendiri, sikapnya boleh berubah macam singa. Jangan si anak tu buat silap sikit, memang kena bantailah budak tu.”
Khabarnya konon, selebriti ni kalau pukul anak remajanya memang tak ingat dunia. Waktu tu, kudrat kewanitaannya boleh bertukar macam lelaki.

“Kadang-kadang kasihan tengok budak tu sampai lembik kena bantai dengan batang penyapu, kena pijak perut. Dah tu kalau nak pukul, bukan kira tempat. Ada orang ke tak ada orang ke, dia belasah. Sebab tu ada beberapa rakan pernah menyaksikannya. Pernah seorang kawan, naik geram tengok dia mendera, terus buat laporan polis,” cerita sumber.

Kak Tim tak pasti sejauh mana kebenaran cerita sumber tu. Tapi kalaulah betul begitu sikap selebriti tu, Kak Tim rasa gerun benar.
Memanglah tidak mudah menjaga anak remaja. Tapi tidak perlulah memukul mereka hingga ke hujung nyawa.
Kak Tim tambah bimbang bila mendengar pihak polis dah campur tangan, tentu akan terjejas pula nama selebriti ni.

Jangan nanti kerana nila setitik rosak pula susu sebelanga. Macam cerita rumah tangga artis, kerana seorang dua yang bercerai, sudahnya ramai yang beranggapan memang itulah corak perkahwinan golongan selebriti. Sebab itu telinga Kak Tim dah naik tuli mendengar ramalan-ramalan sumbang perceraian artis.

Pantang ada artis kahwin, mulalah ramai yang meramalkan tempoh perceraian artis tu. Bukan doa jodoh berkekalan yang mengiringi artis itu tapi ramalan yang menyedihkan pula menjadi gurauan khalayak.
Walhal kalau nak dikirakan, orang biasa lebih ramai yang bercerai daripada golongan artis. Betapa malangnya, bila artis dianggap sebagai hak masyarakat sehingga cerita-cerita peribadinya pun terpaksa dikongsikan.

Sumber : Utusan

Erra Fazira antara isteri dan kerjaya



BIARPUN telah bergelar isteri, Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 33, tetap meneruskan kerjaya seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Bagaimanapun, aktiviti seninya dihadkan pada waktu-waktu tertentu bagi membolehkannya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Erra dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 32, yang ditemui pada Majlis Aidilfitri Suria fm Bersama Media di Kuala Lumpur, baru-baru ini semakin berseri dan kelihatan manis berbaju kurung berwarna putih dan merah jambu.

Kata Erra, dahulu aktiviti seninya tidak dihadkan, tetapi kini lebih banyak tertumpu pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.
Menurut Erra, dia kini mula meringankan tangan untuk ke dapur dan menuntut ilmu untuk memasak.

Ditanya adakah dia akan melibatkan diri dalam setiap acara yang dianjurkan oleh Suria fm, kata Erra: “Kalau tidak bercanggah dengan jadual, Erra akan datang untuk beri sokongan.
“Mengenai show dan penggambaran filem pula, jika tempatnya dekat, Erra akan terima tetapi jika jauh dari KL Erra kena fikirkan. Bagaimanapun semuanya bergantung pada watak yang diberikan kepada Erra.”
Menurut Erra, walaupun sudah berumah tangga, seboleh mungkin mereka tidak mahu mencampur adukkan soal peribadi dan kerjaya.

“Maksudnya kalau kami hadir ke sesuatu majlis yang tak perlukan kami duduk bersama, maka Erra berasa tak perlulah kami diletakkan di satu meja. Tetapi jika majlis itu memang mahukan kami bersama, Erra tidak ragu-ragu menerimanya,” kata bekas ratu cantik Malaysia 1992 itu.
Ditanya adakah perkahwinannya itu akan menutup segala gosip dan spekulasi yang melanda dirinya sepanjang tahun ini, kata Erra: “Bagi saya gosip memang tak akan berhenti walaupun dengan perkahwinan. Kalau kita terlalu mengharap gosip itu berhenti memang susah. Selagi kita tahu apa yang kita buat, maka biarkan saja gosip itu berlalu dengan sendiri.”

Rancangan masa depan

Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Abadi itu berkata, dia masih lagi belum mempunyai apa-apa perancangan untuk masa depan.
Bagaimanapun kata Erra, dia akan terus menumpukan perhatian pada bidang perniagaan terutama produk kecantikanya Ferralook.

