Monday, December 3, 2007

Apa istimewa artis luar?

FESTIVAL Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (KLIFF'07), sudahpun melabuhkan tirainya Ahad lalu. Kalau Festival Filem Malaysia (FFM), SS selalu juga dengar majlisnya meleret-leret dan persembahan pula agak membosankan.SS ingat KLIFF07 yang julung kali dianjurkan berlangsung dengan jayanya setara namanya festival antarabangsa.

Tapi sebaliknya berlaku apabila ramai meluahkan rasa tidak puas hati kepada rakan SS.Kata mereka acara pembukaan tidak segah mana, begitu juga acara penutup festival. Ada yang bertanya, mengapa perlu undang artis luar negara untuk mengacara dan menjayakan persembahan pada malam kemuncak? Alasan mereka, niat baik penganjur berkongsi kehebatan persembahan pada malam itu seolah-olah negara kita kekurangan pengacara dan penyanyi.

Kata mereka, tidak perlulah menjemput Gurmit Singh mengacarakan majlis bersama Sarimah Ibrahim kerana ramai lagi pengacara tempatan yang boleh bergandingan dengan Sarimah. Begitu juga kehadiran penyanyi Indonesia, Acha Septriasa dan Irwansyah. Malah mereka berdua juga sering diundang membuat persembahan di sini sedangkan tahap vokal mereka ketika menyanyikan lagu My Heart pada malam itu amat mengecewakan.

Negara kita mempunyai ramai artis yang memiliki vokal hebat seperti Faizal Tahir, Noryn Aziz, Sheila Majid dan Nora. Mengapa artis luar juga yang menjadi pilihan? Dengan tema Bersama Dengan Kepelbagaian Budaya, SS lihat persembahan pembukaan menampilkan Liza Hanim menyanyikan lagu Tari Silat Melayu amat menarik. Namun elemen budaya Melayu itu semakin hilang apabila kebanyakan artis memilih lagu Inggeris.

Pastinya, delegasi luar terutama dari Barat ingin menyaksikan budaya masyarakat negara ini. Namun kalau masih disajikan lagu Inggeris, tiada bezanya dengan festival yang diadakan di negaranya sendiri.
Ke mana perginya Datuk Ahmad Jais yang bersuara lunak dan juga artis lain seperti Datuk Yusni Hamid serta artis muda lain?

Kelunakan suara dan kemerduan lagu merekalah sepatutnya ditonjolkan pada malam itu.
Dalam pada itu, ada juga menyuarakan perasaan kurang senang dengan kemunculan suami Anita Sarawak, Mahathir Abdullah menyampaikan trofi di pentas. Lebih baik diberi peluang itu kepada karyawan filem tempatan yang banyak memberi sumbangan kepada industri.

Sumber : Metro

Penyanyi rock peluk, cium artis lelaki

NAMPAKNYA aksi Faizal Tahir yang dikatakan agak keterlaluan ketika pengumuman peringkat separuh akhir Muzik Muzik 22 kategori balada, masih diperkatakan walaupun selepas dua minggu insiden itu berlaku.Dek kerana panasnya isu itu menyebabkan cerita membabitkan salah seorang anggota kumpulan yang turut mara ke final AJL22 seminggu selepas itu dilupakan orang.

Pada SS, cerita ini tidak kurang panasnya tapi SS tidak tahu pula mengapa orang terlepas pandang. Ceritanya begini. Selepas tamat pertandingan separuh akhir kategori Pop Rock, anggota kumpulan rock ini dengan beraninya mencium pipi seorang artis yang turut membuat persembahan pada malam itu.Lebih menjelikkan, dia turut mengungkapkan kata 'saya cinta kamu' dalam bahasa Inggeris sehingga ramai orang di belakang pentas terkejut.

Apa tidaknya, yang dilafaz cinta dan dicium anggota kumpulan rock ini bukannya artis perempuan, sebaliknya lelaki.Kata satu sumber, sekalipun dia bergurau atau memang itu caranya dia meraikan teman lama tapi perbuatannya itu mengundang syak wasangka orang sekeliling. Tambah kesian, artis lelaki yang diciumnya itu tidak semena-mena turut terkena tempiasnya.

SS difahamkan, anggota kumpulan rock itu terlalu gembira kerana kumpulannya mara ke akhir dalam satu keputusan yang agak mengejutkan. Pada mulanya mereka tidak disenaraikan antara lima ke final tetapi penganjur memutuskan memilih mereka.

Teruja sangat agaknya sehingga dia hilang kawalan dan disebabkan itulah apabila penyanyi pujaannya melintas depan mata, dia terus jadi tak keruan hingga memeluk dan mencium pipi artis lelaki ini untuk meraikan kegembiraannya.Apa yang mampu SS katakan, supaya penyanyi rock itu lebih menjaga tingkah lakunya di khalayak ramai pada masa akan datang.

Sumber : Metro

Lagu menonjol, tarian jazz kaku

JIKA cabaran tarian sebelum ini peserta Sehati Berdansa dilihat ada peningkatan. Namun, lain pula ceritanya dengan tarian jazz. Rata-rata persembahan peserta kurang memberangsangkan.
Malah, juri mengatakan peserta lebih terpengaruh dengan lagu berbanding tarian. Justeru, ada antaranya tidak nampak seperti menari jazz. Apapun, mereka dianggap berjaya mengatasi cabaran itu.

Sekalipun sukar, kemaraan pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak sememangnya tidak dapat digugat. Seperti minggu sebelumnya, pasangan ini masih menjadi pilihan juri dan penonton di rumah.Diikuti pasangan Raianna Abdul Rahman (Rai)/ Zain Shah Mohamed, Raja Putri Atilia Raha Haron (Atilia)/ Ariff Johan Abdul Jalil serta Mohd Rizman Mohd Khuzaimi (Riezman)/ Kartina Ayoob.

Berada di kedudukan 'rapuh' pada minggu lalu ialah pasangan Ngasriah Ngasri (Anne) dan suami, Abdul Wafi Hassan yang menjadi peserta 'kelima' terselamat daripada penyingkiran.Dalam program Debaran Sehati Berdansa malam Ahad lalu, pasangan Asfarina Muhamad (As Feminin) dan Azman Adnan tersingkir selepas gagal meraih markah tinggi daripada juri dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Azman, 36, berkata penyingkirannya dan isteri disebabkan kesilapan dirinya sendiri. Katanya, apa yang dikatakan juri mengenai gerak tarinya benar dan dia tidak berkecil hati."Saya menerima segala kritikan itu sebagai teguran membina. Malah saya tidak sesekali menyalahkan juri kerana apa yang mereka komen itu ada benarnya. Memang saya buat silap."Selama ini pun saya memang keras dan tidak pandai menari. Saya dan isteri menyertai program ini kerana kebajikan dan kami mewakili Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB)," katanya.

Bapa kepada tiga anak dan bekas pemain bola sepak Selangor itu berkata, tarian jazz minggu lalu nyata amat mencabar. Ditambah dengan iringan penyanyi latar sebagai kejutan kepada peserta.
Ditanya apakah mereka bersedia sekiranya diundang menjayakan program seperti ini lagi, Asfariana atau As, 32, pula berkata biarlah mereka jadi penonton pula. Katanya peluang itu untuk orang lain."Kami sudah berjaya hingga tahap ini. Oleh itu, pada masa akan datang biarlah orang lain pula menyertainya. Bagi saya dan suami, perjuangan kami sudah berakhir," katanya.

Penyingkiran As dan Azman sebagai peserta ketiga selepas pasangan Radhi (OAG) dan Haiza diumumkan hos Sehati Berdansa, Linda Onn dan Fahrin Ahmad. Hadir sama, juri tetap iaitu Linda Jasmine Hashim dan Fathee Abdullah.Sementara itu Anne berkata, dia dan suami sebenarnya gementar menunggu keputusan penyingkiran.

Katanya jika ditakdirkan 'terkeluar' malam itu, mereka reda dan tidak kisah."Kami sedar, menang atau kalah adat pertandingan. Lebih-lebih lagi pertandingan yang ada undian SMS ini apa-apa saja boleh berlaku dan kami harus bersedia menerima sebarang keputusan."Apapun, jauh di sudut hati kami bersyukur kerana dapat meneruskan perjuangan pada minggu kelima. Pada minggu ini, kami perlu berusaha keras untuk menampilkan persembahan menarik."Kini saya berpegang janji kepada dua orang. Pertama, Haiza dan kedua, As. Sebelum meninggalkan pentas, As meminta saya berusaha membuat yang terbaik dalam minggu kelima nanti," katanya.

Anne berkata, dia sangat rapat dengan Haiza dan As. Namun dua wanita itu sudah terkandas dan disingkirkan daripada persaingan. Oleh itu, tinggal dia saja yang masih bertahan.Ibu seorang anak ini berkata, dia akan sedaya upaya menari dengan baik. Akui, tarian jazz memang sukar. Gerak tarinya mesti tepat dan setiap gerak tidak boleh lupa.Ternyata kehadiran Haiza pada malam itu memberi semangat kepada Anne. Haiza yang tersingkir minggu lalu, hadir bersama suami, Norhanafpe Omar sebagai tanda sokongan kepada rakan yang lain.

Sumber : Metro

Maya pilih jejaka Eropah



Belum terdesak berumah tanggaHANYA senyuman meleret terukir pada wajah bintang Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM), Maya Karin, apabila ditanya soal kahwin.

Namun, kebahagiaan yang terpancar pada wajah gadis jelita ini seolah-olah menceritakan segala-galanya.“Sebenarnya, saya yang belum bersedia lagi untuk berkahwin. Terus terang, saya bukanlah terdesak hendak kahwin kerana masih banyak lagi agenda seni yang belum dicapai.“Malah, ibu saya sendiri tidak kisah saya lambat kahwin kerana usia saya masih belum mencecah 30-an.
“Zaman sekarang, istilah andartu lebih tepat pada wanita berusia berusia 40 tahun yang masih hidup membujang,” katanya. Apapun, kata Maya, bila tiba hari bahagianya nanti dia pasti mengundang pihak media yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini merasai bersama detik gembira itu.“Saya ingin meraikan hari bahagia saya itu bersama pihak media.
Impian saya untuk pastikan semua orang berasa seronok kerana saya ingin bergembira dengan pihak media pada hari bersejarah itu.“Justeru, gosip mengatakan saya sudah berkahwin senyap-senyap tidak benar sama sekali,” katanya. Maya berkata, mengikut perancangannya, majlis perkahwinannya nanti sangat ringkas dan bukan `Wedding Of The Year'.“Ia juga perkahwinan campuran antara Barat dan tradisional. Saya perlu buat majlis tradisional juga kerana ia impian ibu.

“Saya banyak kali menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakan sebelum ini dan apa yang saya perhatikan, selepas jamuan selalunya tetamu terus meninggalkan majlis. Saya tidak suka kalau orang buat begitu di majlis saya,” katanya.

Maya yang sudah mencecah usia 28 tahun juga tidak berselindung mengenai jejaka bertuah yang bertakhta di hatinya kini.Malah, dia mengaku sudah menjalinkan hubungan dengan jejaka itu sejak beberapa tahun lalu.“Memang saya berkawan rapat dengannya. Dia bukan orang tempatan sebaliknya dari benua Eropah. Dia bukanlah artis atau golongan kenamaan, sebaliknya orang biasa saja,” katanya Maya berkata, jika tidak terbabit dengan aktiviti seni dia mengisi masa lapangnya dengan memasak.
“Saya suka mencuba pelbagai resipi baru dan saya sudah pandai buat kari ayam yang lazat. Selain itu, hobi baru saya kini membuat kek dan saya baru saja berjaya buat kek strawberry yang enak. “Saya bukanlah pandai sangat buat kek kerana saya masih belajar lagi,” katanya.Ketika ditanya sama ada dia belajar memasak sebagai persediaan untuk melangkah ke alam rumah tangga, Maya enggan mengulas lanjut sebaliknya hanya memberikan senyuman penuh makna.
Tidak cukup dengan itu, kerjaya seni Maya juga begitu memberangsangkan.Selepas filem lakonannya 1957: Hati Malaya mewakili negara bagi kategori filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF'07) baru-baru ini, filem Anak Halal lakonannya pula bakal menemui penonton pada 13 Disember ini.Manakala filem Duyung lakonannya pula dijangka ditayangkan di pawagam pada tahun depan.“Saya sebenarnya ada dua lagi projek filem baru pada tahun depan dan salah satunya bergenre komedi. Biarlah orang cakap saya asyik berlakon filem Shuhaimi Baba saja yang juga menampilkan barisan pelakon yang sama.
Bagi saya semua orang ingin bekerja dengan Shuhaimi, begitu juga saya.“Saya ingin bertanya kepada anda, bagaimana saya ingin menolak tawaran berlakon dengan Shuhaimi kerana semua karyanya memang hebat.“Cuma lepas ini, kalau berlakon dengan Shuhaimi lagi biarlah saya digandingkan dengan hero lain pula selain Rusdi Ramli.“Saya tidak mahu orang kata saya hanya layak jadi `hantu cantik' saja kerana saya ingin lakonan saya dipelbagaikan. Antara watak yang saya idamkan ialah pahlawan wanita yang menunggang kuda,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta jam tangan Tag Heuer selama setahun bermula November tahun ini.
Acara itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Tag Heuer, Jean-Christophe Babin di butik Tag Heuer di Pavillion.Antara duta antarabangsa Tag Heuer ialah bintang Hollywood Brad Pitt dan Uma Thurman. Selain Tag Heuer, Maya juga duta L'Oreal dan Celcom.
Sumber : Metro

Gelagat Gurmit jadi bualan

KEMENANGAN filem 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba merangkul dua anugerah di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff07) di malam anugerah yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur kelmarin membuktikan produk kita berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Bertemakan 'Bersama Dengan Kepelbagaian Budaya', festival lima hari itu menyediakan pelbagai acara menarik seperti simposium perfileman, ekspo, tayangan umum dan perdana serta kemuncaknya malam anugerah. Lebih daripada itu, penganjuran julung kali ini memberi ruang kepada penggiat filem tanah air bertukar idea dan merintis teknologi baru dalam produk tempatan.Meskipun Malam Anugerah berjalan lancar dan menutup kelemahan malam pembukaan yang agak lesu, namun tetap ada beberapa kelemahan ketara yang menjadi bualan ramai.

Antaranya pemilihan Gurmit Singh sebagai hos bersama Sarimah Ibrahim. Daripada luahan hadirin, Gurmit lebih bercakap perihal Singapura, sedangkan dia sudah dibayar sebagai pengacara dan patut menumpukan kepada Kliff07 yang berlangsung di Malaysia.Tidak cukup dengan itu, pemilihan pasangan penyampai anugerah juga ada yang tidak kena. Malah, ketika artis tempatan bergandingan bersama artis luar, soalan biasa yang ditanyakan apa pendapat mereka mengenai Malaysia.Begitu juga dengan penampilan Acha Septriasa dan Irwansyah berduet menyanyikan lagu My Heart tidak seperti diharapkan dan rendah vokalnya.

Paling mengecewakan, ramai penerima anugerah tidak hadir serta artis popular dalam dan luar negara yang hadir juga diibaratkan hanya boleh dibilang dengan jari.Sebelum majlis bermula, acara permaidani merah dikendalikan Sazzy Falak dan Andy dari kumpulan Estranged. Malam Anugerah disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Astro Kirana serta menampilkan persembahan nyanyian daripada artis tempatan, Liza Hanim, Anita Sarawak, Suki, kumpulan Pretty Ugly serta gandingan Ajai dan Marsha.

Majlis juga turut dimeriahkan dengan kehadiran artis dalam dan luar negara sebagai penyampai anugerah. Antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Jalaluddin Hassan, Yusry Abdul Halim, Que Haidar, Maya Karin, Erma Fatima, Shuhaimi Baba, Alex Komang, Bret Perker dan Jutao.Mengulas kemenangan filem 1957: Hati Malaya yang berkisar sejarah kemerdekaan negara merangkul Anugerah Penataan Bunyi Terbaik dan Anugerah Khas Juri 3, Shuhaimi berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi dan pemilihan filemnya mewakili negara sudah dianggap bonus besar.

“Saya hanya sempat menonton filem Sunday In Kigali (Kanada) saja dan tidak sanggup menonton filem lain yang bertanding kerana kualiti mereka begitu bagus.
“Saya dapati negara luar banyak menonjolkan filem berunsur patriotik, kemanusiaan dan alam sekitar. Jadi, apa salahnya negara kita juga menonjolkan filem sebegini sekali-sekala,” katanya.Sementara itu, filem Sunday In Kigali dari Kanada meraih tiga hadiah iaitu Anugerah Perdana: Filem Terbaik Amerika Utara, Anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan mantap Fatou N' Diyae dan Anugerah Filem Terbaik yang melayakkannya merangkul hadiah wang tunai AS$10,000.

Wakil Suruhanjaya Tinggi Kanada di Malaysia, Bertrand Xavier Asselin, berkata mereka bangga kerana penyertaan julung kali ini membuahkan kemenangan berganda apabila merangkul tiga hadiah utama dan turut memuji penganjuran festival bertaraf antarabangsa di sini.Filem The Struggle For Liberation dari Namibia juga merangkul tiga hadiah apabila menang Anugerah Pengarah Terbaik (Charles Burnett), Anugerah Perdana: Filem Terbaik Afrika dan Anugerah Penataan Muzik Terbaik.Hadiah lain yang turut disampaikan ialah Anugerah Sinematografi Terbaik dimenangi filem Not By Chance (Brazil), Anugerah Lakon Layar Terbaik diraih filem American Fork (Amerika Syarikat), Anugerah Khas Juri 1 dirangkul filem Transformers (Amerika Syarikat) dan Anugerah Khas Juri 2 dimenangi filem Tehilim (Perancis).

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyifatkan KLIFF07 berjaya mencapai objektifnya apabila mendapat 168 penyertaan dari 51 negara.“Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan pihak berkaitan kerana berjaya menganjurkan majlis ini dengan tersusun. Namun, sudah adat apabila rumah siap, masih ada tukul dan pahat yang berbunyi.“Penekanan harus diberi supaya penyerlahan budaya menerusi filem nampak jelas seperti apa yang terkandung di negara kita. Ini kerana melalui filem kita dapat mewujudkan persahabatan dan pertukaran maklumat atau budaya,” katanya.Hadir sama isterinya, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha KeKKWa, Datuk Zakiah Ahmad; Pengerusi Finas, Tan Sri Jins Shamsudin; Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim serta Pengerusi KLIFF Sdn Bhd, Datuk Ab Raof Yusoh.

Sementara itu beberapa penggiat filem tanah air yang ditemui memuji penganjuran Kliff07 kerana membolehkan penggiat industri filem bertukar maklumat dan kepakaran perfileman serta pendedahan karya. Namun, wujud beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi penganjurannya supaya mendapat perhatian ramai dari dalam dan luar negara.Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, berkata pihaknya akan memberi input sewaktu sesi 'post mortem' nanti demi kebaikan bersama dan memperjuangkan industri filem tempatan.

“Sepatutnya penganjuran festival besar sebegini memerlukan penubuhan jawatankuasa kebangsaan dan diketuai sendiri Ketua Setiausaha KeKKWa. Ia juga perlu membabitkan persatuan seni tanah air sebagai ahli jawatankuasa induk.“Selepas itu, barulah serah kepada pihak lain untuk melaksanakan kerja berkaitan. Tapi harus diingat, pihak dilantik sekadar melaksanakan tugas diberi dan bukan membuat keputusan besar. Selain itu, festival ini patut ada stesen penyiar rasmi untuk meluaskan lagi promosinya di pelbagai peringkat,” katanya.

Tokoh perfileman disegani, Datuk Rahim Razali pula berpendapat profesionalisme KLIFF07 perlu ditingkatkan lagi supaya penganjurannya setanding dengan festival bertaraf antarabangsa lainnya.“Masanya sudah tiba supaya Malaysia ada festival filem tersendiri yang menjadi tradisi kukuh dan bertahan lama seperti di Cannes dan Tokyo. Kalau diperhatikan, banyak bandar besar dunia mempunyai festival filem sendiri yang menjadi identiti mereka.“Justeru, beberapa kelemahan ketara perlu diperbaiki demi memantapkan lagi penganjuran pada masa akan datang terutamanya dari segi publisiti, promosi dan memasyarakatkan filem.

“Sewajarnya Kliff07 jadi peristiwa besar di ibu kota dan turut membabitkan penyertaan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memeriahkannya dengan pelbagai kapasiti yang mereka ada.“Malah rakyat juga patut dibabitkan sama dan nikmati apa yang ada pada KLIFF07 seperti tayangan filem percuma dan sebagainya serta tidak terhad kepada orang tertentu saja. Ia bukan sekadar kerja KeKKWa dan Finas tetapi juga pihak lain,” katanya.

KEPUTUSAN PENUH FESTIVAL FILEM ANTARABANGSA KUALA LUMPUR
1) Anugerah Dokumentari Terbaik - 4 (Australia)
2) Anugerah Animasi Terbaik - Upin & Ipin (Malaysia)
3) Anugerah Filem Pendek Terbaik - Wind (Singapura)
4) Anugerah Penataan Muzik Terbaik - The Struggle For Liberation (Namibia)
5) Anugerah Penataan Bunyi Terbaik - 1957: Hati Malaya (Malaysia)
6) Anugerah Sinematografi Terbaik - Not By Chance (Brazil)
7) Anugerah Lakon Layar Terbaik - American Fork (Amerika Syarikat)
8) Anugerah Khas Juri 1 - Transformers (Amerika Syarikat)
9) Anugerah Khas Juri 2 - Tehilim (Perancis)
10) Anugerah Khas Juri 3 - 1957: Hati Malaya (Malaysia)
11) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Afrika - The Struggle For Liberation (Namibia)
12) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Amerika Selatan - Cyrano Fernandez (Venezuela)
13) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Afrika - Sunday In Kigali (Kanada)
14) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Eropah - Tehilim (Perancis)
15) Anugerah Perdana: Filem Terbaik Asia - One Summer With You (China)
16) Anugerah Pelakon Wanita Terbaik - Fatou N' Diyae/Sunday In Kigali (Kanada)
17) Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik - Adel Imam/The Yacoubian Building (Mesir)
18) Anugerah Pengarah Terbaik - Charles Burnett/The Struggle For Liberation (Namibia)
19) Anugerah Filem Terbaik - Sunday In Kigali (Kanada)

Sumber : Metro

Nyanyian Noryn tetap menghiburkan

JARANG sekali pusat hiburan seperti The Zouk di Jalan Ampang memutarkan muzik berirama jazz sebagai santapan halwa telinga pengunjungnya. Namun sempena kehadiran Festival Live & Loud KL 2007 yang berlangsung sepanjang minggu lalu merubah keadaan itu. Pada Jumaat lalu, pengunjung berpeluang menikmati melodi yang agak santai ini apabila tiga penyanyi dari muzik genre sedemikian membuat kemunculan istimewa di tempat itu. Kuasa yang dimiliki Noryn Aziz, Malque D’Essentials dan Tompi berjaya membuatkan pusat hiburan itu penuh sesak dengan ramai pengunjung berbilang bangsa dan usia. Jika selama ini ramai yang beranggapan, jazz hanya sesuai untuk orang tua, andaian itu memang tersasar.
Buktinya, rata-rata pengunjung yang usia mereka masih di peringkat remaja begitu teruja dengan muzik ini. Biarpun ada lagu yang dinyanyikan Noryn sudah berpuluh tahun lamanya, namun mereka begitu seronok menyanyi bersama-sama. Antara lagu yang menjadi pilihan Noryn untuk dinyanyikan pada malam itu adalah I’m Alright, lagu terbaru dari album keduanya yang belum berada di pasaran, Make It On My Own, L.O.V.E selain lagu Cerita Cinta yang dipetik dari album solonya, Alamaya. Tidak dinafikan, aksi dan gaya Noryn ketika berada di atas pentas memang hebat. Kehebatannya bukan setakat mampu menyanyi tetapi juga kebijaksanaannya ketika berkomunikasi bersama peminat membuatkan dia tersenarai sebagai antara penyanyi solo wanita yang ada pesona tersendiri.
Walaupun difahamkan Noryn hanya diberi masa selama setengah jam saja untuk berada di atas pentas tapi dia sanggup bekerja lebih masa semata-mata kerana begitu teruja melihat sambutan peminat terhadap persembahannya. Selepas Noryn selesai menjalankan tugasnya, pentas sederhana besar itu diambil alih oleh sebuah kumpulan yang albumnya masih belum dipasarkan di Malaysia tetapi mempunyai peminat yang ramai di sini. Bagi penggemar irama neo-soul pasti mengenali siapakah itu Malique D’Essentials, yang dianggotai lima jejaka dan tiga gadis jelita. Sebaik saja muncul di atas pentas, seluruh ruang pusat hiburan itu bergema dengan sorakan penonton yang kebanyakan mereka adalah penyokong setia kumpulan dari Jakarta ini. Aksi mereka di atas pentas diakui memang unik. Bukan saja menyanyi malah mereka juga boleh menari dan mempamerkan pelbagai gaya yang menghiburkan. Muzik mereka yang rancak dan bertenaga membuatkan penonton tidak senang duduk dan mengambil kesempatan menyanyi dan menari bersama mereka.
Memulakan persembahan, mereka memilih lagu Free Your Mind diikuti dengan Funk Flow!, Itu Adanya, The One, Menikmati Cinta, Kangen, Terdiam dan Heaven. Selama 45 minit menyanyi, tenaga mereka masih kekal. Malah, vokal mereka juga tidak pancit walaupun kebanyakan lagu mereka rancak `dan memerlukan pergerakan yang agresif. Kemuncak malam itu, malam Jazz Live & Loud KL 2007 menampilkan penyanyi yang sering muncul dengan imej bertopi iaitu Tompi. Penyanyi kelahiran Aceh ini tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menghangatkan keadaan apabila memilih lagu My Music untuk dipersembahkan kepada peminat yang begitu setia menanti kehadirannya sejak awal lagi. Sesuatu yang menarik mengenai Tompi adalah, vokalnya yang unik dan tersendiri. Sambil menyanyi, dia juga mampu membuat pelbagai bunyi-bunyian mengikut alunan muzik yang dimainkan pemuzik pengiringnya. Malam itu, sengaja Tompi memilih rangkaian lagu berkonsepkan cinta. Antara lagu hits yang dinyanyikan figura ini adalah Selalu Denganmu, I’M Falling In Love, Salahkah, No More dan Lulu Siti. Menyedari persembahan malam itu turut disaksikan penyanyi Malaysia, Tompi lantas mengundang Dayang Nurfaizah untuk berduet dengannya menerusi lagu Isn’t She Lonely yang pernah dipopularkan oleh Stevie Wonder. Terdahulu, lagu Stevie Wonder, Uptight turut menjadi pilihan Tompi untuk dinyanyikan sebelum menutup persembahannya dengan lagu I’M Falling In Love. Secara keseluruhan, malam Jazz berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk memberikan hiburan berkualiti kepada peminat irama ini secara khususnya. Cuma apa yang dikesalkan, tempoh persembahan Tompi terpaksa dipendekkan kerana pihak pengurusan Zouk ingin meneruskan operasinya untuk pengunjung luar.Moga perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Sumber : Berita Harian

Aksi melampau K-Ci, Jojo memualkan

KEMUNCULAN kumpulan duo adik beradik, K-Ci & Jojo memang dinantikan oleh peminat muzik tanah air. Kalau tidak, masakan kira-kira 3 ribu penonton yang membanjiri Stadium Negara di Kuala Lumpur, sejak jam 6 petang lagi.

Biar mata sudah layu menahan menahan mengantuk, mulut sudah beberapa kali menguap, namun demi K-Ci dan Jojo, semuanya mampu bertahan. Itulah penangan si pemilik nama penuh Cedric Hailey (K-CI) dan Joel Hailey (Jojo) kerana bukan mudah untuk melihat nama besar ini berada di depan mata. Mereka muncul membuat persembahan dalam muzik aliran R&B sempena dengan festival muzik Live & Loud Kuala Lumpur 2007.

Sebaik saja pengacara mengumumkan kemunculan kumpulan ini, jeritan dan sorakan penonton berkumandang seolah-olah tidak sabar dengan kehadiran penyanyi yang selama ini hanya dilihat di televisyen. Tanpa melengahkan masa, K-Ci dan Jojo terus melunaskan tanggungjawab mereka menghiburkan penonton yang masih kelihatan bertenaga menyanyi dan menari biarpun malam semakin larut.

Selama sejam, penonton disajikan dengan pelbagai lagu popular mereka antaranya Tell Me It's Real, Crazy dan termasuklah All My Life serta beberapa buah lagu hits kumpulan Jodeci, yang pernah dianggotai oleh mereka berdua sebelum ini. Sambutan hangat penonton membuatkan barometer persembahan K-Ci dan Jojo semakin meningkat. Entah kerana panas atau ‘terlalu ghairah di pentas’, K-Ci mula membuka bajunya dan membiarkan tubuhnya itu disaluti singlet. Namun, lama-kelamaan penyanyi ini semakin hilang kawalan.

K-Ci kemudiannya mengoyakkan singlet yang dipakainya dan menyanyi dalam keadaan berlengging. Melihat keadaan itu, jeritan dan sorakan terutama daripada anak gadis semakin kuat kedengaran. Ingatkan setakat itu saja aksi berani penyanyi ini, rupa-rupanya ada tindakan lebih ekstrem yang dilakukannya apabila dia melondehkan seluarnya sehingga paras punggung menampakkan sebahagian daripada ‘boxer’ yang dipakainya. Satu aksi yang sangat keterlaluan. Tidak cukup dengan itu, dia juga melakukan aksi tidak senonoh ketika menari dengan beberapa penonton wanita yang diundang di atas pentas.

Amat memualkan dan ini menimbulkan persoalan kepada penganjur bagaimana perkara seperti ini boleh terjadi? Apakah setiap artis yang hadir tidak diberi taklimat terdahulu mengenai apa yang boleh dan apa yang dilarang ketika beraksi di atas pentas. Mengulas perkara ini, Ketua Pengarah Festival, Reymee Mohamed Hussein yang ditemui sejurus tamatnya konsert itu berkata sebagai penganjur, mereka kesal dengan apa yang terjadi memandangkan sebelum ini semua pihak sudah pun diberi amanat mengenai syarat membuat persembahan di negara ini.

“Kami sedar mereka perlu mematuhi sensitiviti negara ini. Tapi apa yang berlaku adalah di luar jangkaan kami kerana sejak awal lagi, semua pihak, termasuk pengurusan artis sendiri sudah dimaklumkan apa yang perlu mereka patuhi sewaktu mengadakan persembahan di sini. “Namun saya tidak nafikan mungkin mereka masih tidak biasa dengan budaya masyarakat di sini kerana ini baru pertama kali mereka menjejakkan kaki di Malaysia. Apa pun, saya puas hati dengan persembahan mereka kerana mereka berjaya melakukan persembahan di negara mereka sendiri.

“Lagi pun jika dilihat dari segi pemilihan artis antarabangsa, kami memang memilih artis yang 'selamat' dan tidak begitu kontroversi. Apa pun, ini adalah kali pertama kami anjurkan acara besar seperti ini dan kami akan cuba perbaiki lagi pada masa hadapan,” janjinya. Selain kumpulan duo tersohor ini, konsert sensasi itu turut diserikan dengan persembahan Lil G of Silk , Mint Condition serta seorang artis Filipina, Mark Douglas dan bekas Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah.

Malam itu turut menyaksikan artis tempatan seperti Nikki, Lah VE, Mode dan Azan Ruffedge menunjukkan bakat semula jadi mereka. Kekuatan vokal keempat-empat penyanyi ini menerbitkan rasa bangga dalam diri kerana Malaysia sebenarnya mempunyai penyanyi setaraf dengan apa yang negara luar miliki. Konsert yang memakan masa selama enam jam itu turut menampilkan bakat baru, Melissa Indot sebagai pembuka tirai.Dengan gaya penuh stylo dan vokal yang lantang, Melissa berjaya memikat penonton menerusi lagu Ain’t Got You, Woman In Love dan Sexy dengan caranya yang tersendiri.

sumber : Berita Harian

Propa!: Ella, Ruth Sahanaya duet di Indonesia

NAMPAKNYA, Ella juga sudah berasakan, tiba masanya dia turut melebarkan kepak ke negara seberang. Yalah, jika asyik penyanyi Indonesia saja yang 'serbu' negara kita, tidak adil juga kan?

CK dengar khabar, buat permulaan, Ella akan merakam lagu duet bersama penyanyi terkenal negara itu, Ruth Sahanaya. Rakaman itu akan dilakukan di Jakarta pada pertengahan bulan ini. Mereka berdua akan menyanyikan sebuah lagu ciptaan komposer tempatan, bukan pencipta Indonesia ya. Khabarnya juga, apabila sudah berada di kota besar itu, Ella berasakan, baiklah dia terus merakam klip videonya sekali. Jimat masa dan tenaga.

Lebih hebat, lagu itu juga difahamkan akan menampilkan pemain gitar terkemuka negara ini, Man Kidal. Wah, kira lagu ini bakal mencipta sejarah tersendiri 'gitu'. Lagu yang CK kurang periksa judulnya ini akan dimasukkan dalam sebuah album projek khas penyanyi yang terkenal dengan sifat manja ini.

Pada mulanya, CK difahamkan, kumpulan Dewa 19 yang sepatutnya berduet dengan ratu rock Malaysia ini. Tetapi, nampaknya rancangan itu terbantut dek kesibukan kumpulan terbabit. Hummm... Kenalah tunggu projek seterusnya, cik kak.

Sumber : Berita Harian

Suhaimi puas


Keputusan untuk membawa filem 1957: Hati Malaya daripada 27 filem tempatan untuk dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF2007) ternyata satu pilihan tepat apabila filem arahan Suhaimi Baba itu meraih dua anugerah pada upacara yang julung kali diadakan. Filem berkenaan meraih dua anugerah bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik serta Anugerah Khas Juri.
Bagaimanapun, tewas kepada filem dari China, One Summer With You yang diangkat sebagai Anugerah Perdana: Filem Terbaik Asia.
Selain China, turut bertanding bagi kategori Asia ialah filem Red Robin dari Iran, Red Robin, The Homeland (Uzbekistan) dan The Overture (Thailand). Menurut Suhaimi, penyertaan 1957: Hati Malaya di dalam KLIFF 2007 bukan bertujuan untuk memburu kemenangan. Justeru apabila filemnya diumumkan memenangi dua kategori dia mengakui terkejut.

“Kami menyertai festival ini bukan bertujuan untuk meraih anugerah. Bagaimanapun saya ada berkata kepada beberapa rakan, dapat meraih satu anugerah pun sudah memadai. Apatah lagi saya berkesempatan menonton filem dari Kanada, Sunday In Kigali, filem mereka sungguh bagus dan memang layak untuk menang.
“Tapi itu bukan bererti saya mengalah sebelum bertanding dan juga bukan bermakna filem kita tidak bagus. Saya berpendapat setiap filem ada kelebihan begitu juga kekurangan,” katanya sambil menyeru lebih ramai pengarah dan penerbit menghasilkan filem berunsur budaya dan politik. Suhaimi berkata, walaupun tema sebegini tidak begitu popular di kalangan penonton kita, namun sekiranya pengeluar filem terus menyogokkan penonton dengan filem sedemikian tidak mustahil lama kelamaan ia pasti berjaya memancing jiwa penonton.
Ditanya apakah dengan kemenangan itu juga, dia akan terus menghasilkan filem berunsurkan patriotik, pengarah itu berkata, beliau saja tidak mampu untuk melakukannya secara berseorangan.
“Kalau saya seorang saja yang buat tidak boleh. Saya mahu semua orang malah lebih ramai pengarah dan penerbit buat. Kita mahu penonton menghargai dan mahu memupuk mereka supaya mencintai tanah air. “Lagipun sudah lama kita tidak ada filem berunsurkan sejarah. Kita kena hasilkan lebih banyak filem yang mencabar minda, bukan hanya untuk hiburan semata-mata,” jelasnya.
Beliau juga berharap festival ini dapat dijadikan sebagai satu acara konsisten yang diadakan setahun atau dua tahun sekali. Bagaimanapun, katanya, pada masa akan datang penganjur haruslah mengumumkan mengenai penganjuran festival ini lebih awal terutama dari segi tema cerita yang diperlukan agar pengeluar filem tempatan dapat bersiap sedia. “Sekurang-kurangnya setahun sebelum festival diadakan, penganjur sudah memaklumkan kepada pengkarya, filem jenis apa yang mereka mahu.
Ini memudahkan orang filem memberi fokus kepada tema yang ditetapkan itu,” katanya. Bagaimanapun, Suhaimi tidak menafikan keterbatasan pengeluar filem untuk berkarya menyebabkan filem tempatan sukar untuk menandingi filem luar. Namun, tegasnya, batas yang ditetapkan itu sebagai satu cabaran kepada penggiat filem tempatan supaya bekerja lebih keras lagi untuk membawa penceritaan yang berlainan.
Sumber : Berita Harian

Bila pelakon demand...

BARU-BARU ini Kak Uda bertemu dengan seseorang yang berjawatan tinggi di sebuah stesen TV berbayar yang bercerita tentang pelbagai rancangan diatur demi untuk memastikan mendapat lebih ramai lagi penonton yang melanggan stesen TV berkenaan.

Dari satu topik ke satu topik, akhirnya pegawai yang juga kawan baik Kak Uda itu bercerita tentang pelakon lelaki yang seorang ini.
“Kak Uda nak tahu, pada satu malam seorang produser menghubungi saya dan memberitahu mengenai perangai seorang pelakon lelaki yang dipilih menjadi hero dramanya.

“Produser itu memberitahu pelakon lelaki itu demand dan mahukan bayaran tambahan untuk lakonannya jika tidak dia tidak mahu menjalani penggambaran di luar daerah.
“Apa yang menghairankan saya dalam kontrak semuanya sudah termaktub berapa bayaran yang akan diterima dan di mana penggambaran akan dilakukan.

“Cuma yang saya tidak faham kenapa dia harus minta lagi bayaran hingga membuatkan bayarannya begitu tinggi sedangkan dia sudah bersetuju pada asalnya.
“Apa yang saya boleh beritahu kepada produser berkenaan, dia yang pilih pelakon itu, jadi dialah yang kena selesaikan masalahnya.

“Sebenarnya stesen TV kami tidak pernahlah demand artis-artis untuk setiap drama yang akan dihantar kepada kami. Apa yang kami mahukan ialah pelakon itu ada rupa dan berbakat.
“Kadang-kadang Kak Uda, saya pun naik bosan asyik pelakon yang sama saja dalam setiap drama TV di Malaysia. Apakah kita memang kekurangan pelakon atau memang ada komplot dalam dunia lakonan,” kata kawan Kak Uda.

Sebenarnya Kak Uda dah lama perasan perkembangan yang tidak sihat ini kerana setiap stesen TV ada pelakon kegemaran mereka jadi penerbit kenalah ikut selera mereka.

Sumber : Utusan

Mukhsin belum cukup hebat - Yasmin Ahmad

MUKHSIN merupakan antara filem yang terpilih dalam senarai pendek lima filem tempatan yang layak untuk mewakili negara pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) yang berakhir Ahad lalu.
Bagaimanapun pengarah filem itu, Yasmin Ahmad dikatakan menarik diri daripada dicalonkan pada festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama KLIFF Sdn. Bhd. itu di saat-saat akhir.

Biarpun filem 1957: Hati Malaya mewakili negara pada festival filem itu, tetapi ramai yang tertanya-tanya dengan tindakan pengarah berasal dari Muar, Johor itu.

Ini kerana, Mukhsin juga dikatakan layak untuk mewakili negara menerusi KLIFF 2007, apatah lagi filem itu mempunyai pencapaian yang baik pada banyak festival filem di luar negara.
Filem itu antaranya pernah memenangi Anugerah Khas Juri (Generasi) pada Festival Filem Antarabangsa, Berlin di Jerman awal tahun ini.

Wartawan ABD. AZIZ ITAR sempat menghubungi Yasmin yang ketika ini berada di Taipei, Taiwan kerana menghadiri Festival Filem Golden Horse bagi mengetahui sebab berhubung keputusannya itu baru-baru ini. Ikuti temu bual tersebut.

MEGA: Mengapa anda tidak mahu Mukhsin dicalonkan menerusi KLIFF 2007 pada saat-saat akhir?
YASMIN AHMAD: Mukhsin menarik diri daripada KLIFF 2007 pada saat-saat akhir selepas saya mendapati filem ini masih belum cukup bagus untuk dipertandingkan pada festival itu. Saya rasa filem ini susah untuk memenangi sebarang anugerah pada apa-apa juga festival filem yang diadakan di negara ini. Apatah lagi festival ini dianjurkan oleh kalangan orang yang sama juga. Mereka ini jugalah yang telah menolak filem-filem kawan saya, Amir Muhammad. Antara filem Amir yang menjadi mangsa ialah The Big Durian, Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.

Tidakkah anda rasa rugi apabila tidak mahu Mukhsin dicalonkan?
Saya tidak rasa rugi. Sebaliknya, saya tidak faham kenapa filem arahan saya itu disenarai pendek dan dicalonkan dalam KLIFF 2007. Sedangkan pada Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) yang lalu, filem saya itu tidak pula dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik.

Adakah ini bermakna anda merajuk?
Saya juga tidak merajuk. Tetapi saya hairan sebelum ini filem-filem saya dikata macam-macam, antaranya filem Sepet dikata pencemar budaya. Mukhsin pula dikatakan tidak menampilkan banyak pembaharuan. Malah, filem ini juga dikatakan menggalakkan kanak-kanak bercinta. Kalaulah Mukhsin dikatakan tidak mempunyai pembaharuan, tidak payahlah senaraikannya dalam KLIFF 2007. Bagi saya, itu bukannya kritikan tetapi ia lebih berbau kutukan dan cacian yang boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai pengarah filem.

Apa harapan anda atas penganjuran KLIFF 2007?
Saya harap festival filem ini dapat diselenggarakan secara profesional. Contohnya kawan saya dari Osaka, Jepun mengadu dia ada menghantar filem terbitannya untuk bertanding pada KLIFF 2007. Tetapi sayangnya hingga saat ini tidak mendapat apa-apa jawapan.

Akhir sekali, apakah perancangan anda terhadap Mukhsin?
Kami merancang untuk memasarkan Mukhsin ke Perancis, Korea dan Jepun selepas ada syarikat dari sana yang berminat dengan filem ini. Selain itu, Mualaf sudahpun tamat menjalani penggambarannya baru-baru ini. Mualaf akan ditayangkan di Singapura terlebih dahulu sekitar Februari tahun depan.
Sementara itu, filem terbaru saya berjudul Talentime pula sedang dalam proses proproduksi. Filem ini mengisahkan tentang budak-budak sekolah yang menyertai pertandingan nyanyian. Buat masa ini saya sedang mencari pelakon yang sesuai untuk filem itu.

Sumber : Utusan

Sehati Berdansa Azman-As akur pada keputusan

TEGURAN juri yang mengatakan Azman Adnan menari seperti kayu atau kaku, sedikit pun tidak meninggalkan kesan pada bekas pemain bola sepak kebangsaan itu.

Sebaliknya, suami kepada penyanyi As dari kumpulan Feminin itu menerima segala kritikan dan teguran dengan hati terbuka.
Jelas Azman, dia adalah seorang yang berfikiran terbuka dan tidak pernah berkecil hati dengan teguran daripada Linda Jasmine dan Fathee Abdullah kerana apa yang dikatakan adalah benar.

“Saya adalah seorang yang realistik dan menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Mereka kata saya menari seperti kayu, saya tidak marah kerana ia benar. Saya akui saya bukanlah penari yang baik kerana ini bukan kepakaran saya.

“Apa pun selama tempoh empat minggu saya dan isteri telah cuba memberikan yang terbaik. Paling menggembirakan saya, isteri sentiasa memberi dorongan biarpun dia tahu saya tidak pandai menari,” katanya pada media selepas pengumuman penyingkirannya dan isteri.
Pasangan yang mewakili Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) telah berjaya mengumpul wang RM4,000 untuk diberikan kepada persatuan tersebut.

Azman dan As merupakan pasangan ketiga tersingkir daripada program televisyen (TV) realiti Astro Ria Sehati Berdansa selepas Radhi OAG bersama Lin Sharif dan penyanyi Haiza yang berdansa dengan suami, Hanafpe.
Jelas As, dia tidak kecewa dengan penyingkiran mereka kerana pada malam persembahan lagi perasaan akan tersingkir sudah dirasai.

“Walaupun kami hanya berpeluang sampai ke minggu keempat sahaja tapi saya bangga dengan suami kerana dia sentiasa membuat yang terbaik.
“Pada malam persembahan, saya sudah dapat rasa tidak ada harapan lagi kerana ketika menari dengan muzik sahaja pun dia tidak dapat ikut. Ini pula dengan iringan penyanyi. Apa pun saya gembira kerana sejak menyertai Sehati Berdansa, dia tampak lebih penyayang dan senang dibawa berbincang,” katanya terus terang.

Sumber : Utusan

Maya Karin bangga duta Tag Huer


KEJELITAAN dan kebijaksanaan yang dimiliki Maya Karin bersesuaian dengan pemilihannya sebagai duta TAG Heer.

PEMILIHANNYA sebagai duta terbaru jenama jam mewah, TAG Heuer sememangnya cukup tepat. Berbekalkan kejelitaan dan kebijaksanaan yang dimilikinya, rasanya, tiada siapa yang mampu untuk menafikan keputusan itu.

Maya Karin Roelcke atau Maya Karin mengakui dia cukup berbangga apabila dipilih menjadi duta jenama mewah itu apatah lagi kini dirinya sebaris dengan duta jam tersebut, antaranya Brad Pitt, Uma Thurman, Tiger Woods, Shah Rukh Khan, Maria Sharapova, Lewis Hamilton dan Zhang Ziyi.

“Apabila mereka menghubungi saya untuk memberitahu saya terpilih untuk menjadi duta mereka, saya tergamam dan hampir tidak percaya.

“Mana tidaknya, jenama TAG Heuer sudah menjadi idaman saya sejak kecil lagi. Malah, selalu saya mengimpikan seutas jam tangan tersebut terletak di tangan saya.

“Lagipun, saya memang tidak suka memakai jam tangan yang mempunyai muka yang kecil kerana tidak sesuai dengan jiwa saya. Dek kerana itu, saya suka memakai rekaan yang sporty kerana rekaannya yang begitu sesuai dan serasi dengan saya yang lasak dan bersedia menyahut cabaran.

“Apabila sudah bergelar pelakon pun, saya tidak berkesempatan untuk memilikinya. Namun kini, semua mimpi saya menjadi kenyataan dan saya bersyukur dengan rezeki ini. Bukan itu sahaja, saya juga berbangga kerana menjadi artis Melayu pertama menjadi duta TAG Heuer,” jelasnya sewaktu ditemui pada satu temuramah khas di Hotel Westin, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Katanya, pihak TAG Heuer telah menghadiahkannya enam utas jam tangan termasuk dua model terbaru iaitu Formula One Glamour yang turut dipakai oleh pemain tenis wanita terkenal, Maria Sharapova dan Grand Carerra.

Menjadi duta TAG Heuer selama setahun bermula 1 November lalu, sudah pasti bayaran yang diterima si jelita ini juga secantik jenamanya. Dengan tersenyum manja, Maya memberitahu: “Biarlah ia menjadi rahsia saya.”

Pemilihan Maya Karin itu juga menjadikannya sebagai artis Malaysia ketiga selepas Alex Yoong dan Asha Gill dipilih menjadi duta jenama itu.

Bercerita tentang rancangannya bersama TAG Heuer, wanita berusia 28 tahun ini memberitahu, jika segalanya berjalan dengan lancar, berkemungkinan besar dia akan ke Perancis tahun hadapan menghadiri satu acara yang melibatkan sukan perlumbaan motor.

Dalam meniti usia sedekad menjadi anak seni, dirinya juga tidak pernah terlepas dari kontroversi dan kritikan yang menjadikannya lebih kuat mengharungi dunia seni yang penuh cabaran ini.

Terbaru yang didengari, khabarnya, Maya Karin dan seorang lagi pelakon wanita yang membintangi filem Anak Halal, Fasha Sandha dikatakan tidak sebulu selepas berlakunya satu insiden tidak berapa lama dulu.

“Mana anda dengar cerita ini? Saya rasa saya tiada ada masalah dengan Fasha Sandha. Semua cerita itu tidak betul. Tiada. Malah, saya juga bersedia untuk mengikuti promosi filem Anak Halal dengan semua pelakon. Jadi, isu itu tidak timbul,” katanya tegas.

Bercerita tentang wataknya sebagai tomboy bernama Johanna dalam filem yang dikatakan filem terbaik 2007 itu, Maya menjelaskan, ia memberi kepuasan dan satu pembaharuan dalam kariernya.

“Saya memberi sepenuh jiwa saya untuk watak Johanna. Malah, saya juga tampil tanpa sebarang solekan ke atas wajah saya dan sanggup memotong rambut saya sebanyak empat inci.

“ Malah, pakaian saya dalam filem itu cukup ringkas. Saya harap apabila ia ditayangkan pada 13 Disember kelak, penonton akan datang ke panggung untuk menontonnya,” jelasnya yang murah dengan senyuman itu.

Tambahnya lagi, dia bersyukur apabila tahun 2007 memperlihatkan tiga filem lakonannya mencapai kejayaan yang membanggakan.

“Waris Jari Hantu, 1957 Hati Malaya dan Anak Halal semuanya mencatatkan kejayaan. Saya berasa gembira kerana terlibat dengan filem-filem itu dan saya mengharapkan tahun hadapan juga akan menjadi sebaik atau lebih baik dari tahun ini,” ujar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 ini lagi.

Tahun hadapan, Maya akan muncul dengan filem Duyung yang merupakan arahan Profesor Madya A.Razak Mohaideen dan sebuah filem yang berjudul Setem arahan Khabir Bhatia.

“Filem Setem itu akan menjalani penggambaran sekitar Januari atau Februari nanti. Pelakonnya adalah Afdlin Shauki dan Rashidi Ishak. Saya begitu teruja untuk beraksi dalam filem ini nanti,” katanya.

Adakah Maya akan beraksi untuk kali kelima dalam filem arahan Shuhaimi Baba selepas Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2, Waris Jari Hantu dan 1957 Hati Malaya?

Jawapannya: “Setakat ini, Shuhaimi Baba tidak ada menceritakan apa-apa pada saya tentang perancangan filem terbarunya untuk tahun hadapan.”

Apabila ditanya tidak teringinkah berlakon drama atau sememangnya Maya menganggap dirinya begitu eksklusif yang hanya mahu wajahnya ditonton di layar lebar.

“Bukannya saya tidak mahu berlakon drama, tetapi jadual saya begitu padat. Bayangkan, setiap filem saya akan menjalani penggambaran hampir dua bulan. Jika saya berlakon tiga buah filem, maka, sudah enam bulan habis untuk filem sahaja. Jangan risau, bila sampai waktunya nanti, saya akan berlakon drama,” jelasnya yang sudah muncul dalam tiga episod drama bersiri, Anak Pontianak yang ditayangkan setiap Khamis, pukul 9.30 malam di TV3.'

Biodata Maya Karin

Nama penuh: Maya Karin Roelcke
Nama komersil: Maya Karin
Tarikh lahir: 29 Oktober 1979
Tempat lahir: Bayreuth, Jerman
Umur: 28 tahun

Sunday, December 2, 2007

Siapa paling lawa ?

Menurut laman blog Manggaonline,

Team Manggaonline telah memilih 3 orang artis yang pada pandangan Manggaonline antara yang tercantik di Malaysia.   Ketiga-tiga artis ini dipilih dalam peringkat umur yang hampir sama (30-an), mempunyai kerjaya sebagai seorang model, dan pelakon.    Mempunyai senyuman dan lirikan mata yang menawan.  Dan yang paling penting ketiga-tiga artis ini mesra kamera.. ala-ala.. fotogenik.

Kalau nak cerita hal-hal berkaitan kontroversi rasanya, team manggaonline minta pembaca ketepikan dahulu.  Team Manggaonline nak tahu siapa antara ketiga-tiga artis ini yang paling lawa...

Personally waktu jumpa ketiga-tiga artis ni.. team manggaonline yang lelaki tersenyum lebar.. dapat bersalam dan bergambar dengan artis-artis ni lagi lebar senyuman mereka.. team manggaonline yang perempuan pula.. lain kes.. tahap jealous yang tinggi dan kagum ada gak.. sebab ketiga-tiganya cantik dan menawan.

So.. siapa paling lawa?

Nasha Aziz
Nasha Aziz
Erra Fazira
Erra Fazira
Rozita Che Wan

Rozita Che Wan

Malaywood: Kalau mengikut laman blog SEXY, untuk kategori Malaysian Babe, bagi ketiga-tiga artis pilihan Manggaonline nih, hanya Erra Fazira sahaja yang tersenarai. Turut tersenarai sebagai Malaysian Babe di dalam blog SEXY ialah Maya Karin, Amy Mastura, Andrea Fonseka, Amber Chia, Elaine Daly, Carmen Soo dan Vivien Yeo.

Malaywood pilih Erra Fazira

So yang mana satu pilihan korang. 

 

Ina - Suhaimi sanding bertiga



Wah! Nampaknya Nor Diana Mohd Naim dan Mohd. Suhaimi Saat bukan bersanding berdua tetapi bertiga pada majlis yang diadakan di Dewan Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor, pada 18 November 2007. Majlis ini amat istimewa kerana Ina sudah pun berbadan dua dengan usia kandungannya mencecah tiga bulan. Cahaya kegembiraan jelas terpancar pada wajah kedua-dua pengantin tersebut.

“Kami bahagia ketika ini dan tak sangka Ina sudah mengandung. Kiranya majlis kenduri untuk tiga oranglah ni,” kata Suhaimi.

Pada majlis tersebut, Ina dan Suhaimi mengenakan persalinan serba ungu. Lebih daripada 2,000 tetamu datang meraikan persandingan yang ringkas tetapi meriah itu.

“Cukuplah ia diadakan secara sederhana kerana kami merasakan ia lebih beradab dan menggembirakan,” ujar Suhaimi.

Majlis bertandang di rumah pengantin lelaki pula akan diadakan pada 24 November ini di Dewan Orang Ramai Felda Tementi, Triang, Pahang.

Team Mangga Online mendoakan kebahagiaan Ina dan Suhaimi berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Belasungkawa Allahyarham Hussein Abu Hassan

Gambar kenangan pada 24 September 2007 semasa majlis berbuka puasa anjuran Astro Show di Bukit Kiara
Hussein Abu Hassan, 70, menghembuskan nafas terakhir pada Isnin 26 November 2007 akibat komplikasi paru-paru. Seniman veteren yang terkenal dengan watak-watak antogonis lewat filem P.Ramlee dan filem-filem 70-an & 80-an meninggal dunia di Wad Nefrologi, Hospitak kuala Lumpur (HKL).

Menurut anak lelaki allahyarham, Faizal Hussein, minggu lalu Faizal, arwah dan ibunya, Mahyon Ismail sempat menjamu selera di Bintang Walk. Menurut Faizal itulah detik terindah yang tidak akan terpadam dari memorinya hingga akhir hayat.

Tambah Faizal yang kali terakhir bertemu ayahnya pada pukul 8 malam tadi, sebelum ini bapanya juga kerap keluar masuk hospital kerana penyakit jantung yang dihidapinya itu.

Allahyarham anak keempat dari tujuh beradik dilahirkan di Tanjung Limau, Alor Gajah, Melaka pada 8 Mei 1937. Arwah memulakan kerjayanya sebagai anggota polis sebelum memilih lakonan pada pertengahan tahun 1960-an.

Antara yang menziarahi allahyarham ialah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Dr. Rahman Ismail, rakan-rakan artis seperti Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maarof, Zaibo, Norlia Ghani, Yusof Kelana, S. Shahdan, Abu Bakar Omar dan Kuswadinata.

Antara filem lakonan Allahyarham ialah Nasib Do Re Mi, Bukit Kepong, Lanang Sejagat, Panglima Badul, Kanta Serigala, Gila-Gila Remaja, Kembar Siam, Laksamana Do Re Mi, Boss dan Amuk Tok Nading.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Setapak di sini selepas solat Asar.

RP | CU | PH | RR | TCU | MFB | BM | BM | TAW | RM | SM | MLW | QL | QTS | SR | TR | TCR | HR