“Saya ni jenis yang tidak boleh duduk diam sahaja di rumah, jadi saya perlu fikirkan sesuatu untuk kehidupan saya.
“Bagi saya, jenis perniagaan yang saya nak ceburi selain kosmetik ialah fesyen, kalau tidak pun mungkin makanan,” katanya.
Ditanya tidakkah dia dan Engku Emran merancang untuk menimang cahaya mata, kata Erra: “Sudah tentu untuk melengkapkan hidup, kami mahukan anak. Tapi, itu semua terserahlah pada Tuhan. Yang kami boleh lakukan ialah berdoa agar cepat dapat anak.”

Berbulan madu

Sementara itu, Engku Emran menyatakan kehidupannya kini lebih terurus dari sebelumnya. Menurutnya, dia dan isterinya masih belum merancang lokasi untuk berbulan madu.
Bagaimanapun katanya, dia ada memikirkan kemungkinan untuk berbulan madu ke Eropah ataupun ke Lautan Hindi setelah selesai majlis pelancaran Suria fm di Dataran Merdeka pada 24 November ini.

Bagaimanapun, kata Engku Emran, segalanya bergantung pada kesesuaian masa dan jadual kerjanya dan isterinya.

Sumber : Utusan

Thursday, November 1, 2007

Cantiknya Nik Sayyidah!


Satu lagi cerita yang team manggaonline rasa perlu diketengahkan kepada semua pembaca manggaonline. Team mangga sempat bertemu Nik Sayyidah Fatiha, pelakon Salam Pantai Timur. Fuiyoo!!! Nik kini jauh benar bezanya dengan Nik yang dulu dari segi fizikalnya.Nik kini nampak bertambah cute. Dengar ceritanya berat badan Nik turun daripada 103kg ke 58kg sekarang.
Dalam satu temubual dengan Utusan Melayu Nik memberitahu dia bersenam 2 jam sehari, dan tak makan nasi. Menu tengahari cuma sebiji epal hijau dan 2 keping biskut Jacob\'s. Pagi pula hanya secawan teh sahaj yang diambil.Nik sekarang mengusahakan salon kecantikan - Salon Decassorga di Taman Sri Andalas Klang. Salon kecantikan ini ala-ala Thailand gitu..Satu lagi Nik juga adakan kelas Tomoi..

Team Mangga memang tabik spring dengan Nik kerana sanggup mengawal makan.. he..he..he Team Mangga kalau tak jumpa nasi sehari pun dah rindu..
Sumber : Manggaonline

Duyung jelita kongsi cerita


BIAR sudah beberapa bulan berlalu, memori ketika di lokasi penggambaran filem Duyung, produksi kedua KRU Films yang bekerjasama dengan Grand Brilliance Sdn Bhd dan LineClear Motion Pictures masih subur di ingatan pelakon utamanya, Maya Karin. Lebih dua minggu berkampung di Pulau Sipadan, Semporna, Sabah, akui Maya, Duyung memberikan cabaran yang cukup besar kepadanya sebagai pelakon.

Menjalani penggambaran yang sebahagian besar menuntutnya beraksi di dasar laut hampir meragut nyawa pelakon kelahiran Bayreuth, Jerman itu. Cerita Maya, jika tidak kerana kepekaan gandingannya dalam Duyung, Saiful Apek yang memantau pergerakannya sewaktu beraksi di dasar laut, dia mungkin lemas apabila rambutnya tersangkut ketika sedang menghayati babak akhir sehari sebelum dia pulang ke Kuala Lumpur.
"Saya beraksi sendirian tanpa jurukamera menyedari saya sedang bergelut untuk menyelamatkan diri kerana dia begitu asyik menjaga syot kamera. Disebabkan terlalu menghayati lakonan, saya tidak perasan diri sudah terbawa ke bawah 'pulau'.

"Mujur Apek nampak saya yang sedang bergelut untuk menyelamatkan diri dan tanpa disangka, apa yang tertulis di dalam skrip betul-betul terjadi di depan mata. "Detik itu sangat mencabar, malah apabila dinaikkan ke daratan, dada saya masih berdegup kencang mengenangkan apa yang saya lalui itu. "Esoknya, saya terus terbang ke Kuala Lumpur dan saya akui Duyung memberikan pengalaman yang cukup mencabar meskipun Pontianak Harum Sundal Malam mengambil masa yang cukup panjang untuk dihayati," kata Maya.
Selain berdepan dengan cuaca terik di pulau itu hingga menyebabkan kulitnya terbakar dan mengambil masa tiga bulan untuk pulih semula, Maya juga terpaksa menahan sabar setiap kali hendak memulakan penggambaran.

Kostum khas Duyung yang ditempah khas dari Thailand mengambil masa empat jam untuk dipadankan di tubuhnya. Turut merimaskan pelakon berusia 28 tahun itu apabila besi berat di bahagian bawah rekaan itu untuk memudahkan dia tenggelam ke dasar laut. "Begitu juga ketika hendak menanggalkan kostum itu, ia memakan masa sehingga 45 minit. Ia perlu dilakukan dengan teliti dan perlahan-lahan kerana jika tersilap langkah akan mencederakan kulit saya.
"Pernah kerana tergesa-gesa mahu menanggalkan kostum itu, kulit saya berdarah. Ia cukup menguji namun apabila melihat hasil filem ini, terasa segala pengorbanan saya berbayar," kata Maya mengakui teruja jika dipanggil peminat sebagai Duyung apabila filem itu ditayangkan kelak, awal tahun depan. Merentasi pengalaman serta detik menyukarkan itu, kata Maya, membuatkannya ingin berterima kasih kepada ibunya, Che Zan Hassan yang menghantarnya mengikuti kelas renang ketika menetap di Jakarta, Indonesia tidak lama dulu.
Katanya, pengalaman mengikuti latihan renang selama tiga jam tiga minggu sekali ketika berusia 7 hingga 10 tahun untuk pertandingan di Jakarta, dipraktikkan sepenuhnya sewaktu membintangi filem itu. "Sebelum ke lokasi saya sempat mengikuti latihan renang di Shah Alam kerana saya perlu membiasakan diri apabila diminta berenang dengan kaki diikat. Semua itu penting kerana saya perlu selesa apabila di lokasi.
"Mujur saya gemarkan air, jadi saya tidak mengalami masalah besar ketika diminta beraksi di dasar laut. Cuma saya tidak dapat mengelak daripada pedih mata, tetapi pengalaman itu cukup menarik," katanya, mengakui tidak mudah untuk berenang dan pada masa sama menghayati lakonan seperti yang dimahukan pengarah Duyung, Profesor Razak Mohaideen.
Akur segala risiko besar bakal merentangi sepanjang penggambaran filem itu, Maya berkeras untuk tidak menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri kerana yakin mampu melakukannya sendiri. Baginya, lakonan membabitkan maruah dan kerana itu, biar sesukar mana pun adegan itu, Maya tetap mahu mencuba kerana ingin mencari kepuasan dalam hasil kerjanya. "Saya akui agak 'kiasu' apabila membabitkan lakonan tetapi apabila melihat dalam visual, pelakon lagak ngeri sendiri agak kekok untuk melakonkan sesetengah babak membuatkan saya membuat keputusan melakonkannya sendiri," katanya.
Jujur kata Maya, biarpun pernah meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa, dia tetap diburu debaran apabila digandingkan dengan pelakon komedi terkenal itu. Baginya, bakat Apek sebagai pelakon komedi cukup besar dan diakui umum, membuatkan dirinya sedikit gusar jika tidak mampu mencipta keserasian dengan aktor tersohor itu. "Tetapi Apek seorang yang tenang. Dia membuatkan saya cepat selesa dengannya.
Daripada hari pertama penggambaran di Gua Tempurung, Ipoh lagi saya dapat merasakan antara kami berdua ada keserasian yang kuat," katanya. Besar harapan Maya, Duyung akan memberi impak sekali gus mempengaruhi peminat kecil akan mesej yang cuba disampaikan menerusi filem itu.
INFO: Filem Duyung

Maya Karin Roelcke, 28, dilahirkan pada 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Jerman. Berdarah campuran Jerman-Melayu. Ayahnya, Gottfried Roelcke berasal dari Jerman, manakala ibunya, Che Zan, dari Pulau Pinang.
Anak sulung daripada tiga beradik ini mengikuti pendidikan terakhirnya di Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing dalam bidang media dan pemasaran.

Filem lakonan Maya ialah Seri Dewi Malam, No Problem, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Pontianak Harum Sundal Malam 1 dan 2, Waris Jari Hantu, 1957 - Hati Malaya dan Anak Halal.

Pernah merakamkan dua album solo, Maya Karin dan Bukan Qalamaya. Lagu popularnya Erti Cinta.
Siri TV yang mengangkat nama Maya sebagai pengacara ialah Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3). Maya turut menjadi model Pantene, Wella, Halle, Yishion dan L'Oreal dan duta Celcom.

Anugerah pertama yang pernah diraih Maya ialah Artis Baru Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH'01), Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH'05, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun, Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol dan Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Malaysia Ke-5.
Sumber : Berita Harian
RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR